
Antara dilema terbesar ibu bapa masa kini ialah tidak tahu usia berapa yang paling sesuai untuk menghantar anak ke taska atau tadika. Ada yang risau anak terlalu kecil untuk berdikari, ada juga yang takut anak ketinggalan jika dihantar terlalu lewat. Persoalan ini sering bermain di fikiran, apatah lagi setiap anak membesar dengan perkembangan yang berbeza.
Menurut Perunding Neonatologi dan Pediatrik Am, Dr Syed Khaliq dari Hospital Assunta, sebenarnya tiada umur khusus untuk anak mula dihantar ke pusat asuhan atau tadika. Namun secara idealnya, anak boleh dihantar sekitar usia 2 hingga 3 tahun kerana ketika ini mereka sudah mula pandai bermain sendiri, makan sendiri, dan belajar menggunakan tandas.

Usia minimum bayi ke taska
Jika keadaan memaksa ibu bapa bekerja lebih awal, bayi boleh dihantar ke pusat asuhan selepas usia 3 bulan. Ini kerana sistem imun bayi masih lemah pada tiga bulan pertama, malah tempoh tersebut sangat penting untuk ikatan emosi bayi bersama ibu dan kejayaan penyusuan susu ibu.
“Kalau boleh, jangan terlalu awal hantar bayi sebelum usia tiga bulan kerana fasa itu sangat kritikal untuk kesihatan dan perkembangan emosi mereka,” jelas Dr Syed.
Usia terbaik ke tadika: 4, 5 atau 6 tahun?
4 tahun: Anak sudah mula menunjukkan rasa ingin tahu tinggi dan belajar melalui bermain. Namun, pastikan tadika yang dipilih tidak menekan anak dengan akademik semata-mata.
5 tahun: Usia paling ideal, kerana anak sudah lebih berdikari, mampu faham arahan, serta bersedia dari segi emosi dan sosial.
6 tahun: Sesuai sebagai persediaan masuk darjah satu. Pada tahap ini, anak lebih fokus kepada akademik dan latihan asas sebelum ke sekolah rendah.
@drsyedkhaliq Umur berapa yang selamat untuk kita hantar baby atau anak kita ke pengasuh, taska atau sekolah #drsyedkhaliq #drbabybydsk #doktorbabybydsk #doktorbudak #doctorsoftiktok #kpjtawakkalkl #ipctawakkal #sihat #anak #baby #earlychildhoodeducation ♬ Piano melody for loved ones(1258931) – naopapa
Kelebihan & risiko hantar anak ke pusat asuhan
✅ Kelebihan:
Anak cepat belajar bercakap dan bersosial.
Lebih berani mencuba aktiviti baru.
Rangsangan minda melalui aktiviti harian.
⚠️ Risiko:
Mudah terdedah kepada jangkitan seperti HFMD, selesema, dan batuk.
Risiko pengabaian jika pusat asuhan tidak berdaftar atau tiada pengawasan rapi.
Tip pilih taska & tadika terbaik untuk anak
Pastikan pusat asuhan/tadika berdaftar & ada lesen sah.
Semak jadual harian anak – waktu makan, mandi, menyusu, dan bermain.
Perhatikan kebersihan & keselamatan ruang pembelajaran.
Elakkan pusat jagaan yang ada persekitaran tidak sihat seperti asap rokok atau vape.
Pastikan jumlah murid tidak terlalu padat.
Tanya tentang kelayakan & latihan pengasuh.
Minta kebenaran untuk lihat tempat anak bermain dan belajar.
👉 Kesimpulannya, tiada usia “paling wajib” untuk mula menghantar anak ke taska atau tadika. Yang penting, ibu ayah menilai kesediaan anak, memilih tempat yang berkualiti serta memastikan pengalaman awal ini menyeronokkan, bukan menekan. Inilah asas yang akan membina keyakinan diri dan perkembangan si kecil sebelum mereka melangkah ke alam persekolahan sebenar.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!

















