Penentuan usia kehamilan dan seterusnya due date atau tarikh jangkaan kelahiran agak sukar bagi wanita yang haidnya tidak teratur. Kadangkala boleh dapat sampai 3 tarikh jangkaan kelahiran, mana satu nak ikut? Ikuti penerangan doktor ini.
Hampir setiap wanita memang teruja bila melihat ujian air kencing menunjukkan dua garisan tanda positif hamil. Bila ke klinik untuk pengesahan, doktor akan bertanya mengenai tarikh hari pertama haid sebelum ini kerana info tersebut sangat mustahak untuk menentukan usia kehamilan anda. Oleh itu wanita yang berkahwin jangan lupa rekodkan tarikh haid anda setiap bulan.
Namun bagi wanita yang mempunyai haid yang tidak teratur serta penggunaan pil perancang boleh membuatkan keputusan tidak dapat dipastikan dengan tepat. Tahukah anda bagaimana caranya penentuan usia kehamilan yang lebih tepat? Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak, Pegawai Perubatan, Kesihatan Wanita & Kehamilan menenerangkan dengan lebih lanjut mengenai perkara ini;
TARIKH JANGKA BERSALIN MANA SATU YANG SAYA NAK FOLLOW NI DOKTOR? PENING LA SAYA. ADA 3 TARIKH !”
Semua ibu hamil akan melalui scan ini dinamakan Dating scan. Dating scan ni maksudnya scan pada awal kehamilan, bukan terlalu awal tapi dilakukan antara minggu ke 10 dan 14 kehamilan. Biasanya dibuat pada 12 minggu kehamilan. Bila doktor tanya, ada scan awal-awal buat tak? Ni scan yang dia nak.
Ads
Scan sebelum 10 minggu tu HANYA dibuat bila si ibu ada rasa sakit atau pendarahan atau ibu pernah mengalami masalah pada kandungan terdahulu misalnya kehamilan luar rahim atau pernah ada keguguran berulang kali. Selain dari itu, takde sebab perlu buat scan sebelum 10 minggu kehamilan. Ye saya tahu memang excited nak tengok baby dalam rahim, tapi buat mende yang perlu sahaja, jgn berlebih-lebihan.
Dating scan ini adalah cara terbaik untuk menjangka bila sepatutnya tarikh jangka bersalin atau dalam erti kata lain, scan ini adalah untuk menentukan berapa minggu sebenarnya anda sudah hamil.
Anda memang boleh tahu bila tarikh hari pertama last period, tapi bila sebenarnya persenyawaan berlaku kita tak tahu.
Ads
JIKA HAID TIDAK TERATUR
Jika haid/ period tak teratur ataupun sebelum ni ada mengambil pil perancang kehamilan, nak dapatkan tarikh dijangka bersalin berdasarkan tarikh last period itu mungkin kurang tepat.
Maka tarikh yang diberikan berdasarkan dating scan adalah tarikh yang tepat yang boleh dipakai. Jika tarikh yang diberikan oleh scan tidak lari jauh dari tarikh yang dikira berdasarkan tarikh last period, maka tarikh dijangka bersalin akan ikut perkiraan dari tarikh hari pertama last period. Jika perbezaan tarikh jangka bersalin tu berbeza lebih 2 minggu, maka kita akan gunakan tarikh dijangka bersalin yang didapati melalui dating scan.
Dating scan selain menentukan minggu kehamilan dan tarikh dijangka bersalin, boleh digunakan untuk melihat sama ada kehamilan tu adalah kandungan kembar dua atau tiga atau hanya ada 1 baby saja
APA YANG DIUKUR MASA 12 MINGGU?
Baby akan diukur dari kepala ke bahagian bawah. Ukuran ini dinamakan crown rump length ( CRL ) dan sangat tepat jika dilakukan pada trimester pertama kehamilan.
Pada 10 minggu, baby berukuran lebih kurang 3 cm
Pada 12 minggu, baby berukuran lebih kurang 5 hingga 6 cm
Pada 13 mingu, baby berukuran dalam 7 cm
Lepas 13 minggu, baby boleh memanjang atau membongkok maka ukuran tu jadi kurang tepat. Maka dari 13 minggu , jika baby tu lebih panjang dari 84mm, ukur lilit kepala baby ( head circumference ) adalah cara terbaik untuk membuat ukuran
Jangan nak blur blur nak ikut tarikh yang mana. Tanya doktor tu dan dapatkan kepastian tarikh mana nak ikut.
Aspek pemakanan semasa hamil amat perlu dititikberatkan. Hal ini kerana ia membekalkan sumber nutrien yang bakal diserap tubuh untuk membantu proses pekembangan diri bayi dalam kandungan. Malah ia juga diperlukan untuk penjagaan kesihatan diri anda sendiri yang bakal melalui proses kehamilan dan seterusnya kelahiran bayi dalam masa terdekat ini.
Tahukah anda, kecerdasan dan kepintaran otak bayi bermula seawal usianya dalam kandungan. Pertumbuhan dan perkembangan otaknya bermula dengan pembentukan neural plate embrio sekitar hari ke-16 selepas disenyawakan.
Kemudian ia akan membentuk menjadi neural tube pada hari ke-22. Hari demi hari, proses pembentukan saraf dan otak bayi akan berkembang pesat sehingga ia menjadi lengkap apabila dilahirkan.
Oleh sebab itulah, anda perlu mengambil berat soal pemakanan. Ini penting bagi memastikan proses perkembangan otak bayi berjalan dengan lancar dan sempurna. Namun, semasa hamil anda perlu ambil vitamin tambahan seperti yang disarankan oleh doktor yang memeriksa kehamilan anda.
Asid folik
Asid folik adalah nutren penting dalam pembentukan sel otak. Ia juga penting untuk memastikan bahagian saraf tunjang bayi terbentuk dengan sempurna.
Sebenarnya anda perlu mengambil asid folik seawal tiga bulan sebelum hamil hinggalah bulan ketiga kehamilan. Dos yang diperlukan adalah sekitar 400mcg sehari.
Obimin
Kebiasaannya, vitamin ini diambil selepas kandungan berumur tiga bulan. Ia adalah vitamin lengkap yang bakal membanttu perkembangan dan pertumbuhan bayi di dalam kandungan anda.
Iberet folic
Vitamin ini sesuai diambil oleh anda sekiranya mengalami masalah Hb rendah. Namun jangan sekali ambil vitamin ini tanpa berbincang dengan doktor terlebih dahulu.
Antara kesan sampingan yang bakal dilalui selepas mengambilnya, anda aklan berasa sedikit pening, mual dan najis yang dikeluarkan juga berwarna kehitaman.
Omega 3
Omega-3 pula sangat penting dalam penghasilan grey matter dan pembentukan neuron. Sel neuron ini berfungsi sebagai penghubung dan penghantar maklumat daripada otak kepada sel saraf yang lain. Antara sumber utama Omega 3 ialah Minyak Ikan Omega 3.
Oleh sebab itu, doktor sangat menyarankan ibu hamil menambah supplemen minyak ikan semasa hamil. Ia sesuai diambil selepas kandungan berumur tujuh bulan. Ada yang mengatakan jika diambil terlalu awal dikhuatiri bayi boleh menjadi hiperaktif.
Zat besi
Zat besi adalah nutrisi yang sangat penting semasa kehamilan. Ia diperlukan untuk mengangkut oksigen ke seluruh bahagian tubuh bayi termasuk otaknya. Kekurangan oksigen pada bayi boleh memberikan kesan yang negatif kepada IQ bayi.
Kalsium
Pengambilan kalsium bukan sekadar penting untuk kesihatan tulang dan gigi bayi tetapi juga kepada otak. Kalsium memainkan peranan penting dalam penghantaran isyarat kepada sistem saraf terutama di bahagian otak.
Kalsium yang mencukupi diperlukan untuk otak berfungsi dengan baik di samping mengelakkan gangguan kepada sistem saraf. Jadi anda kena pastikan diri sentiasa menjaga pemakanan dengan baik. Jika tidak, kena tambah suplemen kalsium.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bukan hanya untuk ibu hamil, tetapi wanita yang sedang merancang untuk mengandung juga perlu memberi perhatian kepada diet mereka. Harus jaga pemakanan dan carilah suplemen yang bersesuaian dengan keperluan tubuh. Tidak semestinya bergantung kepada suplemen yang ada di pasaran, tetapi anda juga boleh mendapatkan khasiat atau vitamin tertentu daripada sayuran dan buah-buahan.
Menurut Dr Zubaidi Haji Ahmad, salah satu cara untuk meningkatkan tahap kesihatan ialah dengan mengamalkan pemakanan yang sihat. Kebanyakan nutrien yang baik seperti vitamin, mineral, beberapa enzim tertentu dan sebatian lain boleh didapati dari makanan yang tidak berproses terutamanya sayur-sayuran dan buah-buahan segar.
Bagi wanita hamil yang ingin menambah pengambilan vitamin kerana ada masalah kesihatan atau percaya mereka tidak mendapat vitamin yang secukupnya dari makanan yang mereka ambil, boleh mengamalkan beberapa vitamin.
Selalunya doktor akan memberikan pil-pil vitamin tertentu. Pil-pil ini mengandungi vitamin yang diformulakan untuk wanita yang hamil.
Saya juga mencadangkan pengambilan vitamin C dan vitamin E pada wanita yang hamil. Kedua-dua vitamin ini dapat meningkatkan daya tahan, membantu mempercepatan penyembuhan luka dan kerosakan tisu, menjadikan kulit bertambah sihat dan cantik, serta menguatkan dan mempercepatkan pertumbuhan tulang.
Bagi wanita hamil yang mengalami masalah kekurangan sel-sel darah merah (anemia), vitamin C dan E membantu penyerapan zat-zat besi. Oleh itu bagi wanita yang mempunyai tahap hemoglobin yang rendah, pengambilan zat besi (iron tablet) bersama vitamin C dan vitamin E dapat meningkatkan tahap hemoglobin dengan lebih cepat.
Selain itu, vitamin C dan vitamin E dapat membantu perkembangan otak bayi sejak dari dalam rahim ibu lagi. Ia juga menguatkan pembentukan tulang, tulang rawan (cartilage), tendon dan kulit bayi.
Vitamin C dan vitamin E berfungsi sebagai sebatian antioxida yang terbaik. Mereka bertindak melindungi sel-sel tubuh dari serangan radikal bebas yang berbahaya dan menghalang proses pengoksidaan yang bahaya dalam tubuh. Sebagai antioxidant, vitamin E dan vitamin C bertindak secara sinergi atau bergandingan dalam melawan proses pengoksidaan yang sangat bahaya pada tubuh.
Gandingan keduanya juga sangat baik dalam melawan serangan radikal bebas yang banyak berlaku dalam tubuh.
Ini bermakna vitamin E juga perlu dalam meningkatkan sistem daya tahan dan mengelakkan penyakit. Oleh itu saya sangat mencadangkan pengambilan vitamin C dan vitamin E adalah satu kerana mereka gandingan antioksida yang terbaik.
Banyak kajian membuktikan proses pengoksidaan ketika hamil akan menyebabkan masalah pre eclampsia, meninngkatkan perkembangan fizikal bayi dalam rahim dan menyebabkan kebocoran selaput bayi secara pramatang. Proses pengoksidaan yang keterlaluan juga menyebabkan pelbagai masalah pada bayi yang dilahirkan secara pramatang seperti masalah paru-paru, kerosakan usus yang teruk (disebut sebagai necrotizing enterocolitis) dan banyak lagi. Ini membuktikan proses pengoksidaan yang tidak tekawal berbahaya kepada wanita yang hamil dan bayi dalam rahim.
Ramai saintis mencadangkan pengambilan vitamin C dan vitamin E ketika hamil untuk dapat mengelakkan komplikasi ketika hamil, walaupun belum banyak kajian yang dilakukan terhadap teori ini. Oleh kerana pengambilan vitamin C dan vitamin E bukanlah sesuatu yang berbahaya ketika hamil, maka tidak salah bagi mereka yang ingin mengamalkannya. Ambil dalam dos yang betul bagi mendapat manfaat vitamin-vitamin ini dan bagi mengelakkan kemudaratannya (walaupun ia jarang berlaku).
Pengambilan vitamin C yan dicadangkan oleh American Pregnancy Association adalah 200-500mg. Pengambilan vitamin C lebih dari dos ini tidak mendatangkan kemudaratan kerana ia larut dalam air. Namun pengambilan vitamin C melebihi 2000mg mungkin akan menjejaskan kehamilan dan mendatangkan kemudaratan.
Pengambilan vitamin E pula antara 30-50mg sehari. Setakat ini belum ada lagi kajian terperinci kemudaratan pengambilan vitamin E, kecuali jika diambil dalam dos yang besar iaitu 400mg dalam sehari.
Nasihat saya bagi wanita hamil, dalam usaha kita mendapatkan manfaat dari vitamin yang kita amalkan, saya mencadangkan agar berbincang dengan doktor yang faham tentang kepentingan pemakanan dan vitamin. Ini membantu kita mendapat manfaat dan mengelakkan kemudaratan dari ubat atau vitamin yang kita ambil.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Soalan saya, kenapa baby boleh besar dalam kandungan? Bahaya ke baby besar? Ibu dari Moms To Be Club
Jawapan daripada Dr.Izzat, Doktor O&G
Macrosomia bayi terjadi disebakan si ibu ada kencing manis atau nama lain Gestational diabetes mellitus (GDM) yang tak terkawal.
Kalau ibu tu ada kencing manis dan kawalan gulanya tak bagus – tak patuh pada arahan diet atau permakanan pegawai pemakanan dan tak patuh pada insulin ( kalau ada ), gula dalam badan ibu akan sentiasa tinggi. Gula dalam darah yang tinggi ini akan dipindahkan kepada bayi melalui tali pusat dan menyebabkan tumbesaran bayi lebih besar dari perkadaran normal ( large for gestational age). Pembesaran bayi di mana beratnya lebih 4kg dipanggil macrosomia.
Kalau permakanan sahaja bukan penyebab langsung bayi besar. Tapi jika permakanan tak dijaga dan ibu ada kencing manis itu penyebabnya. Apa-apa pun permakanan seimbang diperlukan walaupun ibu tiada kencing manis.
Info tambahan
Kencing manis, jika dahulu merupakan satu penyakit yang hanya akan dihidapi oleh individu dewasa lebih berusia, namun, kini penyakit kencing manis boleh dialami oleh mana-mana individu tanpa mengira faktor usia, sama ada dewasa, kanak-kanak malahan ibu mengandung juga turut boleh mendapat kencing manis.
Adakah terdapat petua hilangkan kencing manis ketika mengandung? Ikuti artikel ini untuk mendapatkan lebih info.
Apa itu Kencing Manis?
Kencing manis atau turut dikenali sebagai Diabetes Mellitus (DM) secara ringkasnya merupakan satu masalah kesihatan yang berkaitan dengan kadar gula dalam darah yang tinggi.
Ia adalah satu keadaan yang mengganggu dan merosakkan keupayaan badan untuk memproses glukosa darah atau dikenali sebagai gula dalam darah.
Di Malaysia juga, kencing manis adalah penyakit yang sangat popular di negara ini. Jika ia dibiarkan secara berterusan, tanpa sebarang kawalan dan penjagaan yang lebih baik, kencing manis berisiko untuk menyebabkan pembentukan gula dalam darah, yang cenderung untuk meningkatkan risiko komplikasi penyakit kronik dan berbahaya seperti strok (angin ahmar) dan penyakit jantung.
Secara umumnya, seperti apa yang sering menjadi kepercayaan umum, penyakit kencing manis sering dianggap sebagai penyakit yang akan menyerang individu dewasa yang lebih berusia. Tapi hakikatnya, penyakit kencing manis ini juga boleh berlaku dan bermula dari zaman kanak-kanak.
Penyakit berkaitan gula dalam darah ini boleh dibahagikan kepada dua subkategori utama; Diabetes Jenis 1 dan Diabetes Jenis 2.
#Diabetes Jenis 1
-Biasanya didiagnosis dalam zaman kanak-kanak
-Tidak semestinya dikaitkan dengan berat badan yang berlebihan
-Biasanya dikaitkan dengan kadar keton yang tinggi
-Dirawat dengan suntikan atau pam insulin
-Tidak dapat dikawal tanpa pengambilan insulin
-Diabetes jenis 1 merupakan suatu penyakit autoimun, yang mana sistem imun merosakkan sel-sel yang sihat dalam badan. Dalam kes ini, sistem imun merosakkan sel beta dalam pankreas sehingga pankreas tidak dapat menghasilkan insulin sendiri.
Walau bagaimanapun, tiada bukti saintifik yang menjelaskan kenyataan tersebut. Diabetes jenis 1 memerlukan suntikan insulin secara kerap untuk mengimbangi kematian sel beta, jadi semua pesakit diabetes jenis 1 adalah bergantung pada insulin.
#Diabetes Jenis 2
-Biasanya didiagnosis pada umur 30 tahun ke atas
-Biasanya dikaitkan dengan berat badan yang berlebihan
-Biasanya dikaitkan dengan tekanan darah dan/ atau tahap kolesterol yang tinggi
-Rawatan awal adalah tanpa perubatan atau pil sebagai ubat kencing manis
-Berkemungkinan dirawat tanpa perubatan diabetes
Dalam kes diabetes jenis 2, sistem imun tidak merosakkan sel beta. Sebaliknya, diabetes jenis 2 dikategorikan sebagai ketidakupayaan badan untuk bertindak kepada insulin, yang juga dikenali kerintangan insulin dan insulin malsecretion.
Berbeza dengan diabetes jenis 1, diabetes kategori ini berlaku disebabkan oleh kerintangan insulin dan boleh juga ada kekurangan penghasilan insulin. Kerintangan insulin ini menyebabkan penghasilan glukosa daripada hati meningkat, pengurangan penggunaan glukosa oleh pelbagai organ-organ penting, peningkatan penyerapan semula glukosa oleh buah pinggang dan juga pengurangan penghasilan hormon incretin.
Namun, apakah pula kategori bagi kencing manis yang dihidapi oleh individu wanita mengandung? Ikuti penjelasan selanjutnya.
Punca Kencing Manis ketika Mengandung
Kenapa GDM ini berlaku secara spesifik pada tempoh kehamilan, di mana ibu hamil berisiko mendapat masalah paras gula yang tidak terkawal? Dan kenapa ia tidak boleh dirawat seperti diabetes jenis 1 atau jenis 2? Ia adalah disebabkan patofisiologi GDM.
1. Patofisiologi.
Kehamilan diiringi oleh ketahanan insulin, diselia terutamanya oleh rembesan plasenta hormon diabetogenik termasuk hormon pertumbuhan, hormon pelepasan kortikotropin, laktogen plasenta (somatomammotropin chorionic), prolaktin, dan progesteron. Perubahan-perubahan metabolik ini dan lain-lain memastikan bahawa janin mempunyai bekalan nutrien yang mencukupi.
Gestational diabetes mellitus berkembang semasa kehamilan pada wanita yang fungsi pankreas tidak mencukupi untuk mengatasi rintangan insulin yang berkaitan dengan keadaan hamil.
2. Rintangan Insulin.
Kesan insulin terganggu disebabkan oleh pelbagai hormon (seperti estrogen, kortisol dan human placental lactogen) dihasilkan oleh uri atau plasenta. Semakin plasenta membesar semakin banyaklah hormon-hormon ini dihasilkan dan semakin tinggi rintangan insulin yang terjadi.
3. Kandungan glukosa yang berlebihan dalam darah.
Proses pencernaan glukosa di dalam aliran darah dikawal atur oleh insulin. Kekurangan insulin menyebabkan glukosa tidak dapat memasuki sel badan di mana ia digunakan sebagai sumber tenaga, sebaliknya glukosa akan terkumpul di dalam darah dengan berlebihan dan menyebabkan diabetes mellitus.
Faktor-faktor Risiko
Setiap individu wanita yang sedang hamil, mempunyai risiko untuk mendapat diabetes gestasi ini. Tetapi terdapat beberapa faktor yang menjadikan sesetengah individu wanita berdepan risiko yang lebih tinggi. Antara faktor-faktornya adalah seperti:
Petua Hilangkan Kencing Manis ketika Mengandung – bmi
-Individu yang berusia lebih daripada 25 tahun
-Mempunyai sejarah keluarga atau peribadi. Risiko untuk anda menghadapi GDM akan meningkat jika anda mempunyai prediabetes, iaitu keadaan di mana kandungan gula dalam darah yang sedikit tinggi dan menjadi penanda kepada diabetes jenis 2. Sekiranya pada kehamilan sebelum ini anda mendapat GDM, maka risiko untuk mendapat kembali masalah ini adalah tinggi.
-Berat badan yang berlebihan. Masalah obesiti adalah sangat berkaitan dengan diabetes. Jadi kecenderungan untuk mendapat GDM adalah tinggi jika BMI anda 30 atau lebih daripada itu.
-Etnik. Ia adalah satu faktor yang sukar untuk diperjelaskan. Tetapi sekiranya anda adalah wanita berkulit hitam, Hispanik, Indian Amerika atau Asia, risiko untuk mendapat GDM adalah tinggi.
Bahaya Kencing Manis ketika Mengandung
Seperti yang dimaklumkan di atas, masalah kesihatan ini bukanlah satu masalah yang boleh dipandang ringan dan dibiarkan tanpa sebarang rawatan. Ini kerana terdapat beberapa risiko pada kesihatan yang mungkin boleh berlaku kepada ibu hamil.
Antaranya seperti pendarahan, pitam, risiko melahirkan anda bersaiz besar. Antara risiko lain yang mungkin terjadi adalah seperti:
1.Makrosomia (didefinisikan sebagai bayi yang lahir dengan berat 4.0kg atau lebih). Bayi berkemungkinan akan menghadapi kecederaan di bahu semasa kelahiran dan meningkatkan risiko untuk menjalani pembedahan Caesarean.
2.Bayi anda mungkin mempunyai paras glukosa darah yang sangat rendah (hipoglisemia).
3.Bayi juga mudah terdedah kepada jaundis atau demam kuning yang berpanjangan.
4.Bayi anda juga berisiko untuk menjadi obes dan menghidap diabetes jenis 2 apabila dewasa kelak.
5.Ibu berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi seperti jangkitan pada saluran kencing, diabetik ketoasidosis, dan jangkitan kulat pada kulit.
6.Mudah terdedah kepada kelahiran pramatang disebabkan Polihidramnios dan bayi yang bersaiz besar.
7.Ibu berisiko tinggi mendapat preeklampsia (darah tinggi) dan tumpah darah.
Petua Hilangkan Kencing Manis ketika Mengandung
Setiap penyakit atau masalah kesihatan pasti akan ada cara untuk mengatasinya atau paling tidak kaedah yang boleh diikuti untuk mengawal sesuatu permasalahan penyakit. Berikut adalah antara beberapa petua hilangkan kencing manis ketika mengandung yang boleh anda cuba dan ikuti.
1. Ubah diet pengambilan makanan seharian
Petua hilangkan kencing manis ketika mengandung yang paling utama adalah dengan melakukan perubahan dalam pemakanan yang anda makan. Diet yang penuh nutrisi adalah salah satu cara terbaik untuk mengawal gula darah. Wanita hamil perlu mengehadkan makanan yang mempunyai kadar gula dan karbohidrat yang tinggi.
Sebaliknya, ibu perlu makan pelbagai jenis makanan seperti kanji, zat besi, vitamin, dan makanan rendah lemak. Makan tiga hidangan kecil dan satu hingga tiga makanan ringan setiap hari. Wanita yang mengandung juga harus makan banyak makanan kaya serat seperti buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin, beras bijirin penuh, roti. Ibu hamil obes yang didiagnosis dengan diabetes gestasi harus bermula dengan diet 30 kcal/kg hari.
Doktor mungkin mencadangkan anda bertemu pakar diet berdaftar untuk membantu anda membuat pelan diet yang boleh anda ikut. Ia perlu bagi menangani kencing manis ketika mengandung, tetapi masih membekalkan kalori dan nutrien yang cukup untuk bayi anda.
Di bawah adalah beberapa tip memilih makanan baik yang boleh anda ikuti:
-Makanan bijirin penuh seperti roti gandum penuh
-Pilih makanan rendah GI, Indeks Glisemik- adalah bagaimana mengukur makanan yang mengandungi karbohidrat meningkatkan glukosa darah, seperti pasta yang diperbuat daripada tepung gandum, epal, oren, kekacang, jagung manis dan bubur.
-Henti minum minuman manis
-Pilih makanan yang dipanggang, bukannya digoreng
-Amalkan makanan berserat seperti perbanyakan pengambilan sayuran berdaun hijau dan buah-buahan
2. Makan secara tetap
Apabila sudah mengetahui pelan pemakanan yang baik untuk anda ikuti ketika sedang hamil, anda juga perlu memastikan anda mempunyai jadual pemakanan secara tetap dan elakkan daripada melangkau sebarang waktu hidangan makanan walau sesibuk mana anda dalam melaksanakan pekerjaan harian anda.
Maka petua hilangkan kencing manis ketika mengandung yang harus diamalkan adalah untuk makan 3 kali hidangan makanan yang bersaiz kecil atau sederhana. Jangan mengambil sesuatu hidangan makanan dalam kuantiti yang besar dan banyak. Jika perlu, anda juga boleh untuk menambah waktu pengambilan snek dalam pemakanan harian anda.
Berikut adalah panduan waktu pemakanan yang dicadangkan untuk diikuti:
Disarankan makan pada 3 waktu makan utama iaitu :
-Sarapan pagi antara jam 6.30 pagi hingga 8.00 pagi
-Makan tengah hari antara jam 12 tengah hari hingga 1.30 petang
-Makan malam antara jam 6.30 petang hingga 7.00 malam
Waktu untuk mengambil makanan snek, ambilnya di antara waktu makan utama:
-Minum pagi antara jam 10.30 pagi hingga 11.00 pagi
-Minum petang antara jam 4.00 petang hingga 4.30 petang
-Minum malam antara jam 10.00 malam hingga 10.30 malam
Cuba makan pada masa yang sama setiap hari dan pada jumlah yang sama setiap kali. Ini dapat membantu tahap gula dalam darah anda kekal stabil. Cara ini boleh dianggap sebagai petua hilangkan kencing manis ketika mengandung yang boleh diamalkan.
Berikut adalah beberapa jenis makanan yang perlu dielakkan, seperti semua jenis gula, minuman berkarbonat, kordial, sirap, jem, kaya,kuih manis, aiskrim, susu pekat manis, yogurt manis, buah dalam tin, jeli dan lain-lain.
Terdapat beberapa jenis makanan yang boleh diambil tetapi perlu dikawal kuantiti pengambilannya seperti bijirin, nasi, roti, biskut, kuih yang tidak manis, semua jenis pasta dan mi, capati, roti canai, tosai, semua jenis ubi, kekacang, susu dan buah-buahan.
3. Aktiviti fizikal
Siapa kata wanita mengandung tidak perlu melakukan sebarang aktiviti fizikal atau bersenam? Risau senaman akan mendatangkan mudarat kepada kandungan? Itu pastinya mitos yang terlalu karut untuk dipercayai.
Ini kerana individu wanita yang hamil juga perlu untuk melakukan aktiviti fizikal untuk mengekalkan tahap kesihatan pada paras yang terbaik. Doktor mungkin mengggalakkan supaya anda menambah senaman kepada rutin mingguan anda, kerana ia adalah baik untuk anda dan bayi.
Senaman pastinya merupakan satu aktiviti fizikal yang dapat membantu menurunkan tahap gula dalam darah dengan berfungsi mengangkut gula ke sel untuk digunakan sebagai sumber tenaga. Mengamalkan senaman juga dapat meningkatkan kepekaan terhadap insulin, yang bermakna badan tidak memerlukan insulin untuk membantu membawa gula ke sel-sel badan.
Senaman juga pastinya dapat membantu mengurangkan rasa ketidakselesaan semasa kehamilan seperti sakit belakang, kekejangan dan lain-lain.
Bersenam semasa hamil adalah tidak salah, tetapi apa yang perlu diutamakan adalah ibu yang mengandung perlu memilih senaman yang bersesuaian dengan keadaan fizikal semasa. Senaman ringan dan mudah seperti berjalan kaki, aerobik, berbasikal dan berenang adalah antara aktiviti fizikal yang digalakkan untuk dicuba.
Lakukan aktiviti fizikal ini secara tetap dan teratur selama 15 sehingga 30 minit setiap hari. Ini bukan sahaja petua hilangkan kencing manis ketika mengandung, sebaliknya ia juga dalam masa yang sama membantu menjaga tahap kesihatan anda.
Ini akan membantu badan anda menggunakan insulin dengan lebih baik, dan membantu mengawal paras gula darah. Anda juga boleh bertanya kepada doktor anda mengenai senaman yang bersesuaian untuk dicuba serta dan kekerapan senaman yang boleh dilakukan oleh wanita hamil.
4. Pantau tahap gula dalam darah
Selain petua hilangkan kencing manis ketika mengandung dengan mengubah diet pengambilan makanan seharian, antara petua hilangkan kencing manis ketika mengandung yang perlu untuk dilakukan setiap hari adalah untuk memeriksa dan memantau paras gula dalam darah sentiasa dalam keadaan terkawal. Anda perlu menguji tahap gula dalam darah anda secara teratur, sebelum makan dan antara 1 atau 2 jam selepas pengambilan sebarang hidangan makanan utama.
Anda boleh melakukan pemeriksaan tahap gula dalam darah di rumah dengan mendapatkan alat pengukur meter glukosa darah yang boleh digunakan di rumah dan pastinya ia akan membantu anda untuk memudahkan kerja pemantauan paras gula dalam darah anda. Namun, sekiranya anda tidak mempunyai alat pengukur meter glukosa darah, doktor mungkin akan mencadangkan anda untuk mendapatkan pemeriksaan di klinik.
Terdapat juga sesetengah individu wanita hamil memerlukan rawatan insulin. Kira-kira 15% wanita mengandung yang menghidap kencing manis memerlukan insulin untuk mencapai tahap glukosa darah secara berterusan.
Insulin adalah hormon yang digunakan untuk merawat diabetes dengan mengawal gula dalam darah. Jika diet dan senaman tidak cukup untuk mengimbangi gula dalam darah, wanita hamil akan disuntik dengan insulin supaya jumlah glukosa dalam darah kembali ke tahap yang selamat.
Bagi sesetengah wanita, jenis ubat-ubatan seperti glyburide juga merupakan pilihan.
5. Pengambilan vitamin C dan D
Antara petua hilangkan kencing manis ketika mengandung adalah dengan memperbanyakkan pengambilan vitamin C dan D. Kekurangan vitamin C dikatakan mempunyai hubungan kait secara langsung dengan masalah kesihatan kencing manis semasa hamil.
Terdapat kajian yang dilakukan kepada wanita yang hamil, menunjukkan bahawa individu wanita yang menghidap penyakit kencing manis semasa tempoh kehamilan dan memperbanyakkan pengambilan vitamin C secara tetap akan kurang untuk berdepan risiko mengalami diabetes jenis 2.
Vitamin D pula merupakan nutrien penting yang diperlukan dalam beberapa proses dan fungsi dalam badan kita. Penyerapan vitamin dan nutrien yang penting seperti kalsium, besi, magnesium, dan fosfat dapat dilakukan dengan memaksimumkan penyerapan nutrien makanan yang kaya dengan vitamin D.
Hamil bermakna bahawa ia bukan mengenai anda sahaja lagi. Mulai sekarang, keselamatan bayi dalam kandungan anda harus diberi keutamaan dari apa jua keputusan yang anda buat. Oleh itu, ikuti gaya hidup yang sihat, lakukan senaman dan pantau paras glukosa darah anda adalah apa yang harus anda tumpukan semasa anda mengandung.
Mengalami GDM ketika hamil membuatkan anda cenderung untuk mengembangkan diabetes jenis 2, tetapi ia tidak semestinya akan berlaku. Apa yang penting anda perlu menjaga tahap kesihatan anda dengan lebih baik sekiranya anda dikesan mengalami masalah kencing manis ketika sedang hamil. Jangan lupa untuk mengamalkan dan mengikuti petua hilangkan kencing manis ketika mengandung!
Uyaina Arshad selamat bersalin anak ketiga apabila pengacara dan pelakon popular itu dikurniakan seorang bayi lelaki yang sihat, sekali gus menamatkan debaran selepas melalui...