
Pelakon dan pengarah terkenal, Yana Samsudin membuktikan semangat luar biasa seorang ibu apabila tetap menghadiri majlis konvokesyen di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) meskipun masih dalam tempoh berpantang hari ke-30 selepas melahirkan anak secara pembedahan caesarean.
Menerusi video yang dikongsikan di akaun TikTok rasmi UMPSA, Yana atau nama sebenarnya Norzalina Samsudin berkata, dia tidak mahu melepaskan peluang berharga untuk hadir ke majlis bersejarah itu walaupun baru sebulan menjalani pembedahan bersalin.
“Saya masuk pantang 30 hari ni, tapi semangat untuk datang konvo memang kuat. Ikutkan tarikh due saya sebenarnya sama dengan hari konvokesyen. Tapi sebab saya lahirkan awal, alhamdulillah dapat hadir juga hari ini. Ini semua rezeki Allah,” ujarnya penuh syukur.
@umpsamalaysia Tahniah buat pelakon dan usahawan terkenal, Yana Samsudin, yang turut sama meraikan detik bersejarah di Majlis Konvokesyen Ke-20 UMPSA! Beliau kini secara rasminya bergelar graduan UMPSA. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa bersama kami dalam sesi temu bual eksklusif. #umpsa #umpsamalaysia #teknologiuntukmasyarakat #konvokesyenumpsa2025 #konvoumpsa20 ♬ original sound – UMPSA Malaysia
Yana berkongsi bahawa perjalanan menamatkan pengajian Sarjana dalam Pengurusan Korporat (Master in Corporate Management) bukan sesuatu yang mudah. Selama lebih dua tahun, dia terpaksa membahagikan masa antara kerjaya seni, tanggungjawab sebagai isteri, serta membesarkan dua cahaya mata kecil.
“Saya habiskan Master ni dengan dua kali bersalin. Memang susah, tak cukup tidur, tapi bila fikir anak-anak, saya nak mereka nampak usaha Mommy dia,” katanya yang tidak dapat menahan sebak ketika berkongsi pengalaman itu.
Menurut Yana, kejayaan ini bukan miliknya seorang tetapi hasil dorongan daripada suami tersayang, Fadzil Zahari, dan ibunya yang sentiasa menjadi sumber kekuatan dalam perjalanan akademik serta kerjaya seni.
“Saya nak ucap terima kasih kepada suami dan mak saya yang sentiasa mendorong untuk habiskan Master ni. Kalau rasa dah terlewat, SPM tak okay pun, tak apa, buat balik. Belajar dulu, kerja dulu. Banyak peluang yang boleh kita capai kalau ada semangat,” tambahnya memberi inspirasi kepada ramai wanita di luar sana.
Menariknya, sebelum ini Yana pernah berkongsi dilema apabila tarikh konvokesyen bertembung dengan tarikh jangka bersalin. Namun selepas berbincang dengan doktor, dia memilih untuk menjalani pembedahan caesarean lebih awal supaya dapat menghadiri majlis konvokesyen tersebut.
Keputusan itu bukanlah sesuatu yang mudah, namun bagi Yana Samsudin, pengorbanan itu amat berbaloi apabila dapat meraikan hasil titik peluhnya dengan penuh rasa bangga di hadapan keluarga dan rakan seperjuangan.
Kisah Yana ini menjadi bukti bahawa seorang ibu mampu mencapai impian besar walau dalam keadaan sukar. Dalam pantang, masih lemah tubuh, namun semangatnya kental demi menghargai perjalanan ilmu yang penuh cabaran.
🌸 Pa&Ma mengucapkan tahniah buat Yana Samsudin
atas kejayaan yang membanggakan ini. Semoga kisah beliau menjadi inspirasi buat semua ibu di luar sana untuk terus kuat, tidak putus asa, dan percaya bahawa tiada apa yang mustahil bila dilakukan dengan kasih dan semangat seorang ibu.BACA : “Memang Impian Saya Anak Ramai & Allah Makbulkan.” Yana Samsudin Kini Hamil 5 Bulan