Detik paling membahagiakan dalam hidup pasangan ini bertukar menjadi episod duka apabila ibu meninggal dunia selepas bersalin, hanya 11 jam selepas bayi perempuan mereka disahkan meninggal dunia. Kisah ini benar-benar meruntun jiwa, menjadi peringatan bahawa setiap kelahiran adalah penuh dengan risiko, dan setiap nyawa adalah pinjaman Allah yang amat berharga.

Ibu Meninggal Selepas Bersalin, Bayi Tidak Dapat Diselamatkan

Nuraderrah Hasnul Hafidzan, 31, menghembuskan nafas terakhir hanya beberapa jam selepas bayi perempuannya yang lahir pramatang tidak dapat diselamatkan. Bayi yang dinanti penuh kasih sayang itu diberi nama Nyra, namun takdir Allah menentukan segalanya.

11 Jam Selepas Bayi ‘Pergi’, Ibu Juga Menghadap Ilahi – Detik Bahagia Bertukar Duka

Menurut suaminya, Akmal Mohtar, 31, kehilangan isteri dan anak dalam tempoh kurang sehari merupakan ujian paling berat sepanjang hidupnya.

“Saya luluh hati apabila diberitahu anak kami sudah tiada. Namun saya cuba tenangkan diri dan beri kekuatan kepada isteri. Tak sangka, tidak lama selepas itu, saya turut kehilangan dia,” katanya sebak.

Ads

Kenangan Manis Bersama Arwah

Akmal yang kini menetap di Semenyih bersama anak sulung mereka, Noah berusia empat tahun, masih terbayang wajah isterinya di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum kesihatan arwah merosot dengan cepat.

“Sebahagian jiwa saya turut pergi bersamanya. Terlalu sukar untuk saya gambarkan perasaan ketika itu,” luahnya.

Menurutnya lagi, arwah isterinya sangat teruja menanti kelahiran anak perempuan pertama mereka. Malah, hampir setiap hari mereka berbual mengenai nama Nyra dan kelengkapan bayi yang telah disediakan dengan penuh teliti.

Ads

“Dia sangat gembira sepanjang mengandung. Setiap kali bercakap tentang bayi, matanya bercahaya,” kenang Akmal penuh pilu.

11 Jam Selepas Bayi ‘Pergi’, Ibu Juga Menghadap Ilahi – Detik Bahagia Bertukar Duka

Terus Tabah Demi Anak

Walaupun tiada pesanan terakhir, Akmal berkata kelembutan dan kasih sayang arwah akan terus hidup dalam dirinya dan anak mereka.

Ads

“Setiap kali Noah mencari ibunya, hati saya hancur. Tapi saya yakin, Allah menjanjikan syurga untuk wanita yang pergi ketika melahirkan anak. Saya akan terus kuat demi Noah. Dengan sokongan keluarga dan rakan-rakan, saya cuba jadi ayah dan ibu buatnya,” katanya.

Pengajaran Buat Kita

Kisah ibu meninggal selepas bersalin ini mengingatkan kita bahawa setiap kehamilan memerlukan penjagaan rapi, dan setiap detik bersama orang tersayang wajar dihargai sepenuhnya. Ujian kehilangan bukanlah mudah, namun doa dan sokongan daripada orang sekeliling dapat memberi kekuatan.

Semoga roh Nuraderrah dan bayinya ditempatkan di kalangan orang beriman, dan semoga suami serta anak kecil yang ditinggalkan terus tabah menempuh kehidupan ini.

Sumber: Kosmo

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads