Keibubapaan

Bayi Menangis Tak Henti-Henti? White Noise Jadi Penyelamat Mak Ayah!

Share

White noise bayi sering menjadi antara kaedah yang disarankan oleh pakar tidur bayi untuk membantu menenangkan si kecil yang sukar tidur atau mudah terjaga pada waktu malam.

Menurut Konsultan Bayi Menangis Malaysia, Puan Uswatun Hasanah Mohd Habib, penggunaan white noise antara kaedah yang boleh membantu menenangkan bayi dan memperbaiki kualiti tidur mereka.

“White noise merupakan salah satu elemen terpenting dalam pendekatan saya ketika membantu ibu bapa menangani isu tidur bayi. Bunyi yang konsisten dan menenangkan ini membantu bayi berasa lebih selamat serta mengurangkan gangguan daripada bunyi persekitaran,” jelas beliau.

Apa Itu White Noise Bayi?

White noise merujuk kepada bunyi yang konsisten, monoton dan tidak mempunyai melodi atau lirik. Bunyi seperti ini mampu mewujudkan suasana yang menenangkan serta membantu otak memberi tumpuan kepada satu frekuensi bunyi sahaja.

Antara contoh white noise yang sering digunakan ialah:

  • Bunyi hujan renyai
  • Deruan ombak di pantai
  • Bunyi air terjun
  • Bunyi kipas atau penghawa dingin
  • Bunyi vakum pada tahap yang sesuai
  • Bunyi alam semula jadi yang berterusan

Bunyi-bunyi ini membantu menenggelamkan bunyi lain di sekeliling yang boleh mengganggu tidur bayi seperti bunyi pintu dibuka, perbualan ahli keluarga atau kenderaan yang lalu-lalang.

Kenapa White Noise Berkesan Untuk Bayi?

Ketika masih berada dalam kandungan, bayi sentiasa dikelilingi pelbagai bunyi daripada tubuh ibu seperti degupan jantung, aliran darah dan pergerakan sistem pencernaan. Oleh sebab itu, suasana yang terlalu senyap selepas dilahirkan kadangkala membuatkan mereka berasa asing dan tidak selesa.

“Bayi yang masih kecil mempunyai kemahiran menenangkan diri yang sangat terhad. Sebab itu penggunaan white noise selalunya lebih berkesan apabila digabungkan dengan teknik lain seperti bedung, dukungan dan hayunan lembut,” katanya.

Gabungan beberapa teknik menenangkan ini dapat memberikan rasa selamat yang menyerupai suasana ketika berada di dalam rahim.

Selain membantu mengurangkan gangguan bunyi luar, white noise bayi juga dapat mewujudkan rutin tidur yang lebih konsisten. Apabila bunyi yang sama digunakan setiap kali waktu tidur, bayi akan mula mengaitkan bunyi tersebut dengan masa untuk berehat.

Semakin Besar, Semakin Mudah Tidur

Apabila usia bayi meningkat, keupayaan mereka untuk menenangkan diri juga bertambah baik. Pada masa yang sama, corak tidur mereka turut berubah.

Menurut Puan Uswatun Hasanah, bayi kecil mempunyai tempoh tidur ringan atau REM (Rapid Eye Movement) yang lebih tinggi berbanding kanak-kanak dan orang dewasa. Keadaan ini menyebabkan mereka lebih mudah terjaga akibat bunyi atau gangguan kecil.

Menjelang usia enam bulan, tempoh tidur REM mula berkurangan dan digantikan dengan tidur yang lebih nyenyak. Sebab itulah ramai ibu bapa mendapati bayi yang semakin membesar lebih mudah tidur tanpa bantuan yang banyak.

Walau bagaimanapun, setiap bayi adalah berbeza. Ada bayi yang cepat menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu, manakala ada juga yang memerlukan lebih banyak sokongan dan rutin yang konsisten sebelum dapat tidur dengan baik.

Cara Menggunakan White Noise Bayi Dengan Betul

Bagi ibu bapa yang ingin mencuba kaedah ini, white noise bayi boleh dipasang ketika bayi mula menunjukkan tanda mengantuk atau ketika proses menenangkan mereka sebelum tidur.

Pastikan bunyi dimainkan pada tahap yang sederhana dan selesa untuk pendengaran bayi. Elakkan meletakkan sumber bunyi terlalu dekat dengan kepala bayi dan pastikan tahap bunyi tidak terlalu kuat.

Pada masa yang sama, ibu bapa boleh menggabungkannya dengan beberapa teknik lain seperti:

  • Mendukung bayi dengan posisi yang selesa
  • Menepuk perlahan belakang atau punggung bayi
  • Membuat bunyi “shhhh” secara berterusan
  • Menghayun badan dengan lembut
  • Membedung bayi mengikut kaedah yang betul

Gabungan kaedah ini membantu bayi berasa lebih tenang dan selamat, sekali gus memudahkan mereka untuk lena dengan lebih cepat.

Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian

Walaupun white noise bayi

mempunyai banyak manfaat, penggunaannya perlu dilakukan secara sederhana dan mengikut kesesuaian umur bayi. Ibu bapa juga digalakkan memantau reaksi bayi bagi memastikan mereka selesa dengan bunyi yang dimainkan.

Jika bayi masih mengalami masalah tidur yang berpanjangan, kerap menangis tanpa sebab yang jelas atau menunjukkan tanda ketidakselesaan lain, dapatkan nasihat daripada pakar kesihatan atau pakar tidur bayi untuk penilaian lanjut.

Jadi, jika si kecil di rumah sering menangis dan sukar tidur, tidak salah untuk mencuba white noise bayi sebagai salah satu alternatif. Dengan penggunaan yang betul dan konsisten, ia mungkin menjadi rahsia kecil yang membantu bayi tidur lebih lena serta memberi peluang kepada mak ayah untuk berehat dengan lebih baik.

Baca: Tiga Cara Buat Anak Jadi Yakin, Mak Ayah Jangan Lupa Buat Langkah Ni 

Mykad Baharu Lebih Selamat, 3 Ic Lama Ni Wajib Tukar Dahulu

Sumber: Baby Language

Published by
SRM