
Masya-Allah, bukan satu atau dua, tetapi 10 anugerah berjaya dibawa pulang oleh seorang kanak-kanak bernama Adam Imran Hakimi! Pastinya pencapaian ini menjadi antara hadiah terindah buat ibu dan ayah yang selama ini tidak pernah lelah mendidik serta membimbing anak.
Di sebalik kejayaan seorang anak, ada doa yang tidak pernah putus, pengorbanan yang tidak terhitung dan kesabaran ibu ayah dalam membentuk disiplin mereka sejak kecil.
Baru-baru ini, Adam Imran Hakimi mencuri perhatian wargamaya selepas kisah kejayaannya meraih 10 anugerah tular menerusi perkongsian di Facebook Cipinas.
Apa yang lebih membanggakan, kecemerlangan Adam bukan sahaja dalam bidang akademik, malah turut menyerlah dalam aspek kepimpinan, kokurikulum dan sahsiah diri.
Bukan Calang-Calang, 10 Anugerah Berjaya Dibawa Pulang Adam Imran Hakimi!

Menerusi perkongsian di Facebook, ibunya meluahkan rasa syukur dan bangga atas pencapaian anak tersayang, selain menitipkan doa agar Adam terus cemerlang apabila melangkah ke alam persekolahan menengah kelak.
“Hadza min fadhli rabbi. Masya Allah Tabarakallah.
“Alhamdulillah, tahniah anak mummy daddy. Semoga semakin cemerlang di Menengah nanti. Amin.”
Antara 10 anugerah yang berjaya diraih oleh Adam ialah:
- Anugerah Kepimpinan – Student Leader Board
- Anugerah Kepimpinan – Pengawas
- Anugerah Kepimpinan Khas – Pengawas Dedikasi
- Anugerah Kehadiran Terbaik
- Anugerah Pencapaian NILAM
- Anugerah Kokurikulum Tertinggi Pencapaian Kelab & Persatuan – Peringkat Kebangsaan
- Anugerah Kurikulum Subjek Terbaik – Sejarah
- Anugerah Kurikulum Subjek Terbaik – Matematik
- Anugerah Kurikulum Subjek Terbaik – Sains
- Anugerah Khas Tokoh Sahsiah Terbaik
Pencapaian Adam Imran Hakimi Jadi Inspirasi Buat Ibu Ayah
Pencapaian luar biasa ini tentunya wajar diberikan pujian. Bukan mudah untuk seorang anak menyerlah dalam pelbagai bidang, apatah lagi apabila turut memperlihatkan kecemerlangan dari sudut kepimpinan dan sahsiah diri.
Kejayaan Adam juga menjadi inspirasi buat ibu ayah dalam mendidik anak-anak. Pastinya ramai yang mendoakan agar anak hebat ini terus diberikan kemudahan dalam menuntut ilmu, kekal merendah diri dan semakin cemerlang pada masa hadapan.
Semoga kejayaan ini menjadi permulaan kepada lebih banyak pencapaian membanggakan apabila Adam melangkah ke alam persekolahan menengah nanti.
Ibu Adam Imran Hakimi Kongsi 5 Tip Didik Anak Sejak Kecil

Pa&Ma berkesempatan mendapatkan perkongsian daripada Syaidathul Shafinaz Binti Masrom, ibu kepada Adam Imran Hakimi yang merupakan anak sulung daripada empat beradik.
Menariknya, bukan semata-mata kecemerlangan akademik yang dititikberatkan, malah aspek disiplin, kesihatan, keberanian dan amalan kerohanian turut menjadi keutamaan dalam mendidik anak-anaknya.
1. Hadkan Penggunaan Telefon Bimbit Sejak Kecil
Dalam dunia serba digital hari ini, bukan mudah untuk memisahkan anak-anak daripada gajet. Namun, Shafinaz memilih untuk menetapkan peraturan penggunaan telefon bimbit sejak anaknya masih kecil.
“Dari kecil memang saya limitkan penggunaan hp. Boleh tengok tapi ada limit masa.
“Bila makin dewasa dan dah masuk alam sekolah, hanya boleh tengok hp selepas belajar sahaja untuk weekend. Hari biasa memang takde hp kecuali lepas exam dan masa cuti sekolah.”
Mendidik anak supaya memahami batas penggunaan gajet sejak kecil dapat membantu mereka membina disiplin diri, menguruskan masa dan memberikan tumpuan kepada pelajaran.
2. Titikberatkan Kesihatan Anak
Kesihatan yang baik juga memainkan peranan penting dalam memastikan anak dapat mengikuti pembelajaran secara konsisten.
Menurut Shafinaz, antara amalan peribadinya adalah memberikan anak madu habbatus sauda. Dia turut berkongsi pengalamannya selepas anak menerima suntikan vaksin influenza.
“Dan saya perasan lepas ambil suntikan vaksin influenza anak jarang sakit. Jadi, dia dapat hadir ke sekolah setiap hari.”
Bagaimanapun, pengambilan madu habbatus sauda bukanlah pengganti vaksinasi. Penjagaan kesihatan anak juga perlu disertai dengan pemakanan seimbang, rehat yang mencukupi dan penjagaan perubatan yang bersesuaian.
3. Didik Anak Berani Mencuba, Menang Atau Kalah Belakang Kira
Bukan kemenangan semata-mata yang menjadi ukuran, sebaliknya keberanian anak untuk mencuba sesuatu yang baharu turut diberikan perhatian.
“Saya galakkan anak mencuba. Bila ada pertandingan walaupun sekecil pakaian beragam, saya galakkan anak masuk supaya dia berani berada di pentas.
“Kadang-kadang, sekolah buat minggu BM/BI/Sains dan ada pertandingan kecil, saya galakkan anak masuk. Menang atau kalah lain cerita yang penting mencuba.”
Dorongan daripada ibu ayah sebenarnya amat bermakna dalam membina keyakinan diri anak. Apabila anak tidak takut untuk mencuba, mereka berpeluang mengenali potensi dan bakat yang ada dalam diri masing-masing.
4. Tak Semestinya Pandai, Tetapi Mesti Rajin Berusaha
Antara pesanan yang cukup menarik daripada Shafinaz adalah mengenai kepentingan usaha dan kerajinan dalam kehidupan.
“Orang tak berapa pandai tapi rajin pasti akan berjaya. Tapi orang pandai tapi malas lama-kelamaan dia susah nak berjaya sebab tak usaha.”
Shafinaz turut membiasakan anaknya membuat latihan Matematik setiap hari walaupun sedikit.
“Jadi, setiap hari anak kena buat latihan Math walaupun sikit. Kalau dia malas buat di buku, boleh buat kuiz online. Untuk essay dan karangan kena salin semula essay dan karangan supaya terbiasa.”
Apa yang penting adalah membina tabiat belajar secara konsisten, bukannya hanya membuka buku ketika musim peperiksaan.
5. Jangan Abaikan Didikan Agama
Dalam mengejar kecemerlangan akademik, Shafinaz juga tidak melupakan kepentingan didikan agama dalam kehidupan anaknya.
“Saya juga galakkan anak untuk solat subuh qobliah setiap hari. Solat hajat/taubat setiap kali lepas Maghrib dan kena baca AlQuran setiap kali lepas subuh dan maghrib walaupun 1muka surat.”
Amalan yang diterapkan secara konsisten sejak kecil diharapkan dapat membentuk peribadi anak yang bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran, malah mempunyai pegangan agama dan akhlak yang baik.
Jadikan Inspirasi, Bukan Perbandingan Dengan Anak Sendiri
Perkongsian ibu Adam ini cukup memberi inspirasi buat ibu ayah. Bukan kerana anaknya berjaya membawa pulang 10 anugerah semata-mata, tetapi kerana nilai, disiplin dan didikan yang diterapkan dalam kehidupan seharian.
Namun, setiap anak mempunyai keistimewaan, kemampuan dan rentak perkembangan yang berbeza. Jadikan kejayaan anak orang lain sebagai inspirasi, bukannya alasan untuk membandingkan anak sendiri.
Anak yang membawa pulang satu sijil juga layak diraikan. Anak yang belum pernah naik ke pentas juga layak dipeluk dan dihargai.
Raikan setiap usaha kecil mereka, hargai keberanian mereka mencuba dan teruslah menjadi penyokong terbesar dalam perjalanan kehidupan mereka.
Kerana kejayaan terbesar dalam mendidik anak bukanlah berapa banyak trofi yang dibawa pulang, tetapi bagaimana kita membentuk seorang insan yang berakhlak, berdisiplin dan tidak mudah mengalah.
Tahniah Adam Imran Hakimi! Tahniah juga buat mummy dan daddy. Semoga Adam terus membesar menjadi anak yang soleh, berjaya dunia dan akhirat, dipermudahkan segala urusan menuntut ilmu serta menjadi penyejuk hati kedua-dua ibu bapanya.
Sumber: Cipinas

sekarang!
