Sesungguhnya sesebuah perkahwinan itu akan bertambah serinya apabila dikurniakan cahaya mata. Anak adalah anugerah terindah dan tidak boleh ditukar ganti dengan wang ringgit. Selepas beberapa tempoh berkahwin tetapi masih tiada rezeki mempunyai anak, sudah tentu emosi seorang isteri akan terganggu.

Paling penting, sokongan dari suami dan orang sekeliling. Ujian ini harus ditempuhi dengan tabah dan penuh kesabaran. Banyakkan berdoa dan berikhtiar selagi mampu. Ikuti pengakuan dari Amira yang menceritakan tentang kisahnya menanti zuriat selama lapan tahun usia perkahwinan.

8 Tahun Menanti

Hi semua. Nama saya Amira, umur saya 34 tak pandai menulis. Tetapi saya mahu kongsikan kisah saya dan suami yang berusaha untuk mendapatkan anak. Banyak dugaannya, ia tak mudah. Selepas lapan tahun berkahwin, masih tak ada tanda-tanda saya hamil. Menangis jangan cerita, kering dah air mata dibuatnya.

Bila balik kampung, semua orang tanya bila nak beranak. Ada yang lebih kasar, menuduh saya merancang keluarga dan tak matang. Sudah lama berkahwin pun masih tak ada tanggung jawab nak jadi ibu. Sedih sangat.

Bersyukur, Suami Seorang Yang Baik

Alhamdulillah suami seorang yang baik. Sangat memahami dan selalu tenangkan saya. Tapi saya tahu, dia memang mahukan seorang anak. Setiap kali saya lewat datang haid, dia yang paling excited belikan UPT. Dari yang murah sampai ke jenama paling mahal, semua dia borong. Bila keputusan negatif, dia tenangkan saya sedangkan dia menangis sendirian.

IKLAN

Paling sedih bila saya terjaga dari tidur, saya ternampak suami buat solat malam. Menangis-nangis berdoa supaya kami dikurniakan anak. Katanya, tak sanggup dia dengar orang perlekehkan isterinya dan dituduh mandul. Ya Allah, sedihnya saya bila dengar suami berdoa macam tu. Rasa macam isteri tak berguna.

Suruh Suami Kahwin Lain

Suatu hari, saya suruh suami kahwin satu lagi. Saya cakap, terpulang pada dia. Sama ada nak madukan saya atau ceraikan saya. Saya reda. Pertama kali, selama kami berkahwin suami naikkan suaranya. “Tergamak sayang suruh abang buat macam tu. Sayang ingat, abang ni jenis lelaki tak ada maruah ke? Bukan itu satu-satunya cara nak dapat anak.” Saya masih ingat, itulah yang dia cakapkan pada saya. Selepas tu, dekat seminggu juga dia tak bercakap dengan saya.

Saya bersyukur kawan baik saya, namanya Yusra, banyak bagi semangat. Dia yang cadangkan saya untuk pergi buat pemeriksaan. Selama lapan tahun berkahwin, kami tak pernah rujuk masalah ni pada doktor. Cuma buat rawatan di kampung, berurut dan sebagainya. Yusra suruh saya rujuk dengan pakar. Yusra kata dulu kakaknya pergi ke sebuah hospital kesuburan dan berjaya hamil.

IKLAN

Suami tak kisah, dia dengan gembira menerima cadangan Yusra. Kami pun ke hospital untuk memeriksa tahap kesuburan. Berita baiknya, kedua-dua kami tak ada masalah. Ada potensi untuk hamil, cuma belum rezeki kata doktor.

Pergi Umrah, Doa Diberikan Rezeki Hamil

Suami kata, tak salah nak cuba sekali lagi. Tapi dia cadangkan supaya kami tunaikan umrah. Suami kata elok kami bersedia dan perbaiki diri sebelum mencuba untuk hamil. Jadi kami buat persediaan untuk ke Tanah Suci. Alhamdulillah, semua dipermudahkan. Waktu beribadat di sana, saya rasa tenang sangat. Saya tak lepas berdoa supaya Allah SWT berikan keizinan-Nya untuk saya merasa menjadi seorang ibu.

Empat bulan selepas kami balik dari umrah, saya demam teruk. Badan jadi lembik, muntah tak berhenti. Nak makan pun tak lalu. Waktu tu, sampai saya tak perasan yang saya dah lewat datang haid. Bila mak mertua datang jenguk saya, dia kata mungkin saya mengandung. Saya tak meletakkan harapan yang tinggi, tapi saya buat juga ujian UPT tu.

IKLAN
Akhirnya, Saya MENGANDUNG!

Ya Allah! Syukur Ya Allah. Memang dua garis ini lah yang saya tunggu sekian lama. Lama saya duduk dalam tandas, berkali-kali tengok keputusan ujian tu. Saya rancang nak buat kejutan untuk suami. Saya beli baju baby dan letakkan dalam kotak. Saya masukkan juga UPT yang saya buat tu. Kemudian saya letak atas katil sebelum keluar bekerja (saya ke pejabat lewat sikit dari suami dan dia akan balik lebih awal). Berdebar-debar saya tunggu dia balik kerja hari tu.

“Sayang, betul ke ni? Sayang pregnant?”. Suami tanyakan pada saya bila saya balik hari tu. Saya iyakan. Dan kami sama-sama menangis. Suami menjerit seronok. Lebih kurang seminggu selepas tu, suami bawa saya ke klinik. Kami disahkan hamil 10 minggu.

Kami Dapat Anak Kembar!

Saya pendekkan cerita, perjalanan kehamilan saya tak ada masalah serius. Cuma mabuk teruk lebih kurang empat bulan dan selepas tu semuanya okay. Paling membahagiakan bila kami didapati hamil anak kembar!

Sekarang anak-anak kami sudah berusia 5 bulan. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Beza kelahiran cuma dua minit. Alhamdulillah saya bahagia dengan keluarga kecil saya sekarang. Suami pun semakin sayang pada saya . Nasihat saya, jangan mudah berputus asa dan selalulah berbincang dengan suami. Bersyukur dengan setiap yang kita ada dan jangan berhenti mencuba. Saya doakan semua wanita yang masih menanti untuk menjadi ibu dipermudahkan segala urusan kalian. Aamiin.

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI