Rezeki orang tak sama dengan rezeki kita. Bila dah berumah tangga jangan sesekali bandingkan orang lain dengan pasangan kita kerana masing-masing ada kelebihan.

Mungkin di awal perkahwinan ada yang pernah mengalami fasa ‘susah’ bersama pasangan sebelum dapat mengecapi rezeki yang lebih baik pada hari ini. Inilah dikatakan lumrah kehidupan. Jika kita boleh lalui fasa ini dengan baik, pastinya jkita akan lebih menghargai pasangan dan erti kehidupan sebenar.

9 Tahun Kahwin Tak Pernah Hadiahkan Isteri Emas. Sekali Dapat Rezeki, Allah Bagi Tak Putus

Seperti yang dikongsikan oleh saudara Mohd Fadli Salleh yang juga seorang suami dan ayah kepada empat orang anak, bagaimana dia menjalani kehidupan di awal perkahwinan hingga mendapat kehidupan lebih baik bersama anak isteri hari ini.

Sejujurnya, 9 tahun pertama perkahwinan kami, sebentuk cincin emas murah pun tak pernah aku hadiahkan. Dan puan isteri aku tak pernah merungut, tak pernah memujuk, jauh sekali merayu meminta. Kerana dia tahu kemampuan aku.

Hampir 10 tahun berkahwin, anak nak masuk 4 dah, aku tak pernah bawa keluarga aku melancong ke mana-mana. Sekadar ke pasar malam, ke supermarket dan tepi pantai sahaja. Kawan-kawan dia, adik-beradik, saudara mara pakat tayang emas baru, puan isteri senyum dan diam sahaja. Sekali pun tidak pernah meminta-minta.

Saat orang lain melancong ke sana ke sini waktu cuti, kami hanya balik ke kampung. Paling kuat pun ke Pantai Batu Buruk tengok ombak. Anak nak naik kereta kuda pun tak boleh. Mahal. Ayah tak mampu. Kita tengok saja nak ya. Nanti ayah ada duit kita naik.

Anak-anak ajak pergi pulau, duduk resort dan mandi kolam pun ibunya akan bisik kat anak,

“Arshad, Asyraff dan Amar doakan tau. Agar rezeki ayah mencurah. InsyaAllah bila ada rezeki ayah bawa kita. Doa sungguh-sungguh”.

Aku yang mendengar hujung telinga ini terkoyak teruk emosi dalaman. Cuma tak luahkan sahaja. Dalam jiwa, menangis berkoyan air mata.

Rasa loser gila. Rasa tak berguna. Rasa bukan seorang suami dan ayah yang baik untuk isteri dan anak-anak. Aku nak sediakan segala. Aku nak tunaikan apa jua permintaan puan isteri dan anak-anak, tapi aku tak mampu.

Gaji diploma, duduk di kota raya, dengan bebanan hutang peribadi, hutang kereta, hutang rumah, bukan cabaran kecil. Tolak itu tolak ini, balance tak sampai seribu. Nak kena berjimat sampai akhir bulan. Silap percaturan pasti kena berhutang. Sekali berhutang, akan efek perbelanjaan bulanan seterusnya pula.

9 Tahun Kahwin Tak Pernah Hadiahkan Isteri Emas. Sekali Dapat Rezeki, Allah Bagi Tak Putus

Nak bayar roadtax terpaksa main kutu rm50 sebulan. Minta tarikh hari roadtax mati. Aku rm50, puan isteri rm50. Sekali tayar botak, tabung haji jadi penyelamat. Tabung haji potong rm50 sebulan tak pernah simpanan cecah RM1k. Kejap-kejap cucuk, kejap-kejap cucuk.

Semua peluang kerja aku buat. Jual simkad, jual air, jual kasut, pelayan kedai makan. Semua aku rembat. Aku pernah listkan dua tahun lepas, aku buat 16 kerja berbeza untuk mengubah ekonomi keluarga. Pendek kata, asal halal aku akan buat. Penat tolak ke tepi.

Pulang sekolah jam 7 malam, jam 8 malam lepas solat maghrib terus keluar pergi jual kasut bundle. Pulang jam 4 pagi. Dapat la gaji RM30 satu malam. Kadang tak ada pelanggan, tak ada gaji.

Pulang kepenatan, esoknya perlu ke sekolah lagi. Habis musim kasut jadi pelayan kedai makan. Kadang dapat gaji RM10-RM30, kadang dapat makan free tanpa gaji. Pun kerja malam dari jam 8 pagi hingga 3 pagi.

Mujur aku mengajar petang masa tu. Lepas Subuh sambung tidur. Bangkit jam 11 pagi bersiap ke sekolah pula. Begitu rutin bertahun lamanya.

IKLAN

Sedikit demi sedikit aku menabung. Sedikit demi sedikit aku menyimpan. Aku punya hasrat dah lama. Lama sangat-sangat.

Nak hadiahkan isteri barang kemas. Nak bawa anak melancong puas-puas.

9 tahun bukan tempoh singkat. Bukan sedikit perit, luka, dan airmata yang aku tahan dan telan sendirian selama ini.

Dapat capai impian belanja isteri dan anak-anak

Akhirnya, pada anniversary kami ke sembilan pada Jun tahun 2018, buat kali pertama aku memimpin tangan ini; tangan yang aku nikahi 9 tahun lalu masuk ke kedai emas untuk memilih apa jua barang yang dia suka.

Terkejut, terharu puan isteri usah cerita. Hampir saja air mata tumpah dalam kedai emas kerana beliau tak sangka aku nak bawanya masuk ke kedai itu.

Pun masih, betapa setia dan memahaminya seorang isteri, bilamana aku minta untuk pilih barang kemas kesukaan dia cuma memilih sebentuk cincin belah rotan yang harga lebih kurang RM400 sahaja.

Betapa beliau risau akan membebankan aku. Betapa beliau runsing aku tidak bersedia untuk itu.

9 Tahun Kahwin Tak Pernah Hadiahkan Isteri Emas. Sekali Dapat Rezeki, Allah Bagi Tak Putus

Hari tersebut, aku suruh ambil rantai emas harga lebih 6k. Geleng kepala dia tengok harga, siap suruh trade in rantai lama. Aku senyum dan larang trade rantai lama. Sayang. Bahkan aku suruh pilih seutas lagi gelang emas lebih 2k harga.

“Ambillah. Abang dah bersedia lama untuk saat ini. Abang menahan diri dari berbelanja, abang menyimpan, abang main kutu, abang berjimat cermat bertahun-tahun hanya untuk hari ini.

IKLAN

Usah risau. Semua dalam kawalan”.

Saat tu je bergenang mata puan isteri lantas meramas erat tangan aku. Tuan kedai terkebil-kebil saja melihat situasi kami.

‘Drama apakah ini?’ agaknya itu yang bermain di dalam kepalanya.

9 Tahun Kahwin Tak Pernah Hadiahkan Isteri Emas. Sekali Dapat Rezeki, Allah Bagi Tak Putus

Rezeki datang mencurah-curah

Dari hari itu, dari tarikh itu, Tuhan mula melorongkan rezeki mencurah-curah. Apa saja aku buat, alhamdulillah berjaya.

Datang seorang demi seorang kawan, mereka yang berjaya tunjukkan jalan dan buka peluang untuk aku terus maju jaya.

Agaknya inilah rezeki yang orang selalu sebut, rezeki belanja untuk isteri. Dalam rezeki suami, terselit rezeki isteri.

Bahkan mungkin berkat doa anak-anak yang memohon penuh tulus agar Tuhan buka jalan rezeki untuk ayahnya semata-mata mereka hendak tidur hotel dan mandi kolam seperti keluarga lain.

9 Tahun Kahwin Tak Pernah Hadiahkan Isteri Emas. Sekali Dapat Rezeki, Allah Bagi Tak Putus

Dan tanggal Disember 2018, setelah gigih menyimpan, akhirnya buat pertama kali aku mampu bawa anak isteri, mak mertua dan adik-adik ipar melancong ke Kundasang, Sabah.

IKLAN

Kawan-kawan…

Jika hari ini kalian belum berjaya, jika hari ini kalian belum mampu, jangan pernah menyerah kalah.

Terus usaha dan usaha sahaja. Terus yakin dengan doa dan sedekah. Dua senjata ajaib yang tak mampu mana-mana saintis di dunia rungkai kesannya.

Aku menulis hari ini bukan untuk menunjuk-nunjuk. Jauh sekali nak bercerita aku dah berjaya, kaya dan seumpamanya.

Sehingga hari ini aku masih gigih berusaha untuk mengubah nasib diri. Sehingga hari ini aku masih banyak menahan diri dan menyimpan untuk masa depan.

Aku belum berjaya. Tapi aku sedang berusaha ke itu. Aku tak pernah berhenti walau sekali. Aku masih gigih dan berjuang, bukan goyang kaki bersenang-lenang.

Semoga sedikit perkongsian ini membuka mata dan memberi inspirasi kepada mereka yang ingin mengambil ‘isi’ di dalam tulisan ini.

Aku doakan kalian semua akan berjaya dan terus maju jaya. Doakan aku juga ya.

Ingatlah firman Allah, “Tuhan tidak mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri yg mengubahnya”.

9 Tahun Kahwin Tak Pernah Hadiahkan Isteri Emas. Sekali Dapat Rezeki, Allah Bagi Tak Putus

Hidup ini keras dan memeritkan bagi sebahagian kita. Jangan mengalah, sentiasa bangkit setiap kali jatuh, jangan lupa sedekah dan doa, pasti akan ada jalan terbuka luas terbentang di depan sana.

Ribut yang paling dahsyat pun pasti akan berhenti. Dan sebaik ia berhenti, muncullah pelangi. Begitu juga ujian hidup ini.

Terus kental bertahan. Bahagia dan kejayaan sudah menghampirimu. Yakinlah!

Sumber: Mohd Fadli Salleh
– Sesudah ribut, hadirnya limpahan kasih Tuhan

**Jangan lupa saksikan Pa&Ma Journey Bersama SchAwaLara, setiap Rabu jam 9 malam di Astro Ria saluran 104/124 dan ulangannya setiap Ahad jam 9.30 pagi.

9 Tahun Kahwin Tak Pernah Hadiahkan Isteri Emas. Sekali Dapat Rezeki, Allah Bagi Tak Putus

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI