Penggunaan pendingin hawa atau aircond tak boleh dielakkan terutamanya ketika dalam kenderaan atau di rumah. Tambahan lagi suhu persekitaran yang panas, memang tidak boleh dielakkan.
Tapi bagi mama papa yang mempunyai anak kecil khususnya yang berumur dua tahun ke bawah, sangat mustahak untuk memastikan udara persekitaran tidak mengandungi hama dan habuk.
Foto: Mus Afis
Lazimnya pendingin hawa yang tidak diselenggara dengan baik menjadi punca habuk dan hama berkumpul di dalam kediaman. Apabila ia dihidupkan, ia berterbangan dan boleh memasuki sistem pernafasan. Inilah puncanya si kecil selalu selesema berpanjangan.
Perkongsian Dr Ezairy Salleh , Pakar Telinga, Hidung & Tekak (ENT) ini boleh dijadikan panduan. Selesema pada bayi tidak boleh diambil mudah. Bayi 14 bulan sakit tekak dan demam hingga gegendang telinga koyak dan telinga bernanah.
HAMPIR SEBULAN TELINGA BERAIR, DEMAM, SELESEMA & BERHINGUS
Ads
Siang tadi semasa saya periksa seorang pesakit ini, dalam diam Tan Sri Profesor Amin datang dari belakang. Dia duk perhati saya bersihkan telinga seorang bayi ini. Pesakit ini berumur satu tahun dua bulan. Sudah hampir sebulan telinganya berair.
Bermula dengan serangan sakit tekak dan demam. Kemudian selesema dan hidung berair yang susah nak berhenti. Pada masa sama telinga pun mulai keluar cecair.
TELINGA BERNANAH, RUPANYA GEGENDANG BOCOR
Hari ini ibu bapanya membawa beliau ke klinik kami di PPUM. Selepas saya periksa, saya keluarkan dan sedut semua nanah yang ada dalam telinganya, rupa-rupanya gegendang telinga beliau sudah bocor!
Ads
JANGKITAN TELINGA MUDAH BERLAKU PADA KANAK-KANAK
Keadaan ini boleh berlaku kepada mana-mana pesakit terutama pada usia kanak-kanak. Jangkitan ke telinga lebih mudah berlaku kepada anak-anak berbanding kita-kita yang dah ‘tua’ ini.
Saya berikan ubat titis antibiotik untuk diletak pada telinganya. InshaaAllah akan sembuh nanti.
Prof Amin sempat pesan kepada ibu pesakit ini, kalau boleh waktu pagi itu mandikanlah dengan air suam-suam. Supaya gejala selesema ini mudah terkawal. Suam bukan panas ya. Ini petua orang tua yang tak salah kalau nak amalkan.
HABUK & HAMA TERKUMPUL DALAM PENDINGIN HAWA ITU BAHAYA!
Penghawa dingin juga perlu berpada-pada untuk bayi dan kanak-kanak. Biasanya anak kita jadi selesema tak berhenti ini bukan sahaja sebab sejuknya aircond itu, tetapi juga sebab habuk dan hama yang terkumpul pada aircond tu melekat masuk pada hidung anak kita. Semoga keluarga kita diberi kesihatan berpanjangan.
Bila anak kerap demam dengan suhu yang tinggi, selalu sakit tekak mungkin ada masalah tonsil. Nampak macam tak bahaya tapi jika terlalu kerap sakit kena ada tindakan susulan.
Perkongsian dari seorang ibu, Nurul Shazalina Zainudin mengenai anaknya yang menjalani pembedahan membuang tonsil memberi sedikit gambaran kepada ibu bapa supaya tidak mengambil ringan mengenai masalah ini dan tonsil juga sebenarnya boleh berjangkit.
Tonsil..Bahaya Atau Tidak
Kelmarin, anak saya Alexander Akil menjalani satu prosedur membuang tonsilnya.. Dan nasib tidak begitu baik, dia mendapat komplikasi selepas pembedahan tersebut.
Akil dah lama ada tonsil.. Dari kecil. Dalam umur 2-3 tahun dulu dah direfer ke pakar ent, tapi doktor pakar kata tunggu dia besar sikit.
Semenjak dua menjak ni, hampir setiap bulan dia demam. Dan demamnya sangat tinggi. Selalunya melebihi 39 darjah celcius. Dan kebanyakan masa memang disebabkan tonsilnya dijangkiti, membengkak dan merah. Rawatan antibiotik perlu diambil.
Nasib baik selalu dapatkan rawatan di klinik yang sama, jadi doktor bertugas perasan rekod Akil yang sentiasa demam dan masalah tonsil. Jadi, beliau memberi surat refer ke pakar ent.
Saya pun bawa Akil ke Hospital Pakar An Nur, Bangi. Memang perlu dibuang. Tapi dr minta tunggu lagi dua minggu sebab nak betul-betul clear dari demam dan sakit.
Sampai tarikhnya, seawal 7 pagi admit ke wad, akil menunggu masa untuk masuk dibedah.
Pkl 1045 mula, tamat dalam 1130 pagi. Alhamdulillah semua selamat
Oh ya, dr juga buang adenoid di belakang hidung akil. Masa pembedahan tu dr dapati ada adenoid, dr pun buang sekali
Lepas bedah, akil tidur je,tapi akil tidur lama sangat. Dari lepas bedah sampai pukul 4. Tu pun puas kejutkan. Keja-kejap je dia bangun merengek, pegang tekak, kata batuk-batuk.. Maknanya dia tak selesa di tekak
Muntah Darah Lepas Operate
Saya ingatkan perkara biasa lepas operate. Rupanya tak. Dia asyik menelan darah rupanya.
Bila dia bangun, kejap tu, dia muntah darah.. Penuh sekatil.. Memang banyak.. Bukan darah sikit-sikit.. Seperti dicurahkan darahnya..
Saya masih ingat, ini kesan bius. Dan darah tu yang dia telan masa operate tadi.
Bagi dia kumur dengan air ais, minum air sejuk. Lepas tu bagi makan jelly sikit.. Dia taknak aiskrim lagi. Kejap tu dia muntah lagi. Lagi banyak. Dan semuanya darah. Kebetulan nurse ada masa tu. Ok takpe.. Mungkin kesan bius lagi
Kali ketiga, akil muntah darah lagi. Bukan sikit, tetap juga banyak. Saya tahu ada tak kena. Sebab akil dah mula sangat lemah, buka mata pun tak larat, bibirnya pucat lesi…
Tak lama tu kebetulan dr datang, nurse pun maklumkan perkara ni.. Dr check.. Memang sangat pucat dah masa tu akil. Dr terus kata, ok siap, kita masuk bilik bedah semula. Sekarang juga.
Saya berdebar dah. Ni kan prosedur buang tonsil je. Kenapa jadi macam ni.
Sementara mereka siapkan bilik bedah, dr menerangkan, jarang sangat komplikasi seleas surgery ni berlaku. Sejak dia di sini, akil ni kes kedua yang ada komplikasi macam ni.
Dr perlu siasat punca pendarahan dan hentikan sebelum keadaan lagi teruk. Kebetulan, di luar bilik bedah, akil muntah darah lagi sekali. Depan dr sendiri. Jadi dr dapat tengok darahnya macam mana. Next time kena ambil gambar darah muntah akil tu supaya senang nak explain dr. Sebab dr nak tahu warna darah fresh arau kehitaman.
Sebabkan akil asyik muntah darah, dr pakar bius tak boleh bagi bius melalui gas, kena melalui iv kali ni.. Katanya sakit sikit.
Tapi akil memang tak larat sungguh.. Kena panggil berkali kali untuk dia buka mata.. Saya dah risau sangat
Alhamdulillah tak lama lepas tu, dr dah jumpa punca pendarahan di mana.. Dan berjaya hentikan.
Sampai sekarang akil dah ok. Bangun keesokannya, terus mintak makan minum sebab sangat lapar. Saya risau nak bagi makan terus, tapi akil kata tak sakit. Alhamdulillah
Kumur dengan air ais, dengan ubat kumur (difflam) , antara cara terbaik untuk cepat sembuhkan luka pembedahan.
Sekarang dia makin sembuh, tapi agak lemah sebab banyak hilang darah. Masih di wad untuk pantauan.. Insyaallah harini discaj.
Jangan takut pula untuk bedah buang tonsil, selalunya takde masalah. Nasib akil je kurang baik. Komplikasi bleeding. Tapi sangat cepat sembuh lukanya tu..so sepatutnya memang ok.
Mengenai Tonsil
Tonsil ni sebenarnya bagus untuk badan kita. Dialah barisan pertahanan pertama untuk melindungi badan kita dari jangkitan. Tapi kadang-kadang dia sendiri boleh dijangkiti dan menyebabkan kita sakit.
Antara tanda-tandanya ialah: -demam panas (melebihi 39 darjah celcius selalunya) -tonsil membengkak, merah dan kadang2 ada putih2 atau nanah -sakit telinga -sakit tekak -susah menelan -sukar tidur sebab tonsil menghalang laluan pernafasan -nafas berbau
Kalau selalu sangat dapat tonsilitis, tonsil tersebut berkemungkinan tidak akan mengecil.. Akan statik besarnya walaupun dalam keadaan normal. Bila sakit, bertambah besar dan merah.
Dan rupanya penyakit ni boleh berjangkit. Ramai tak tahu. Dan saya pun baru tahu. Selama ni saya fikir, maybe ada kena mengena dengan keturunan. Sebab kalau kita ada tonsil, biasanya anak, adik beradik, mak ayah ada jugak tonsil.
Rupanya sebab kita dekat, tak elak diri dari terjangkit dan menjangkiti, sebab tu kena.
Sepatutnya, siapa yang tengah kena jangkitan dan tonsilnya sedang sakit, kena mc. Kalau tak pun , kena tutup mulut bila bersin atau batuk. Jangan berkongsi makanan atau minuman. Cuci tangan. Jangan cium anak. Semua ni punca jangkitan. Sekarang dah tahu, siapa tengah sakit tonsil, elakkan jumpa orang lain. Sampai tonsil tu sembuh. Sekarang saya rasa, sayalah punca akil dapat tonsil dari kecil sebab sampai sekarang saya masih ada masalah ni. Saya pun patut remove nanti
Ini serius. Orang pandang remeh je penyakit tonsil ni, tapi sebenarnya senang sangat berjangkit kalau tak jaga diri. Dan sakit kalau kena. Lagi-lagi kalau kes berulang, hampir setiap bulan kena. Seksa sangat
Ok, kalau siapa yang selalu ada masalah tonsil tu, anak ada tonsil, boleh pantau. Kalau kerap sangat, maklumkan dr. Jika perlu, jumpa pakar. Jangan sampai melarat.
Ps: saya sertakan gambar tonsil akil yang dibuang. Besar ya.. Lebih besar dari guli. Kesian dia..
Pakar laktasi kongsi tip menyusu bayi kembar, ramai mama risau susu tak cukup. Proses menyusukan bayi sememangnya memerlukan kesabaran yang tinggi selain tidak mudah berputus asa terutama kepada wanita yang kali pertama bergelar mama.
Menyusukan bayi semakin mencabar bila mama melahirkan anak kembar. Berbagai-bagai persoalan bermain di fikiran mama. Susu tak cukuplah, tak menyusulah dan sebagainya. Keadaan ini tentunya membuatkan mama susah hati bukan?
Menurut Siti Nur Suraya Mohamed Ali, pakar laktasi dan pengasas Lunatots, undang-undang asas dalam penyusuan susu ibu ialah semakin banyak susu dikeluarkan, semakin banyak susu akan dihasilkan.
Katanya, memang benar menyusukan seorang bayi memerlukan komitmen yang besar apatah lagi jika dua atau lebih! Namun ianya boleh dilakukan. Beliau memberikan lapan tip untuk ibu yang menyusukan bayi kembar. Semoga dapat membantu mama-mama terutama yang pertama kali bergelar mama.
MENYUSU MENGIKUT JADUAL
Cara menjimatkan masa untuk menyusu bayi ialah menyusukan kedua-duanya serentak setiap dua jam. Walau bagaimanapun, kadang-kadang salah seorang bayi tidak dapat mengikut jadual minum yang ditetapkan. Ada bayi yang lebih cepat lapar dan begitu juga sebaliknya. Jadi, perlulah disusukan mengikut permintaan (on demand) yang mana akan mengambil lebih komitmen masa dan tenaga ibu.
Ibu boleh menyusukan kedua-dua bayi on demand sebelah siang dan mengikut jadual pada waktu malam. Ketika bayi mengantuk waktu malam, lebih mudah bagi ibu memberikan kedua-duanya susu serentak dalam satu masa.
SOKONGAN BANTAL YANG SELESA
Bayi yang baru lahir biasanya bersaiz kecil dan memerlukan bantal sokongan yang besar ketika menyusu. Bantal berbentuk C yang dapat diletakkan di pinggang ibu membolehkan ibu menyusukan bayinya serentak dengan beberapa posisi. Penyusuan ketika berbaring agak sukar dilakukan semasa bayi masih kecil.
SELANG-SELI
Setiap bayi mesti disusukan sehingga habis satu payudara supaya mendapat susu awal (foremilk) dan susu akhir (hindmilk) yang dapat memberikan khasiat sepenuhnya kepada bayi.
Untuk sesi penyusuan seterusnya, berikan payudara yang berbeza kepada setiap bayi. Ini bagi latihan untuk stimulasi rangsangan pandangan mata bayi.
Bagi ibu yang mungkin seorang bayinya masih di unit penjagaan neonatal intensif (NICU) di mana hanya seorang yang dapat disusukan. Biasakan diri mengepam sebelah lagi payudara semasa bayi menyusu. Ia bertujuan untuk memberi rangsangan untuk meningkatkan bekalan kedua-dua payudara.
RISAU CUKUPKAH SUSU
Kerisauan tentang kecukupan susu untuk kedua-dua bayi akan membuatkan ibu tidak senang duduk. Ibu perlu percaya pada diri sendiri boleh melakukannya malah itulah yang terbaik untuk kedua-dua anaknya.
MUDAHKAN URUSAN MENYUSU
Beberapa tips yang membantu ibu menyusu dengan mudah ialah tidak memakai coli ketika mahu menyusukan. Ianya membantu mempercepatkan lekapan semasa diawal-awal kelahiran.
Bedung bayi dengan kain bedung yang membuatkan bayi lebih mudah dipegang ketika menyusu. Dapatkan bantuan suami dan ahli keluarga atau rujuk kaunselor laktasi sekiranya terdapat kesukaran dalam urusan penyusuan.
AMALAN PEMAKANAN SIHAT
Hormon oksitosin dikeluarkan untuk menghasilkan susu ibu semasa bayi disusukan. Hormon ini akan menyebabkan ibu cepat merasa dahaga. Minum air yang mencukupi dan makan makanan yang berkhasiat.
Dikatakan seorang bayi yang menyusu membakar 500 kalori setiap hari. Jika ibu ada kembar dua, ianya dua kali ganda!
Amalkan sayur-sayuran dan penggalak susu seperti halba. Elakkan makanan ringan yang membuatkan ibu kenyang dan tiada selera makan. Gantikan kudapan dengan buah dan biskut penggalak susu.
PERAH
Sekiranya ibu perlu berpisah dengan bayi, perah susu setiap tiga jam semasa perpisahan berlaku. Ini penting untuk memastikan payudara dikosongkan dan penghasilan susu dapat diteruskan walaupun ibu terpisah dengan bayi.
*Boleh ajar bayi minum susu badan di dalam botol ketika mama perlu ke hospital bila bayi kembar yang seorang lagi masih belum boleh keluar dari hospital. Minta sokongan ibu dan juga adik beradik perempuan.
MASALAH PENYUSUAN
Masalah penyusuan yang mungkin berlaku ialah seperti putih merekah (cracked nipple). Ia sering kali berlaku kerana posisi semasa menyusu. bagi ibu yang menyusu kembar. Ibu boleh merapatkan badannya, bersandar pada kerusi dan bayi menyusu semasa di atas bantal berbentuk C. Lekapan mestilah rapat dan tidak menyakitkan ibu.
Ibu juga memerlukan bantuan orang lain untuk memegangkan seorang lagi bayi sementara seorang lagi disusukan. Atau membantu menenangkan bayi jika ada yang memerlukan perhatian ketika seorang lagi bayi disusukan.
Pada 8 Mac setiap tahun, tarikh ini sangat bermakna kerana ia merupakan sambutan Hari Wanita sedunia. Biapun diraikan secara sederhana berbanding Hari Ibu, tetapi ia tetap memberi impak kepada semua wanita untuk merasakan diri mereka dihargai.
Memainkan peranan yang penting di dalam keluarga terutamanya sebagai seorang ibu, kita harus memandang serius soal kesihatan. Sangat penting untuk kita sentiasa menjaga diri dan membuat pemeriksaan kesihatan.
Biarpun Hari Wanita telah berlalu, ia bukanlah penghalang untuk kita mengetahui apakah lima saringan kesihatan yang disarankan untuk dibuat. Melalui ciapan di Twitter, Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan berkongsi hal ini;
Pada Hari Wanita ini, mari kita lihat 5 saringan kesihatan penting yang disarankan dilakukan oleh setiap wanita. Ini penting untuk memastikan anda sihat dan dapat menjalani hidup anda dengan sepenuh potensi. Mari kita mulakan thread ini!
1. Pemeriksaan Payudara:Wanita perlu memeriksa payudara mereka sendiri setiap bulan untuk memastikan tidak ada benjolan atau perubahan pada bentuk payudara. Pemeriksaan payudara berkala dengan doktor atau pakar kesihatan juga penting untuk mengesan kanser payudara pada awalnya.
2. Mammogram:Wanita berusia 40 tahun ke atas disarankan menjalani mamogram setiap dua tahun sekali untuk mengesan kanser payudara pada awalnya. Walaupun ianya tidak menyenangkan, tetapi ianya membolehkan kita mengesan kanser pada peringkat awal, apabila ia lebih mudah dirawat.
3. Pap Smear:Pemeriksaan ini dilakukan untuk mengesan kanser serviks. Ia perlu dilakukan setiap 3 tahun sekali setelah usia 21 tahun atau mengikut nasihat doktor. Jangan biarkan rasa malu menghalang anda daripada melakukan pemeriksaan ini, kerana ia penting untuk kesihatan anda.
4. Pemeriksaan Kesihatan Reproduktif:Wanita disarankan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan reproduktif mereka secara berkala. Ini membantu mengesan masalah seperti kista ovari, endometriosis, dan fibroid pada peringkat awal. Ia penting untuk menjaga kesuburan wanita.
5. Pemeriksaan Darah:Pemeriksaan darah berkala adalah penting untuk mengesan penyakit seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, dan kolesterol tinggi. Pemeriksaan darah juga membantu mengesan masalah kesihatan lain yang mungkin tidak dapat dikesan dengan cara lain.
Jadi, itulah lima saringan kesihatan yang penting untuk wanita. Ingatlah untuk menjaga kesihatan anda dan jangan biarkan rasa malu atau takut menghalang anda daripada melakukan saringan kesihatan ini. Selamat Hari Wanita!
Semoga dengan perkongsian Dr. Kamarul ini dapat membantu kita untuk mengenal pasti jenis saringan kesihatan yang perlu dibuat. Sangat penting untuk kaum wanita memandang serius soal kesihatan kerana ia mempengaruhi kehidupan seharian kita. Segera buat temujanji untuk check up anda okay!
Flashcard bayi boleh membantu sebagai alat bermain, tetapi bukan keperluan wajib. Ketahui mengapa bermain, interaksi dua hala dan pengalaman sebenar lebih penting untuk perkembangan otak bayi.