Setiap ibu bapa pasti impikan anak yang lahir boleh membesar dengan sihat dan normal seperti kanak-kanak yang lain. Namun jika Allah berkehendak sesuatu perkara, tiada siapa boleh menafikannya.
Seperti perkongsian ibu ini di FB Eida Ilham II, anak lelakinya, Megat Iman Zikry disahkan Speech Delayed with Mild Autisme ketika berusia 3 tahun setelah mendapat pengesahan pakar. Apa yang boleh dipuji, ibu ini tidak berputus asa, sebaliknya berusaha untuk membantu anak lelakinya itu dengan menggilap potensi yang ada.
Ternyata, setelah 7 tahun melalui fasa yang dianggap struggle, kini Iman membesar seperti kanak-kanak sebaya dengannya dan diberi pula kelebihan daya ingatan yang kuat.
7 tahun lepas, dia cuma seorang budak lelaki yang tak pandai bercakap, suka buat bunyi bising dengan menjerit-jerit tapi tak tahu apa tutur katanya, boleh sebut ABC, 123, tapi tiada komunikasi 2 hala.
Bila nak apa-apa, dia sebut dengan bahasa yang sukar difahami. Kadang-kadang dia tunjuk dengan jari. Bila keinginannya tidak difahami, terus tantrum mengamuk, pukul dan sakitkan diri sendiri.
Ads
Di panggil tak berpaling, tak boleh duduk diam setempat, tak ada eye contact, tak fokus, picky eater, masalah sensory yang lemah dan banyak lagi. Akhirnya, selepas berbulan ulang alik berjumpa doktor pakar, abam disahkan Speech Delayed with Mild Autisme.
Dan bermulalah fasa terapi di hospital kerajaan dan pusat terapi swasta. Itu 7 tahun lepas.
@eidailham Replying to @Bungaamaniss Tahniah buat ibuayah yg dapatkan rawatan/terapi awal utk anak. Tak dinafikan, mmg letih dan lelah berkorban masa dan tenaga. Tapi percayalah, Allah sentiasa akan mempermudahkan urusan kita. Bantulah anak kita, kerana mereka cuma ada kita untuk membantu mereka. #autismawareness#speechdelay#autismeducation#autismetheraphy♬ Buah Hati – Armada
Hari ini, abam lah paling banyak cakap. Paling banyak mulut. Sangat mudah ingat dan hafal, lagi-lagi kalau berkaitan tempat, jalan raya, highway, negeri atau negara.
Tanyalah dia, bagaimana mahu ke Airport KB. Selamba je dia bagitahu sambil suruh ke kiri atau ke kanan.
Ads
Tanyalah dia, ibu negara atau ibu negeri. Terus dia jawab dengan yakin. Kadang-kadang kita sendiri pun tak tahu jawapan. Tanyalah dia, nak ke Penang kena ikut jalan mana?
Dia akan suggest jalan paling dekat, kadang-kadang siap bagitahu ikut jalan mana yang lebih cepat sampai.
Alhamdulillah, lama dah abam discharge dari Speech Therapy. Perkembangan abam dah seiring dengan kanak-kanak sebayanya. Abam pun dah 10 tahun, dah sunat pun. Kejap lagi nak masuk fasa remaja dah.
Saya share video abam sebab nak bagi semangat kat ibu ayah yang punya anak autisme seperti abam. Ramai yang komen kat video ni, meletak harapan agar anak mereka juga boleh bertutur seperti abam. Sebak hati, sebab kita faham. Keinginan dan harapan ibu ayah pada anak. Ingin sekali mendengar anak memanggil “mama, papa”. 🥺
Buat ibu ayah yang baca tulisan ni, bertabahlah dan jangan berhenti berusaha merawat anak. Fasa ni memang meletihkan dan perlukan kesabaran yang tinggi. Even saya sendiri banyak kali burn out. Kita manusia biasa, adakalanya kesabaran senipis kulit bawang.
Ads
Tapi percayalah, semua ini pasti mendatangkan hasil satu hari nanti. Ibu ayah kena kuat, jangan putus asa. Kerana, siapa lagi nak bantu anak kita kalau bukan kita sendiri. Mereka cuma ada kita. ❤️
Nak anak bijak pandai? Jangan lupa untuk rangsang 7 deria anak seawal mungkin. Bagaimanapun ini yang selalu mak ayah terlepas pandang.
Kadang-kadang keadaan ini juga boleh memeningkan kepala mak ayah. Ramai yang keliru adakah kena ajar baca buku seawal mungkin atau beli mainan yang boleh rangsang minda anak.
Paling biasa jika mak ayah ada anak lelaki ni, boleh dikatakan semua mainan kereta. Manakala anak perempuan semua mainan anak patung.
Dalam merangsang perkembangan anak, pemilihan mainan sangat penting terutamanya anak bawah 2 tahun yang permainannya terhad dengan apa yang diberi dan apa yang ada.
Sebenarnya tidak perlu satu rak mainan kereta untuk anak lelaki tetapi tidak ada satu pun mainan masak-masak.
Yang ada anak perempuan, tidak perlu pun penuh katil dengan teddy bear tetapi tiada mainan kereta. Semua mainan penting.
Menurut Terapis Cara Kerja, Maryam Jamadi, ramai ibu bapa yang bertanyakan mainan apa yang paling bagus untuk anak umur bawah 2 tahun. Jawapan saya, apa-apa mainan pun bagus asalkan tak bahaya.
Asalkan dapat merangsang perkembangan anak, macam mana nak merangsang perkembangan? Dengan merangsang semua deria. Ada 7 jenis deria yang perlu dirangsang sejak lahir kalau nak anak pandai dan bijak
1. Sentuhan 2. Keseimbangan dan pergerakan 3. Sendi 4. Visual 5. Auditori 6. Rasa 7. Bau
Maka, pemilihan mainan yang pelbagai sangat penting untuk merangsang semua deria. Otak anak bawah 2 tahun macam span, menyerap segala benda dan jangan terkejut jika kita merangsang semua deria dengan optimum dan cukup. Kesannya sangat memberangsangkan, malah anak cepat “tangkap” apa-apa input yang diberi kepadanya.
Kalau nak anak bijak, bukan dengan mengajar membaca seawal lepas lahir ya. Tetapi dengan merangsang deria-deria, dan cara yang paling bagus untuk mengajar anak benda baru adalah dengan menggabungkan semua deria yang ada.
Contohnya nak ajar buah epal, daripada guna flashcard epal lebih baik guna epal yang betul kerana jika flashcard ia hanya menggunakan 2 deria sahaja iaitu pendengaran dan penglihatan. Jika kita beri buah betul, ia secara tak langsung menggunakan semua deria.
1. Sentuhan, anak pegang tekstur dan bentuk epal
2. Auditori, anak dengar perkataan epal
3. Visual, anak lihat buat epal
4. Bau, anak bau epal
5. Rasa, anak rasa epal
6. Sendi, anak pegang epal dan agak berat epal
7. Keseimbangan, anak cuba seimbangkan badan dan tangan semasa memegang epal
Teknik ini juga sangat berkesan untuk anak yang lewat bercakap (speech delay). Tetapi, berapa banyak mainan yang ada pun tak boleh tandingi “mainan” mak ayah yang meluangkan masa bermain dengan anak.
Kepada mak ayah yang ada anak bawah 2 tahun, mohon sangat-sangat untuk luangkan masa bermain untuk anak. Tiada guna beli mainan berbakul-bakul tetapi “tiada” mak ayah yang bermain bersama.
Hidup berumah tangga banyak onak dan durinya. Tanpa kerjasama dan saling memahami di antara pasangan, bahagia mungkin jauh untuk dikecapi. Namun bagi personaliti media sosial dan usahawan berjaya, Asyalliee, dia punya caranya sendiri dalam mengecap bahagia.
Menurut kata Asya, dia dan suaminya, Eboy memegang konsep saling percaya malah jika dilanda masalah, perbincangan dilakukan secara baik dan inilah yang menguatkan cinta mereka sejak disatukan lima tahun lalu.
Menerusi Instagramnya, ibu kepada tiga orang cahaya mata ini juga turut berkongsi tip buat pasangan rumah tangga malah turut berkongsi tip yang dilakukannya bersama suami sejak berkahwin.
“Bila isteri dilayan seperti permaisuri, suami pun akan dilayan seperti raja.
“Masa awal perkahwinan kami, ramai yang kata “awal-awal boleh la sweet bagai sebab baru kahwin, tunggu la 3 ke 4 tahun lagi, semua tu hilang nanti. Percayalah” bukan takat Asya yang kena, ramai orang yang baru kahwin selalu kena ni.
“Tapi bagi Asya ia terletak pada individu. Kalau betul dia kahwin atas dasar cinta, kasih sayang dan tanggungjawab. Benda tu takkan terjadi,” tulisnya.
Kongsi tip bahagia
Malah ibu kepada Haider Mikhail, Siti Helena Adrianna dan Hayyan Malique ini juga turut berkongsi beberapa tip yang diamalkannya.
Saling hormat menghormati dan sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri sentiasa menjadi keutamaannya dalam rumah tangga.
“Manusia ni tak sempurna, kena saling melengkapi mana yang kurang. Jangan pandang buruk pasangan kalau dah tahu, tapi bawa berbincang satu sama lain. Perbaiki satu persatu dan bukannya kecam dan tak boleh terima.
“Berdasarkan pengalaman 5 tahun kahwin ni, cinta dan kasih sayang kami tak berkurang pun malah makin bertambah. Apa yang kami buat?
1. Jika ada masalah, kami berbincang. Selalunya diwaktu “pillow talk” sebelum tidur. Bila pasangan kita meluah, jangan cepat nak melatah nak menjawab tapi dengar dulu dan fahami luahan si dia kemudian barulah kita bagitahu bahagian kita pula. Last baru berbincang macam mana nak selesai masalah tersebut.
2. Sentuhan kasih sayang seperti peluk, cium dan pegang tangan buat setiap hari tanpa jemu! Walaupun tengah masak minta la dekat pasangan “sayang nak kiss 💋” ataupun setiap kali bangun tidur dan sebelum tidur kiss dulu.
3. Bermanja tapi bukan ngada-ngada. Bukan takleh ngada-ngada tapi jangan selalu tapi kalau bermanja biarlah setiap hari. Jujur k, Asya tak reti tau nak bermanja 😂 tapi disebabkan eboy cakap nak Asya jadi manja, so Asya cuba untuk buat manja walaupun malu permulaan tapi lama-lama akan jadi kebiasaan. Suami memang suka kalau isteri dia bermanja.
“Ada banyak lagi tau, tapi 3 je la Asya share dulu. Next time Asya share lagi tips,” kongsinya lagi.
Terdahulu, Asya dan suaminya, Eboy Arbaain mendirikan rumah tangga pada 2017. Pasangan ini kini dikurniakan dengan tiga orang cahaya mata pelengkap bahagia, Haider Mikhail, Siti Helena Adrianna dan Hayyan Malique.
Dengar cerita ada yang tak nak balik sebab seronok sangat main air. Faiz Dickie sempat tunjuk bakat terjun sampai perut mengandung pun hilang. Nak tahu siapa juara challenge kali ini, kenalah tengok sampai habis.
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Kanak-kanak yang sedang membesar memang suka bermain. Dari usia setahun sehingga umur pra sekolah, anak-anak suka meneroka alam persekitaran mereka. Kadang kalau tengok mereka sepahkan permainanan tu bukan apa, ada yang tengah berimaginasi dan bereksplorasi.
Kalau nak ikutkan bila si kecil buat sepah, mama papa la yang penat nak kena kemas dan sebagainya tapi itu semua untuk kebaikan perkembangan si kecil anda. Tapi anda juga boleh didik mereka untuk kemas sendiri kerana itu juga boleh jadi sesuatu yang menyeronokkan buat anak-anak.
Dr Airil Haimi Mohd Adnan, Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Perak dan penyelidik aktif ilmu psikologi perkembangan tahun awal serta sosiologi pendidikan usia praformal (0-6 tahun) di peringkat ASEAN dalam penulisannya di Pa&Ma mengulas lanjut tentang 5 jenis aktitivi bermain yang papa mama perlu tahu buat si kecil tersayang.
Zaman pendidikan praformal 0-6 tahun seharusnya penuh dengan aktiviti bermain berdasarkan beberapa bukti penyelidikan dan hujah santifik yang jelas. Pertama sekali, penyelidikan demi penyelidikan sains sosial membuktikan bahawa kanak-kanak pada usia pendidikan praformal tidak sesuai diberi pendidikan yang berbentuk akademik sepenuhnya. Kedua, tidak semestinya semakin kita memaksa si kecil dalam lingkungan usia praformal untuk menguasai kemahiran 3M (membaca, menulis, mengira), semakin mereka akan menjadi pintar dan cerdas berbanding kanak-kanak lain!
Sebenarnya pada usia sekitar 10 tahun nanti, segala ‘kelebihan’ kanak-kanak yang diberi pendedahan 3M sepenuhnya akan dapat disaingi oleh si kecil yang banyak belajar melalui aktiviti bermain di taska dan tadika! Ambil contoh negara-negara maju di kawasan Scandinavia, Eropah.
Kita tidaklah perlu mengagungkan sistem pendidikan prasekolah di negara-negara ini, namun pada masa yang sama papa, mama dan pendidik prasekolah di Malaysia khasnya perlu memikirkan secara kritis tentang konsep pendidikan prasekolah yang terlalu memaksa kanak-kanak menjadi ‘pakar’ dalam bidang akademik (intelek) sehingga perkembangan jasmani, emosi dan rohani mereka diabaikan.
Keseimbangan harus menjadi kata kunci di sini, ditambah pula dengan pemahaman yang lebih mendalam tentang naluri si kecil yang sentiasa ingin bermain dan meneroka dunia di sekelilingnya. Untuk lebih faham tentang naluri yang saya sebutkan ini, bulan ini saya akan berkongsi 5 jenis aktiviti bermain si kecil pada peringkat usia pendidikan praformal yang papa dan mama perlu tahu…
Aktiviti bermain lokomotor lazimnya melibatkan gerak kerja fizikal seperti merangkak, berjalan, melompat, berlari, memanjat dan sebagainya. Aktiviti ini berkait rapat dengan pertumbuhan fizikal kanak-kanak. Melalui proses tumbesaran semula jadi bermula dari usia bayi hingga usia lewat kanak-kanak dan awal remaja, si kecil semakin menunjukkan perkembangan dan kemajuan dalam kekuatan fizikal dan kemahiran motornya.
Dapatan penyelidikan jangka panjang menunjukkan bahawa aktiviti bermain lokomotor membantu kanak-kanak 0-6 tahun belajar kemahiran koordinasi tubuh badan dengan cepat dan cekap. Aktiviti bermain ini bermula sebaik sahaja seorang bayi sudah pandai meniarap, duduk serta merangkak. Ia berterusan hingga ke usia lewat kanak-kanak dan semakin berkurangan apabila seorang anak kecil mencecah usia awal remaja.
Walaupun kita jarang memikirkan manfaat aktiviti bermain lokomotor selain daripada aktiviti riadah yang amat digemari oleh kanak-kanak, sebenarnya aktiviti bermain ini amat penting untuk mereka. Aktiviti bermain ini membantu mempercepatkan tumbesaran otak dan otot – dua komponen komponen biologi yang akan membantu mereka meneroka dan belajar tentang dunia sekeliling dengan lebih aktif lagi.
Eksperimen dalam jurnal akademik tersohor ‘American Psychologist’ membuktikan bahawa aktiviti bermain lokomotor serta aktiviti bermain aktif di taman permainan dapat meningkatkan tahap tumpuan kanak-kanak 4-6 tahun. Bukan itu sahaja, eksperimen ini mendapati bahawa selepas aktiviti bermain aktif, kanak-kanak dapat menguasai konsep baru dan menaakul ilmu pengetahuan dengan lebih cekap berbanding kanak-kanak lain yang tidak diberikan ruang dan peluang untuk bermain sepuas hati mereka.
Aktiviti bermain berciri sosial bermula pada usia bayi lagi, sebaik sahaja si kecil lahir ke dunia. Umum mengetahui bahawa semasa usia bayi, kanak-kanak sudah mula belajar dan bermain dengan cara yang tersendiri. Beberapa bulan selepas dilahirkan, seorang bayi dapat menggunakan pancaindera untuk memahami alam sekeliling. Bayi itu juga sedang melalui proses perapatan (attachment) dengan papa, mama dan penjaga atau pengasuhnya.
Proses perapatan berlaku secara semula jadi dan salah satu cara proses ini berlaku adalah melalui aktiviti bermain berciri sosial! Bila orang dewasa memberi perhatian kepada seorang bayi dan menyapa (agah) atau mengusiknya sebagai contoh, aktiviti bermain berciri sosial mula berlaku. Kemudian sekitar usia dua tahun dan ke atas, aktiviti bermain berciri sosial pun berubah bentuk. Kalau dahulu kitalah yang menjadi teman bermain, bermula saat ini seorang anak kecil lebih cenderung untuk bermain dengan kanak-kanak lain. Semakin banyak kanak-kanak berinteraksi dan bermain sesama mereka, semakin tinggi frekuensi dan kualiti aktiviti bermain berciri sosial yang mereka rasai.
Apabila usia si kecil meningkat kepada 3 hingga 4 tahun, aktiviti bermain berciri sosial berubah bentuk lagi menjadi aktiviti berkumpulan. Apabila tiga orang atau lebih kanak-kanak merasai pengalaman bermain berciri sosial, mereka dapat menguasai kemahiran sosial dan hidup berkumpulan. Dari titik ini, mereka mula faham dan sedar akan konsep komuniti dan masyarakat walaupun pemahaman mereka masih terhad.
Kanak-kanak juga gemar bermain dengan objek. Suatu hakikat hidup yang kita semua tahu, kanak-kanak pada usia pendidikan praformal amat suka bermain dengan objek biasa atau alat permainan! Seperti juga aktiviti bermain berciri sosial, aktiviti bermain dengan objek pada hakikatnya bermula pada usia bayi lagi. Lihat sahaja telatah bayi yang diberi sesuatu, jika tidak dipantau segala macam benda akan dimasukkan ke dalam mulutnya, dikeluarkan dan dimasukkan lagi. Ini sebenarnya awalan aktiviti bermain dengan objek dalam hidup si kecil kontemporari. Apabila mencecah usia 2 tahun dan ke atas, bayi tadi kini semakin cekap memanipulasi objek di sekelilingnya misalnya apabila dia bermain dengan blok mainan.
Lebih menarik lagi, aktiviti bermain dengan objek kadangkala melibatkan aktiviti bermain berimaginasi juga. Sebagai contoh, blok mainan itu dibina menjadi sebuah ‘rumah’ dan di dalam rumah berkenaan ada pula penghuni olok-oloknya. Semakin meningkat umur si kecil, aktiviti bermain dengan objek akan menjadi semakin kompleks. Ini disebabkan dia sudah semakin cekap dan semakin cepat memanipulasi objek-objek yang ada di sekeliling.
Malah jika diberi peluang dan ruang secukupnya, aktiviti bermain dengan objek akan menjadi asas pembinaan konsep dan pemikiran saintifik si kecil di samping membantunya mempelajari asas kemahiran penyelesaian masalah dan penaakulan deduktif (deductive reasoning). Walau bagaimanapun, perlu saya tekankan di sini bahawa manfaat aktiviti bermain dengan objek perlu diseimbangkan dengan arahan dan sedikit bantuan daripada orang dewasa, lebih-lebih lagi pada peringkat usia 0-3 tahun.
Aktiviti bermain melalui atau menggunakan bahasa adalah antara pencapaian yang paling hebat dalam kehidupan kanak-kanak 0-6 tahun! Aktiviti ini bermula lazimnya apabila mereka menjangkau usia dua tahun. Jika si kecil anda berada dalam lingkungan usia ini, anda boleh memerhatikan permulaan aktiviti bermain yang menarik (lagi melucukan) ini. Sebaik sahaja si kecil menguasai asas-asas berbahasa dan mula bertutur dengan pelatnya, dia akan mula ‘bercakap’ dengan dirinya misalnya sebelum tidur atau apabila dia bangun pagi. Kita yang memerhati sukar untuk faham tutur kata si kecil, namun aktiviti bermain melalui atau menggunakan bahasa penuh dengan ulangan bunyi atau perkataan ‘orang dewasa’. Aktiviti ini juga diselang-selikan dengan gelak ketawa si kecil walau hakikatnya dia sedang bercakap dengan diri sendiri (mungkin ini asalnya frasa “mudah terhibur”)! Seperti yang boleh dijangka, semakin usia kanak-kanak meningkat semakin kebolehan berbahasa mereka menjadi kompleks. Dalam lingkungan usia 3 hingga 4 tahun, aktiviti bermain melalui atau menggunakan bahasa juga semakin kompleks apabila si kecil kini mampu menyanyi dengan lebih teratur serta menggunakan bahasa secara lebih kreatif berbanding sebelumnya.
Ini sebabnya pada lingkungan usia sedemikian, si kecil amat suka mendengar cerita atau mahu dibacakan cerita oleh papa, mama atau cikgu prasekolahnya. Dia juga amat suka permainan bahasa seperti teka-teki, lagu-lagu kanak-kanak yang agak lucu dan sebagainya. Ciri humor yang semakin kompleks ini sudah pasti berkait rapat dengan aktiviti bermain dengan bahasa.
Perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek dapat disepadukan melalui aktiviti bermain berimaginasi. Dalam erti kata lain, aktiviti ini adalah aktiviti bermain yang dapat memberi paling banyak manfaat dalam hidup kanak-kanak pada peringkat usia praformal! Aktiviti bermain berimaginasi mula berlaku sekitar usia setahun hingga setahun tiga bulan apabila si kecil semakin pandai mengajuk atau meniru perbuatan orang lain.
Aktiviti yang penuh dengan imaginasi memerlukan si pelaku (kanak-kanak) dan juga si penonton (orang dewasa) untuk berpura-pura bahawa sesuatu objek atau perbuatan sedang melambangkan objek atau perbuatan berbeza. Misalnya pisang yang dipegang oleh si kecil anda itu adalah telefon bimbit dan dia sedang menggunakan ‘telefon bimbit’ itu untuk menelefon anda.
Pada mulanya aktiviti bermain berimaginasi tidak terlalu kompleks, tetapi akan menjadi lebih rumit sejajar dengan usia dan pengalaman hidup kanak-kanak. Aktiviti yang pada mulanya hanya berpura-pura akan berubah menjadi main peranan (role play). Dari hanya satu babak pendek seperti si kecil menidurkan anak patung atau beruang teddy, aktiviti bermain ini akan menjadi babak yang panjang dan memerlukan penggunaan imaginasi yang lebih kreatif.
Yang pasti, melalui aktiviti bermain berimaginasi, si kecil 0-6 tahun dapat mula belajar nilai empati dan simpati dengan memahami perasaan orang lain. Melalui aktiviti bermain ini juga mereka akan mula memantapkan kebolehan berbahasa sesuai dengan bahasa yang digunakan oleh orang dewasa di sekeliling mereka. Penyelidikan menunjukkan bahawa aktiviti bermain seperti ini membantu si kecil belajar berunding dengan kanak-kanak lain dan memahami asas-asas peraturan dan undang-undang dalam kehidupan sehari-hari.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bila anak semakin membesar, semakin mencabar cara didikan kita pada anak-anak. Malah anak yang sudah pandai bersuara dan menunjukkan rasa hati dan emosinya semakin membuatkan kita bertambah pening.