
Bersempena dengan Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2026, pertandingan Baby Merangkak Race Pa&Ma X Simpan SSPN 2026 sekali lagi menceriakan hujung minggu keluarga apabila berlangsung meriah di Central i-City, Shah Alam pada 27 September 2026.
Penganjuran bersama Pa&Ma dan Simpan SSPN ini bukan sekadar menyediakan ruang untuk ibu bapa menyaksikan aksi comel si kecil, malah menjadi platform untuk memberi pendedahan kepada keluarga tentang kepentingan membuat persediaan kewangan bagi pendidikan anak sejak mereka masih kecil.
Seramai 130 bayi dari sekitar Lembah Klang dan Kuala Lumpur mengambil bahagian dalam pertandingan kali ini, sekali gus menjadikan suasana acara lebih meriah dengan sokongan ibu bapa dan ahli keluarga yang hadir memberikan semangat.
Simpanan Hari Ini, Persediaan Pendidikan Untuk Masa Hadapan
Dengan membawa mesej “Jadilah Superhero Anak Anda!”, penganjuran Baby Merangkak Race Pa&Ma X Simpan SSPN turut memberi penekanan kepada kepentingan ibu bapa memulakan simpanan pendidikan anak lebih awal.
Simpan SSPN diwujudkan sebagai instrumen simpanan pendidikan bagi membantu masyarakat membuat perancangan kewangan untuk pendidikan tinggi anak-anak.

Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada masyarakat Malaysia seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful percuma ke atas pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 secara percuma bagi satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, patuh syariah dan simpanan yang dijamin kerajaan.

130 Bayi Sertai Cabaran Merangkak
Sebaik sahaja pertandingan bermula, ruang acara bertukar riuh dengan sorakan ibu dan ayah yang masing-masing cuba menarik perhatian anak supaya terus merangkak menuju ke garisan penamat.

Ada yang pantas meluru ke hadapan sebaik dilepaskan, ada yang mengambil masa memerhati keadaan sekeliling, malah tidak kurang juga yang memilih untuk duduk sambil melihat peserta lain terlebih dahulu.
Gelagat spontan inilah yang menjadikan Baby Merangkak Race Pa&Ma X Simpan SSPN cukup istimewa. Walaupun berlangsung dalam suasana pertandingan, setiap aksi si kecil berjaya mencuit hati pengunjung yang menyaksikan acara tersebut.

Kesemua 130 peserta bayi yang mengambil bahagian berusia dalam lingkungan enam hingga 15 bulan yang masih dalam fasa merangkak, menjadikan pertandingan ini bukan sekadar perlumbaan, tetapi juga satu pengalaman manis untuk ibu bapa mencipta kenangan bersama anak mereka.
Tema Under The Sea Serikan Suasana Pertandingan
Membawakan tema “Di Bawah Lautan” (Under The Sea), Baby Merangkak Race Pa&Ma X Simpan SSPN tahun ini tampil dengan suasana penuh warna yang membawa pengunjung seolah-olah meneroka dunia di dasar laut.
Lebih mencuri perhatian apabila ibu bapa turut memberikan sentuhan kreatif menerusi penampilan anak-anak yang disesuaikan dengan tema. Pelbagai gaya dan kostum berinspirasikan hidupan laut menyerikan ruang pertandingan menjadikan setiap peserta mempunyai keunikan tersendiri.

Ada yang tampil seperti ikan kecil, ikan jerung, penyu dan pelbagai karakter laut yang comel. Digabungkan pula dengan telatah bayi, suasana pertandingan nyata penuh dengan momen lucu dan mencuit hati.
Sorakan Ibu Ayah Jadi Pembakar Semangat
Paling menghiburkan pastinya apabila ibu dan ayah menggunakan pelbagai cara untuk memujuk anak masing-masing bergerak menuju ke garisan penamat.
Daripada permainan kegemaran, botol susu hinggalah suara ibu dan ayah yang tidak putus-putus memanggil nama anak, semuanya dilakukan demi memastikan si kecil terus mara.
Namun seperti biasa, bayi mempunyai perancangan mereka sendiri. Ada yang berhenti di tengah perjalanan, berpatah balik, leka memandang peserta di sebelah, malah ada yang langsung tidak berganjak dari garisan permulaan.

Menang atau kalah bukan perkara utama kerana setiap peserta tetap berjaya menghadiahkan momen yang cukup istimewa kepada keluarga masing-masing.
Tahniah Buat Semua Pemenang!
Selepas melalui saingan yang mencuit hati tetapi penuh debaran, Ayla Dahlia binti Mohd Iskandar muncul sebagai Juara Baby Merangkak Race Pa&Ma X Simpan SSPN 2026 dengan catatan masa terpantas 8 saat.
Tempat Naib Juara pula menjadi milik Mohd Hud Al-Fateh bin Mohd Alif Farhan dengan catatan masa 13 saat, manakala Muhammad Emir Yusuf bin Muhammad Zafir menduduki tempat ketiga dengan masa 14 saat.



Bayi Juara membawa pulang akaun Simpan SSPN bernilai RM300, barangan PTPTN, medal, hamper istimewa serta sebuah stroller manakala Bayi Naib Juara pula menerima akaun Simpan SSPN bernilai RM200, barangan PTPTN, medal, hamper istimewa serta sebuah stroller. Bayi Tempat Ketiga pula telah memenangi akaun Simpan SSPN bernilai RM100, barangan PTPTN, medal, hamper istimewa serta sebuah stroller.
Turut melengkapkan senarai lima peserta terbaik ialah Sheriff Izzuan bin Syufa Azman di tempat keempat dengan catatan 18 saat, diikuti Muhammad Hayl Zarkasyi bin Muhammad Haziq Muizzudin di tempat kelima dengan catatan 20 saat.


Tidak ketinggalan, anugerah khas Baby Merangkak WOW! diberikan kepada Ean Maleeq bin Muhamad Norimran, yang berjaya mencuri perhatian sepanjang acara berlangsung dengan baju serta sepanduk khas yang dipakai seisi keluarga.

Dua Bayi Saguhati membawa pulang akaun Simpan SSPN bernilai RM50, barangan PTPTN, medal, hamper istimewa dan barangan bayi setiap seorang. Penerima anugerah Baby Merangkak WOW! juga telah membawa pulang akaun Simpan SSPN bernilai RM100, barangan PTPTN, medal, hamper istimewa beserta food processor.
Kemenangan ini pastinya menjadi antara kenangan manis buat ibu bapa dan si kecil, namun lebih penting, setiap bayi yang mengambil bahagian tetap menjadi ‘juara’ apabila berjaya mencipta pengalaman istimewa bersama keluarga dalam Baby Merangkak Race Pa&Ma X Simpan SSPN.
Bukan Sekadar Pertandingan, Tetapi Memupuk Budaya Menabung
Di sebalik kemeriahan pertandingan, Baby Merangkak Race Pa&Ma X Simpan SSPN membawa mesej yang lebih besar kepada ibu bapa.
Jika hari ini langkah pertama anak mungkin sekadar beberapa tapak merangkak menuju ke garisan penamat, persediaan untuk masa hadapan mereka juga bermula dengan langkah yang kecil.
Amalan menyimpan secara konsisten sejak anak masih bayi boleh menjadi antara usaha awal ibu bapa dalam menyediakan dana pendidikan apabila mereka meningkat dewasa kelak.
Penganjuran acara seperti ini secara tidak langsung membantu mendekatkan mesej mengenai perancangan pendidikan kepada ibu bapa dalam suasana santai dan menyeronokkan. Terima kasih dan tahniah buat semua pemenang!
Ayuh! Sama-sama memeriahkan Program Penutup BMS 2026 akan berlangsung selama empat hari dari 29 Oktober hingga 1 November 2026, bertempat di Center Court, Alamanda Shopping Centre, Putrajaya.
Anda boleh membuat semakan lokasi program BMS 2026 di setiap negeri melalui portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my/BMS2026.

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!

