Komunikasi yang berkesan terjadi apabila satu pihak bercakap dan satu pihak lagi mendengar. Komunikasi 2 hala memerlukan teknik dan trik terutama ketika kita ingin berkomunikasi dengan anak-anak.
Terdapat 4 teknik yang boleh saya kongsikan di sini untuk meningkatkan tahap komunikasi yang berkesan. Ianya tidak perlu sampai anak faham apa yang kita cakapkan, sekurang-kurangnya mereka mahu mendengar itu sudah cukup baik pada permulaannya.
1)Rendahkan badan untuk bercakap sama paras dengan ketinggian anak
Apabila kita mahu anak mendengar atau ambil perhatian apa yang sedang kita cakapkan kepada mereka, rendahkanlah badan kita agar boleh sama paras mata dengan mata anak.
Kita boleh juga mengangkat anak sambil letak dipangku untuk mulakan komunikasi bersama anak. Seterusnya pandang bola mata mereka dan cakaplah secara tenang, perlahan tetapi jelas tentang apa yang kita ingin katakan.
Jangan gunakan bahasa yang tinggi atau ‘complicated’ yang membuatkan mereka menjadi kurang faham apa yang kita katakan.
Untuk umur anak 2,3 dan 4 tahun gunakan kosa kata atau vocabulary yang mudah untuk mereka sebut dan ikut. Kerana, ketika itu juga mereka sedang belajar untuk meniru percakapan kita. 2)Elakkan salah faham
Kadangkala bila kita gunakan terlalu banyak perkataan yang lebih kurang bunyinya sama terutama dalam Bahasa Inggeris seperti ‘three’ atau ‘tree’ juga boleh membuatkan komunikasi 2 hala dengan anak terganggu.
Apabila mereka faham perkara yang lain seperti yang kita cakapkan, mula akan terjadi konflik antara kita dan anak.
Mudah kadangkala kita label mereka tidak mendengar kata atau lakukan apa yang kita suruh yang sedangkan mereka tidak faham sebetulnya apa yang ingin kita sampaikan.
Ads
Cara terbaik ialah, lihat reaksi muka mereka jika berkerut dahi mereka atau terbeliak mata mereka, tanyakan semula apa yang kita cakapkan tadi.
Jika ianya berlainan dengan apa yang kita cakapkan tadi, betulkan mereka dengan perlahankan kelajuan percakapan kita hingga mereka benar-benar faham mesej yang ingin disampaikan.
Jika perlu diberikan contoh untuk mudah mereka faham, berikanlah. 3)Terus kepada mesej yang sebenar
Bayangkan kita mempunyai masa yang sedikit untuk melakukan perbualan bersama mereka, jadi kita perlu cakap apa yang kita perlu cakap sahaja. Sekiranya kita bercakap kepada anak dengan terlalu terperinci, sudah pasti berlaku banyak kekeliruan dan mereka akan bertanya soalan yang tidak kena mengena dengan apa yang kita sampaikan. Jadinya, buang masa dan kita akan menjadi sedikit putus asa untuk ulangnya lagi. 4)Jangan menjerit kepada mereka
Menjerit adalah cara paling buruk dalam berkomunikasi.
Ianya terbukti apabila kita menjerit kepada anak, mereka tidak akan mendengar apa yang kita cakapkan. Walaupun mereka duduk dan melihat mata kita, mereka hanya menadah telinga untuk mendengar dengan penuh rasa sedih dalam diri kerana dimarahi.
Oleh itu, percakapan kita gagal, mereka sedih dan kita juga rasa sedih. Tiada apa yang berjaya disampaikan.
Apabila kita merasakan marah dan ingin menjerit, ubah kedudukan kita ketika itu. Jika berdiri, cuba bertenang dengan duduk. Tarik nafas dalam-dalam dan jika boleh ambil wudhu’ untuk mengurangkan amarah itu.
Cuba sebaik mungkin untuk tidak menjadi ‘singa lapar’ kerana ianya tidak baik untuk emosi dan hormon badan anak kita. Kita sebagai ibubapa perlu cuba sebaik mungkin menjadi seorang yang mereka idolakan yakni mempunyai tindakan yang positif terhadap mereka. Ianya ibarat seorang guru yang mereka sanjungi.
Ads
FOKUS
Kesannya, apabila kita berjaya dalam berkomunikasi dengan anak yang mana mereka mendengar apa yang kita cakapkan, itulah titik mula untuk melatih mereka untuk fokus. Fokus anak memang susah untuk dibentuk kerana mereka penuh dengan pelbagai perkara yang ingin dicuba.
Tetapi komunikasi adalah perkara yang setiap hari kita lakukan bersama mereka, dari situlah fokus mereka secara tak langsung dibentuk. Cumanya, kita kena cakap secara betul, jelas agar deria telinga mereka terangsang dengan optimum.
Ads
Sumber: www.excelqhalif.com
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dalam dunia keibubapaan hari ini, ramai ibu ayah rasa tertekan bila anak belum pandai membaca, terutama bila nampak anak orang lain dah boleh baca buku cerita dengan lancar. Tapi sebenarnya, setiap anak ada masa dan gaya belajar yang berbeza.
Menerusi perkongsian seorang ibu di laman Facebook, beliau berkongsi 7 cara ajar anak membaca yang boleh dijadikan panduan berguna untuk ibu ayah lain. Katanya, jangan sesekali paksa anak atau stres, sebab tekanan hanya akan buat anak hilang minat untuk membaca. Bahaya tau!
Nak tahu macam mana cara dia ajar anak sampai pandai membaca dengan santai? Jom tengok satu-satu.
Mulakan seawal mungkin seawal 6 bulan pun dah boleh bacakan buku cerita. Kajian menunjukkan bayi yang dibesarkan dalam suasana yang sering dibacakan buku dan selalu berkomunikasi akan memiliki kosa kata yang lebih banyak.
Sebelum ajar anak membaca, biar dulu mereka pandai bercakap dan faham arahan. Menurut pakar terapi carakerja (OT), bawah umur 2–3 tahun tak perlu ajar ABC atau 123 lagi, cukup fokus pada perkembangan asas dulu.
Irama dan lagu bantu stimulasi otak anak. Bila anak menyanyi sambil menari, dua-dua belah otak aktif! Kalau guna fonik, boleh guna lagu popular seperti “Abu Ada Ayam” atau lagu ABC. Janji anak enjoy!
Setiap huruf boleh dijadikan aktiviti menyeronokkan. Contohnya, huruf A untuk ayam — guna kulit telur ayam untuk tampal pada kertas. Biar anak kupas kulit telur tu sendiri.
Aktiviti begini bantu kuatkan motor halus, motor kasar dan koordinasi mata-tangan. Boleh juga buat “game tabur huruf”: sebut bunyi huruf dan suruh anak cari yang betul. Seronok dan efektif!
Kalau guna fonik, ajar anak gabungkan bunyi seperti /beh/ + /aa/ = ba. Kalau ikut kaedah suku kata pun sama konsep — ‘b’ kawan dengan ‘a’ jadi “ba”.
Ibu ini siap DIY guna muka Hello Kitty, letak huruf satu-satu untuk anak belajar! Nak versi comel lagi, boleh cari flip-card menarik di pasaran.
Bila anak dah boleh gabung dua huruf, teruskan dengan aktiviti suku kata. Contohnya bahagian tubuh: Da-hi, Pi-pi, Da-gu, Ka-ki.
Anak lebih cepat tangkap bila belajar sambil melihat, menyentuh dan bermain — bukan hanya melalui buku. Katanya, dia suka “bawa keluar” isi dari buku jadi benda nyata yang anak boleh pegang dan rasa.
Bila anak dah boleh membaca sedikit, jadikan membaca sebagai rutin bersama. Contohnya, ibu baca satu ayat, anak sambung ayat seterusnya. Tampal poster bacaan di tempat yang mudah dilihat — dinding, peti ais, ruang tamu. Membaca bukan hanya di buku, tapi di sekeliling kehidupan anak.
Pesan ibu ni, “Please jangan stress!” Bila kita tegang, anak pun boleh rasa. Bila kita paksa, minat mereka hilang. Cuba fikir aktiviti yang menarik minat anak, peluk dan puji selalu.
Katanya, setiap hari dia cuma luangkan 5–15 minit untuk aktiviti membaca. Selebihnya, main, main, dan main! Tahu-tahu saja, anak dah boleh membaca dengan lancar.
Cara ajar anak membaca bukan melalui paksaan, tapi melalui kasih sayang, komunikasi, dan keseronokan. Semoga perkongsian ini bantu ibu ayah di luar sana faham bahawa perjalanan membaca anak tak perlu stres — yang penting, enjoy the process dan raikan setiap kemajuan kecil mereka.
Sawan ketika demam merupakan perkara yang selalu berlaku kepada kanak-kanak. Penyebab kepada berlakunya sawan ini ketika demam masih lagi menjadi tanda tanya para saintis dan juga doktor perubatan.
Ada pendapat yang mengatakan disebabkan otak kanak-kanak masih belum matang, maka ia boleh mencetuskan maklumat yang bercelaru di dalam otak ketika mana suhu tinggi.
Di samping itu ramai di kalangan ibu bapa berpendapat bahawa kawalan suhu yang bagus dapat mengelakkan anak yang demam daripada terkena sawan. Oleh itu, ibu bapa yang mempunyai sejarah anak sawan ketika demam akan kerap memberikan ubat demam kepada anak mereka ketika demam.
Tetapi tahukah anda, PEMBERIAN UBAT DEMAM TIDAK MAMPU MENCEGAH SAWAN?
Satu kajian telah dibuat pada tahun 2009 dan seramai 289 kanak-kanak yang pernah mengalami sawan ketika demam menyertai kajian ini. Keputusan kajian mendapati kebarangkalian kanak-kanak ini mendapat sawan adalah sama di antara kanak-kanak yang mengambil ubat demam ataupun tidak.[1]
Manakala pada 2013 pula, sekumpulan doktor perubatan menggabungkan 3 kajian mengenai ‘pencegahan sawan ketika demam dengan pengambilan ubat demam’. Kajian tersebut juga mendapati bahawa kegunaan ubat demam tidak mampu mengelakkan sawan daripada berlaku.[2]
Bermaksud, ambil ubat demam ataupun tidak jika sawan itu nak datang, ia pasti akan datang.
Kajian ini bukanlah membawa kesimpulan bahawa tidak perlu beri ubat demam kepada kanak-kanak. Tetapi ia menyatakan satu aspek yang lebih penting daripada kawalan demam iaitu PENGURUSAN ANAK KETIKA SAWAN.
Ini disebabkan sejauh mana kita kawal suhu kanak-kanak tersebut, ia tidak mempengaruhi langsung kebarangkalian kanak-kanak tersebut untuk mengalami sawan. Seperti yang saya katakan, jika sawan itu nak datang ia akan datang.
Oleh itu, ibu bapa yang mempunyai anak-anak seperti ini perlu mempunyai ilmu asas untuk menguruskan anak yang sedang mengalami sawan.
Berikut adalah cara yang mudah untuk anda menguruskan anak anda ketika sawan: 1) Jangan panik: Sebagai ibu bapa, anda tidak perlu terlampau panik sehingga mana anda lupa langkah-langkah yang seterusnya. Jika lupa, anda mungkin akan membahayakan nyawa anak anda.
2) Lihat jam untuk mengetahui pukul berapa sawan itu bermula
3) Jauhkan pesakit daripada bahan-bahan ataupun kawasan yang berbahaya
4) Letak pesakit secara mengiring ke kiri: Sebenarnya jika anda lupa, mengiring sebelah kiri dan kanan pun tak kisah. Tetapi yang paling tepat adalah mengiring sebelah kiri. Ini kerana ketika sawan, lelehan air liur ataupun makanan boleh masuk ke dalam saluran trakea iaitu saluran paru-paru.
Air liur ataupun makanan ini boleh memasuki paru-paru melalui bronchus. Tetapi bronchus paru-paru sebelah kanan lebih lurus berbanding paru-paru sebelah kiri menyebabkan paru-paru sebelah kanan lebih senang dimasuki air liur ataupun makanan tersebut. Oleh itu, mengiring ke kiri adalah lebih baik ketika berlakunya sawan.
5) Dilarang untuk meletak barang di dalam mulut pesakit. Orang terdahulu menyuruh kita meletakkan sesuatu di dalam mulut ketika sawan berlaku. Tetapi didapati perbuatan itu hanya menerukkan lagi keadaan pesakit seperti gigi pesakit boleh patah dan pesakit tercekik, trauma pada lidah dan lain-lain lagi.
6) Sapu sebarang lelehan air liur daripada mulut pesakit. Ini untuk mengelakkan daripada saluran udara tersumbat dengan perkara tersebut.
7) Jika sawan sudah berhenti, bawa terus ke jabatan kecemasan
Wajib pergi bawa terus pergi hospital jika 1) Muka pesakit menjadi biru 2) Sawan lebih daripada 3 minit. 3) Pesakit terus tidak sedarkan diri
Perkara yang kami katakan bukan menunjukkan tidak perlu menggunakan ubat demam. Tetapi lebih kepada kefahaman ibubapa berkenaan perkara ini dan pentingnya ibubapa tahu macam mana nak uruskan kanak-kanak yang sedang sawan.
Dalam mendidik anak-anak yang sedang membesar terutamanya yang berumur sekitar 0-6 tahun, teori dan juga pendekatan secara praktikal diperlukan oleh ibu bapa. Maklum sahaja ketika usia sebegini anak-anak mudah menyerap apa yang kita buat untuk mereka sekaligus sedikit sebanyak akan mempengaruhi sikap dan perangai mereka bila dewasa kelak.
Dr Airil Haimi Mohd Adnan, Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Perak dan penyelidik aktif ilmu psikologi perkembangan tahun awal serta sosiologi pendidikan usia praformal (0-6 tahun) di peringkat ASEAN ada petua untuk para ibu bapa dalam mendidik si kecil zaman milenial ini berdasarkan penyelidikan yang ada.
Dengan tibanya tahun baharu 2020 dan dengan bermulanya kurun seterusnya dalam sejarah peradaban manusia, cabaran dan dugaan yang hebat sudah pasti dirasai oleh papa, mama dan para pendidik prasekolah yang mengambil berat akan pekembangan si kecil kontemporari dalam lingkungan usia 0-6 tahun.
Tahun-tahun awal ini bukan hanya membentuk peribadi seorang insan tetapi pendidikan berbentuk praformal (sebelum pendidikan formal di sekolah rendah dan menengah) di taska dan tadika serta dalam situasi rumah membantu proses perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek si kecil.
Saya pasti mama dan papa serta pendidik prasekolah di luar sana tahu banyak tips serta panduan berguna tentang cara-cara untuk mempengaruhi tumbesaran dan perkembangan si kecil. Untuk edisi kali ini, saya kongsikan lima petua tambahan berdasarkan bukti dan fakta dari penyelidikan sains sosial serta ilmu pendidikan berkenaan pendidikan si kecil dalam peringkat usia pendidikan praformal 0-6 tahun.
Saya rasa semua orang tahu bahawa membiarkan si kecil duduk di depan skrin telefon pintar, tablet, komputer atau televisyen selama berjam-jam pada satu-satu masa, amat tidak baik untuk perkembangan dan juga kesihatannya. Tetapi hakikatnya, memang sukar untuk papa dan mama memantau serta mengawal aspek kehidupan ini, lebih-lebih lagi dewasa ini pendidikan berbentuk digital dan juga hiburan berbentuk digital amat mudah dimuat turun ke dalam telefon pintar, tablet, komputer atau televisyen.
Tidak masuk akal dan amat tidak patut jika mama dan papa menahan kanak-kanak pada peringkat usia pendidikan praformal daripada menggunakan teknologi. Ini kerana hidup kita hari ini saling terikat dengan teknologi sehari-hari. Realitinya juga semua orang tidak kira tua atau muda, si kecil atau anak remaja cenderung menggunakan media sosial untuk saling berhubungan, berkongsi rasa serta belajar bersama.
Pada masa yang sama, pantauan dan kawalan amat diperlukan supaya masa di depan skrin tidak membantutkan pembangunan potensi diri si kecil, merosakkan kesihatan matanya atau mengganggu rutin lain yang produktif seperti membaca santai atau beriadah di luar rumah. Akademi Pediatrik Amerika Syarikat baru-baru ini mendapat bahawa masa yang terlalu lama di depan skrin sebenarnya boleh membantutkan pemikiran kanak-kanak!
Pada penyelidik dari Akademi itu menguji kemahiran bahasa dan celik huruf 47 orang kanak-kanak prasekolah antara usia tiga hingga lima tahun dan melakukan pengimejan pada otak mereka. Didapati kanak-kanak yang terlalu kerap dan terlalu taksub menggunakan media teknologi berasaskan skrin (screen based technologies) mempunyai mikrostruktur otak yang agak kurang maju berbanding kanak-kanak lain.
Akademi Pediatrik Amerika Syarikat juga banyak menjalankan penyelidikan mengenai proses mendisiplinkan diri kanak-kanak. Pada bulan November 2019, Akademi ini telah mengeluarkan kenyataan yang amat keras berkenaan proses mendisiplin kanak-kanak dan
papa dan mama yang terlalu mudah marah dan cepat pula ‘naik tangan’ dengan si kecil. Data dari kumpulan penyelidik di Akademi ini mendapati bahawa memukul si kecil lebih banyak mudarat berbanding dengan kebaikan.
Beberapa penyelidikan sains sosial dan pendidikan lain juga mencapai rumusan yang sama. Hukuman pada tubuh badan kanak-kanak mempunyai banyak kesan buruk dan boleh membawa kepada tingkah laku yang agresif dan menentang orang dewasa. Hukuman fizikal pada usia muda juga akan meningkatkan risiko masalah kesihatan mental dan masalah berkaitan minda.
Lebih merisaukan, dalam situasi famili di mana kanak-kanak dilayan dengan ‘keras’ pada jangka masa panjang, hukuman fizikal hanyalah akan menjejaskan hubungan antara mama dan papa serta anak kecil mereka. Hubungan positif yang sepatutnya dirasai dalam famili akan dirosakkan oleh hukuman fizikal yang tidak terkawal, berlebihan dan tidak ada sebab yang munasabah!
Walaupun ada sebab yang munasabah, seharusnya hukuman fizikal dielakkan untuk kanak-kanak yang berusia 6 tahun dan ke bawah. Mereka masih kecil dan masih lagi tidak matang dalam berfikir. Dikhuatiri juga hukuman berbentuk fizikal akan membawa kepada kecederaan fizikal kerana tubuh badan kanak-kanak yang berusia 6 tahun dan ke bawah bukan hanya kecil tetapi mudah sakit dan tercedera.
Petua ini sebenarnya amat relevan kepada mama-mama di luar sana yang ada anak kecil dalam lingkungan usia 0-6 tahuan. Para penyelidik sains pendidikan di Universiti Buffalo, Amerika Syarikat telah mengkaji lebih daripada 140 remaja di New York. Data mereka menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mendapat layanan dengan penuh mesra, rasa kasih dan juga sayang sukar untuk menjadi pendera pada masa depan malah mereka juga kurang risiko menjalinkan hubungan dengan ‘kaki dera’ kelak.
Data untuk projek penyelidikan ini berkisar tentang konflik yang mereka lihat dan rasai antara mama dan papa mereka di rumah, pengalaman dalam perhubungan mereka dengan mama-mama mereka dan juga keganasan lain yang pernah mereka rasai sejak usia awal kanak-kanak lagi. Yang pasti, kemesraan dan rasa kasih serta sayang bukan sekadar memberi kekuatan dalaman tetapi juga dapat membentuk identiti diri yang cemerlang.
Kanak-kanak, pada usia muda lagi, sebenarnya sudah mula membentuk suatu model dalaman mengenai diri mereka sendiri dan orang lain berdasarkan kualiti perhubungan mereka dengan papa dan mama mereka. Jika mama atau papa mereka sering berlaku kasar atau tidak konsisten, kanak-kanak akan merasakan bahawa diri mereka kurang bernilai dan tidak dapat disayangi. Mereka juga akan sukar percaya kepada orang lain.
Akan tetapi, kemesraan dan tingkah laku positif yang ditunjukkan oleh mama dan papa akan meningkatkan penerimaan diri kanak-kanak. Kehangatan perhubungan keluarga yang mereka rasai juga akan membantu kanak-kanak membentuk model dalaman diri yang positif. Mereka akan percaya bahawa diri mereka juga layak disayangi oleh orang lain serta patut dihormat, seperti mana mereka menerima dan menghormati orang lain di sekeliling mereka.
Sekumpulan penyelidik lagi dari Akademi Pediatrik Amerika Syarikat telah menganalisis respons survei atau tinjauan daripada mama, papa serta penjaga 49,050 kanak-kanak yang berusia antara 6 hingga 17 tahun. Fokus para penyelidik ini adalah jumlah jam tidur purata untuk kanak-kanak di rumah mereka, bersama ahli famili mereka. Topik ini walaupun mungkin dilihat agak remeh, sebenarnya mempunyai implikasi yang amat besar dalam hidup kanak-kanak dan remaja dari sudut kesihatan dan pendidikan mereka.
Menurut para penyelidik dari Akademi berkenaan, tidur yang mencukupi bermakna sekurang-kurangnya 9 jam pada malam hari secara purata untuk kanak-kanak berumur 6 hingga 12 tahun dan sekurang-kurangnya 8 jam pada malam hari untuk remaja yang berusia 13 hingga 17. Untuk kanak-kanak pada peringkat usia praformal 0-6 tahun, sudah tentu tempoh waktu yang lebih lama diperlukan!
Para penyelidik dari Akademi berkenaan mendapati bahawa kira-kira sepertiga kanak-kanak sekolah tidak mendapatkan tidur yang cukup pada hari-hari sekolah mereka. Walaupun ini mungkin bukan perkara yang paling teruk di dunia jika dibandingkan dengan isu lain berkaitan tumbesaran serta perkembangan, ini masih lagi perkara yang perlu diambil serius untuk mama dan papa khasnya.
Kanak-kanak serta anak remaja yang tidak cukup tidur sebenarnya cenderung berasa tidak teruja atau tidak menunjukkan minat untuk mempelajari perkara-perkara baharu. Mereka juga kurang mengambil berat tentang prestasi semasa belajar, mereka cepat hilang minat untuk menyelesaikan perkara-perkara yang telah mereka mulakan dan mereka sukar untuk berasa tenang jika dihadapkan dengan dilema, konflik atau masalah.
Musuh utama kita yang hidup dalam kurun baharu ini adalah masa! Masa dirasakan makin kurang dan makin terhad, sehingga masa yang ada lebih bernilai daripada emas dan juga platinum. Masa yang tidak cukup serta agak terhad juga sering dijadikan alasan oleh papa dan mama yang tidak dapat meluangkan masa untuk si kecil mereka. Apa pun yang anda lakukan dalam hidup, sesibuk mana pun anda keluar mencari rezeki – wajib anda cuba untuk meluangkan masa dengan si kecil anda!
Aktiviti bermain atau riadah misalnya, akan merembeskan hormon ‘oxytocin’ dengan banyaknya dalam tubuh kanak-kanak. Oxytocin adalah hormon yang kritikal dan berkait rapat dengan kesihatan mental manusia. Hormon ini terlibat dalam aktiviti interaksi sosial bersama orang lain dan juga dalam proses membina ikatan yang lebih rapat dengan orang lain di sekeliling kita.
Akan tetapi, hormon ini dan banyak hormon lain lagi tidak semestinya diaktifkan melalui aktiviti fizikal sahaja. Untuk kanak-kanak misalnya, oxytocin dirembeskan apabila mereka berasa empati, apabila mereka melihat orang yang sayang dan menerima mereka dan juga apabila kulit mereka disentuh oleh mama dan papa mereka. Maka, tidak ada alasan untuk kita tidak meluangkan masa dan bermesra dengan si kecil tersayang di rumah.
Begitu besar kerugian papa dan mama yang tidak cuba meluangkan masa untuk bersama dengan si kecil. Masa yang hilang juga tidak akan berganti kembali, jangan kita lupa bahawa seorang anak kecil semakin meningkat dewasa dengan sekelip mata. Si kecil yang dahulunya amat sayang dan perlukan diri kita sebagai papa dan mama mungkin kelihatan
sedikit renggang apabila mencapai usia remaja dan awal dewasa. Oleh sebab itu, rebutlah masa yang masih ada dengan sekuat-kuat usaha.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!