
Tip jimat sambut Raya sangat penting untuk mak ayah yang ingin memastikan anak-anak tetap merasai kemeriahan Aidilfitri tanpa perlu menanggung tekanan kewangan.
Namun bagi kebanyakan ibu bapa, musim perayaan juga boleh menjadi waktu yang mencabar. Kos hidup semakin meningkat, harga barang naik, dan dalam masa yang sama mak ayah tetap mahu memastikan anak-anak dapat merasai kemeriahan Hari Raya.
Hakikatnya, Raya yang bermakna tidak semestinya mahal. Dengan sedikit perancangan dan sikap sederhana, ibu bapa masih boleh mencipta suasana Raya yang penuh kasih sayang untuk keluarga. Berikut beberapa tip jimat sambut Raya yang lebih dekat dengan realiti kehidupan mak ayah hari ini.

1. Tetapkan Bajet Raya Seawal Mungkin
Salah satu tip jimat sambut Raya yang paling penting ialah menetapkan bajet lebih awal. Senaraikan perkara yang benar-benar perlu seperti baju Raya anak-anak, bahan masakan, kuih Raya dan duit raya.
Apabila ada bajet yang jelas, ibu bapa lebih mudah mengawal perbelanjaan supaya tidak terlebih belanja. Cuba asingkan jumlah wang untuk setiap kategori supaya tidak tersasar daripada perancangan.
Anggaran Bajet Raya Sederhana
- Baju Raya: RM220
- Kuih Raya: RM75
- Barang masak: RM100
- Duit Raya: RM100
- Dekorasi: RM30
Jumlah keseluruhan: sekitar RM525
2. Utamakan Keperluan Anak, Bukan Kesempurnaan Raya
Kadang-kadang kita terlalu mahu raya nampak sempurna seperti orang lain. Rumah perlu dihias cantik, kuih perlu banyak, baju mesti sedondon. Tetapi realitinya, perkara ini boleh menambah tekanan kepada ibu bapa.
Jika kewangan terhad, fokuskan pada perkara yang paling penting sahaja. Anak-anak sebenarnya lebih gembira melihat ibu bapa tenang dan bahagia berbanding melihat persiapan Raya yang terlalu mewah.

3. Beli Baju Raya Anak Secara Bijak
Baju Raya memang sinonim dengan perayaan, terutamanya untuk anak-anak. Dalam banyak tip jimat sambut Raya, membeli pakaian secara bijak boleh menjimatkan perbelanjaan dengan ketara.
Ibu bapa boleh membeli lebih awal ketika ada promosi atau jualan murah. Tidak semestinya perlu membeli banyak pasang baju. Satu atau dua pasang sudah memadai, terutamanya jika anak masih kecil dan cepat membesar.
Jika baju tahun lepas masih elok dan muat, tidak salah untuk dipakai semula.
Baju Raya
Tidak perlu terlalu banyak pasang.
- Anak 1: RM70
- Anak 2: RM70
- Ibu: RM80
- Ayah: guna baju sedia ada / RM0
Jumlah: RM220
Tip jimat: Beli semasa promosi atau pilih jenama yang sederhana tetapi selesa dipakai.
4. Tidak Mengapa Jika Mak Ayah Ulang Pakai Baju
Ramai ibu bapa sanggup tidak membeli baju raya untuk diri sendiri asalkan anak-anak dapat pakaian baru. Ini perkara yang sangat biasa berlaku dalam keluarga.
Sebenarnya tidak ada salahnya jika mak ayah memakai semula baju tahun lepas. Anak-anak juga boleh belajar bahawa kebahagiaan Hari Raya bukan bergantung pada pakaian baru setiap tahun.

5. Buat Kuih Raya Secara Sederhana
Satu lagi tip jimat sambut Raya yang praktikal ialah mengurangkan jumlah kuih raya. Kuih raya yang dijual kadangkala agak mahal. Jika ada masa, cuba buat sendiri beberapa jenis kuih yang mudah di rumah.
Tidak perlu terlalu banyak jenis. Cukup beberapa pilihan yang menjadi kegemaran keluarga. Anak-anak juga pasti seronok jika dapat membantu menyusun kuih atau mengisi dalam balang.
Kuih Raya
Tidak perlu sampai 8 atau 10 balang.
- Beli 3 balang kuih: RM25 x 3
Jumlah: RM75
Tip jimat: Tambah satu atau dua jenis kuih homemade jika ada masa.
6. Masak Menu Raya Ikut Kemampuan
Kadang-kadang kita terpengaruh dengan hidangan raya yang nampak mewah di media sosial. Tetapi untuk mak ayah yang perlu berjimat, tidak perlu menyediakan terlalu banyak menu.
Cukup beberapa hidangan utama seperti rendang, nasi impit atau kuah kacang. Menu yang sederhana tetapi dimasak dengan penuh kasih sayang sudah cukup untuk menggembirakan keluarga.
Barang Masak Menu Raya
Contoh menu sederhana: Rendang ayam, nasi impit, kuah kacang.
- Ayam 2 ekor: RM40
- Santan & rempah: RM20
- Kacang tanah & bahan kuah: RM20
- Sayur dan bahan lain: RM20
Jumlah: RM100
Biasanya menu ini boleh makan beberapa hari.

7. Rancang Duit Raya Dengan Bijak
Merancang duit raya juga termasuk dalam tip jimat sambut Raya yang sangat membantu. Duit Raya sering menjadi salah satu perbelanjaan besar ketika musim perayaan.
Ibu bapa boleh menetapkan jumlah tertentu untuk diberi kepada kanak-kanak yang datang beraya. Jika sempat, cuba simpan sedikit demi sedikit beberapa bulan sebelum raya.
Walaupun hanya jumlah kecil setiap minggu, ia boleh membantu mengurangkan beban perbelanjaan apabila tiba Hari Raya.
Duit Raya
Tetapkan jumlah supaya tidak terbabas.
Contoh:
- 20 sampul x RM5
Jumlah: RM100
Tip jimat: kanak-kanak kecil RM3–RM5 pun sudah memadai.
8. Jangan Bandingkan Raya Dengan Orang Lain
Ini mungkin tip jimat sambut Raya yang paling penting untuk mak ayah ingat. Setiap keluarga mempunyai rezeki dan ujian yang berbeza. Apa yang dilihat di media sosial tidak semestinya mencerminkan kehidupan sebenar seseorang.
Raya yang sederhana tidak bermakna kita gagal sebagai ibu bapa. Bagi anak-anak, kehadiran mak ayah, masa bersama dan suasana penuh kasih sayang sudah cukup membuatkan Hari Raya terasa istimewa.

Anggaran Bajet Raya Sederhana
- Baju Raya: RM220
- Kuih Raya: RM75
- Barang masak: RM100
- Duit Raya: RM100
- Dekorasi: RM30
Jumlah keseluruhan: sekitar RM525
Cara Lebih Jimat Lagi
Jika keadaan kewangan lebih ketat, bajet boleh jadi sekitar RM300 – RM400 sahaja dengan cara berikut:
- Mak ayah tidak beli baju baru
- Kurangkan kuih kepada 2 balang
- Duit raya RM3 setiap sampul
- Masak menu sangat sederhana
Yang penting sebenarnya bukan berapa banyak kita berbelanja. Bagi anak-anak, suasana pagi Raya, makan bersama keluarga, dan berjalan beraya dengan mak ayah sudah cukup membuatkan Hari Raya terasa istimewa.
Jadi jom berjimat!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





