Ketika mengandung ada banyak “Big No” yang ibu hamil tak boleh buat ya. Bak kata orang tua-tua ada banya pantang larang yangn mesti dijaga ketika mengandung atau orang putih cakap ‘do’s and don’s yang mesti diambil perhatian.
Jangan dek terlalu moden dan berfikiran terbuka sampai kita tak boleh terima larangan tersebut kerana tidak percaya dengan cakap orang tua. Tapi kalau “Big No’ itu adalah daripada doktor yang memang pakar dalam bidang perbidanan dan sakit puan macam mana pula? Nak ikut ke tak?
Jangan pandang remeh larangan tersebut ketika mengandung kerana ada kesan bahaya yang boleh mengancam nyawa ibu dan bayi dalam kandungan. Berikut adalah “Big No” yang diberitahu oelh Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak, Pegawai Perubatan Obstetrik & Ginekologi, Kementerian Kesihatan Malaysia.
Untuk ibu hamil, sila ambil perhatian!
#1. BIG NO Pertama
Adakah anda merupakan penggemar kucing dan memiliki kucing di rumah? Jika ya, pantang larang pertama saya tujukan khas buat anda.
Terdapat sejenis parasit yang membiak di dalam usus kucing yang kemudiannya dikeluarkan melalui najisnya. Parasit ini dikenali sebagai toxoplasma.
Ads
Parasit ini tidak mendatangkan bahaya kepada orang dewasa tetapi boleh menyebabkan masalah serius kepada bayi dalam kandungan, seperti masalah saraf.
Sekiranya anda membela kucing di rumah, minimakan sentuhan anda dengan kucing tersebut. Minta suami atau ahli keluarga anda untuk menguruskan kucing termasuk membersihkan najis kucing.
#2. BIG NO Kedua
BERHENTI merokok meminum alkohol atau Vape. sekiranya anda disahkan hamil. bahan-bahan yang terdapat di dalam rokok minuman alkohol dan vape boleh membahayakan kehamilan.
Ads
#3. BIG NO Ketiga
Saya memahami naluri kewanitaan sering sahaja ingin kelihatan cantik dan menawan. mereka suka memanjakan diri di pusat kecantikan untuk melakukan rawatan rambut dan kuku. Tidak kurang juga yang suka merehatkan diri di pusat sauna untuk menghilangkan segala tekanan yang melanda.
Jika kaedah memanjakan diri di pusat kecantikan menggunakan bahan kimia untuk merapikan rambut dan sebagainya, ada baiknya anda tangguhkan dahulu rutin ini sehingga selepas bersalin. Lepas bersalin bole sambung balik ya.
Anda gemarkan sushi yang diletakkan salmon atau udang mentah di atasnya? Jika ya, sila elakkan sushi sepanjang sembilan bulan anda hamil. Ia berikutan terdapat bakteria yang masih hidup di dalam makanan ini yang mungkin akan menjejaskan kesihatan bayi dalam kandungan. Juga elakkan telur separuh masak, steak atau makanan yang tidak dimasak sepenuhnya.
Jangan try makanan-makanan rare masa mengandung. Kalau nak sekalipun, tunggu lepas bersalin ya.
Matlamat untuk menjadikan anak bijak dan dengar kata serta tidak bermasalah sebenarnya harus bermula daripada awal, iaitu ketika mengandung lagi.
Kata Datuk Dr Fadzilah Kamsah, “Semua anak dilahirkan pintar tetapi yang memberi impak ialah cara kita merangsang mereka. Ibu bapa mesti mempunyai misi jelas iaitu menanam tekad membentuk masa depan anak.” Demikian pandangannya.
Jadi matlamat untuk menjadikan anak bijak haruslah lebih jelas.
Oleh yang demikian, jadikanlah dunia awal bayi iaitu alam rahim sebagai institusi pertamanya mempelajari pelbagai perkara baharu. Janin boleh dirangsang melalui kaedah-kaedah tertentu.
Makanan berkhasiat dan seimbang sangat penting dalam pembinaan otak bayi. Jadi, pastikan pemakanan seharian ibu ketika hamil mengandungi karbohidrat, vitamin, mineral dan paling penting kaya dengan protein.
Sama juga halnya dengan pengambilan minyak ikan Omega . Ia adalah makanan yang baik untuk perkembangan otak bayi. Malah, kandungan EPA dan DHA yang ada di dalam minyak ikan amat diperlukan untuk perkembangan bayi yang sihat.
Islam amat menggalakkan anda mengamalkan beberapa aspek penting supaya anak yang dilahirkan berakhlak mulia. Antaranya, banyak mengingati Allah SWT dengan memohon ampun dan taubat; melakukan kebajikan dan meninggalkan segala larangan-Nnya.
Sepanjang hamil, anda dan suami dituntut memperbanyakkan solat sunat dan puasa sunat terutamanya pada Isnin dan Khamis. Sama juga halnya dengan membaca al-Quran. Antara yang elok dibaca ketika hamil ialah surah al-Fatihah, Yasin, at-Taubah, Yusuf, Luqman, an-Nahl (ayat 78), al-Aa’raf (ayat 189) dan banyak lagi.
Dengan membaca surah dan ayat ini, ia dapat memudahkan proses bersalin, mendapat anak yang sihat, sempurna, bijak dan soleh.
Doa adalah senjata umat Islam. Oleh itu, anda digalakkan untuk kerap membaca surah al-Fatihah, al-Inshirah dan ayat Kursi. Suami juga perlu mengambil tanggungjawab membaca surah berkenaan dan dihembuskan ke perut anda.
Surah Fatihah adalah ibu al-Quran, al-untuk melapangkan hati dan fikiran manakala ayat Kursi bertujuan menghalau gangguan syaitan. Apabila hati anda terang dan lapang, anak mudah menerima pelajaran.
Malah, setelah anak lahir, anda masih boleh meneruskan bacaan berkenaan ketika menyusukannya. Amalan ini diyakini dapat menghasilkan anak yang bijak dan tinggi akhlaknya.
Berbicaralah sambil mengusap lembut perut. Lahirkan perasaan rindu menanti kelahirannya dengan penuh ikhlas. Kajian mendapati bayi yang mendapat perhatian sejak dalam kandungan jelas kelihatan lebih baik dan tidak banyak meragam berbanding golongan yang tidak mendapat perhatian daripada ibu bapanya.
Ada pendapat menyatakan bahawa rangsangan sebegini amat efektif apabila kandungan menginjak usia enam bulan ke atas. Ini disebabkan pada usia tersebut jaringan struktur otak bayi mula berfungsi dengan baik.
Pastikan emosi anda sentiasa tenang agar anak yang bakal dilahirkan selalu riang dan tidak mudah meragam. Keadaan emosi yang tenang akan membantu perkembangan otak yang sihat dan pertumbuhan janin yang seimbang. Jadi, anda harus lebih banyak bersabar dan bersikap positif.
Percayalah, tingkah laku yang baik akan mempengaruhi sikap anak anda di masa hadapan. Malah, perasaan riang merupakan rangsangan kepada pembinaan otak yang pada masa yang sama dapat memastikan bayi yang sihat, pintar dan cerdas.
Perdengarkan janin dengan muzik klasik kerana ia diyakini dapat merangsang kecerdasan bayi sejak dalam kandungan. Oleh kerana muzik klasik memiliki pelbagai nada yang harmoni, ia mampu memberi rangsangan berupa gelombang alfa.
Gelombang ini berupaya menimbulkan ketenangan dan ketenteraman sehingga anak dapat memberi tumpuan yang lebih terhadap sesuatu perkara.
Perdengarkan juga beberapa jenis bahasa dan pelbagai pengetahuan asas yang mudah. Mulalah mengajar Aa-B-C, 1-2-3, kata-kata pengenalan diri seperti assalamualaikum, hello, ini ibu atau ayah dan sebagainya.
Lakukan isyarat-isyarat mudah seperti menepuk perut dengan lembut, menggosok persekitaran perut, menggoncang perut perlahan-lahan dan kemudian usap lembut bagi menenangkannya.
Rakamkan suara anda, suami dan ahli keluarga yang lain berserta bunyi-bunyian dan pasangkan earphone ke perut. Dengan cara itu bayi yang bakal lahir mudah mengecam suara-suara orang terdekat dengannya setelah dilahirkan kelak.
Perkenalkan juga perbezaan suasana seperti terang dan gelap dengan menggunakan lampu picit yang disuluh ke perut. Lakukan rangsangan ini selama lima hingga 10 minit setiap kali melakukannya.
Untuk pasangan yang sedang ikhtiar hamil, jom sertai grup komuniti ‘Pejuang Garis 2 Pa&Ma’ untuk mengikuti pelbagai aktiviti yang dianjurkan serta peluang untuk memenangi pelbagai hadiah best.
Perempuan bila hamil memang banyak yang akan berubah. Bukan sahaja bentuk fizikal, malah emosi dan juga perwatakan kadang kala turut memberi kesan. Maklum sahaja perubahan hormon yang berlaku ketika tempoh kehamilan itu adalah perkara biasa buat seorang ibu hamil.
Justeru itu penting untuk setiap ibu hamil menjaga kesihatan agar perubahan yang berlaku pada fizikal dan juga emosi tidak menjejaskan kesihatan ibu dan anak yang dikandung.
Seperti yang dikongsikan oleh Dr Zubaidi Hj Ahmad yang menyatakan ramai ibu hamil yang bekerja tidak begitu menitikberatkan soal kesihatan dan keselamatan di tempat kerja.
Menurutnya juga, kebanyakkan ibu hamil anggap bila dah jalani pemeriksaan antenatal secara berkala di klinik kesihatan telah cukup untuk memastikan kesihatan dan keselamatan ibu dan bayi sepanjang kehamilan.
Ramai wanita yang bekerja ketika hamil tidak begitu menitikberatkan soal kesihatan dan keselamatan di tempat kerja. Sebagai contoh, mereka menganggap kerjaya sebagai pegawai tadbir yang bekerja di pejabat, tidak mengganggu kehamilan dan kesihatan diri mereka.
Mereka berpendapat dengan menjalani pemeriksaan antenatal secara berkala di klinik kesihatan telah cukup baik bagi memastikan kesihatan dan keselamatan ibu dan bayi sepanjang tempuh kehamilan.
Mereka lupa bahaya isu kesihatan dan keselamatan tidak semestinya hanya isu-isu berat yang menyebabkan kemudaratan fizikal dan nyawa. Perkara-perkara kecil seperti keletihan mental dan fizikal, pergerakan dan postur, perjalanan dan bunyi bising adalah antara isu keselamatan yang harus diberikan perhatian.
Nasihat saya bagi wanita yang hamil dan bekerja, agar pastikan bekerja di tahap yang selesa mungkin. Anda boleh cuba :
1. Berehat sekejap Jika pekerjaan anda begitu memenatkan, berehat sebentar apabila dari memfokuskan suatu pekerjaan selama beberapa minit.
2. Lakukan senaman sesuai Letak kaki di atas jika anda telah lama berdiri, atau berdiri dan berjalan setiap dua jam sekali jika anda telah lama duduk. Ini akan membantu mengurangkan bengkak di kaki dan buku lali, dan membuat anda berasa lebih selesa. Lakukan beberapa senaman regangan untuk melindungi belakang anda.
3. Pakaian yang selesa Pakai pakaian yang selesa, dan longgar yang diperbuat daripada kapas
4. Kasut yang sesuai buat ibu hamil Pakai kasut bertumit rendah dan pastikan kasut anda mempunyai tumit yang tebal.
5. Bawa kelengkapan lain untuk keselesaan Jika anda bekerja di dalam persekitaran yang berhawa dingin, pastikan membawa selendang dapat membantu menghangatkan badan.
Wanita yang hamil juga harus menjaga pemakanan mereka. Cuba dapatkan masa masa untuk makan dengan lebih kerap. Pastikan makanan yang dimakan mempunyai banyak serat untuk mengelakkan sembelit.
Pilih makanan tengah hari yang seimbang dan berkhasiat. Saya cadangkan agar membawa bekalan makanan dari rumah untuk mengelakkan keracunan makanan apabila makan di gerai yang kurang bersih.
Berkenaan ujian imbasan, apakah ada ujian imbasan khas yang perlu dilalui selain daripada ujian imbasan yang biasa dilakukan setiap kali melakukan pemeriksaan antenatal?
Semua wanita hamil perlu menjalani ujian imbasan nucheal transluscency pada minggu ke-11 hingga 14 bagi mengukur bahagian belakang bayi dalam kandungan. Cecair yang sangat tebal pada bahagian berkenaan boleh menjadi petanda bahawa bayi bermasalah.
Hasil kajian mendapati 50% mengalami masalah kromosom, 25% tidak dapat dijangka masalahnya, 10% bayi meninggal dunia dan 30% bayi lahir normal selepas ujian ini dilakukan.
Selain itu ujian amniosentosis boleh mula dilakukan selepas usia kandungan 15 minggu di mana jarum khas digunakan untuk mengambil air ketuban untuk pemeriksaan selanjutnya di makmal.
UJIAN MENENTUKAN KECACATAN KROMOSOM
Semasa kehamilan, wanita hamil mungkin perlu mengambil beberapa pilihan ujian termasuklah ujian saringan untuk mengenal pasti keabnormalan atau kecacatan kromosom. Walaupun kecacatan kromosom yang berlaku pada bayi belum lahir adalah jarang-jarang, namun kebanyakan ibu bapa dengan keadaan perubatan tertentu atau mempunyai sejarah keluarga dengan penyakit keturunan adalah perlu untuk lebih berhati-hati.
Apakah itu kecacatan kromosom?
Keabnormalan atau kecacatan boleh berlaku dengan perkembangan luar biasa kromosom itu sendiri, atau ia boleh termasuk satu atau lebih gen. Bayi tersebut tidak lahir dengan kecacatan tetapi kebanyakannya mewarisi gen abnormal daripada kedua-dua ibu dan bapa. Selalunya, jika bayi mendapat hanya satu gen abnormal, maka gen baik lain akan diambil alih oleh ibu bapa.
Kajian menunjukkan bahawa kecacatan kromosom menghuraikan lebih daripada separuh kes keguguran dalam trimester pertama. Kecacatan kromosom yang dikenali ditemui dalam 0.5 hingga 1 peratus pada kesemua bayi baru lahir yang hidup.
Contoh paling lazim kecacatan kromosom ialah Sindrom Down. Berbanding dengan mempunyai dua kromosom no. 21, individu yang terjejas dengan keadaan ini mempunyai tiga kromosom salinan. Sindrom Down menyebabkan IQ rendah dan ciri istimewa seperti anggota badan yang pendek dan mempunyai kedutan di sekitar mata. Implikasi lain keabnormalan kromosom ialah kecacatan jantung. Bayi baru lahir yang mempunyai kromosom no. 13 tambahan (Sindrom Patau) atau no. 18 (Sindrom Edward) jarang sekali hidup selepas lahir. Keadaan-keadaan ini kurang diketahui umum berbanding Sindrom Down.
Apakah ujian yang digunakan untuk mengesan kecacatan kromosom?
Pemeriksaan serum Jika doktor anda mengesan tanda-tanda luar biasa pada fetus anda, dia akan menjalankan pemeriksaan serum seperti ujian amniosintesis. Ujian ini hanya disarankan jika anda berisiko tinggi mendapat kecacatan kromosom. Walau bagaimanapun, mendapat risiko tinggi bukan bermakna anak anda sudah dijangkiti. Ini adalah bentuk ujian darah yang dilakukan antara minggu ke-15 hingga 20. Jika anda mengambil ujian ini, hormon kehamilan dalan darah anda akan dinilai berhati-hati. Selepas itu, doktor akan menggabungkan keputusan dengan usia anda bagi mengira dan mengenal pasti sama ada anak anda berisiko mendapat Sindrom Down ataupun tidak.
Ujian persampelan vilus korion (CVS)
Ujian diagnostik ini dilakukan untuk menentukan bilangan sebenar kromosom pada bayi. Jika bilangannya 46, ia dianggap normal. Kaedah ini membantu doktor mengenal pasti kebarangkalian bayi mendapat kecacatan kelahiran seperti trisomi 18, trisomi 13, Sindrom Down, dan penyakit lain. Jika ibu hamil mempunyai sejarah keluarga dengan keadaan genetik tertentu, CVS juga akan dijalankan. Doktor akan memasukkan jarum melalui abdomen ibu atau melalui serviks ke dalam plasenta. Kemudian, doktor akan memilih kepingan kecil plasenta untuk dihantar ke makmal bagi pengimbasan genetik. Prosedur ini mengambil masa sekitar 2-3 jam untuk dijalankan. Keputusan akan didapati dalam kira-kira beberapa minggu selepas itu.
UJIAN MENENTUKAN JANTINA
Antara perkara yang mengujakan semasa hamil adalah meneka sama ada jantina bayi anda lelaki ataupun perempuan. Selain daripada mitos yang diperkatakan sejak sekian lama, terdapat beberapa cara untuk mengenal pasti jantina bayi dalam kandungan. Artikel di bawah memberikan maklumat kepada anda mengenai bagaimana jantina boleh dikenal pasti melalui beberapa ujian perubatan.
Mitos
Mitos-mitos yang diperkatakan mungkin sekadar mitos, tetapi tiada salahnya untuk mencuba.
Bentuk perut anda semasa hamil (baby bump):
Mengikut cerita orang-orang dahulu, jika bentuk perut anda semasa hamil bulat seperti bola, ini bermakna anda sedang mengandungkan bayi lelaki. Sebaliknya, jika perut anda berbentuk luas, anda lebih cenderung untuk mendapat bayi perempuan.
Mengidam makanan manis dan berempah, dan makanan yang sedap:
Teknik ini hanya bergantung kepada apa yang anda ingin makan, dan tentunya tidak tepat untuk mengenal pasti sama ada anda mengandungkan bayi lelaki ataupun perempuan. Bagaimanapun, adalah dipercayai bahawa jika seseorang ibu itu mengidam makanan manis, dia akan mendapat bayi perempuan. Sebaliknya, jika anda teringin makan makanan seperti kentang goreng dan stik semasa hamil, anda mungkin sedang hamil bayi lelaki.
Bentuk wajah anda:
Kepercayaan orang dulu-dulu, ibu yang boleh mengawal berat badan mereka dan menjaga penampilan akan melahirkan bayi lelaki. Sementara untuk ibu yang tidak, dia akan mendapat bayi perempuan. Mengapa berbeza? Ini kerana, menurut kepercayaan dahulu, bayi perempuan akan mengambil seri kehamilan ibu tersebut.
Ujian perubatan yang boleh mendedahkan jantina sebenar bayi
Amniosentesis:
Prosedur amniosentesis termasuklah meletakkan sebatang jarum ke dalam bendalir yang mengelilingi bayi. Pakar kemudiannya akan melihat kepada rupa kromosom bayi untuk menentukan jantina bayi, juga sebarang keabnormalan kromosom. Teknik ini pasti dapat menentukan jantina bayi anda. Walau bagaimanapun, memandangkan ujian ini berisiko tinggi menyebabkan keguguran, maka doktor tidak akan mencadangkan anda untuk melakukan ujian ini.
Ultra-bunyi:
Pada usia kandungan 20 minggu, anda dan pasangan boleh mengetahui jantina bayi dengan cara melakukan imbasan ultrabunyi anatomi. Jika anda benar-benar ingin tahu, semasa minggu ke-14 dan 15 kehamilan, imbasan juga sudah boleh dilakukan. Malahan, secara saintifiknya, jika anda melihat bentuk penyu, bersedialah untuk menerima bayi lelaki. Sementara itu, jika anda melihat tiga garisan, maka anda mungkin akan menerima bayi perempuan. Pun begitu, teknologi boleh menyebabkan keputusan yang salah. Jadi, satu-satunya cara untuk memastikan jantina anak anda adalah dengan menunggunya sehingga hari kelahiran.
BEZA UJIAN IMBASAN 2D, 3D, DAN 4D. DOKTOR INI TERANGKAN DENGAN TERPERINCI
Sejak kebelakangan ini, ujian imbasan 3D dan 4D semakin popular di kalangan ibu hamil. Hal ini kerana, dengan perkembangan teknologi moden yang semakin canggih, bukan sahaja jantina anak dapat diketahui dengan mudah, bahkan rupa parasnya juga dapat dilihat dengan lebih jelas. Malah, apa sahaja yang berkaitan dengan fizikal anak dapat diketahui sejak dalam kandungan lagi.
Menerusi imbasan 3D (tiga dimensi – gambar berwarna oren) dan 4D (empat dimensi dengan video tiga dimensi) ini, anda boleh melihat secara langsung apa yang bayi lakukan di dalam kandungan. Memang mengujakan! Lebih-lebih lagi sekiranya ia kandungan pertama anda.
Namun yang demikian, imbasan 3D dan 4D hanya boleh dilakukan ketika usia kandungan 26 minggu hingga 32 minggu. Ini kerana pada masa ini, bayi di dalam kandungan sudah matang dan besar. Jadi, pembentukan fizikal dan jantinanya boleh dilihat dengan jelas.
Selain itu, pemeriksaan imbasan 3D dan 4D dipengaruhi beberapa faktor lain seperti maternal habitus (gemuk/kurus), posisi bayi ketika imbasan, kandungan air ketuban dan usia kandungan.
Imbasan dan keperluannya
Imbasan ultrabunyi juga dikenali sebagai imbasan ultrasound ataupun sonografi yang melibatkan pemancaran gelombang bunyi berfrekuensi tinggi. Gelombang bunyi akan melalui rahim dan imej bayi dan dipantul balik. Pantulan ini kemudiannya diproses oleh mesin dan komputer untuk mewujudkan imej pada skrin yang mendedahkan kedudukan dan pergerakan bayi.
Imbasan ultrabunyi dianggap sebagai kaedah yang selamat, tepat dan menguntungkan. Ia berbeza dengan X-ray di mana ia menggunakan pengionan yang membahayakan manakala
imbasan ultrabunyi menggunakan gelombang bunyi. Ia menghasilkan gambar-gambar bahagian dalam tubuh. Pengimejan ultrabunyi, juga dikenali sebagai imbasan ultrabunyi atau sonografi, melibatkan penggunaan transduser kecil (probe) dan gel ultrabunyi diletakkan terus pada kulit.
Pengimejan ultrabunyi merupakan ujian perubatan invasif yang membantu mendiagnosis dan merawat keadaan perubatan. Ultrabunyi memainkan peranan yang penting dalam penjagaan setiap ibu hamil. Antara sebab ia penting adalah untuk:
1. Mengetahui kedudukan uri dan tahap air ketuban.
2. Menentukan usia sebenar bayi dan jangkaan tarikh lahirnya.
3. Mengetahui bilangan bayi sama ada tunggal ataupun kembar.
4. Memeriksa perkembangan fizikal bayi dan kecacatan kelahiran.
5. Memeriksa perkembangan bayi sama ada sesuai dengan peringkat perkembangannya.
Beza 2D, 3D & 4D
Imbasan 2D memberi gambar dua dimensi dalam warna hitam putih. Imbasan ini juga dikenali sebagai imbasan morfologi. Paling baik dilakukan pada minggu ke-20 hingga 26 kehamilan. Ia merupakan imbasan terperinci bayi dan banyak aspek yang akan dinilai semasa proses imbasan dilakukan. Ini bagi memastikan perkembangan bayi adalah normal.
Biasanya sonografer akan melihat kepala dan otak bayi, muka termasuk profil bibir, jantung, dada termasuk diafragma; abdomen termasuk buah pinggang, pundi kencing, perut, tulang belakang, anggota badan termasuk tangan dan kaki.
Imbasan ini perlu dilakukan di dalam keadaan yang baik dan memerlukan kerjasama bayi. Jika kedudukan bayi tidak menentu, anda mungkin terpaksa pulang dan datang kembali pada masa yang lain.
Setiap bayi mempunyai ciri-ciri tersendiri. Contohnya, sesetengah bayi mempunyai ukuran kepala yang lebih besar atau ukuran tulang paha yang lebih pendek. Ciri-ciri ini sering sama dengan ibu bapanya. Aspek-aspek lain yang dinilai adalah:
1. Kadar jantung bayi.
2. Bilangan bayi.
3. Kedudukan plasenta.
4. Jumlah cecair amnion sekitar bayi.
5. Tempoh pembukaan laluan serviks.
6. Rahim ibu.
Imbasan 3D pula merupakan gambar statik tiga dimensi dan 4D pula merupakan rakaman video. Imbasan 3D dan 4D dianggap selamat seperti imbasan 2D kerana imej-imej yang terdiri daripada bahagian-bahagian imej dua dimensi ditukar ke dalam bentuk gambar.
Imbasan 3D dan 4D boleh memberikan lebih banyak maklumat kerana ia boleh menunjukkan lebih terperinci dari sudut yang berbeza. Pengimbasan 3D dan 4D juga berguna untuk melihat hati dan organ-organ dalaman yang lain. Sebelum 26 minggu, bayi anda mempunyai sangat sedikit lemak di bawah kulit. Jadi, tulang mukanya akan mudah dilihat dengan lebih jelas. Selepas 32 minggu, kepala bayi akan pergi jauh ke dalam pelvis dan anda mungkin tidak dapat melihat wajahnya.
Pada minggu ke-28, jika plasenta berada di hadapan rahim (anterior plasenta), anda akan melihat imej terbaik wajah bayi! Namun, kadang-kadang ia tidak berlaku seperti yang diharapkan. Ia bergantung pada kedudukan bayi di dalam rahim. Pihak sonografer mungkin akan meminta anda untuk berjalan-jalan dahulu atau datang kembali dalam tempoh seminggu dengan harapan bayi berubah ke kedudukan yang lebih baik.
Wow! Bestnya mommies dapat me-time dengan bff di Muzium Negara. Ada sharing dari pakar, games menarik dan hadiah lumayan untuk dimenangi. Jom, daftar sekarang di SINI