Setiap ibu atau bapa pasti mengharapkan anak yang lahir sihat sempurna dan dapat membesar dengan sihat. Namun apabila diuji dengan kesakitan, selagi termampu ibu bapa akan terus kuat dan berusaha untuk buat yang terbaik buat anak-anak.
Melalui kisah pasangan suami isteri ini ia cukup menyayat hati apabila anak perempuannya yang masih kecil diuji dengan kanser.
Lagi sedih apabila pelbagai prosedur rawatan terpaksa ditempuhi sejak anak berusia 3 tahun lagi. Anak comel yang diberi nama Lily Rose ini menjadi perhatian apabila videonya tular bersama ayahnya.
“2 tahun lepas kami diberitahu Lily akan pergi selamanya…”
Menurut info, kanak-kanak comel ini disahkan menghidap kanser neuroblastoma tahap 4. Ia merupakan sejenis barah jarang yang bermula di perut, namun kini telah merebak ke bahagian tubuh yang lain.
Bahkan 2 tahun lepas antara episod yang menyayat hati apabila doktor beritahu jangka hayatnya tidak lama. Disebabkan itu, ibunya sanggup mencari pakaian, keranda serta tapak kubur buat anak kesayangannya.Berkat kuat semangat, Lily kini masih bertahan pada usia 7 tahun.
Ads
Bagaimanapun, rawatan kemoterapi telah memberi banyak kesan sampingan terhadap Lily. Selain keguguran rambut, dia juga menghidap keradangan mukosa di beberapa bahagian tubuhnya.
Namun mujurlah ayahnya menjadi insan yang paling kerap berada di sisi. Tersentuh melihat pengorbanan suami tercinta sepanjang tempoh sukar berkenaan, ibu Lily akui pernah berharap mereka tidak pernah berjumpa.
Meskipun pelbagai rintangan terpaksa diharungi, namun dia diangkat sebagai seorang ayah yang sempurna buat Lily Rose kerana selalu hadir tatkala detik susah mahupun senang. bahkan ujar isterinya lagi, tidak ramai lelaki di dunia ini sanggup menggalas tanggungjawab berat ini dengan baik sepertinya.
Ads
Kredit: IG liveforliliyrose & kisah dunia
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kanser adalah satu diagnosis penyakit kesan daripada ketidakseimbangan replikasi dan tindak balas sel dalam badan.
Ia bukanlah satu diagnosis yang mudah diterima oleh pesakit jika dibandingkan dengan penyakit lain seperti masalah jantung dan kencing manis. Ini berikutan potensi kesembuhannya yang sering dikaitkan dengan peratusan rendah dan risiko kematian yang tinggi.
Kanser boleh dialami oleh orang dewasa dan kanak-kanak. Ia merupakan penyakit yang tidak mengenal usia dan kebanyakannya tidak menunjukkan gejala yang jelas.
Namun, penyakit ini berbeza dengan orang dewasa, ia tidak mempunyai kaitan yang kuat dengan faktor risiko persekitaran atau gaya hidup.
Kemajuan teknologi masa kini telah meningkatkan jangka hayat dan kualiti hidup kanak-kanak yang didiagnosis dengan masalah kanser. Sebagai contoh, kanser leukemia limfoblastik akut yang lazim dialami dalam kalangan kanak-kanak dianggap sebagai kanser yang tidak mempunyai penawar pada tahun 1950-an.
Namun, kini, rawatan kemoterapi telah meningkatkan kebarangkalian sebanyak 90% bagi kanak-kanak untuk hidup dalam tempoh masa 5 tahun selepas diagnosis. Majoriti kanak-kanak tersebut akan sembuh daripada kanser terbabit.
Walau bagaimana maju teknologi perubatan sekalipun, tidak dinafikan bahawa diagnosis kanser dalam kalangan kanak-kanak sememangnya berat untuk diterima oleh pasangan suami isteri. Bukan senang tau seorang ibu hendak melahirkan anak. Kini mereka terpaksa menerima dugaan yang lebih besar.
Kanser bukan sahaja mempengaruhi pesakit, malah individu di sekeliling mereka turut merasai bahangnya. Elisabeth Kubler-Ross pernah cuba untuk menerangkan 5 fasa ratapan (stages of grief) bagi mereka yang menerima diagnosis kanser.
Namun, sebahagian besar daripada mereka yang mempunyai anak dengan masalah kanser kebiasaannya cenderung untuk memberikan perhatian yang tidak berbelah bahagi bagi membantu merawat penyakit tersebut. Ini bermakna tempoh 5 fasa ratapan itu pendek berbanding dengan pesakit dewasa yang menerima diagnosis kanser.
Dalam konteks kanser kanak-kanak, ibu bapa memainkan peranan penting dalam menentukan penerimaan anak terhadap diagnosis kanser.
Tiada kata-kata yang sesuai bagi menerangkan betapa tidak stabilnya emosi mereka ketika melihat anak mereka yang sedang melalui rawatan kanser.
Rawatan tersebut boleh memberikan kesan sampingan yang teruk seperti mual, muntah dan keguguran rambut.
Walaupun nasihat dan petua bagi mempersiapkan ibu bapa untuk menghadapi cabaran tidak membantu sepenuhnya, namun ia boleh meringankan bebanan emosi mereka.
Berikut merupakan tip yang boleh diamalkan bagi mereka yang mempunyai anak dengan masalah kanser.
-Kaji dan cari maklumat berkenaan dengan rawatan dan cara penjagaan anak dengan masalah kanser
-Jika terdapat kekeliruan maklumat, tanyakan kepada doktor anda bagi memastikan maklumat tersebut mempunyai sumber yang boleh dipercayai
-Jangan cuba untuk menghadapi dugaan kanser ini berseorangan. Luahkan perasaan anda kepada ahli keluarga terdekat atau dapatkan bantuan profesional bagi memenuhi keperluan emosi. Ingat, tahap penerimaan anak anda bergantung kepada sikap anda terhadap diagnosis kanser tersebut
Jika anda bekerja, jangan malu untuk meminta bantuan daripada ahli keluarga anda bagi menjaga anak anda
Kebanyakan ibu bapa terlalu memberikan perhatian kepada kebajikan anak yang didiagnosis kanser sehingga terlupa akan kebajikan diri sendiri. Sekali-sekala, tidak salah untuk anda keluar berjalan-jalan, membeli-belah atau menonton wayang. Ia penting untuk memastikan kesihatan mental anda berada pada tahap yang baik. Penjagaan kanak-kanak kanser ibarat larian maraton. Perjalanannya masih jauh maka penting untuk anda mempunyai stamina yang mencukupi
Sertai perbincangan meja bulat atau kumpulan ibu bapa yang turut mempunyai anak dengan masalah kanser. Minta nasihat, tunjuk ajar dan berikan tip bagi mereka yang memerlukan
Minta maklumat atau bantuan daripada organisasi bukan kerajaan yang berkaitan dengan kanser. Jika anda memerlukan bantuan kewangan bagi membiayai rawatan kanser, rujuk syarikat insurans anda, baitulmal atau jabatan kebajikan masyarakat
Pada suatu masa dahulu, diagnosis kanser dalam kalangan kanak-kanak ibarat hukuman mati. Walau bagaimanapun, teknologi perubatan menjadi semakin canggih saban tahun dan kini, 80% daripada kanak-kanak yang didiagnosis boleh hidup dalam jangka masa panjang.
Perkara ini berlaku hasil daripada kajian dan pemahaman yang mendalam oleh ahli akademik terhadap subjek kanser. Kesan sampingan rawatan kanser juga berada dalam keadaan terkawal. Kini, mereka yang mengalami simptom teruk hayalah segelintir daripada populasi yang menerima rawatan kanser.
Suatu ketika dahulu, mereka yang menjalani rawatan kanser limfoma Hodgkin berisiko untuk mendapat kanser perut. Kini, risiko itu berada pada tahap minimum dan mereka yang mengalami kanser terbabit mempunyai kadar peratusan 83% untuk hidup dalam jangka masa panjang.
Kebanyakan kanser kanak-kanak mempunyai kebarangkalian untuk sembuh yang tinggi jika didiagnosis pada peringkat awal. Perkara ini bergantung kepada tahap kesedaran ibu bapa bagi mendapatkan rawatan ketika si kecil mengalami simptom yang tidak jelas menunjukkan jenis penyakit yang dialaminya.
Sebagai contoh, mereka yang mengalami leukemia boleh mendapat simptom lebam. Kebanyakan ibu bapa memandang ringan akan masalah ini dan jika mereka risau sekalipun, mereka lebih cenderung untuk berubat dengan menggunakan kaedah tradisional.
Ibu bapa perlu tahu bahawa jika anak dibawa kepada doktor dan didiagnosis kanser pada peringkat awal, kebarangkalian untuk mereka hidup lebih lama atau sembuh sepenuhnya adalah bergantung tinggi kepada jenis kanser.
Tidak kiralah kanser apa sekalipun, jika dibawa lambat untuk mendapatkan rawatan, risiko kematian berada pada tahap yang tinggi.
Kanser bukanlah penyakit yang mudah untuk didiagnosis. Tanpa pemeriksaan doktor dan ujian makmal, kebarangkalian untuk terlepas pandang akan masalah kanser tersebut tinggi.
Ini boleh mengakibatkan ibu bapa lambat mendapatkan rawatan untuk anak mereka sekali gus meningkatkan risiko kematian mereka.
Bersempena dengan Hari Kesedaran Kanser Kanak-kanak Sedunia, marilah bersama-sama kita raikan kejayaan ibu bapa dan anak yang berjaya menempuhi kehidupan mereka ketika diduga dengan diagnosis penyakit kanser.
Bukan mudah nak bertenang setelah penat menguruskan rumah ditambah pula anak-anak masih kecil. Ada anak yang 24jam nak melekap dengan ibu, ada yang tak berhenti menangis.
Mungkin pada pandangan orang lain, cara ibu ini kejam kerana membiarkan anak kecilnya menangis. Namun menurutnya, dia tidak sekejam itu dan yang dia perlukan hanyalah tempoh bertenang sebentar.
Perkongsian ibu ini tentang keadaan sebenar mempunyai bayi kecil mendapat perhatian ramai.
Mempunyai cahaya mata yang hampir memasuki usia 1 tahun, dia buntu kerana si kecil itu masih sukar menerima makanan jenis pepejal dan hanya mahu menyusu badan sahaja.
Hampir putus harapan dan tidak tahu mahu mengadu pada siapa, si ibu tersandar di pintu dengan renungan kosong diselangi tangisan si anak.
“9 bulan, baby refused makanan, refused minum susu formula cuma nak susu badan. Tapi ibu penat sangat. Hanya yang pernah alami sahaja tahu, 3 bahagian rasa marah.. 7 bahagian lagi rasa tak berdaya”
Hampir tidak berdaya untuk memujuk. ibu ini akhirnya terpaksa mendiamkan diri seketika untuk tempoh bertenang. Tak lama kemudian dia kembali memeluk anaknya sambil memujuk bayi comel itu.
“Bukan tak kesiankan kamu, cuma rasa tak berdaya dan terpaksa ambil tempoh bertenang seketika”
Rata-rata golongan ibu memberikan kata-kata semangat buat ibu ini. Sungguh penat itu memang wujud, namun hanya yang memahami sahaja yang mengerti.
Seorang wanita bertanyakan tentang masalah yang dihadapi oleh beliau setelah melahirkan anak secara normal. Beliau mengalami sakit di hujung tulang belakang (tulang ekor) yang berlarutan beberapa minggu. Akibat daripada ketidakselesaan dan kesakitan ini, beliau tidak dapat melakukan kerja-kerja rumah dengan sempurna.
Kehamilan dan melahirkan anak adalah proses fisiologi yang normal. Wanita yang hamil dan melahirkan anak bukanlah dianggap pesakit. Namun begitu proses yang normal ini adakalanya mendatangkan kemudharatan diri. Oleh itu banyak perkara yang perlu diambil perhatian dalam kedua-dua proses ini.
Menurut perkongsian Dr. Zubaidi, salah satu punca kesakitan pada tulang ekor (coccyx) ialah proses melahirkan anak. Kesakitan pada tulang ekor ini dinamakan coccydynia. Ia kerap berlaku pada kelahiran normal melalui faraj.
Tulang ekor (coccyx) ialah sekumpulan tulang yang terakhir pada tulang belakang kita. Ia mempunyai 5 tulang yang berbeza. Adakalanya tulang-tulang ini bercantum menjadi 2 atau tiga segmen. Ia dicantumkan pada tulang belakang yang lebih besar oleh ligamen, yang membenarkan pergerakan antara tulang belakang dan tulang coccyx.
Ketika melahirkan bayi, bayi dikeluarkan melalui saluran peranakan (rahem dan faraj). Pergerakan bayi dari rahem ke luar melalui faraj memberikan tekanan fizikal pada tisu di sekeliling. Tekanan ini boleh menyebabkan bengkakan dan koyakan pada tisu-tisu tersebut.
Jika tekanan itu terlalu kuat, ia boleh menyebabkan tulang coccyx terseliuh (dislocate). Dalam kes yang jarang berlaku ia boleh menyebabkan tulang coccyx ini patah. Dalam kes-kes yang agak ekstrem, tulang yang patah boleh menusuk ke saluran dubur dan menyebabkan pendarahan.
Selalunya wanita yang sedang sakit ketika proses melahirkan tidak perasan tulang coccyxnya patah. Ini kerana kesakitan ketika melahirkan lebih kuat dari kesakitan akibat patah tulang coccyx. Setelah beberapa hari, barulah sakit di bahagian hujung tulang belakang dapat dirasakan. Walaubagaimanapun kadang-kala patah tulang coccyx dapat dikesan ketika lahir apabila terdengar bunyi seperti ranting yang patah.
Oleh itu wanita yang hamil anak yang bersaiz besar dinasihatkan menjalani pembedahan Caeserean kerana fizikal yang besar boleh menyebabkan tulang coccyx tercedera. Begitu juga jika bayi dilahirkan secara songsang. Proses kelahiran yang sukar akan memudahkan kecederaan ini.
Adakalanya wanita yang hamil itu sendiri mempunyai tulang coccyx yang tidak normal. Kelima-lima tulang itu mungkin bercantum menjadi satu dan melekat pada tulang belakang menyebabkan ia tidak boleh lagi bergerak bagi memberikan laluan ketika ketika bayi dilahirkan. Ia mudah patah atau terseliuh apabila wanita meneran bayi keluar.
Wanita yang pernah mengalami kecederaan tulang coccyx perlu memberitahu doktor yang menyambut kelahiran bayi bagi mengelakkan kerosakan tulang tulang coccyx lebih teruk. Kecederaan tulang coccyx biasa berlaku pada wanita yang agak obese dan terjatuh dari tangga dengan posisi duduk. Hentakan pada tulang coccyx menyebabkan tulang itu cedera. Sekiranya wanita itu hamil dan melahirkan bayi bersaiz besar, ia akan menyebabkan kecederaan pada tulang coccyx ini bertambah teruk .
Kesakitan akibat kecederaan tulang ini semasa proses kelahiran selalunya ditanggung beberapa minggu terutama apabila ketika duduk atau berubah posisi dari bangun ke posisi berdiri. Kesakitan ini membuatkan pesakit tidak dapat melakukan kerja rutin seharian dengan baik.
Saya menasihatkan wanita yang mengalami kesakitan pada tulang coccyx akibat melahirkan anak harus berjumpa doktor untuk pemeriksaan. Pemeriksaan fizikal dan xray akan dilakukan untk mengesahkan kerosakan pada tulang coccyx. Selalunya kecederaan sebegini akan pulih dalam masa beberapa minggu. Kebiasaannya 6 hingga 8 minggu.
Saya merasa simpati jika musibah ini berlaku pada wanita yang melahirkan. Tidak banyak yang boleh dilakukan kecuali doktor akan memberikan ubat penahan sakit sama ada berbentuk tablet atau suntikan. Pembedahan tidak membantu kecuali mengeluarkan tulang yang patah. Pembedahan bukanlah rawatan terbaik kerana banyak ligament dan otot yang melekat pada tulang coccyx ini. Ia boleh membawa komplikasi yang lebih teruk. Saya menasihatkan wanita yang hamil banyakkan berdoa agar proses kehamilan dan kelahiran anak mereka dipermudahkan.
Selain dari menggunakan ubat penahan sakit, banyakkan rehat dan boleh tuamkan ice pack pada kawasan itu beberapa kali untuk mengurangkan bengkakan dan sakit.
Ketika tidur, posisi yang sesuai ialah berbaring mengiring untuk mengurangkan tekanan pada punggung dan tulang coccyx. Bagi mengurangkan kesakitan ketika dalam posisi duduk, boleh gunakan bantal berbentuk doughnut supaya tulang coccyx tidak menekan pada lantai.
Berendam dalam kolam air panas atau dalam tab mandi boleh membantu merehatkan otot-otot pelvis yang melekat pada tulang coccyx itu. Jika tidak dapat, berendamlah dalam basin (warm sitz bath) bagi mendapat faedah ini.
Pesakit harus menjaga pemakanan bagi mengelakkan sembelit. Sembelit akan menyebabkan kesakitan yang lebih teruk pada tulang coccyx yang tercedera. Pastikan banyak minum air dan makan makanan yang banyak serat bagi mengelakkan sembelit.
Bagi kehamilan seterusnya, pesakit harus memberitahu doktor masalah yang dihadapinya. Saya percaya doktor akan mencadangkan pembedahan Caeserean bagi mengelakkan kecederaan tulang coccyx berulang. Namun haruslah berbincang pro dan kontra sebelum memilih cara kelahiran itu nanti.
Wallahu a’lam.
Rujukan:
Foye P, Buttaci C, Stitik T, Yonclas P (2006). “Successful injection for coccyx pain.”. Am J Phys Med Rehabil 85 (9): 783–4.
Kim NH; Suk KS] (1999 Jun). “Clinical and radiological differences between traumatic and idiopathic coccygodynia”. Yonsei Medical Journal (40:3).
Postacchini F, Massobrio M] (Oct 1983). “Idiopathic coccygodynia. Analysis of 51 operative cases and a radiographic study of the normal coccyx”. The Journal of bone and joint surgery (65(8)).
#HealthDrZubaidi
Sempena kemerdekaan yang ke-63 tahun ini dengan tema Malaysia Prihatin, NU Ideaktiv juga menunjukkan sokongan dengan #kitakansama. Semoga Malaysia terus sejahtera dan berjaya di masa hadapan!
#kitakansama #MalaysiaPrihatin
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!