Seorang wanita di Bogor, Indonesia mendakwa bayi yang ditatang bagai minyak yang penuh selama setahun bukan anak kandungnya.
Siti Mauliah mengesyaki bayinya tertukar akibat kecuaian petugas kesihatan selepas bersalin di Hospital Sentosa di Kecamatan Kemang.
Menurut wanita berusia 37 tahun itu, selepas bersalin dia sempat menyusukan bayinya dan menyedari bayi tersebut tidak mempunyai sebarang tanda lahir di badan.
Tambah Siti Mauliah, dia percaya bayi tertukar dengan bayi wanita yang beralamat di Tajur Halang.
Ads
“Saya sudah menemui keluarga wanita itu tetapi pihak mereka enggan melakukan ujian DNA.
“Saya tidak meminta apa-apa, cuma mahukan kepastian,” katanya yang terpaksa melaporkan perkara itu kepada pihak polis.
Ads
Siti Mauliah berkata, keadaan fizikal bayi tersebut menguatkan lagi firasatnya bahawa bayi tersebut bukan anak kandungnya.
“Warna kulit dan fizikalnya jauh berbeza dengan anak-anak saya yang lain,” katanya.
Ads
Sementara itu, pihak hospital berkata, keluarga wanita yang didakwa menjaga bayi Siti Mauliah enggan melakukan ujian DNA kerana masih belum bersedia daripada segi mental.
“Belum bersedia, itulah alasan diberikan pihak sebelah sana,” kata jurucakap Hospital Sentosa, Gregg Djako.
Difahamkan, kes tersebut disiasat sehingga ke akar umbi dan tindakan keras akan dikenakan kepada pihak yang cuai jika dakwaan Siti Mauliah ternyata benar. – Agensi
Kegusaran rakyat selepas Perintah Kawalan Pergerakan dikeluarkan oleh kerjaan untuk tangani wabak Covid-19 kerana rata-rata daripadanya bekerja gaji harian, hilang pekerjan, gaji dipotong akhirnya menarik nafas lega selepas Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) sebentar tadi.
Antara bantuan yang disalurkan adalah bayaran tunai secara one-off untuk setiap isi rumah supaya dapat meneruskan kelangsungan hidup. Menerusi ucapan beliau, ternyata seluruh rakyat Malaysia mendapat bantuan ini. “Tiada satu pun yang tertinggal” begitulah kata-kata yang menyentuh hati kita semua.
PAKEJ RANGSANGAN EKONOMI PRIHATIN RAKYAT (PRIHATIN)
“Seperti yang saya janjikan, hari ini saya akan mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau PRIHATIN berjumlah RM250 bilion yang akan memberi manfaat kepada anda semua.
Daripada jumlah ini, hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara. Manakala sebanyak RM20 bilion telah diumumkan dalam pakej rangsangan sebelum ini.
Pakej PRIHATIN ini akan menyediakan bantuan segera untuk meringankan beban yang ditanggung oleh anda semua. Sama ada anda seorang nelayan di Kukup, Johor atau pekebun kecil di Jeli, Kelantan. Anda pengusaha chalet di Cherating atau penarik beca di Melaka, peniaga pasar malam di Kuala Lumpur atau pasar tamu di Kundasang. Anda semua akan menikmati manfaat daripada pakej rangsangan ekonomi yang peduli rakyat ini. Seperti yang saya sebutkan, tiada golongan yang akan tercicir. No one will be left behind.
Keutamaan kerajaan pada waktu ini ialah untuk membendung penularan wabak COVID-19. Untuk itu, saya telah mengumumkan peruntukan berjumlah RM500 juta kepada Kementerian Kesihatan Malaysia. Bagi meningkatkan lagi keupayaan Kementerian, Kerajaan akan menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion bagi pembelian peralatan dan perkhidmatan untuk memerangi COVID-19, termasuk mendapatkan khidmat kepakaran perubatan daripada perkhidmatan kesihatan swasta.
Selain itu, bagi menyokong usaha KKM untuk menjalankan lebih banyak ujian COVID-19, pihak industri insurans dan takaful akan mewujudkan dana khas berjumlah RM8 juta untuk menanggung kos ujian penyaringan yang bernilai sehingga RM300 bagi setiap pemegang polisi dan sijil takaful perubatan yang diarahkan oleh KKM untuk menjalani ujian di hospital swasta atau makmal swasta. Di samping itu, syarikat insurans dan takaful keluarga akan menawarkan penangguhan pembayaran premium atau sumbangan untuk tiga bulan bagi pencarum yang sumber pendapatan mereka terjejas akibat wabak ini.
Dalam pakej rangsangan ekonomi yang pertama, Kerajaan telah bersetuju memberikan elaun khas kepada doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terlibat secara langsung dalam pengurusan dan pembendungan wabak ini. Saya sedar dalam situasi getir pada waktu ini, kakitangan kesihatan kita sedang bekerja bertungkus lumus dalam keletihan dan keadaan yang agak tertekan. Namun mereka terus cekal berjuang mengharungi cabaran yang hebat ini.
Sebagai menghargai pengorbanan mereka, Kerajaan akan meningkatkan elaun khas yang diterima daripada RM400 kepada RM600 sebulan mulai 1 April 2020 sehingga wabak ini berakhir. Pada masa yang sama, Kerajaan juga bersetuju memanjangkan elaun khas sebanyak RM200 sebulan kepada
anggota tentera, polis, kastam, imigresen, anggota Angkatan Pertahanan Awam serta anggota RELA yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan. Elaun ini juga akan dibayar mulai 1 April 2020 sehingga wabak COVID-19 berakhir. Dianggarkan seramai 169,000 kakitangan tambahan akan mendapat manfaat ini.”
Prihatin dengan keadaan rakyat yang terjejas PM meringankan beban rakyat dengan bantuan ini
“Untuk meringankan beban anda, kerajaan akan menyediakan Bantuan Prihatin Nasional, iaitu pemberian tunai secara one-off dengan peruntukan hampir RM10 bilion, dan buat pertama kalinya akan disalurkan juga kepada kumpulan M40. Mereka ini termasuk pekerja swasta, peneroka FELDA, petani, nelayan, peniaga kecil dan semua yang tergolong dalam kumpulan M40 dan ke bawah.”
Jumlah bayaran yang akan dibuat ialah:
● Pertama: RM1,600 kepada hampir 4 juta isi rumah yang berpendapatan bulanan RM4,000 dan ke bawah. Bayaran RM1,000 akan dibayar pada bulan April 2020 dan RM600 pada bulan Mei 2020.
● Kedua: RM1,000 kepada hampir 1.1 juta isi rumah yang berpendapatan lebih RM4,000 hingga RM8,000 yang akan dibayar pada bulan April 2020 sebanyak RM500 dan baki RM500 pada bulan Mei.
● Ketiga: RM800 kepada 3 juta individu bujang berusia 21 tahun ke atas dan berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah. Bayaran RM500 akan dibayar pada bulan April 2020 dan baki RM300 pada bulan Mei 2020.
● Keempat: RM500 kepada 400,000 individu bujang berusia 21 tahun ke atas yang berpendapatan bulanan lebih RM2,000 hingga RM4,000. Bayaran sebanyak RM250 akan dibuat pada bulan April 2020 dan baki RM250 pada bulan Mei.
Di samping itu, baki pemberian tunai di bawah program Bantuan Sara Hidup (BSH) yang sedang dilaksanakan akan dibayar pada bulan Julai 2020 melibatkan peruntukan sebanyak RM3.2 bilion.
Golongan Pelajar Juga Dapat Bantuan
“Saya juga tidak lupa kepada para pelajar institusi pengajian tinggi. Anda juga akan menerima bantuan secara one-off sebanyak RM200 seorang yang akan dibayar pada bulan Mei 2020. Bantuan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM270 juta kepada pelajar di pelbagai peringkat pengajian tinggi termasuk matrikulasi, Kolej Komuniti, Politeknik, IPTA dan IPTS.”
25 Juta Bantuan Untuk Rumah Perlindungan
“Begitu juga dengan golongan mudah terjejas seperti warga emas dan kanak-kanak di rumah perlindungan, orang kelainan upaya atau OKU, golongan gelandangan dan orang asal. Kerajaan akan bekerjasama dengan NGO dan usahawan sosial yang berkaitan untuk menyalurkan bantuan makanan, barangan penjagaan kesihatan dan tempat perlindungan untuk mereka dengan peruntukan sebanyak RM25 juta.”
Sumber Video: Astro Awani
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Menjadi kebiasaan bila si kecil dah habis menyusu dia akan tinggalkan sahaja botolnya, si ibulah yang terpaksa mengutip botol susu dan letak pada tempat yang selamat. Namun mungkin ramai yang terlupa untuk menutup botol susu anak dengan penutup botol.
Mungkin kita tak terfikir bahawa botol susu yang tidak ditutup dengan baik boleh menyebabkan si kecil jatuh sakit? Selepas menonton video yang dikongsi oleh Puan Aiest Zura menerusi grup Kelab Ibu Mengandung & Berpantang [Malaysia] pasti ramai yang mula meremang kegelian melihat lalat sedang mengeluarkan telurnya dalam botol susu anak.
ibu2 mak2 uwan2 hati2 ye pastikan botol susu anak anda sentiasa bertutup
Apa akan jadi jika anda termakan telur lalat?
Anda atau anak mungkin akan mengalami sakit perut, simptom keracunan makanan dan muntah-muntah, bergantung kepada sebanyak mana telur lalat yang anda termakan. Ia jua boleh menjadi asbab kepada pelbagai penyakit bawaan lalat lain seperti demam kepialu dan sebagainya.
Mari melindungi diri
1. Tutup makanan dengan tudung saji yang sesuai, ada sesetengah tudung saji ada lubang yang boleh ditembusi oleh lalat.
2. Buang makanan jika ada telur lalat pada makanan berkenaan, dikhuatiri lalat sebenarnya telah singgah di makanan berkenaan dan meninggalkan telurnya.
3. Pastikan sisa makanan dan sampah dibuang, jangan jadi penternak lalat
4. Gunakan perangkap lalat untuk mengurangkan populasi lalat
5. Bersihkan najis haiwan peliharaan jika ada (ini akan menggalakkan ketibaan lalat dari luar)
6. Pilih restoran yang bersih dan tidak mempunyai populasi lalat di bahagian dapur dan penyajian makanan
7. Bersihkan tempat yang terkena telur lalat
8. Sentiasa tutup botol susu anak anda
Jadi sentiasa awas dengan makanan anda terutamanya yang dibeli di luar, bukan apa, ingat ayam goreng, tapi ada sumber protein lain tambahan pula.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dilahirkan dengan autisme ringan membuatkan Muhammad Ammar Qayyim yang berusia 11 tahun masih berperangai keanak-anakan seperti kanak-kanak tadika.
Tidak seperti rakan sebayanya, kanak-kanak yang mesra dipanggil Ammar Qayyim itu masih memakai lampin pakai buang untuk membuang air besar dan menyusu botol ketika tidur malam.
Malah, apabila berborak dengannya dapat dikesan pemikiran dan tutur katanya juga tidak seperti rakan sebaya sebaliknya berperwatakan kanak-kanak berusia lima atau enam tahun.
Namun, apa yang membanggakan anak bongsu daripada dua beradik ini memiliki kelebihan istimewa apabila mampu menghafaz 30 juzuk al-Quran seawal usia lapan tahun.
Masih Berbotol Susu & Tak Mampu Uruskan Diri
Menurut ibunya, Saadiah Saad, 50, meskipun berusia 11 tahun anaknya masih tidak mampu menguruskan diri sendiri termasuk masih berbotol susu.
“Kalau perasan tingkah lakunya tidak sama macam umurnya. Sepatutnya umur 11 tahun rancak bercerita dan bercakap, tetapi dia macam kanak-kanak sekolah tadika.
“Dia masih tidak boleh uruskan diri, segalanya masih perlukan bantuan, contohnya kita masih kena arahkan ambil buku, ambil beg itu ini.
“Sampai sekarang pun, balik sekolah dan waktu malam hendak tidur dia mahu menyusu botol,”
Pakar Sahkan Anak Mereka Lewat Empat Tahun Dari Usia Sebenar
Katanya, dia dan suaminya, Nazeri Arshad, 47, menghantar anak mereka bertemu pakar sebelum disahkan perkembangan kanak-kanak itu lewat empat tahun dari usia sebenar.
“Dari segi fizikalnya dia nampak normal, tetapi pada umurnya 11 tahun dia berperangai macam kanak-kanak empat tahun ke belakang termasuk komunikasinya kurang, kosa kata tidak banyak selain tidak boleh proses atau memahami apa orang tanya.
“Pada peringkat permulaan doktor tidak boleh diagnosis masalahnya melainkan menganggap masalah dialaminya sebagai perkembangan lewat, tetapi makin meningkat umurnya barulah doktor sahkan dia ada autisme ringan.
“Secara peribadi, pada mulanya sukar untuk saya terima, ibu bapa mana yang tidak terasa apatah lagi ini kali pertama terjadi dalam keluarga kami, tetapi hidup perlu diteruskan.
SAADIAH dan Nazeri tidak pernah berputus asa dalam membesarkan Ammar.
“Kami positif mungkin Allah sudah pilih ada anak syurga macam ini. Saya selalu berdoa bila al-Quran sentiasa berdamping dengannya, semoga Allah sentiasa menjaga dirinya,” katanya.
Kelebihanya Mula Dikesan
Sementara itu, Nazeri berkata, kelebihan Ammar Qayyim menghafaz mula dikesan selepas pakar sebuah pusat rehabilitasi mengesan kecenderungan dan mengesyorkan belajar di Akademi Darul Huffaz (ADH) International Tahfiz & Science Academy Malaysia.
“Seminggu dia belajar di ADH, ramai ustaz kagum dengannya kerana boleh menghafaz al-Quran pada usia baru mencecah tujuh tahun ketika itu.
“Mereka menguji hafazannya, Ammar Qayyim mampu sambung ayat seterusnya dan boleh meneka surah apa dan ayat ke berapa dengan tepat,” katanya.
Ibu Bapa Yang Ada Anak Istimewa, Jangan Cepat Putus Asa
Katanya, ibu bapa yang memiliki anak istimewa jangan cepat putus asa sebaliknya kenali dan sokonglah kecenderungan anak hingga berjaya.
“Memang ada perancangan untuknya melanjutkan pelajaran dalam bidang tafsir dan ilmu hadis di Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) yang ada menawarkan bidang pengajian untuk pelajar tahfiz tahap syahadah.
“Ada pelbagai cadangan daripada ustaznya termasuk hantar ke Bangladesh, Pakistan, Indonesia dan Arab Saudi, tetapi sebagai ibu bapa kami belum sampai sejauh itu kerana tahu kemampuan anak kami lebih-lebih lagi belum pandai berdikari,” katanya.
‘Ammar Qayyim pelajar yang hebat’
Kelebihanya Anugerah Luar Biasa Dari Allah
Kelebihan dimiliki Muhammad Ammar Qayyim, 11, anugerah luar biasa kurniaan Allah, namun faktor kejayaan kanak-kanak istimewa itu mampu menghafaz 30 juzuk didorong oleh kesabaran dan komitmen tinggi keluarganya.
Pengasas Akademi Darul Huffaz (ADH) International Tahfiz & Science Academy Malaysia Sheikh Lokman Shazly Azlanii Zaharin berkata, Ammar Qayyim muncul huffaz termuda pernah dilahirkan ADH sejak penubuhannya pada 2007 kerana melepasi ujian peringkat tertinggi tahfiz, syahadah tahun lalu.
Beliau berkata, pihaknya mengesan kelebihan Ammar Qayyim ketika kanak-kanak itu berusia lapan tahun sebelum meminta guru sekolah terbabit membimbingnya dengan betul.
“Apabila mengetahui kelebihannya itu, saya minta gurunya membimbingnya, malah semua guru tahfiz diberikan tugasan menyemak keseluruhan 30 juzuk hafazannya berjumlah 6,236 ayat daripada 604 muka surat dengan teliti.
“Alhamdulillah, walaupun perangainya masih kebudak-budakan, anak ini berjaya buktikan kemampuannya membaca dari juzuk satu hingga 30 selama enam hari dengan kesalahan 14 saja pada ujian program syahadah yang kita lakukan tahun lalu.
“Untuk makluman, kita sasarkan seseorang boleh ke program syahadah paling kurang 15 kesalahan saja, maknanya Ammar Qayyim hebat kerana sudah melepasi tahap itu,” katanya ketika ditemui Harian Metro di ADH Taman Putra Kajang di sini.
Menurutnya, faktor terbesar kejayaan Ammar Qayyim kerana dorongan dan sokongan keluarganya selain berkat istiqamah tenaga pengajar ADH.
Faktor Kejayaan Ammar Adalah Usaha Ibu Bapanya
“Antara faktor penting dalam kejayaan Ammar Qayyim ini adalah usaha, saya tengok usaha ini dilakukan ibu bapanya sangat hebat termasuk komitmen mereka.
“Saya tahu, mungkin kanak-kanak autisme seperti Ammar Qayyim ada kerenahnya termasuk sukar ke sekolah, tetapi ibu bapanya mempunyai kesabaran tinggi menghantar anak mereka menuntut ilmu.
“Ternyata Allah tidak sia-siakan pengorbanan mereka itu dengan terhasilnya sesuatu sangat hebat ini yang bagi saya juga satu kebanggaan kami di ADH,” katanya.
Sementara itu, guru penyelaras akademik sekolah rendah ADH, Nor Atiqah Abd Aziz berkata, mereka tidak mengukur pencapaian akademik Ammar Qayyim dengan pelajar lain.
“Kita tidak boleh bandingkan pencapaian akademik Ammar Qayyim dengan pelajar sebayanya kerana dia istimewa, namun tahun demi tahun memang ada kemajuan.
“Dia boleh membaca, menulis bahasa Melayu, Inggeris dan Arab dan Jawi cuma dia tidak boleh proses apa yang dibaca kena penjelasan lanjut dari guru.
“Dulu, dia tidak boleh membezakan kelas akademik dan tahfiz, tetapi kini dia sudah boleh bezakan keduanya.
“Paling penting, kemahiran sosial dan komunikasi bersama rakan dan guru semakin bertambah baik malah dia kini tidak lagi makan bersuap seperti saat pertama memasuki sekolah ini dulu,” katanya.
Rata-rata netizen berbangga dan kagum dengan ibu bapa dan anak ini.