Bila ditanya, waktu bila penghidap ekzema gatal, ramai yang akan berkata, waktu hendak tidur, waktu lapar dan waktu marah.
Berdasarkan perkongsian Dr Suriyakhatun, ketiga-tiga keadaan ini melibatkan emosi. Semasa nak tidur, tumpuan beralih kepada diri dan emosi diri, bila lapar sudah tentu rasa kurang enak dan bila marah emosi sedang meradang dan kulit juga akan meradang.
Ini antara sebab saya telah mengajar pengidap ekzema dan ibu-bapa penghidap ekzema untuk tangani emosi diri dengan baik. Penyakit ini kadangkala amat mencabar dan sering juga penghidap dan penjaga menjadi buntu, putus asa dan menjadi murung sebab ekzema sering berulang dan berpusing-pusing seolah tanpa kesudahan.
Inilah antara sebab kumpulan sokongan menjadi sumber inspirasi dan memberi semangat kepada pengidap dan penjaga pesakit ekzema.
Anak dan bayi yang ekzema perlu dilayan dan dibelai dan juga perlu ditangani supaya tidak mengalami stres. Jangan sekali ibu-bapa paksa anak makan atau minum. Jangan juga di ikat dan dibedung kecuali dengan cara yang tidak menghalang pergerakan anak itu sepenuhnya.
Ads
Memang saya tahu kadangkala apabila ekzema tengah teruk dan anak boleh mengaru sehingga berdarah, ibu akan rasa tidak ada pilihan selain dari mengikat tangan anak.
Namun demikian sebenarnya jika rawatan terhadap punca ekzema telah dijalankan dengan baik dan ubat yang paling tepat telah diberi, sebarang aktiviti mengaru tidak akan melecetkan kulit lagi.
Ads
Saya selalu mendapat aduan, “Kulit anak saya sudah mula baik tapi gatalnya masih kuat, cuma bila dia garu sudah tidak melecet.” Jawapan saya adalah bahawa gatal adalah yang paling akhir untuk pulih dan emosi main peranan penting dalam menyembuhkan gatal.
Antara teknik yang saya ajar berkenaan emosi adalah ‘emotional freedom technique’ dan zikir sebagai cara untuk mendatangkan ketenangan dan keamanan di dalam jiwa pengidap dan penjaga pesakit ekzema.
Emosi penjaga amat berpengaruh kepada penghidap ekzema dan sebarang ketegangan di antara ahli keluarga dalam rumah akan menjejaskan pesakit ekzema.
Emosi jugalah yang menyebabkan ‘flare” atau radang apabila pesakit ekzema menghadapi stres peperiksaan atau perkara-perkara yang menekan emosinya.
Jangan terkejut bila si kecil dah pandai cemburukan papa dan mama! Anda tentu biasa berhadapan dengan situasi begini kan? Anak yang baru berusia setahun ke atas akan marah apabila anda sengaja menyakatnya dengan memeluk atau mencium mama atau papanya.
“Sayang mama. Ini papa punya mama…,” sakat Papa pada Ammar sambil memeluk mama.
“Jangan…ni Ammar punya mama!” jerit Ammar sambil cuba menolak papanya daripada memeluk mama.
Mengapa mereka sudah pandai merasa cemburu? Ini antara sebabnya:
1. Mama kepunyaan saya seorang!
Biasanya si kecil lebih rapat dengan mama. Jadi dia beranggapan mama hanya miliknya seorang. Bila perhatian bukan diberikan kepadanya, dia jadi marah dan cemburu.
2. Tak tahu bagaimana nak luahkan
Oleh kerana masih kecil, dia tak tahu bagaimana nak meluahkan perasaannya. Menangis, menolak atau memukul papa supaya menjauhi mama adalah cara yang akan dilakukan sebagai satu amaran jangan mengambil ‘hak miliknya’.
3. Tak nak berkongsi
Si kecil hanya mahu mama menjadi milikinya dan tak boleh berkongsi dengan orang lain termasuk papa! Dia fikir hanya dia sahaja yang mama perlu peluk dan cium.
4. Si kecil rasa terancam
Merasakan tempatnya cuba diambil alih oleh orang lain. Oleh kerana dia rasa terancam maka hanya tangisan dan kemarahan sahaja menjadi senjatanya untuk menghalang perkara tersebut daripada berlaku.
5. Mahu perhatian
Sebenarnya anak anda mahukan perhatian sentiasa diberikan kepadanya. Rasa cemburunya tak dapat dibendung bila melihat papa dan mama saling berkasih sayang tanpa memberikan dia perhatian.
6. Rasa diri tak disayangi
Rasa bimbang dirinya sudah tidak disayangi oleh mama. Oleh kerana dia belum faham tentang erti hubungan kekeluargaan dan suami isteri maka dia merasakan bila mama memeluk atau mencium papa seperti mama lakukan ke atas dirinya bermakna dia sudah tidak disayangi lagi.
7. Dunianya masih kecil
Oleh kerana masa si kecil lebih banyak dihabiskan bersama papa, mama dan pengasuh maka dia masih tidak faham tentang luasnya erti kasih sayang. Apabila dia semakin besar dan punya ramai kawan dan melakukan banyak aktiviti, si kecil akan lebih faham tentang kasih sayang antara papa dan mama.
Apa patut dilakukan?
Sebenarnya ia adalah perkara normal bila anak anda cemburu pada papa atau mama. Dia mungkin tidak tahu bagaimana meluahkan rasa cemburunya selain daripada menangis. Maka penting untuk anda berdua memujuk dan memberitahunya, tetapi jangan berhenti menunjukkan kasih sayang antara kalian suami isteri di depan anak kerana amat penting bagi mereka melihat ibu bapa yang saling sayang menyayangi.
* Cuba buat “group hugs” dan “group kisses” iaitu sentiasa ‘masukkan’ anak sekali semasa memeluk pasangan suami/isteri. Barulah dia tak rasa dipinggirkan.
* Sentiasa beritahu anak yang mama sangat sayangkan dia dan papa.
* Wujudkan suasana gembira dan menyeronokkan dengan mencium dan memeluk si kecil secara bergilir-gilir dengan suami/isteri. Dengan cara ini dia tahu mama tetap sayangkan dia walaupun dalam masa yang sama sayangkan papa juga.
* Sentiasa curahkan kasih sayang dan perhatian kepada si kecil yang baru mengenal kehidupan.
Oleh kerana si kecil adalah peniru yang hebat, maka menjadi tugas ibu bapa untuk sentiasa menunjukkan kasih sayang antara suami isteri tetapi dalam cara yang berhemah. Dalam masa yang sama jangan abaikan dirinya yang masih belum faham tentang perkongsian kasih sayang sekeluarga. Apa yang si kecil tahu, mama adalah hak miliknya seorang!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Mendidik anak perempuan dan lelaki supaya bertindak bijak semasa menghadapi gangguan seksual amat penting. Ikuti pandangan daripada bapa ini.
Sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mengajar anak-anak untuk menjaga diri mereka daripada pelbagai ancaman seperti gangguan seksual. Tambahan pula apabila mula bersekolah dan terdedah kepada ramai lagi manusia yang pelbagai jenis dan ragam.
Seorang bapa, Rizzal Abdullah berkongsi perkara ini. Gaya penyampaian yang santai membuatkan tip ini menarik. Perkara penting ini sering kali dianggap taboo dan memalukan tetapi hakikatnya perlu diberitahu dan diingatkan kepada anak.
ANAK PEREMPUAN PERLU DIAJAR MALU & JAGA MARUAH
Bro, Mendidik anak perempuan berbeza kan?. Mereka pasti diajar untuk lemah-lembut, bersopan-santun dan akhlak sebagai seorang perempuan. Perlu diajar erti malu dan menjaga maruah.
Berubah riak muka member aku. Tiada senyum sinis seperti selalu. Serius sungguh. Kali ni jauh dia fikir sebelum kasi pendapat.
Ibunya paling layak untuk mengajar semua perkara yang kau sebutkan. Tapi untuk aku sebagai ayah, satu perkara penting yang akan aku ajar untuk setiap anak perempuan.
TUMBUK HIDUNG SIAPA YANG MENYENTUH TEMPAT TIDAK SEPATUTNYA
Jika ada lelaki lain yang sentuh dia di tempat yang tak sepatutnya, sentuh dada atau bontot atau kemaluannya atau dimana sahaja yang buat dia rasa tidak selesa, tumbuk sahaja mukanya.
Sayangku, halakan tumbukan tu ke hidungnya. Gengam tangan serapat mungkin dan tumbuk sekuat hati. Biar bengkok, patah dan berdarah.
Jangan tumbuk mulutnya, nanti cedera tangan mulus mu jika terkena gigi dia. Jangan halakan ke mata, bila kau tumbuk sekuat hati risau pula cacat kekal penglihatan nya nanti.
Sasarkan tepat ke hidung, ok?
LAKUKANNYA UNTUK MENJAGA MARUAH BIAR PUN SALAH Sayangku, kau mungkin akan mendapat masalah di sekolah nanti. Keganasan kau memang patut diambil tindakan oleh pengetua. Mencederakan individu lain melanggar peraturan sekolah.
Tapi, ayah tak akan cakap apa yang kau buat tu salah. Salah dan melanggar peraturan tidak sama. Ia dua perkara yang berbeza.
Mencuri – salah dan melanggar peraturan. Membuli – salah dan melanggar peraturan. Tumbuk hidung lelaki hingga patah dan berdarah kerana mempertahankan maruah kau, ia mungkin melanggar peraturan. Tapi tidak salah.
BIAR IBU AYAH DIKECAM SEKALI PUN Mungkin ibu dan ayah akan dipanggil pengetua. Mungkin ibu dan ayah akan dikecam kerana mengajar kau macam ni. Mungkin kita akan disaman. Mungkin ibu bapa budak lelaki tu akan buat sidang media dan viral kan tingkah laku kau. Media sosial memang suka untuk meletakkan anak perempuan aku yang lemah ni untuk dihakimi.
Tapi ayah tak kisah pun. Tak ada masalah untuk ayah jelaskan gaya kung fu kau tu untuk mempertahankan harga diri sebagai seorang perempuan. Dan kita akan bincangkan KENAPA kau diajar macam tu.
GANGGUAN SEKSUAL PERLU DITANGANI Pengetua mungkin akan menggantung persekolahan kau – ibu dan ayah akan terima. Ibu bapa budak tu mungkin akan sensasikan kes seperti ni – ibu dan ayah tak ada masalah hadap sesiapa pun untuk pertahankan tindakan kau. Adakah keganasan seperti ini jawapan untuk setiap masalah? Tentunya tidak. Idealnya gangguan seksual perlu ditangani di setiap peringkat dengan ‘zero-policy’. Gangguan seksual adalah salah di setiap peringkat umur. Tiada kompromi dan tiada ‘grey area’. Jika semua pihak setuju dan mahu jadikan ia kenyataan, tolong beritahu kami. Tapi selagi ia belum jadi kenyataan, ayah akan ajar semua anak perempuan ayah untuk tumbuk tepat di hidung dengan niat untuk patahkan dan biar berdarah.
AJAR ANAK LELAKI SUPAYA TIDAK MENGGANGGU PEREMPUAN Jika ibu-bapa budak lelaki tidak setuju, mungkin mereka patut ajar anak mereka lebih menghormati perempuan. Ajar anak lelaki mereka sikap yang sepatutnya terhadap perempuan. Dunia makin lebih bertolak ansur terhadap gangguan seksual terhadap perempuan. Tapi, Ayah tidak terima konsep anak perempuan perlu lemah-lembut dan bersopan-santun tanpa batasan. Ajarkan anak perempuan kita untuk tumbuk tepat di hidung, sekuat hati, jika mereka disentuh di tempat yang tidak sepatutnya. Fuh! Serius betul bro. Tapi, anak kau semua lelaki kan? Dengan nada yang lebih tenang kawan aku jawab.
Rezeki anak perempuan tu milik Tuhan. Siapa kita mahu menidakkan jika nanti dikurniakan anak perempuan.
Dan aku punya ramai anak saudara perempuan. Ramai kawan-kawan yang punya anak perempuan. Semua tu akan aku bela seperti anak perempuan sendiri.
PESANAN KEPADA ANAK LELAKI
Kepada 3 anak lelaki ku, ini pesan baba.
Kalau kamu balik rumah dengan hidung patah dan berdarah ditumbuk perempuan, akibat kamu berkelakuan tidak menghormati mereka, baba dan mama akan tunjukkan lagi mana bahagian badan lain yang boleh patah dan berdarah.
Tapi kalau kamu balik rumah patah dan berdarah kerana membela kehormatan perempuan, baba dan mama akan bela kamu walaupun apa pun kos nya.
Biar hilang kawan, tak guna pun berkawan dengan mereka yang tak tahu menghormati perempuan.
HORMATI IBU Hormati mama sepenuh hati, pertahankan mama walau terpaksa menggadai nyawa. Dia dah pertaruh nyawa melahirkan dan membesarkan korang.
She is the lady in our house and the queen of our heart.
Mendidik anak sebenarnya fleksibel. Jika kena formulanya memang berkesan tapi kadang-kadang kesilapan juga boleh berlaku kerana kita sebagai ibu bapa terlalu mengikut perasaan.
Mungkin kita tak boleh nak kawal kemarahan pada waktu itu namun bila keadaan dah kembali reda baru kita rasa insaf dan kasihan pada anak. Inilah lumrah kita sebagai ibu bapa.
Perkongsian dari seorang bapa, Ws Adli W Muhammad ini boleh dijadikan pengajaran bersama dan semoga kita sama-sama menjadi ibu bapa terbaik dalam mendidik anak.
Ada orang tanya saya, bagaimana cara terbaik untuk mendidik anak. Saya tidak layak menjawab soalan begitu. Yang saya boleh katakan, saya bukanlah bapa yang baik, yang boleh dijadikan contoh kepada yang lain.
Ada satu peristiwa yang benar-benar sehingga kini mengganggu diri saya. Setiap kali dikenang, saya tidak malu katakan bahawa saya menangis. Pernah juga saya teresak-esak tidak dapat menahan betapa sesalnya saya berbuat perkara tidak baik dalam mendidik anak saya, Safiyyah. Apalah beban yang perlu ditanggung pada usianya yang hanya berumur empat tahun ketika itu.
Ceritanya begini
Sejak Safiyyah mempunyai adik, dapat dilihat bahawa dia banyak cemburu. Safiyyah ini sejak lahir tidak pernah meragam besar, hanya kecil-kecil sahaja ragamnya seperti mahukan susu, mahu tidur dan mahu berjalan di luar rumah. Budaknya diam, tidak banyak bercakap. Melainkan apabila diacah oleh kami dan saudara mara.
Di dalam rumah kami, Safiyyah mempunyai motor beroda tiga berkuasa bateri yang boleh ditunggangnya di dalam rumah. Yang saya perasan, apabila adiknya Riyadh, ketika itu sudah berusia 2 tahun mahu bermain bersama, akan ditolak adiknya. Yalah, padanya itu harta dia. Budak-budak. Banyak kali saya lihat, Safiyyah suka menolak adiknya itu apabila cuba menaiki motornya.
Sampailah suatu hari pada waktu senja, mereka bergaduh pasal motor tu. Safiyyah seperti biasa akan jadi pemenang, menolak adiknya sehingga jatuh terduduk. Riyadh menangis besar.
Saya yang masa itu mahu ke bilik air untuk mandi, naik marah. Memarahi Safiyyah sunguh-sungguh dengan mengatakan padanya, dia seorang kakak yang kedekut, suka cari pasal, bencikan adik dan paling saya ingat sampai sekarang “Abah tak akan cakap lagi dengan Safiyyah”.
Kau bayangkan kawan, saya berkata kasar begitu kepada anak kecil yang baru berusia empat tahun.
Safiyyah menangis. Tersedu-sedu dan membawa diri ke bilik wan (nenek) nya. Berjalan penuh sayu, menunduk sambil tangan kanan mengesat-ngesat air mata yang jatuh berjurai di pipinya. Sayu, teramat sayu dan pilu.
Saya terus dalam keadaan marah masuk ke bilik air. Mulut masih lagi membebel. Selesai mandi saya kembali ke bilik. Sudah sahaja memakai pakaian, saya pun bersedia untuk keluar dari bilik menuju untuk bersolat maghrib di ruang tamu. Ketika mahu keluar,di dinding, bersebelahan pintu bilik, Safiyyah duduk di situ.
Dengan kedua-dua tangan memeluk lutut yang mana lututnya itu di paras dadanya, kepalanya tertunduk, dan dia kemudian memujuk saya dengan mengangkat kepala memandang ke arah saya, perlahan suaranya tersedu-sedu memanggil “Abah, abah, Safiyyah ni”.
Itulah Safiyyah. Kena marah macamana pun, tak sampai seminit dia akan cuba mengambil hati saya dengan menunggu di pintu bilik. Banyak kali sudah dibuatnya begitu.
Itulah perkara paling bodoh saya lakukan dalam hidup saya hari itu. Saya langsung tidak menyahut panggilan Safiyyah, dan lebih malang bagi Safiyyah, saya tidak langsung menghiraukannya. Terus membentang sejadah dan bersolat maghrib, dalam keadaan marah hanya reda sedikit.
Safiyyah pula, kekal duduk bersandar di dinding, dengan harapan saya akan memujuknya.
Tidak. Saya terus tidak melayannya. Keluar dari rumah, untuk ke masjid pula, saya terus dengan ego bodoh saya terhadap anak kecil itu, tidak memandang dan melayannya.
Ketika saya bergerak ke masjid dengan menaiki motorsikal, saya sempat memandang ke arah pintu cermin, kelihatan Safiyyah memandang sayu ke arah saya. Saya pula, kekal tidak pedulikannya.
Kalian tahu, hari itu anak kecil bernama Safiyyah ini diuji perasaannya pada usia begitu dengan sikap sombong dan bodoh bapanya, iaitu saya.
Sungguh, pandangan sayu Safiyyah hari itu, masih kekal dalam ingatan saya.
Di masjid, sebelum Ustaz Jauhari memulakan kuliahnya, beliau suka bermula dengan mukadimah berkaitan isu-isu semasa. Entah kenapa hari itu, beliau memberi peringatan dan pengajaran berkaitan mendidik anak dengan betul. Katanya:
Saya termenung. Semasa itulah saya sedar, betapa bodoh dan sombongnya tindakan saya terhadap Safiyyah. Tindakan paling bodoh diambil untuk budak seusia begitu. Ya Tuhan, ampuni aku.
Mengikut marah saya, saya lupa perasaan Safiyyah yang masih kecil. Saya lupa betapa dia perlukan kasih sayang saya. Saya lupa, betapa dia suka duduk di atas riba saya. Saya lupa, bahawa umurnya ketika itu baru empat tahun. Saya silap, bukan itu didikan untuk Safiyyah pada usianya begitu. Saat itu, hati saya mendesak untuk pulang segera, bertemu dan memeluknya erat sepuas-puasnya.
Selesai solat isyak, saya lekas pulang. Hati saya memberontak, mahu terus berjumpa dengan puteri si jantung hati saya. Sesampainya di rumah, isteri membuka pintu, kemudian berkata pula dalam sayu,
“Kasihan Safiyyah. Dia sudah tidur, menangis tidak henti-henti. Abang ni, nak marah ke budak pun, janganlah sampai begitu sekali sikapnya. Tak layan ke dia, tak pandang ke dia, tak tegur ke dia. Apalah yang dia tahu pada umurnya begitu. Dunianya hanya kegembiraan, dunianya hanya penuh permainan yang menyeronokkan. Dunianya, sudah pasti ada cemburu pada adik-beradiknya. Kita pun begitu kan dulu-dulu?”
Saya terduduk di atas sofa. Menghadap wajah Safiyyah yang sedang lena di atas toto, dibentang di ruang tamu. Wajah comel itu, sayu dan menyimpan rindu buat ayah yang baru sahaja memarahinya tanpa memikirkan tahap usianya, tanpa memikirkan bahawa Safiyyah itu anak perempuan, yang memerlukan kelembutan dalam asuhan berbeza dengan lelaki.
Saya, bertegas tidak bertempat. Itu semua mencipta tindakan bodoh dari diri sendiri.
Saya perlahan turun dari sofa dan merapati Safiyyah. Mengusap-ngusap kepalanya, menyentuh lembut pipinya. Ketika jari saya menyentuh tapak tangannya, seakan dia tahu ketika itu saya yang menyentuhnya, cepat dia menggenggam dengan jari kecilnya. Erat. Lama bagai tidak mahu dilepaskan.
Saya sebak. Menyesal dengan tindakan melulu saya, menyesal dengan dosa yang telah saya lakukan kepada Safiyyah. Entah kenapa saya hari itu, menuruti kata syaitan memenuhi nafsu amarah, meninggi ego kononnya saya betul lakunya.
Wahai kawan,
Anak ini anugerah agung kurniaan Allah. Didiklah mereka dengan jalan dan ajaran yang betul dan benar. Tegurlah mereka, perbaikilah sikap mereka mengikut usianya, berikanlah kasih dan sayang sepenuhnya selagi berpeluang. Kawal emosi kita ketika berhadapan dengan mereka. Berikan masa untuk mereka bermanja dengan kita, luangkan masa untuk bersama bergurau senda bermain.
Saya pernah tersasar dalam memperbaiki sikap anak. Betapa sakitnya dan perasaan sesal itu kekal terpahat dijiwa sehingga sekarang. Tak pernah pudar walau sesaat.
Anak menghadirkan berkat dan rahmat buat kita, menambah rezeki keluarga. Tidak pula mereka membebankan kita, apatah lagi menyusahkan hidup kita.
Hadir mereka membawa keindahan dalam kehidupan berkeluarga. Indah jugalah hendaknya cara didikan kita, kelak harapannya apabila membesar setiap tahun, mereka mengikut segala didikan dan ajaran yang baik-baik, dan dapat menempuh alam kehidupan penuh cabaran dengan berpandukan jalan-jalan disukai agama dan masyarakat.
Mereka, pengirim doa bahagia kita di sana, asuhlah sebaiknya.