
Kira-kira 120,000 pelajar di Selangor bakal menikmati sarapan percuma Selangor bermula Ogos depan menerusi satu inisiatif kerajaan negeri yang bertujuan membantu meringankan beban keluarga berpendapatan rendah serta memastikan kebajikan pelajar terus diberi perhatian.
Program berkenaan akan dilaksanakan di 965 buah sekolah melibatkan sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah agama di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), selain institusi pendidikan yang berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor.
Langkah ini dijangka memberi manfaat kepada ribuan keluarga yang berdepan peningkatan kos sara hidup, selain memastikan pelajar memulakan sesi pembelajaran dengan keadaan lebih bersedia dan bertenaga.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pelajar yang layak telah dikenal pasti melalui data Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor.
Menurut beliau, makanan percuma itu akan diberikan antara dua hingga tiga kali seminggu sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan negeri memastikan kebajikan dan keperluan pemakanan pelajar sentiasa terpelihara.
“Dua hingga tiga kali seminggu, pelajar yang dikenal pasti melalui data JPN Selangor itu akan menerima sarapan bagi mengurangkan beban keluarga yang memerlukan.
Negara maju seperti Finland dan United Kingdom membuktikan bahawa sarapan percuma bukan pembaziran namun pelaburan. India juga memperkenalkannya pada 2022 dan menyaksikan peningkatan kehadiran serta penurunan ketara keciciran pelajar,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman beberapa negara menunjukkan penyediaan makanan kepada pelajar mampu meningkatkan prestasi pembelajaran, kehadiran ke sekolah serta mengurangkan masalah keciciran pendidikan dalam kalangan murid daripada keluarga kurang berkemampuan.
Amirudin berkata, kerajaan negeri mahu menjadikan sekolah bukan sahaja sebagai tempat pembelajaran yang selesa, malah sebagai institusi yang turut menjaga kesejahteraan kanak-kanak.
Beliau menjelaskan bahawa mekanisme pelaksanaan program hampir menyerupai Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang telah lama dilaksanakan di sekolah-sekolah.
“Penerima pun sudah dikenal pasti. Mekanisme hampir sama dengan Rancangan Makanan Tambahan yang telah lama berjalan.
Yang paling penting, ini antara usaha kerajaan Selangor membantu ibu bapa akibat krisis Asia Barat yang melanda,” ujarnya.
Pendekatan ini turut mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan pelajar daripada golongan memerlukan tidak tercicir daripada menerima bantuan asas yang boleh menyokong perkembangan fizikal dan mental mereka.
Sebelum ini, pelaksanaan sarapan percuma Selangor dilaporkan akan diselaraskan melalui 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negeri.
Inisiatif itu melibatkan murid dan pelajar daripada semua peringkat persekolahan yang memenuhi syarat kelayakan yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri.
Bagi tempoh tiga bulan pertama, setiap PBT akan menerima peruntukan sebanyak RM1 juta bagi memastikan pelaksanaan program berjalan lancar serta mencapai kumpulan sasaran.
Pelaksanaan program akan diteruskan sekiranya penilaian awal menunjukkan kesan positif terhadap kehadiran pelajar, kesejahteraan keluarga serta prestasi pembelajaran di sekolah.
Baca lagi: Extra Joss Tak Sesuai Untuk Anak, Ganggu Degupan Jantung!
Bayi Baru Lahir Boleh Dijangkiti Denggi Dari Ibu, Jangan Ambil Mudah Jika Demam Ketika Hamil
Buku Pink Ibu Hamil Jangan Tunjuk Sesuka Hati, Banyak Maklumat Peribadi!
Sumber: Kosmo Online