Prosedur pemeriksaan gula dalam darah atau lebih biasa disebut ‘minum air gula’ oleh para ibu. Ramai yang bimbang melaluinya kerana takut termuntah!

Mungkin bagi sesetengah ibu ia adalah perkara biasa. Namun ada juga yang menghadapi masalah untuk menghabiskannya. Terutama sekali apabila masih dalam keadaan alahan atau morning sickness. Apa sahaja yang masuk mudah dimuntahkan!

Dr Nurul Azwa Hasny, Konsultan Obstetrik & Ginekologi, Salam Specialist Hospital berkongsi info mengenai prosedur ini.

Menurutnya, para ibu yang dikehendaki melalui prosedur Modified Glucose Tolerance Test (MGTT) perlu berpuasa sekurang-kurangnya lapan jam sebelum prosedur. Sekiranya ibu berasa terlampau haus, air kosong dibenarkan untuk membasahkan tekak.

Takut Termuntah Minum Air Gula, Tarik Nafas Dalam-Dalam, Habiskan Dengan Satu Nafas

DIWAJIBKAN KEPADA IBU BERISIKO KENCING MANIS

IKLAN

Prosedur ini diwajibkan kepada ibu mengandung yang berisiko kencing manis. Ia dilakukan pada awal kandungan semasa booking dan perlu diulangi pada usia kandungan 24 hingga 28 minggu sekiranya ujian pertama adalah normal.

PEMAKANAN BIASA & AKTIVITI NORMAL 3 HARI BERTURUT-TURUT

Ibu-ibu perlu memastikan diri makan dan menjalani aktiviti harian secara normal selama tiga hari berturut-turut sebelum prosedur. Ibu juga perlu memastikan tahap kesihatan baik pada tempoh tersebut. Sekiranya ibu berkenaan mengalami masalah kesihatan, bolehlah menghubungi klinik atau hospital bagi memaklumkan dan mengubah tarikh prosedur.

MINUM AIR GULA

IKLAN

Setelah berpuasa, ibu digalakkan datang awal ke klinik untuk pengambilan darah pertama semasa puasa. Air gula akan diberikan dan perlu minum sehabisnya tanpa muntah.

Selepas itu ibu berkenaan perlu meneruskan berpuasa selama 2 jam lagi untuk pengambilan darah kali kedua. Setelah selesai, puan baru dibenarkan makan dan minum.

Ujian darah yang pertama menentukan kandungan gula badan semasa puasa manakala ujian yang kedua pula menentukan kemampuan badan puan memposes kandungan gula yang tinggi.

SEKIRANYA MUNTAH, UJIAN PERLU DIULANG SEMULA

Sekiranya ibu muntah semasa prosedur, ujian ini perlu diulang semula. Oleh sebab itu, penting bagi ibu untuk bersedia secara mental dan fizikal bagi menghadapi prosedur ujian ini.

IKLAN

Menurut Dr Nurul Azwa, ibu-ibu perlu dalam keadaan sihat pada hari tersebut. Kurangkan makanan pedas atau berempah malam sebelumnya. Datang awal supaya tidak perlu menunggu lama.

Takut Termuntah Minum Air Gula, Tarik Nafas Dalam-Dalam, Habiskan Dengan Satu Nafas

TARIK NAFAS DALAM-DALAM & CUBA MINUM DALAM SATU NAFAS

Dr Nurul Azwa menyarankan ibu-ibu untuk melakukan beberapa perkara  ini untuk mengelakkan termuntah selepas meminum air gula.

  1. Tarik nafas dalam-dalam dan cuba minum air gula dengan satu nafas. Jangan fikir! Terus sahaja minum sampai habis.
  2. Selepas minum, berkumurlah supaya rasa gula tidak melekat pada mulut.
  3. Basahkan sedikit muka dan rambut agar rasa lebih segar.
  4. Cari tempat duduk selesa untuk berehat.
  5. Ibu boleh menyapu minyak angin atau minyak aromaterapi sekiranya rasa pening dan loya.
  6. Ibu boleh membuat urutan akupresur tangan untuk elakkan muntah.

Takut Termuntah Minum Air Gula, Tarik Nafas Dalam-Dalam, Habiskan Dengan Satu Nafas

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI