Bayangkan anak masuk darjah satu, semangat nak belajar… tapi tak nampak pun apa cikgu tulis di papan putih. Itu bukan sebab dia tak fokus, tapi sebab dia RABUN.
Masalah penglihatan di kalangan murid sekolah rendah kini semakin membimbangkan. Terbaharu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dicadangkan untuk mewajibkan saringan kesihatan mata bagi murid Tahun 1, sebagai langkah awal memastikan kesihatan mata anak-anak tidak menjejaskan pembelajaran mereka.
55% Murid Tahun 1 Ada Masalah Penglihatan
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, seramai 55% daripada 2,008 murid Tahun 1 yang disaring tahun lalu di bawah Program Mata Hati Wilayah didapati mempunyai masalah kesihatan mata.
Daripada jumlah itu:
88% alami rabun jauh
4% alami rabun warna
8% alami masalah juling
Situasi ini menunjukkan keperluan untuk mengambil tindakan segera di peringkat sekolah rendah, terutamanya ketika minggu orientasi Tahun 1.
Ads
Anak Tak Sedar Mereka Rabun
Apa yang lebih membimbangkan, ramai murid tidak sedar pun mereka rabun. Mereka mungkin fikir keadaan itu normal, sehinggalah prestasi akademik mereka mula terjejas.
Laporan World Report on Vision oleh WHO menunjukkan, kanak-kanak yang alami masalah penglihatan cenderung untuk:
Kurang keyakinan diri
Prestasi akademik lebih rendah
Kurang fokus dan motivasi belajar
Gangguan Penglihatan Boleh Jejaskan Perkembangan Anak
Menurut Dr Zaliha, gangguan penglihatan juga boleh mengganggu:
Ads
Perkembangan motor
Kemahiran kognitif
Perkembangan bahasa
Sekiranya tidak dirawat dari awal, anak-anak ini mungkin mengalami kelewatan dalam perkembangan yang boleh berpanjangan sehingga dewasa.
Bantuan Cermin Mata Beri Impak Positif
Melalui Program Mata Hati Wilayah, murid yang dikenal pasti mempunyai masalah penglihatan menerima bantuan cermin mata. Hasilnya sangat memberangsangkan:
92% menunjukkan peningkatan dalam aspek komunikasi, keyakinan dan minat belajar.
Lebih fokus semasa sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Pergaulan dengan rakan sebaya turut bertambah baik.
Sekolah yang terlibat termasuk SK Bandar Tun Hussein Onn, SK Jalan Bellamy dan SK Seri Bintang Utara.
Ads
Apa Peranan Ibu Bapa?
Sebagai ibu bapa, kita adalah barisan depan dalam mengenal pasti perubahan pada anak. Tanda-tanda anak mungkin rabun termasuk:
Tidak fokus dalam kelas atau ketinggalan pelajaran
Jika anak menunjukkan tanda-tanda ini, bawa mereka untuk pemeriksaan mata di klinik atau optometris berdaftar.
Cadangan untuk menjadikan saringan mata sebagai sebahagian daripada sesi orientasi Tahun 1 adalah langkah tepat dan sangat wajar. Ia bukan sahaja membantu mengesan masalah rabun dari awal, tetapi juga memastikan anak-anak dapat belajar dan berkembang dengan lebih baik.
Kesihatan mata adalah sebahagian daripada kejayaan anak di sekolah. Jangan pandang ringan!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Saat dapat tahu diri hamil, seorang ibu pastinya mengharapkan anak yang dilahirkan selamat dan sihat. Begitu juga sepanjang melalui proses kehamilan, ibu sentiasa mahukan semuanya lancar.
Bagaimanapun, jika Allah dah takdirkan sesuatu perkara akan berlaku, mahu atau tak, kita kena terimanya dengan reda. Seperti perkongsian ibu ini, Alyeen Al, kisahnya yang diuji dengan masalah kesihatan ketika mengandung dan pemergian anak syurganya benar-benar meruntun hati. Tapi apa yang bagusnya dia tetap positif dengan ketentuan ilahi.
Mama yakin Allah sebaik-baik perancang
Mama decide untuk simpan SENYUMAN ni di dalam Muka Buku ni. Masa ni Maryam masih ada dalam perut.
Tiap kali doktor pakar ROUND mama akan lemparkan muka yang ceria. Konon nak pujuk doktor sebab nak discharge. Namun kata salah sorang MO di situ.. Puan.. Sila bermimpi dahulu untuk pulang.
Seluruh badan mama bengkak, kaki bengkak, muka bengkak, jari-jari bengkak. Di usia kandungan 25 minggu bengkak macam tu bukan satu hal yang normal ya wahai semua ibu mengandung. Tambahan lagi pada anak sulung.
Ya, mama akui, mama banyak bekerja, tak bed rest, dan otak sentiasa memikir. Tapi, jangan salahkan mama ya, tamparan ujian Covid19 kepada mama seorang usahawan menjadikan mama perlu jadi lebih kuat.
Mengalami preeclampsia
Mama tiada pilihan. Preeclampsia. Itulah nama sakit yang mama hadapi. Bahasa lainnya adalah sawan ketika mengandung. Namun alhamdulillah mama belum sampai tahap sawan.
Tekanan darah mama ketika berada di Emergency Department adalah 190/110 sangat tinggi. Doktor-doktor O&G terus decide masukkan mama ke PE room. Di situ 24 Hours mama just lay down atas katil. Di check tekanan darah 1/2 jam sekali, collection air kencing 24 jam.
Tidak boleh berhubung dengan siapa-siapa. Mama diletakkan dalam bilik labour room setiap jam mama dengar teriakkan ibu dan baby baru lahir. Mama jadi takut.
Setiap kali doktor datang dia maklum kami akan pantau tekanan darah puan. Dan puan kena stay lama di hospital. Mama ingat esok mama dah boleh keluar.
Dengar-dengar macam tu mama try activate Mind to Muscle. Dan cakap kat anak dalam perut. InshaAllah kita akan jadi case yang keluar ward paling awal ya sayang sambil usap perut.
24 jam berlalu alhamdulillah. Mama keluar dan dipindahkan ke OB 1 iaitu wad bersalin. 25 minggu pakai baju bersalin mama rasa mcm janggal.
Masuk pula ke wad bersalin setiap hari orang masuk, sakit bersalin kemudian discharged.
Mama sentiasa berkumat kamit. Berdoa pada Allah. Serahkan diri pada Allah. Wa ufawwidu amri ilallah ( dan daku serahkan segala urusan aku, kedukaan aku, kesakitan aku, kerisauan aku, urusan anakku,) kepadamu Ya Allah. Innallah ha basir run bil ibad. Sungguh Engkau Maha Mengetahui HAMBANYA.
Mama serah sebulatnya pada Allah. Alhamdulillah.. Setiap hari tekanan darah mama cantik, air kencing masih ada protein, fetal rate baby 142/146. Cantik. Mama sentiasa positivekan diri.
Setiap kali doktor round.. Dia kata alhamdulillah tekanan darah puan cantik dengan hanya 1 ubat sahaja. Tapi puan kena duduk lama lagi ya untuk pantauan puan dan baby.
Satu hari, scan baby, air ketuban baby dah makin skit. Mama scan sebelum-sebelum ni diswasta selalu ukuran baby seminggu kecil dari usia kandungan mama. Tapi kali ni, doktor nampak ukuran lilit baby mengecil. Doktor risau dan decide untuk tahan mama lagi.
Untuk kebaikan mama gan Maryam mama redha duduk dalam hospital lama-lama.
Tapi bila dah tahu mama Preeclampsia mama dah buat research apa simptom-simptomnya. Dan apa keberangkalian akan berlaku.
Tanda-tanda preeclampsia
1.Tekanan darah tinggi
2.Adanya protein di dalam air kencing
3.Bengkak
4.Sakit kepala
5.Kenaikan berat badan secara tiba-tiba
Semua tanda di atas mama ada. Tapi selepas mendapat rawatan mama dah tak ada beberapa simptom tu kecuali tekanan darah, proteinurine, bengkak kaki.
Tiba-tiba tak dengar denyutan jantung baby
Mama kuatkan diri, senyum ja, walaupun dalam hati Allah ja tau. Hari ke-9 mama duduk ward, bila tiba time nak check jantung baby. Tetiba semua nurse tak dengar. Nurse panggil doktor dan buat scan. 2 doktor check. Memang nampak baby dah songsang. Doktor tanya abah ada mana. Dan minta panggil. Mama tanya why doktor?
Dia cakap minta maaf Puan, kami tak dapat selamatkan baby puan. Mama call mak Norina Abdul Majid sekuat hati Mama nangis. Semua doktor Ho/Mo/ specialist/ nurses semua terkejut.
Depa sangat-sangat terkejut. Sebab memang kesihatan mama dah terkawal. Mama nangis masa mak mai dekat sebelah. Kemudian, mama terfikir. Ya Allah. Hamba dah serahkan segalanya pada Allah. Adakah yang ini yang terbaik Allah. Maryam mama Allah ambil.
Teringat kata doktor, mama kena deliver awal untuk pastikan keduanya selamat. Cukup Maryam 1kg mama kena deliver. Atau mengikut kepada keadaan kesihatan mama yang semasa. Allah Maha Mengetahui. Diambilnya Maryam terlebih dahulu.
Mama tiada pilihan melainkan redha. Speacilist datang dan cakap takziah mereka tak sangka, dan bgtau process untuk bersalin biasa akan mengambil masa yang lama. Perlu induce dan ambil masa lama untuk deliver kalau perlu balik kita bagi balik dulu. Terus mama set dalam minda. Anak mama akan lahir awal.
2 jam mama sakit, mama selamat lahirkan Maryam
Dua hari setengah. Maryam meninggal dalam perut pada 21/7/2021 pukul 4, mama minta pada Allah mama nak deliver Jumaat malam sebab Sabtu tu 24 /07/2021 birthday abah dan juga anniversary mama abah yang 1st.
Alhamdulillah Allah kabulkan. 2 jam ja mama sakit. Terus Maryam dilahirkan. Waktu lahir mama senyum ja tengok maryam. MasyaAllah anak syurga mama segak sangat.
Doktor semua terkejut sekejap ya puan dah melahirkan. Maktok, tokwan, abah ambil Maryam untuk urusan pengebumian.. Dan petang 24 julai mama boleh discharge.
Specialist dan semua doktor keliling di katil mama.
Mereka kata. PUAN, kami tak pernah jumpa patient yang sekuat Puan. Puan sambut kami dengan senyuman. Puan sambut anak puan dengan senyuman. Kami sentiasa doakan yang terbaik untuk Puan. Amin.
Terima kasih Allah atas nikmat terbesar ini. Maryam Azzulaikha hadiah Allah terindah atas senyuman Hamba dan suami. Allah.. Hanya Pada Engkau Aku berserah segala sesuatu.
Senyuman ini buat semua para ibu mengandung. Anda semua adalah ibu yang hebat. Senyum. Senyum dan terus senyum.
Al-Fatihah Anak syurga Mama
Maryam Azzulaikha binti Sharul Azrie
Sertai Webinar penyusuan terbesar ‘Mama Tak Penat Susukan Anak’ yang dianjurkan Pa&Ma tahun ini.
Webinar PERCUMA ini menampilkan panel-panel hebat seperti Dato’ Dr Sheikh Muszaphar, Dr Seri Suniza, Dr Hairin Anisa, Puan Asiah Maharam dan perkongsian istimewa oleh Dato’ Siti Nurhaliza.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dalam sesebuah keluarga, peranan seorang ayah sangat penting. Ayah bukan hanya bertanggungjawab mencari nafkah, rezeki untuk keluarga malah selaku ketua keluarga ayah juga bertanggungjawa mendidik anak-anak.
Jangan dilepaskan tanggungjawab itu di atas bahu seorang isteri. Sama-sama ambil tahu tentang anak-anak setiap hari. Ayah yang sentiasa bersama anak-anak akan melahirkan anak-anak yang hebat.
UNTUK RENUNGAN SEMUA AYAH / BAPA / WALID / PAPA / DADDY
1. Sebenarnya apabila kita mempunyai anak, ramai yang sudah mengaku menjadi AYAH, sebenarnya belum lagi, ibarat orang yang baru memiliki bola, dah mengaku jadi footballer.. Kena belajar bagaimana nak imbang bola itu..
2. AYAH itu sebenarnya gelaran untuk lelaki yang mahu mengasuh anak, bukan sekadar ‘membuat’ anak.. astaghfirullah. Maaf ye macam kasar je.. kerana ramai lelaki begitu, tapi bukan semua.
3. Seorang AYAH yang mahu terlibat mengasuh anak-anak bersama isterinya, sebenarnya separuh permasalahan keluarganya ini telah di atasi.. Tak caya tanyalah isteri-isteri..( tak kiralah berapa isterinya ).
4. Sekiranya seorang AYAH yang tugasnya cuma menyedia dan memberi wang sahaja, ia telah menyamakan dirinya dengan mesin ATM. Di datangi anak ketika diperlukan sahaja. Hu hu Muhasabah diriku..
5. Hari ini memang telah hilangnya fungsi tarbiyah dari AYAH, banyak AYAH tidak sedar bila anak lelakinya memasuki alam baligh.. dan anak perempuannya dah mula malu-malu.. Ruginya ayah..
6. Jika ada anak yang durhaka, sebenarnya ia juga dari AYAH yang durhaka. Ini istilah Sayyidina Umar Al Khattab..
7. Sekiranya seorang AYAH yang ingin didoakan oleh anaknya, berdoalah selalu dari sekarang untuk anaknya dan didiklah dengan agama..
8. Sekiranya AYAH ingin dimuliakan oleh anaknya, usahalah memuliakan anaknya dengan ilmu agama..
9. Mengikut kajian, ramai ayah-ayah yang hampir kehilangan ciri-ciri AYAH yang sebenar. Kerana semua pengajar anak di masa kanak-kanak diisi dan di kuasai oleh kaum ibu sahaja.
10. Padahal keberanian, survival dan ketegasan, harus diajarkan di usia kecil oleh ayah-ayah. Dimanakah AYAH sang pengajar utama?
11. Dunia AYAH ketika ini bagi anak-anak hanyalah angan-angan mereka sahaja. Anak-anak mencari ayah mereka di surat khabar, tv dan komputer…
12. Banyak anak-anak sudah merasa yatim sebelum waktunya, sebab AYAH dirasakan tak hadir lagi dalam kehidupan mereka. Kerana amat sibuk dengan dunia ayah.
13. Ayuh wahai ayah-ayah semua, ambillah Semangat Al Quran mengenai pendidikan mengedepankan AYAH sebagai tokoh. Kita kenal Lukmanulhakim, Ibrahim, Ya’qub, Imron. Dalam Al Quran mereka adalah contoh AYAH yang prihatin.
14. Ibnul Qoyyim dalam kitab Tuhfatul Maudud berkata: Jika terjadi kerosakan pada anak, penyebab utamanya adalah AYAH..
15. Ingatlah! Seorang anak bernasab kepada AYAHnya bukan ibu. Nasab yang merujuk kepada anak menunjukkan kepada siapa Allah meminta dipertanggung jawapan kelak.
16. Rasulullah yang mulia, sejak kecil ditinggal yatim oleh AYAHnya. Tapi nilai-nilai keAYAHan tak pernah hilang dan diperolehi dari datok dan ayah saudaranya sendiri..
17. Generasi sahabat menjadi generasi gemilang kerana AYAH terlibat dalam mengasuh anak bersama ibu-ibu mereka. Mereka digelari umat terbaik.
18. Di dalam AlQuran ternyata terdapat 17 dialog pendidikan anak-anak. 14 diantaranya iaitu antara AYAH dan anak. Ternyata AYAH lebih banyak disebut di dalam alquran!
Tahukah anda di dalam al-Quran ada lebih banyak kisah mengenai ayah dan anak berbanding ibu dan anak?
Kisah Luqmanulhakim dan anaknya, Kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (serta anak-anak yang lain), Kisah Nabi Yaakub dan Nabi Yusuf (serta anak-anak yang lain), Kisah Nabi Nuh dan anak2nya, Kisah Nabi Luth dan anak2 perempuannya, Kisah Sheikh Madyan dan 2 orang anak perempuannya dan beberapa lagi yang lain.
Ini menunjukkan ayah memainkan peranan yang SANGAT PENTING dalam Islam. Sudahkah kita memainkan peranan kita wahai bapa-bapa sekalian?
Tepuklah dada dan tanyalah Iman sebelum Allah bertanya kepada kita akan amanah yang dipertanggungjawabkan sebagai ketua dalam keluarga…
19. Marilah semua wahai AYAH-ayah untuk melibatkan diri dalam pendidikan baik di rumah, sekolah dan dimasjid..
20. Ibu memang madrasah pertama seorang anak. Tetapi AYAH yang menjadi mudirnya. (Pengetuanya).
21. Ibarat burung yang punyai dua sayap. anak memerlukan kedua-duanya untuk terbang tinggi ke angkasa. Kedua sayap itu adalah AYAH dan ibunya.
22. Ibu mengasah kepekaan rasa, AYAH memberi makna terhadap logik. Kedua-duanya diperlukan oleh anak
23. AYAH mengajarkan anak menjadi pemimpin yang tegas. Ibu membimbingnya menjadi pemimpin yg peduli. Tegas dan perihatin itu sikap utama.
24. Jom wahai ayah-ayah pujuklah diri dan perkongsian ini agar makin banyak AYAH-ayah yang prihatin dengan urusan pengasuhan yang dikuasai oleh ibu-ibu dan membentuk generasi pejuang dunia akhirat.
Allahuakbar.. !!! Wallahua’lam.
Sumber: TRB
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Mendidik anak sulung untuk menerima kehadiran adik baru dalam hidup mereka sememangnya tidak mudah. Walaupun sudah diberitahu sejak awal lagi, namun untuk menerima kehadiran adik yang disayangi dalam keluarga sememangnya tidak mudah bagi seorang anak kecil.
Mulalah merajuk, berjauh hati kerana kurang perhatian dari mak ayah. Suami kepada pelakon, Ummi Nazeera, Dr Izzar Anwari turut berdepan hal yang sama bila mana anak kedua mereka selamat dilahirkan beberapa hari yang lalu.
Pun begitu, bagi Dr Izzar, dia dan Ummi sudah mempersiapkan lebih awal untuk menerima tempias emosi anak sulungnya, Ayra Aneesah. Namun kata Dr Izzar lagi, dia amat bersyukur kerana Ayra cukup menerima kehadiran Ayra dan dari hari pertama lagi, Ayra sudah pun membahasakan dirinya kakak. Mudah!
Ini tip yang dikongsikan oleh beliau.
ADIK BARU DALAM KELUARGA. MACAM MANA NAK BERSEDIA?
Adik baru akan memberi impak yang besar kepada keluarga. Kita kena tahu bagaimana cara untuk membuat kakak/abang bersedia dan menerima adik baru dan juga menggalakkan hubungan adik-beradik yang sihat. 👭
Untuk Ayra yang umur nak dekat 3 tahun, kami dari awal lagi ajar dia yang dia akan jadi seorang kakak. Beli mainan baby dengan stroller sekali. Lepas tu mula panggil Ayra sebagai ‘kakak’. Biar dia faham yang dia akan dipanggil kakak. Ayra akan bermain dengan baby mainan tu, beri susu, jalan-jalan dalam stroller, dan macam-macam lagi. Memang dah mula panggil Ayra ‘kakak’ masa mummy dia tengah mengandung lagi. Terangkan kat dia yang kakak kena jaga dan sayang adik.
Semasa baby makin besar dalam kandungan, tunjuklah kat Ayra dan biar dia usap-usap perut mummy. Cakap adik baby ada kat dalam tu. Hari-hari tunjuk dan cakap kat dia. Biar dia tahu dan faham.
Awal-awal dulu pun bawa Ayra sekali ikut ke temujanji doktor O&G. Check dan scan perut mummy tengok adik. Barulah Ayra nampak dan tahu yang adik baby dia akan datang tak lama lagi.
Masa bawa balik baby dari hospital lepas bersalin, kita bawakan hadiah untuk Ayra sekali. Cakap adik baby kasi hadiah untuk Kakak Ayra. Barulah Ayra bertambah gembira dengan kedatangan adik baby dia tu.
Alhamdulillah, Ayra dapat menerima adik baby Aysha dengan baik. Sayang betul Ayra dekat Aysha. Hari-hari dia peluk dan cium Aysha. Kali pertama jumpa adik dia pun, Ayra dah panggil diri dia ‘kakak’ sebab dah faham dan diajar.
Jadi, parents kenalah ajar dan fahamkan anak mengenai kedatangan adik baru mereka. Jangan biar mereka terkejut. Kalau tak, mereka akan merajuk dengan adik baru mereka. Mulalah buat perangai dan macam-macam lagi.
Ada juga yang ‘regress’ atau berperangai lebih kecil dari yang sepatutnya. Contoh, anak tu tiba-tiba minta minum susu botol walaupun dah lama berhenti. Atau dia tak reti dan guna toilet sendiri walaupun dah ‘toilet-trained’ dan macam-macam lagi. Ibu bapa kena peka ye. InsyaAllah #drizzarshares,”kongsi Dr Izzar panjang lebar.
Dalam pada itu, menerusi Instagramnya, Ummi turut berkongsi video momen pertemuan Ayra dan adiknya yang begitu senang menerima kehadiran adiknya. Syabas Ayra!
Pa&Ma dengan kerjasama 9 bulan 10 hari nak bagi webinar PERCUMA tanda terima kasih atas sokongan follower semua selama ini.
Webinar ‘Aku Tak Takut Beranak’ menampilkan barisan speaker-speaker hebat dan berpengalaman dalam bidang keibubapaan seperti Ustaz Don, Ustaz Kazim Elias, Dato’ Dr Fazley Yaakob, Dr Rizal Abu Bakar, Dr Maiza Tusimin dan Dr Afida Sohana.
Selain berpeluang menceduk ilmu yang dikongsi, anda juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah sebab ada 70 hadiah best yang ditawarkan termasuklah sebuah handphone.
So apa yang anda kena buat untuk dapat HADIAH CABUTAN BERTUAH tu?
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti atau event yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Kredit: @izzar
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ikan tempatan untuk DHA & EPA anak seperti kembung, sardin dan selayang merupakan sumber omega-3 yang baik untuk perkembangan otak, mata dan sistem saraf tanpa perlu bergantung kepada salmon atau supplement.