Tahniah diucapkan kepada penyanyi, Ainan Tasneem yang bakal melahirkan anak kembar tidak lama lagi. Berita gembira itu dikongsikan oleh Ainan dalam satu posting di Instagram miliknya.
Dalam posting tersebut, Ainan yang berkongsi gambar kenangan bersama suami dan anaknya sempena sambutan Hari Raya Aidil Adha menyatakan bahawa kandungan kali ini merupakan kehamilan kembar.
Dia menzahirkan rasa syukur dengan kehamilan tersebut dan menyatakan kembar yang dikandung adalah kembar tak seiras.
Tambah Ainan juga dia turut mengalami alahan yang teruk pada trimester pertama, namun bersyukur alahan tersebut beransur baik setelah memasuka fasa trimester kedua. Malah kini selera makan juga semakin bertambah.
Dia turut memohon doa dari semua untuk supaya kandungannya sihat dan selamat.
Ads
“Selamat Hari Raya AidilAdha everyone
“Btw ramai yg tanya haritu tentang pregnancy Ainan kali ni. InshaaAllah It’s gonna be a fraternal twin! 👶🏻👶🏻 Subhanallah Alhamdulillah Allahuakbar.
“Twin ni kembar tak seiras. DCDA type. Dorang berbeza kantung & berbeza uri. So gender pon boleh jadi antara boy and girl, both boys or both girls.
“Syukur sangat. Tak sangka juga ada rezeki boleh dapat twin. Mula2 dapat tau news ni mcm terkejut sangat tapi excited! Salsabiela pon excited bila dpt tahu dia bakal dapat 2 adik 😂
Ads
“Haritu 1st trimester loya teruk sangat, tapi Alhamdulillah dah masuk 2nd ni dah beransur okay. Now dah 4 bulan lebih. Selera pon dah makin banyak sampai berat naik mendadak 😭
“Ainan nak mohon doa daripada semua supaya kandungan Ainan sentiasa sihat & selamat. Ada ke followers Ainan kat sini yg pregnant twin? Jom share pengalaman spanjang pregnancy dgn Ainan,” tulisnya
Bintang Youtube ini, telah melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya Mohammad Ariffudin Mohammad Swaimi pada tahun 2017. Pasangan ini dikurniakan seorang anak perempuan yang diberi nama Ainan Salsabiela pada 2 Mac 2018.
Ads
Didoakan semoga Ainan diberi kesihatan yang baik sepanjang kehamilan dan dipermudahkan segala urusan. Tahniah diucapkan sekali lagi!
Sumber: Instagram Ainan Tasneem
Jangan lupa saksikan Pa&Ma Journey Bersama SchAwaLara, setiap Rabu jam 9 malam di Astro Ria saluran 104/124 dan ulangannya setiap Ahad jam 9.30 pagi.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bagi ibu hamil, makluman tentang paras Hb rendah adalah antara yang sering menjadi igauan. Ramai yang mengeluh dan menyatakakan ketidakpuashatian kepada jururawat dan doktor yang memantau kehamilan masing-masing.
Adakah anda faham apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan Hb rendah dan mengapa anda disaran untuk sentiasa menjaga paras Hb? Untuk makluman anda, kira-kira satu daripada lima kehamilan adalah berisiko mengalami anemia.
Daripada sudut perubatan, anemia yang kerap kali dialami oleh golongan ibu hamil berpunca daripada kekurangan hemoglobin (Hb) dalam sel darah merah. Ia boleh dikesan melalui ujian darah iaitu apabila paras Hb dalam sel darah merah kurang daripada 11gm/dl.
Semasa hamil, tubuh akan menghasilkan lebih banyak sel darah merah untuk menyokong perkembangan bayi. Kekurangan Hb boleh menyebabkan tubuh kekurangan oksigen, lalu mendedahkan anda dan bayi kepada beberapa risiko.
Walau bagaimanapun, dengan pantauan doktor dan langkah keselamatan yang diambil sejak awal, tidak mustahil anda boleh melahirkan bayi secara normal. Jadi, pastikan anda menjaga kesihatan fizikal serta mental dengan baik seperti yang dinasihatkan oleh doktor.
Bagi mengurangkan risiko, ada beberapa cara yang boleh anda lakukan untuk memperbaiki bacaan Hb.
Antara sumber makanan kaya zat besi yang baik terdiri daripada beberapa kumpulan makanan yang bersumberkan haiwan seperti daging, hati ayam, limpa, kerang, ikan, sotong dan ikan bilis. Manakala daripada sumber sayuran pula boleh diperoleh daripada
pegaga, pucuk paku, kangkung, bayam dan kailan. Jadi, anda disaran untuk memastikan diri mengambil sekurang-kurangnya satu jenis makanan daripada sumber haiwan dan sayuran setiap hari.
Sekiranya anda didiagnosis dengan masalah Hb rendah ketika hamil, doktor akan membekalkan ubat khas untuk mengatasi masalah ini. Di Klinik Kesihatan, selalunya pil hematinik akan diberikan, di mana ia terdiri daripada empat jenis pil iaitu pil zat besi, pil asid folik, pil vitamin C dan pil vitamin B kompleks. Selain daripada empat jenis pil ini, anda juga mungkin dibekalkan dengan ubat lain seperti Zincofer atau Iberet. Pastikan anda mengambil pil ini setiap hari mengikut dos yang disarankan oleh doktor.
Dalam usaha memastikan penyerapan zat besi berlaku dengan lebih efisyen, elakkan diri daripada minum atau makan bahan yang mengandungi kafein seperti kopi, teh, minuman berkola atau minuman bercoklat, terutamanya dalam tempoh dua jam selepas pengambilan pil zat besi.
Selain daripada makanan atau minuman yang mengandungi kafein, susu juga mampu menjejaskan penyerapan zat besi dalam tubuh. Oleh yang demikian, anda perlu menjarakkan pengambilannya sekurang-kurangnya dua jam selepas memakan ubat.
Makanan yang membantu meningkatkan penyerapan zat besi terdiri daripada makanan yang kaya dengan vitamin C. Oleh itu, anda digalakkan untuk makan pil hematinik bersama air kosong atau jus buah-buahan untuk proses penyerapan yang optimum. Selain daripada itu, anda juga digalakkan untuk mengambil lebih banyak buah dan sayur yang kaya dengan vitamin C dalam menu harian. Antaranya jambu batu, limau, betik, tomato, dan sebagainya.
Pastikan juga anda sentiasa mematuhi rutin pemeriksaan antenatal supaya tahap kesihatan anda dan kandungan dapat dipantau dengan teliti. Jika didiagnosis mengalami anemia atau Hb rendah semasa hamil, biasanya anda perlu datang untuk pemeriksaan yang lebih kerap, iaitu setiap dua minggu sekali.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bagi penghidap diabetes atau penjaga pesakit diabetes, anda mesti mengetahui cara suntik insulin di bahagian tubuh yang tepat. Teknik suntikan insulin yang betul akan memastikan keberkesanannya dalam mengawal paras gula darah.
Kaedah atau cara suntik insulin yang tepat
Menurut perkongsian Hello Doktor, sebenarnya, terdapat beberapa kaedah atau teknik suntikan insulin yang boleh dilakukan. Ini termasuklah penggunaan picagari, pen insulin, pam insulin dan penyuntik jet.
Doktor akan melakukan pemilihan kaedah suntikan yang bersesuaian dengan pesakit.
Namun, penggunaan picagari bagi menyuntik insulin adalah kaedah yang paling biasa dilakukan oleh kebanyakan pesakit diabetes kerana kosnya yang jauh lebih murah.
Picagari terdiri daripada pelbagai jenis berdasarkan jumlah insulin yang akan disuntik selain saiz jarum yang akan digunakan.
Picagari juga adalah sejenis item yang bersifat pakai buang, yang bermaksud ia hanya boleh digunakan untuk satu kali penggunaan sahaja.
Di manakah lokasi yang paling sesuai untuk suntik insulin?
Suntikan insulin dilakukan di bawah lapisan kulit tubuh, atau dengan lebih tepat lagi ke dalam lapisan lemak di bawah kulit anda.
Jarum picagari yang pendek akan digunakan untuk menyuntik insulin ke dalam lapisan berlemak yang terletak di antara kulit dan juga otot.
Sekiranya insulin ini disuntik jauh ke bahagian otot anda, ia tidaklah membahayakan namun tubuh badan anda akan menyerapnya dengan lebih pantas.
Malah suntikan sehingga ke bahagian otot sebenarnya lebih menyakitkan berbanding suntikan sehingga ke bahagian lapisan lemak sahaja.
Jika tubuh badan anda menyerap insulin dalam kadar yang pantas, anda mungkin akan mengalami hipoglisemia iaitu paras gula darah yang terlalu rendah.
Mereka yang dikehendaki mengambil suntikan insulin perlulah menyuntik pada bahagian tubuh secara pusingan dan bukan di kawasan yang sama setiap kali suntikan dilakukan.
Ini kerana, jika anda melakukan suntikan pada lokasi yang sama setiap masa, ia akan menyebabkan satu keadaan yang disebut lipodistrofi.
Lipodistrofi adalah satu keadaan di mana terdapat pengumpulan lemak yang tidak normal di bawah lapisan kulit anda. Ia akan menyebabkan kemunculan ketulan yang akan mengganggu proses penyerapan insulin dalam tubuh.
Oleh sebab itu, anda perlulah menyuntik pada kawasan yang berbeza bergilir-gilir setiap kali suntikan.
Berikut adalah bahagian tubuh yang sesuai untuk disuntik dengan insulin:
#1. Cara suntik insulin di bahagian perut
Bahagian tubuh pertama yang paling sesuai disuntik insulin adalah di bahagian perut anda. Ini kerana, insulin akan diserap dengan lebih cepat selain ia adalah lokasi yang paling mudah untuk anda lakukan suntikan tersebut.
Lokasi yang lebih tepat adalah di bahagian antara bawah tulang rusuk hingga ke kawasan kemaluan anda. Elakkan menyuntik di sekitar 2 inci daripada pusat anda.
Selain itu, elakkan juga melakukan suntikan di bahagian yang mempunyai calar, parut atau tahi lalat kerana semua perkara ini hanya akan mengganggu kelancaran proses penyerapan insulin.
#2. Cara suntik insulin di bahagian paha
Selain daripada bahagian abdomen atau perut, anda juga boleh menyuntik insulin di bahagian paha kaki anda. Anda boleh menyuntik di sekitar kawasan bahagian atas dan bahagian sebelah luar paha kaki.
Anda boleh mula menyuntik di kawasan sekitar bermula 4 inci daripada atas paha sehinggalah 4 inci sebelum kawasan lutut. Elakkan bahagian sebelah dalam paha kerana terdapat jaringan saluran darah yang lebih padat di kawasan tersebut.
Walaupun suntikan di bahagian paha ini merupakan antara kawasan yang paling mudah untuk dilakukan, ia mungkin akan memberikan sedikit rasa tidak selesa kepada anda sewaktu berjalan atau berlari selepas suntikan.
Apatah lagi jika anda kerap menyuntik insulin di kawasan paha ini.
#3. Cara suntik insulin di bahagian lengan
Anda juga boleh melakukan suntikan di bahagian lengan anda. Lokasinya adalah di bahagian sebelah belakang lengan, iaitu di antara bahu dan siku anda.
Jika anda melakukan suntikan secara bersendirian, kawasan ini mungkin boleh dikatakan antara bahagian yang agak sukar dicapai. Anda mungkin memerlukan bantuan individu lain untuk menyuntikkan insulin tersebut.
Namun, jika suntikan tersebut dilakukan pada bahagian tangan yang tidak dominan bagi seseorang tersebut, ia adalah lebih selesa dan kurang menyakitkan berbanding suntikan di bahagian lain.
Sebagai contoh, jika tangan kanan anda lebih dominan, maka adalah lebih baik jika suntikan tersebut dilakukan pada bahagian lengan sebelah kiri. Ia lebih selesa dan kurang menyakitkan.
#4. Cara suntik insulin di bahagian pinggul atau punggung
Bahagian terakhir yang paling sesuai untuk anda suntik insulin adalah di bahagian pinggul atau punggung anda.
Lokasi yang paling tepat adalah di bahagian bermula daripada bawah pinggang sehinggalah ke bahagian atas punggung di antara dua pinggul.
Cuba elakkan daripada melakukan suntikan di bahagian bawah punggung. Bahagian ini juga merupakan kawasan tubuh yang agak sukar untuk dicapai bagi suntikan insulin disebabkan lokasinya yang berada di belakang tubuh.
Anda mungkin memerlukan bantuan rakan atau ahli keluarga anda untuk menyuntik insulin.
Kesimpulan
Dengan mengetahui teknik suntikan insulin yang betul dapat membantu serapan berlaku dengan lebih berkesan ke dalam tubuh.
Teknik suntikan insulin yang betul akan membuatkan ia bertindak dengan lebih berkesan atau tidak diserap dengan terlalu cepat oleh tubuh sehingga boleh menyebabkan hipoglisemia.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Mabuk ketika hamil menjadi satu masalah yang cukup besar atau berkemungkinan menjadi trauma bagi sesetengah wanita yang melaluinya. Tidak serik untuk melalui proses melahirkan anak tetapi serik dan terlalu takut melalui tempoh mabuk yang berpanjangan.
Tiga bulan dirasakan seperti melalui tempoh tiga tahun. Rata-rata ibu hamil yang mengalami masalah mabuk ini semakin takut untuk mencuba sesuatu makanan atau apa jua perkara yang dirasakan menjadi penyebab kepada masalah mabuk ini.
Tidak hanya alah dengan makanan, sesetengah wanita yang mengalami masalah mabuk ketika awal trimester kehamilan mengalami serangan atau symptom yang dirasakan kurang logik dan tidak mengetahui akan puncanya.
Menurut Doktor Norintan Zainal Shah daripada Hospital Colombia Asia, mabuk ketika hamil berlaku kerana adanya hormon kehamilan yang dipanggil sebagai human chorionic hormone atau HCG di dalam tubuh wanita tersebut. Hormon HCG ini dihasilkan oleh uri yang dikeluarkan oleh wanita hamil.
Hormon ini akan terus meningkat dari sehari ke sehari. Oleh sebab itulah, masalah mabuk, loya dan muntah turut menjadi semakin teruk setiap hari. Peningkatan kadar hormon inilah yang menyebabkan perkembangan mabuk menjadi semakin keterlaluan.
Rasa mabuk ini selalunya bermula ketika usia kehamilan 4 minggu dan menjadi semakin kritikal apabila kehamilan meningkat ke minggu yang ke 12 atau 13. Selepas minggu yang ke 13, tahap hormon HCG akan mula menurun dan rasa mabuk yang dialami juga turut berkurangan.
Pulihkan Keadaan Segera
Tidak ada ubat yang dapat memulihkan masalah mabuk ketika hamil dengan serta merta. Namun para ibu yang mengandung bolehlah cuba untuk melakukan beberapa perkara seperti yang disarankan.
*Mengambil makanan yang tidak memburukkan lagi keadaan misalnya seperti biskut kering, buah-buahan dan makanlah dalam jumlah yang sedikit tetapi kerap. Jika tidak mampu minum minuman yang panas atau suam, cubalah minum minuman yang sejuk.
*Pastikan ibu tidur dengan kadar dan tempoh yang mencukupi. Jika perlu, dapatkan cuti untuk berehat dan berusahalah untuk aturkan supaya anak- anak yang lain dijaga oleh ahli keluarga yang lain sementara ibu tidur dan berehat secukupnya.
*Mengamalkan minuman atau makanan yang mempunyai perisa “peppermint” atau “halia” mungkin dapat membantu mengubah rasa dan mengimbangkan rasa loya pada tekak.
*Mengambil pil vitamin seperti Vitamin B1 ( thiamin ) atau B6 ( pyridoxine) yang boleh mengurangkan rasa mabuk ini.
*Ubat-ubatan dari doktor juga boleh digunakan, misalnya metoclopramide. Namun wanita hamil yang mengalami masalah ini perlulah mendapatkan preskripsi daripada doktor terlebih dahulu.
Mereka juga perlu mengetahui kesan sampingan seperti mengantuk, resah, sakit perut, susah bernafas dan pergerakan anggota badan yang tidak normal selepas sesuatu ubat itu diambil. Ia bagi mengelakkan ibu hamil tidak berasa risau akan satu-satu ubat yang mereka ambil.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bayi menggigit ketika menyusu boleh membuatkan mama terkejut dan sakit. Ketahui punca serta 8 cara berkesan untuk mengatasi masalah bayi menggigit ketika menyusu dengan lebih tenang.