Selepas anak kedua Rita Rudaini iaitu Airit Rafqa Arjuna, 8, dibenarkan keluar hospital, anak sulungnya, Airit Rayyan Rizqin, 10, pula dimasukkan ke hospital akibat jangkitan rotavirus.
Rita berkata, Rayyan yang mengalami muntah dan cirit-birit sejak pagi semalam dibawa ke hospital bagi menjalani pemeriksaan lanjut.
“Selepas yang bongsu keluar hospital, tak sangka abangnya pula masuk wad pada hari sama. Rayyan mengalami muntah dan cirit-birit berterusan.
“Pemeriksaan doktor mengesahkan dia dijangkiti rotavirus. Doktor turut memaklumkan dia mengalami kekurangan air dalam badan.
“Saya tidak tahu berapa lama dia akan ditahan di wad. Sejak semalam doktor sudah memberikan ubat dan memasukkan air ke dalam badannya,” katanya ketika ditemubual Metro TV.
“Semalam selepas Rayyan masuk wad, saya minta sepupu tolong jaga dan kembali ke lokasi penggambaran. Selepas habis, saya kembali semula dan bermalam di sini.
“Hari ini kebetulan tidak ada babak dan saya bercuti. Jadi, boleh teman dan tengokkan anak. Rayyan pula manja kalau sakit dia perlukan saya di sisi. Berbeza dengan adiknya yang senyap saja,” katanya.
Rita berkata, dia bersyukur kerana Allah memberikan kekuatan kepadanya untuk berdepan semua itu.
“Perkara ini biasa untuk saya. Ini kerana sejak mereka kecil saya uruskan seorang diri. Ada satu ketika kedua-duanya ditahan di hospital serentak,” katanya.
Teknik lekapan dan posisi penyusuan sangat penting untuk memastikan penyusuan susu ibu berjaya. Ini antara yang ramai ibu terlepas pandang sehingga akhirnya impian untuk menyusu badan tak berjaya.
Menerusi perkongsian Perunding Laktasi di Prexious Lactation Center, Dr Nurhaya Yacob, kebanyakan ibu menyusu selalu memberi alasan masalah puting menyebabkan bayi tak boleh menyusu dengan baik.
Mommy menyusu pernah rasa macam ni tak atau mungkin pernah alami sendiri?
Serius kerap sangat saya jumpa kes begini sehingga ibu yang awalnya beriya ingin menyusu, tumpas dengan idea puting pendeknya itu menjadi punca kegagalan bayinya tak boleh menyusu.
Selalunya kalau kes begini bertandang di ruang konsultasi, saya akan minta ibu tunjukkan terlebih dahulu bagaimana ibu menyusu bayinya.
Ia berpunca dari 3 point yang ibu lihat di rajah ini.
1. Kaki yang tidak disokong, sehingga menyebabkan ibu terpaksa menjengkit kakinya.
Kenapa perlu sokongan pada bahagian kaki?
Ibu yang menyusu bukan menyusu hanya untuk beberapa saat sahaja. Hatta selama 30 saat menjengkit kaki untuk memastikan bayi menyusu dengan baik pun sudah berasa penat dan lenguh. Ini kan pula untuk 20 ke 30 minit.
Lama kelamaan, ibu akan mula menukar posisi dari duduk tegak, kepada posisi membongkok, untuk menyokong kaki yang sudah letih menjengkit.
2. Bayi yang tidak disokong dengan bantal pada bahagian peha ibu.
Ketika menyusui bayi yang baru lahir pada posisi duduk, baik dikerusi mahupun di atas katil, sebaiknya dilapik dengan bantal.
Ibu boleh pilih, nak guna “nursing pillow” atau bantal tidur. Tiada masalah yang mana satu pilihan hati.
Kenapa begitu penting melapik bayi dengan bantal?
Ini bertujuan untuk membantu mengekalkan posisi tubuh ibu agar tidak membongkok setelah lama menyusu.
Selain dari itu, dengan melapik bantal juga, ia dapat mengekalkan posisi bayi untuk terus melekap dengan baik.
3. Posisi bayi yang betul ketika menyusu adalah :
Bayi perlu menghadap ibu sepenuhnya. Kepala dan badannya. Bukan kepalanya sahaja. Masalah ibu yang merasakan putingnya pendek ini selalunya hanya kepala bayi sahaja yang menghadap payudara ibu. Badan bayi pula terlentang. Bagaimana bayi nak melekap dengan baik.
Mulut bayi perlu menghadap payudara ibu. Tak boleh ke bawah, ke atas atau ke tepi. Betul-betul menghadap. Di sini pentingnya sokongan bantal tadi untuk memastikan posisi bayi kekal baik.
Sekiranya tidak dilapik, perlekapan yang awalnya baik akan lama-lama berubah menjadi perlekapan dangkal (shallow latch). Bayi akan semakin melorot kebawah dan akhirnya ibu akan meriba bayi di atas peha. Akhirnya bayi akan menghisap pada hujung puting sahaja.
Jauh kan jarak peha dan payudara ibu. Maka mula lah adegan “puting saya pendek” dan “anak tak sampi nak menyusu”
Faham ke sangat faham bahawa puting pendek atau puting kecil itu bukan masalah ketika menyusu.
Betulkan posisi ibu, betulkan posisi pegangan bayi barulah bayi dapat melekap dengan baik.
Dah seminggu demam dan suhu badan mencecah hingga 40 darjah celcius, penyampai radio Fizi Ali bersyukur dan mengesahkan anak perempuannya, Ameena Sofia tidak dijangkiti Influenza A atau denggi.
Walaubagaimanapun, menurut Fizi, Ameena masih ditahan di hospital kerana akan demam pada waktu malam.
“Sebenarnya dah seminggu Ameena asyik demam malam. Dalam pukul 2 pagi hari tu, tiba-tiba seluruh badan dia naik bintik-bintik dengan suhu badan yang tinggi, 40 darjah celcius.
“Kami jadi panik dan kelam kabut, itu yang terus bawa dia ke hospital. Selepas melakukan pemeriksaan dan ujian darah diambil, Alhamdulillah Ameena tidak dijangkiti Infleunza A ataupun denggi.
“Namun, Ameena masih perlu ditahan kerana ada beberapa pemeriksaan lanjut akan dibuat.
“Saya harap semua orang akan terus mendoakan semoga Ameena cepat sembuh seperti biasa,” katanya.
Tambah suami kepada aktres Shakilla Khoriri ini, dia akui tidak dapat menahan perasaan sedih apabila melihat keadaan puteri tunggalnya yang jatuh sakit.
“Saya memang berasa sedih melihat keadaan Ameena yang terlantar sakit. Sama juga dengan apa yang dirasai Shakilla.
Melalui satu tempoh berpantang selama 44 hari bukanlah satu waktu yang singkat. Apa lagi bila terpaksa melaluinya dalam keadaan tidak selesa seperti orang lain.
Sebenarnya memilih untuk berpantang di rumah mentua bukanlah satu kesalahan jika ruang peribadi ibu berpantang terjaga, lebih-lebih lagi untuk menyusu. Di sinilah suami perlu memainkan peranan.
Perkongsian Kaunselor Laktasi, Pn Nad Masrom ini membuatkan hati kita tersentuh. Sebaiknya elakkan ketidakselesaan ketika waktu pantang. Biar di rumah sendiri asalkan kita selesa dan bebas untuk menyusu dengan baik.
Saya teringat kepada satu kisah pengalaman saya menyantuni seorang ibu yang tertekan kerana anaknya keliru puting. Ibu minta saya datang bantu beliau beberapa tahun lepas. Bila saya datang, suasana di rumah nampak tegang.
Suami sekejap-sekejap keluar masuk. Seolah nak dengar apa luahan isteri kepada saya sedangkan saya masa tu sedang gigih pujuk bayi beliau menyusu semula.
Melihat keganjilan sikap suami, saya ajak isteri untuk berlatih menyusu di bilik memandangkan isteri nampak tak selesa nak menyusu di ruang tamu.
Dalam bilik, isteri teresak-esak menangis. Dari ceritanya, isteri merupakan seorang surirumah yang bergantung harap kepada pendapatan suami.
Sepanjang bercerita, sekali-sekala bahu isteri terhinjut-hinjut menahan sebak. Kisah bayinya keliru puting adalah kerana bayinya telah diberikan botol susu oleh staf kesihatan hospital. Dan staf kesihatan itu ialah suaminya sendiri!
Isteri diminta berpantang di rumah mertua. Dipaksa berpantang di ruang tamu (berbentangkan tilam) untuk tidur dan menyusu bagi memudahkan ibu mertuanya memantau sepanjang masa berbanding di dalam bilik.
Dalam rumah mertua ada adik-beradik suami yang lain. Isteri kepanasan. Perlu menutup aurat dalam pantang yang masih lagi baru berusia 2 minggu. Tak bebas nak buat apa-apa dan sangat tertekan nak menyusukan bayi dalam keadaan terbuka. Dan saya tanya, apa respons suami bila dia dipaksa pantang sebegitu.
Isterinya jawab, suami penat kerja. Isteri dah pernah minta untuk berpantang di rumah ibunya sendiri tapi ditentang suami dengan alasan rumah ibu suami lebih dekat dengan tempat kerja beliau. Kami dalam bilik tak lama. Masa suami keluar rumah, itulah peluang isteri masuk ke dalam bilik sekejap bersama saya.
Suami yang memang ambil cuti khas sempena saya nak datang menyantuni isterinya, kedengaran balik dan masuk ke rumah. Saya nampak ibu tadi panik dan ajak saya ke ruang tamu semula. Masa tu sudah tengahari. Saya datang dari jam 10 pagi. Saya nampak suami mundar mandir. Seolah beri isyarat.
Isteri minta izin sekejap dari saya, dan minta saya bantu jagakan bayi. Saya terpinga sekejap. Isteri yang sedang berpantang 2 minggu, yang masih kelam kabut uruskan bayinya yang tak pandai menyusu, yang tak selesa dipaksa berpantang di ruang tamu, rupanya kena ke dapur hidangkan makanan kepada suami pula.
Ruang tamu tempat saya berada dan dapur tak jauh. Ruang makan dapur pula terbuka. Jadi saya nampak suami duduk sambil isteri tadi ambil air basuh tangan, tuangkan air basuh tangan untuk suami, sendukkan nasi beserta lauk serta tuangkan air untuk suami menjamu selera. Tah kenapa, saya rasa sebak kasihan pada ibu berpantang itu.
Patutlah ada ayat seperti ‘SUAMI BERMUTASI MENJADI BAYI YANG PERLUKAN PERHATIAN’. Saya tahu segala apa yang dilakukan isteri pasti diredai suami. Tapi melihat keadaan isteri, saya rasa empati sebab suami tidak menunjukkan simpati.
Isteri tidak disantuni untuk berpantang dengan tenang dan menyusukan bayi dalam keadaan selesa dan bebas dalam keadaan isteri boleh buka tudung dan pakai baju yang selesa.
Malah saya tak nampak sejak tadi bila ibu ini makan. Biasanya ibu menyusu ni kan kerap lapar. Dah tengah hari, ibu ini pula perlu hidang makan pada orang yang tak berpantang dan ada kudrat nak angkat senduk sendiri. Tapi, tetap si isteri menjalankan TUGAS UTAMA demi suami.
Selalunya saya akan lihat (sewaktu home visit), ahli keluarga akan bantu ingatkan ibu berpantang makan atau hidangkan makan tengahari kepada mereka mengikut waktunya. Tapi ini terbalik pula.
Hakikatnya, sesi hari itu tidak berjalan lancar. Namun, isteri kelihatan sedikit lega kerana sekurangnya ada teman untuk mendengar apa yang dia rasa. Bayinya yang keliru puting tidak dapat dibantu sehingga saya minta izin undur diri. Banyak kekangan sewaktu sesi kaunseling bersama ibu. Dan kekangan paling besar yang saya lihat ialah TIADA SOKONGAN SUAMI kepada si ibu.
Saya rasa ralat dan sedih sebab tak dapat bantu ibu. Tapi apakan daya, itulah limitasi saya sebagai kaunselor penyusuan susu ibu. Kita membimbing dan selebihnya bergantung kepada usaha si ibu.
Cuma bersyukurnya suami benarkan isteri panggil saya datang ke rumah. Tapi isteri perlu berjuang sendiri. Walaupun suami staf kesihatan, belum tentu suami ada empati kepada isteri sendiri.
Mungkin kerana ‘beras suami yang beli’. Jadi, suami rasa lebih penat dan perlu dihargai. Tahlah. Saya tak berani nak komen lebih-lebih. Bimbang saya mengajar ibu-ibu jadi isteri menderhakai suami. Bukan itu maksud saya. Cuma saya merujuk kepada common sense dari cerita ini.
Sedih bila melihat kaum sendiri tidak dilayani. Dan menyimpan duka dalam hati yang saya rasa suaminya juga tidak berusaha untuk mengerti.
Ini baru satu kisah. Ada juga beberapa kisah yang meruntun hati, saya simpan sekian lama tak pernah kongsi di sini. Itulah cabaran seorang wanita yang duduk di rumah bergelar ISTERI. Yang ramai lihat seperti hamba abdi. Tanpa perlu dikasihani. Kerana mereka fikir, golongan ini sudah banyak berehat sendiri.
Seolah-olah kerja sebagai suri tidak layak mendapat cuti. Walaupun berpantang, tetap perlu menjadi SURI. Walaupun hati mungkin penuh DURI.
P/s: Gambar ni ialah saya ketika berpantang Ali waktu pandemik. Kami berpantang sendiri. Syukurlah kami walaupun masa ni serba serbi tak sempurna, tapi suami berusaha yang terbaik semampunya.
Kenali Dr Mohammed Taufiq Johari, Menteri Belia dan Sukan termuda Malaysia yang baru bergelar ayah. Usia muda, latar belakang perubatan dan nilai kekeluargaan menjadikan beliau simbol kepimpinan generasi baharu.