Keibubapaan

4 Amalan Harian Anak Yang Ramai Ibu Ayah Terlepas Pandang, Ustaz Syamsul Debat Kongsi Rahsia Didik Anak

Share

Dalam dunia hari ini yang penuh dengan cabaran, ujian dan pengaruh yang pelbagai, anak-anak sangat memerlukan doa serta bimbingan daripada ibu bapa. Sebagai ibu ayah, jangan pernah culas mendoakan anak-anak kerana doa daripada hati yang ikhlas mampu menjadi pelindung dan asbab kebaikan buat mereka di dunia serta akhirat. Jadikan ia amalan harian dalam mendidik anak.

Perkongsian dalam Ceramah Keibubapaan bersama Ustaz Syamsul Debat yang bertemakan “Keluargaku, Amanahku, Menuju ke Syurga” mengingatkan bahawa ibu bapa bukan sekadar menyediakan makan minum dan keperluan anak-anak, tetapi juga perlu menjaga kekuatan rohani keluarga.

4 Amalan Anak Perlu Baca Setiap Hari Menurut Ustaz Syamsul Debat

Sebelum mengakhiri Ceramah Keibubapaan tersebut, Ustaz Syamsul Debat sempat berkongsi empat perkara yang beliau sendiri sangat menggalakkan ibu bapa amalkan setiap hari demi kebaikan anak-anak dan keluarga. Menurut beliau, dalam keadaan dunia hari ini yang penuh cabaran, ibu ayah tidak boleh culas dalam menjaga kekuatan rohani anak-anak melalui doa dan amalan harian.

“Ada 4 perkara untuk ibu ayah amalkan.” – Ustaz Syamsul Debat

1. Banyakkan Selawat Setiap Hari

“Pertama, banyakkan selawat setiap hari. Sebab jika kita selawat ke atas Nabi, Allah dan malaikat akan 10 kali doakan kesejahteraan kita dan keluarga.” – Ustaz Syamsul Debat

Menurut beliau, selawat bukan sekadar amalan biasa tetapi menjadi asbab turunnya rahmat dan ketenangan dalam rumah tangga. Apabila ibu bapa istiqamah berselawat, hati akan menjadi lebih lembut dan urusan keluarga juga dipermudahkan Allah SWT.

Anak-anak yang membesar dalam rumah yang sentiasa hidup dengan selawat akan lebih mudah menerima nasihat serta memiliki jiwa yang tenang.

2. Banyakkan Istighfar Untuk Anak-Anak

“Kedua, banyakkan istighfar. Minta ampun kepada Allah supaya mungkin dengan keampunan dosa-dosa kita, Allah akan mudahkan apa yang kita minta terutama kejayaan anak.” – Ustaz Syamsul Debat

Ustaz Syamsul Debat turut mengingatkan bahawa sebagai manusia, ibu bapa juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Kadang-kadang hati menjadi berat, anak-anak sukar mendengar kata dan kehidupan terasa sempit kerana dosa yang tidak disedari.

Sebab itu, istighfar perlu dijadikan amalan harian. Dengan memohon keampunan daripada Allah SWT, hati menjadi lebih tenang dan doa untuk anak-anak juga lebih mudah dimakbulkan.

3. Hidupkan Yasin, Hati Al-Quran Dalam Rumah

Amalan ketiga, beliau juga menekankan kepentingan menghidupkan Al-Quran dalam rumah. Tidak perlu menunggu hari tertentu untuk membaca Yasin kerana amalan yang sedikit tetapi istiqamah lebih baik di sisi Allah SWT.

Menurut beliau, walaupun bacaan tidak lancar atau mengambil masa yang lama, ibu bapa tetap perlu berusaha membaca setiap hari kerana keberkatan Al-Quran mampu membawa ketenangan kepada seluruh keluarga.

“Ketiga, letakkan hati Al-Quran dalam hati kita. Baca Yasin sehari sekali. Antara lepas maghrib tu baca. Jangan tunggu Khamis malam Jumaat. Mana tahu hari khamis tu ada hal langsung tak baca. Isnin sampai Ahad baca setiap hari. Sekali sahaja sehari. Tak lama pun 10 minit sahaja tapi jika yang tidak lancar boleh sampai 1 jam.” – Ustaz Syamsul Debat

Beliau juga berkongsi satu petua amalan keluarganya.

“Salah satu petua keluarga saya amalkan kalau baca surah Yasin.”- Ustaz Syamsul Debat

Antara petua yang dikongsikan beliau ialah ketika membaca ayat:

 

“Ulang 3x, 7x, 11x atau 21x atau  nombor ganjil. Masa baca “Salamun qaulam mirrobbur rohim” tu berdoa di dalam hati untuk anak-anak dan keluarga.

“Ya Allah, lembutkan hati anakku Ya Allah.”
“Jadikan suamiku suami yang baik.”

“Minta dalam hati, tidak perlu disebut kuat, cukup dipohon terus kepada Allah SWT dengan penuh pengharapan.”

“Kemudian apabila sampai pada ayat “Iza aroda shai an ai yaqulalahu kunf fayakun”  rujuk ayat ‘hu’  tu kepada apa yang kita minta tadi  kemudian sambung ayat ..kun fayakun. maka kalau  Alla kata jadi jadilah.” -Ustaz Syamsul Debat

 

Sesungguhnya, yakinlah bahawa apabila Allah SWT menghendaki sesuatu berlaku, maka semuanya akan terjadi dengan izin-Nya.

4. Banyakkan Zikir Hauqalah

Amalan yang keempat, beliau menggalakkan ibu bapa memperbanyakkan zikir hauqalah sebagai tanda penyerahan sepenuhnya kepada Allah SWT.

Kadang-kadang ibu ayah terlalu penat memikirkan masalah anak-anak sehingga terlupa bahawa hanya Allah SWT yang mampu mengubah hati manusia. Dengan mengamalkan zikir ini, ibu bapa mengakui bahawa mereka tidak mempunyai kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah SWT.

“Keempat, banyakkan zikir hauqalah. La Hawla Wa La Quwwata Illa Billah Hil-Aliyyil Azim. Kita serah kepada Allah. Aku ini tak berdaya Allah. Aku ini tak kuat. Aku serahkan kepada engkau untuk bagi segalanya ya Allah. Engkaulah yang maha kaya dan menganugerahkan segalanya tak ada mustahil bagi engkau. La Hawla Wa La Quwwata Illa Billah aku serah pada Allah Ta’ala.” – Ustaz Syamsul Debat

Ayat itu bermakna tiada daya upaya dan tiada kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung. Zikir ini adalah pengakuan mutlak tentang kebergantungan hamba kepada Allah.

Pesanan Buat Ibu Bapa

Di akhir perkongsian, Ustaz Syamsul Debat turut berpesan agar ibu bapa tidak sesekali meninggalkan amalan-amalan ini walaupun sibuk dengan urusan harian.

Katanya, anak-anak hari ini sangat memerlukan kekuatan doa daripada ibu bapa kerana cabaran zaman sekarang jauh lebih besar berbanding dahulu.

Sebab itu, ibu ayah jangan culas mendoakan anak-anak kerana doa yang lahir daripada hati yang ikhlas mampu menjadi pelindung dan penyelamat buat mereka dunia dan akhirat.

Sumber: yusramalek

Published by
Nor Yusoff