
Membesarkan anak memerlukan komitmen yang besar, bukan sahaja dari segi masa dan perhatian, malah melibatkan perbelanjaan untuk makanan, pendidikan, rawatan serta keperluan harian mereka.
Bagi keluarga yang menjaga anak pelihara, kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan atau anak berkeperluan khas, cabaran kewangan mungkin lebih terasa. Ada ibu bapa dan penjaga yang terpaksa menyediakan kos tambahan untuk terapi, alat sokongan, pengangkutan serta penjagaan sepenuh masa.
Namun, masih ramai ibu ayah yang mungkin tidak mengetahui bahawa terdapat beberapa bentuk bantuan kewangan dan sokongan yang disediakan oleh kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Bantuan ini diwujudkan bagi memastikan kebajikan, pendidikan dan perkembangan kanak-kanak terus terpelihara. Berikut antara bantuan berkaitan kanak-kanak yang boleh disemak oleh ibu bapa atau penjaga.
1. Bantuan Anak Pelihara (BAP)
Bantuan Anak Pelihara (BAP) merupakan bantuan kewangan yang diberikan kepada ibu bapa atau penjaga yang menjaga kanak-kanak pelihara.
Bantuan ini bertujuan untuk:
- Membantu kanak-kanak kurang bernasib baik, anak yatim, yatim piatu atau kanak-kanak yang tidak mempunyai saudara-mara agar dapat terus tinggal bersama keluarga pelihara.
- Meringankan beban kewangan keluarga pelihara yang sanggup menjaga kanak-kanak berkenaan seperti anak sendiri.
- Menggalakkan masyarakat tampil membantu dan mengambil kanak-kanak kurang bernasib baik sebagai anak pelihara.
Kadar Bantuan
- RM250 sebulan bagi setiap kanak-kanak.
- Maksimum RM500 sebulan bagi sebuah keluarga yang memelihara dua orang kanak-kanak atau lebih.
Kriteria Kelayakan
Pemohon mestilah memenuhi syarat berikut:
- Warganegara Malaysia dan bermastautin di Malaysia.
- Keluarga yang sedang memberi jagaan kepada kanak-kanak berumur di bawah 18 tahun.
- Kanak-kanak berkenaan tidak mempunyai ibu bapa.
- Kanak-kanak tersebut bukan diambil sebagai anak angkat.
Kanak-kanak juga mestilah tinggal bersama keluarga pelihara dalam salah satu keadaan berikut:
- Diambil menerusi Program Anak Pelihara yang dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM); atau
- Dipelihara di bawah Perintah Mahkamah Bagi Kanak-Kanak (MBKK) mengikut Akta Kanak-Kanak 2001; atau
- Kanak-kanak warganegara Malaysia yang dijaga oleh waris atau keluarga ganti yang mempunyai pertalian saudara serta memenuhi syarat kelayakan.
Kanak-kanak yang tinggal di Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) yang menyediakan perkhidmatan dan kemudahan secara percuma tidak layak menerima bantuan ini.
Artikel Trending: Kemas Kini Mykad Atau Berisiko Didenda RM20,000, Ini Ibu Ayah Kena Ambil Peduli Bila Pindah Rumah
Baca lagi: Ramai Salah Faham! Bantuan Kanak-Kanak JKM Bukan Terus Dapat RM1,000 Sebulan,Ini Cara Kiraannya
Trending artikel: Bantuan MamaKerja Kini RM10 Juta! Lagi 5000 Ibu Bekerja Terima Insentif RM1,000
2. Bantuan Kanak-Kanak (BKK)
Bantuan Kanak-Kanak (BKK) merupakan skim bantuan persekutuan yang disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada keluarga atau penjaga yang mempunyai kanak-kanak dan memenuhi syarat kelayakan.
Kadar Bantuan
Kadar bantuan yang diberikan adalah seperti berikut:
- Minimum RM200 sebulan bagi seorang kanak-kanak.
- Maksimum RM1,000 sebulan bagi sebuah keluarga.
Pecahan kadar bantuan mengikut umur ialah:
- RM250 sebulan bagi setiap kanak-kanak berumur 6 tahun dan ke bawah.
- RM200 sebulan bagi setiap kanak-kanak berumur 7 hingga 18 tahun.
Tujuan Bantuan
Bantuan ini bertujuan untuk:
- Membantu keluarga atau penjaga kepada kanak-kanak yang kehilangan atau tidak mempunyai penjaga supaya mereka dapat terus tinggal bersama keluarga dan meneruskan kehidupan tanpa menjejaskan pertumbuhan serta perkembangan mengikut peringkat umur.
- Membantu ibu bapa atau penjaga memelihara kanak-kanak yang memerlukan perlindungan dan sokongan.
- Memperkukuhkan institusi keluarga agar ibu bapa atau penjaga dapat memberikan penjagaan yang sempurna kepada kanak-kanak, termasuk dalam keadaan tertentu seperti ketika penjaga berada dalam tahanan atau dikenakan perintah buang daerah.
3. Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (EMBPK)
Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (EMBPK) merupakan bantuan khusus yang diperkenalkan sejak tahun 2005.
Bantuan ini bertujuan untuk meringankan beban kewangan ibu bapa atau penjaga yang mempunyai Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) dalam kategori Orang Kurang Upaya (OKU) serta memiliki kad OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Kadar Bantuan
- RM150 sebulan selama 12 bulan.
- Jumlah bayaran adalah tertakluk kepada bilangan bulan murid layak menerima EMBPK pada tahun berkenaan.
Syarat Kelayakan
Murid yang ingin menerima EMBPK perlu memenuhi syarat berikut:
- Warganegara Malaysia.
- Merupakan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas dalam kategori OKU.
- Bersekolah atau mengikuti pengajian di institusi berikut:
- Prasekolah, sekolah rendah atau sekolah menengah di Sekolah Kerajaan (SK) atau Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK).
- Tingkatan Enam di SK atau SBK.
- Kolej Vokasional.
- Kolej Matrikulasi.
- Institut Latihan Kemahiran Awam atau Swasta yang pembiayaannya ditanggung sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
- Memiliki kad OKU yang sah dan dikeluarkan oleh JKM.
- Tidak menerima sebarang biasiswa, elaun atau insentif kewangan lain daripada agensi kerajaan atau bukan kerajaan.
Pengecualian diberikan kepada MBPK yang menerima Bantuan Sara Hidup Pelajar (BSHP) di kolej matrikulasi.
Turut Melibatkan Kanak-Kanak Autisme

Mulai 20 September 2019, manfaat EMBPK turut diperluaskan kepada kanak-kanak autisme yang mengikuti program di Pusat Kecemerlangan Intervensi Awal PERMATA Kurnia.
4. Bantuan Untuk Kanak-Kanak Orang Kurang Upaya (OKU)
Kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) di Malaysia layak menerima pelbagai bentuk bantuan kewangan dan sokongan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Antara bantuan utama yang disediakan ialah:
Bantuan Kanak-Kanak (BKK)
Bantuan kewangan antara RM200 hingga RM1,000 sebulan diberikan bagi membantu meringankan beban keluarga berpendapatan rendah yang menjaga kanak-kanak, termasuk kanak-kanak OKU.
Jumlah bantuan yang diterima bergantung pada syarat kelayakan dan pendapatan isi rumah.
Elaun Peserta PPDK
Kanak-kanak OKU yang mengikuti program di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) boleh menerima elaun sebanyak RM300 sebulan.
Elaun ini bertujuan membantu menampung keperluan peserta sepanjang menjalani program pemulihan dan latihan di pusat berkenaan.
Bantuan Penjagaan OKU Terlantar (BPT)
Bantuan sebanyak RM500 sebulan diberikan kepada keluarga yang menjaga individu OKU terlantar atau pesakit kronik yang tidak mampu menguruskan diri sendiri.
Bantuan ini turut merangkumi kanak-kanak OKU yang memerlukan penjagaan sepenuh masa.
Subsidi Yuran Pembelajaran Autisme
Kanak-kanak autisme yang mendapatkan perkhidmatan terapi, intervensi atau pendidikan khas boleh menerima subsidi yuran secara sekali bayar atau one-off sebanyak RM1,000.
Bantuan ini bertujuan meringankan kos pembelajaran dan rawatan yang perlu ditanggung oleh keluarga.
Kemudahan Untuk Kanak-Kanak OKU
Kanak-kanak yang mempunyai Kad OKU juga boleh menikmati pelbagai kemudahan lain, antaranya:
- Bantuan alat sokongan atau alat tiruan.
- Kemudahan pendidikan khas.
- Akses kepada program pemulihan dan intervensi.
- Pelepasan cukai tertentu untuk ibu bapa atau penjaga yang memenuhi syarat.
Jangan Malu Memohon Bantuan Demi Kebajikan Anak
Memohon bantuan bukan bermakna ibu bapa atau penjaga gagal menjalankan tanggungjawab. Sebaliknya, kemudahan yang disediakan boleh membantu memastikan anak mendapat makanan, pendidikan, rawatan dan penjagaan yang lebih baik.
Ibu bapa atau penjaga disarankan menyemak syarat kelayakan dengan teliti serta menyediakan dokumen berkaitan sebelum membuat permohonan. Maklumat lanjut dan status terkini setiap bantuan boleh dirujuk terus melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat atau agensi yang bertanggungjawab.
Sumber:Bantuan Anak Pelihara , BKK , Berkeperluan khas
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





