Pelakon dan pengacara Ain Edruce mencuri perhatian ramai dengan perkongsiannya yang penuh emosi di media sosial. Anak kecil kesayangannya terpaksa menjalani pembedahan kerana masalah hernia.
Sebagai seorang ibu, Ain tidak dapat menyembunyikan rasa sedih dan risau yang melanda hatinya sepanjang proses itu berlangsung.
Dalam kapsyen juga yang dikongsikan, Ain berkata. “Cerita semalam. Cian anak mummy and daddy. Kena operate. Dia ada HERNIA..
Katanya lagi luah rasa sedih melihat anaknya menjalani pembedahan, “Emo aku semalam… dah lah hormon tak stabil, kena tengok anak aku kecik-kecik lagi kena operate. Sedih lah .”
Kata-kata ini jelas menunjukkan betapa beratnya perasaan seorang ibu bila anak yang masih kecil perlu melalui pengalaman seperti itu.
Ads
Namun begitu, Ain bersyukur kerana segalanya berjalan dengan lancar. Selepas pembedahan, anak kecilnya menunjukkan semangat luar biasa terus mahu bangun, berjalan, malah melompat-lompat seolah-olah tiada apa yang berlaku.
“Dia lepas operate bukan main… terus nak jalan, nak lompat. Hahah. Terus rasa tak sedih dah aku ,” kongsi Ain dalam nada ceria.
Perkongsian ini mendapat pelbagai reaksi daripada para peminat dan pengikutnya. Ramai yang turut mendoakan kesihatan anak Ain, selain memberikan kata-kata semangat buat Ain sebagai ibu muda yang menghadapi situasi ini dengan tabah.
Momen ini bukan sahaja menggambarkan kasih sayang Ain terhadap anaknya, tetapi juga menunjukkan realiti menjadi seorang ibu –penuh dengan cabaran, emosi, dan tanggungjawab yang besar. Ain turut berterima kasih kepada semua yang mendoakan serta berkongsi rasa syukur kerana anaknya kini kembali aktif seperti biasa.
Ads
Kisah ini menjadi inspirasi kepada ibu bapa lain, bahawa walau apa pun ujian yang dihadapi, kasih sayang dan sokongan keluarga adalah kekuatan utama dalam menghadapi cabaran. Ain juga membuktikan bahawa menjadi seorang ibu bukan hanya tentang menjaga, tetapi juga menjadi sumber kekuatan dan ketabahan buat anak-anak.
Kepada Ain Edruce, momen ini pastinya akan menjadi salah satu kenangan manis dalam perjalanan hidupnya sebagai seorang ibu. Kami di sini turut mendoakan kesihatan anak kecilnya dan kebahagiaan keluarga mereka.
Bukan calang-calang wanita yang dapat memasak setiap hari walaupun bekerjaya. Ia rutin yang mencabar. Perlu perancangan masa dan susun atur bahan-bahan masa supaya tidak lama di dapur. Maklumlah seharian bekerja, balik rumah pula terus fokus urus anak-anak sekali gus memasak.
Bukan suami tak tolong namun kebanyakan wanita lebih gemar lakukan semua ini penuh dengan kasih sayang dan tidak pernah berkira untuk suami dan anak-anak. Bak kata orangm air tangan ibu atau isteri itu pengikat kasih sebuah keluarga.
Inilah yang dikongsi oleh seorang wanita menerusi perkongsiannya di laman facebook, dari Faridah Mohd Ali yang menyentuh tentang pentingnya air tangan ibu dalam membentuk keluarga yang bahagia.
Dalam perkongsiannya, beliau berkongsi pengalaman peribadi memasak untuk keluarga walaupun penat bekerja seharian. Katanya, masakan ibu bukan sekadar makanan – ia adalah pengikat kasih sayang, pembawa keberkatan, dan pencetus memori indah yang terpahat di hati anak-anak.
1. Hari ni jam 4.35 petang baru sampai rumah dari office. Pergi office untuk menyambung kerja mengemas, packing dan memilih dokumen dan bahan penting untuk dibawa pulang. Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, saya dalam proses untuk menjual office setelah lapan tahun menyewanya. Sebaik sampai di rumah petang tadi, saya terus ke dapur untuk mengeluarkan ayam, ikan, sayuran dan bahan-bahan lain dari peti ais. Biarkan ia sejuk. Kemudian terus solat asar sebaik azan Asar berkumandang jam 4.50 petang.
2. Selesai solat Asar di surau di rumah, saya terus menyinsing lengan di dapur. Memasak adalah tugas rutin yang tidak pernah saya tinggalkan walau sesibuk apapun. Jangan sesekali malas untuk memasak jika kita mahu membentuk keluarga yang lebih baik. Itu antara rahsia utama dalam keluarga yang bahagia.
Masak simplepun tak apa.
3. Masak simplepun tak apa. Petang ni saya masak ayam masak merah, sayur kangkung, ikan goreng rebus cara Kelantan, ikan masin, sambal dan salad. Jam 6.30 petang, kami dah selesai makan. Begitulah selalunya, kami tak makan malam. Tengah hari pun tak makan. Sarapan dan makan petang sahaja. Selalunya jam 6 petang atau 6.30 petang dah siap makan. Anak-anak pun dah sampai rumah dari tempat kerja kecuali Irah yang sampai selepas Maghrib. Kami makan bersama-sama. Kata Aisyah… “Sedapnya ayam masak merah mama masak ni. Ikan goreng pun sedap. Aisyah suka sangat. Sebab tu Aisyah selalu rindu nak balik, sebab teringat-ingat semua yang mama masak.”
4. Ibu-ibu, masaklah sendiri untuk hidangan keluarga kita sendiri. Air tangan ibu mempunyai rahsia tersendiri dalam membentuk keluarga yang bahagia, hubungan yang terjalin kukuh antara suami isteri, anak-anak yang terdidik, pengikat kasih sayang keluarga, hubungan yang lebih akrab, diberkati dan sangat disukai Allah. Allah menurunkan rahmatnya kepada ibu, ayah dan anak-anak yang bersama-sama menjamah hidangan dari air tangan ibu.
5. Apabila suami menjamah masakan yang kita masak, ikatan dan kasih sayang isteri akan dipereratkan, diangkat oleh Allah. Begitu juga anak-anak yang makan hidangan dari masakan air tangan ibu, kasih sayangnya lebih dalam, rapat dan sangat akrab sesama adik-beradik. Anak lebih rapat dengan ibu ayah mereka.
6. Penat tak masak ni? Ya memang penat terutama bagi isteri yang bekerja. Terkocoh kacah masuk ke dapur, kadang-kadang tak sempat nak tukar pakaianpun, tetapi mereka dah ready bersilat, pegang pisau dan lesung untuk menyediakan rezeki terbaik untuk suami dan anak-anaknya. Dengan tugas dan keletihan yang tidak pernah habis, wanita itu begitu ikhlas dengan tugas dalam rumahtangganya, ikhlas menyayangi dan menyediakan keperluan suami dan anak-anaknya, keikhlasan menyediakan bahan masakan dengan penuh cinta demi mengenyangkan suami dan anak-anaknya, maka di sanalah mengalirnya keberkatan kepada perkahwinan dan anak-anak kita. Anak-anak patuh dan mendengar cakap. Taat dan menghormati ibu ayah.
7. Dalam hati ibu, niatnya biar suami dan anak-anak kita kenyang, biar sihat, biar pandai anak-anak kita dalam pendidikan, biar panjang usia anak-anak kita apabila makan yang disediakan. Kasih sayang ibu anak tak akan putus. Kasih sayangnya dalam. Dimasak pula dengan penuh cinta. Diiringi doa kepada Allah dan selawat kepada Rasulullah SWT, maka makanan yang dihidangkan sangatlah berkat. Allah ada di mana-mana. Berkatnya satu keluarga, apabila seluruh ahli keluarga makan hidangan dari air tangan isteri. Apabila kita menyediakan hidangan, hubungan menjadi sangat rapat. Anak-anak lebih rapat dan hormat kepada ibu bapa.
8. Isteri-isteri budiman, peruntukkan masa untuk memasak sendiri kepada ahli keluarga kita. Itu kewajiban. Sentiasa memasak. Itu antara agenda yang wajib ditegakkan iaitu menyediakan hidangan daripada air tangan isteri. Walau bagaimana cantik dan sedapnya makanan yang disediakan di restoran dan cafe, air tangan ibu tetap yang paling baik untuk tiba ke dalam perut suami dan anak-anaknya. Kadang-kadang masak tu sekadar telur dadar je, tetapi ia sangat sedap dan menyelerakan. Campak-campak je tetapi lazatnya terkenang sampai akhir hayat. 9. Jangan biarkan anak-anak kita makan air tangan McD, air tangan KFC, air tangan di Kenny Hills, air tangan mamak, air tangan orang Indonesia di restoran yang kita singgah, air tangan wanita Thailand restoran tomyam yang mereka singgah. Hingga hilangnya anak-anak yang rindu masakan ibu. Malahan anak-anak asyik nak makan di luar. Terikat hati dan fikiran mereka dengan segala macam jenama restoran di luar sana. 9. Ketika aruah bonda saya masih ada, salah satu tarikan utama untuk anak-anak balik ke kampung adalah kerana kerinduan kepada air tangan aruah ma. Rindu dengan hidangan nasi dagangnya, nasi kerabunya, ayam masak kuzinya, sup tulangnya, singgang ikan, lompat tikam, jala emas, akok, jemput-jemput, pulut lepa dan sebagainya. Semuanya sedap. Semuanya enak. Sehingga kini masih teringat-ingat lazatnya semua masakan aruah ma, walaupun sekadar hidangan kuih cara berlauk atau lempeng pisang. 10. Masih terbayang lagi, penuh meja dikelilingi adik-beradik saya sebelas orang. Aruah ayah bacakan doa dan kita makan bersama-sama. Kemudian aruah ma sendukkan nasi dan letakkan lauk dalam setiap pinggan anak-anaknya. Sambil makan, ayah bercerita dan berkongsi pengalaman. Anak-anak menyampuk sekali. Meja makan menjadi tempat bertaut cinta dan kasih sayang dalam keluarga besar itu. Semua memori itu masih terpahat kukuh dalam jiwa dan hati saya. Kukuh dan tidak pernah padam. 11. Begitulah peri pentingnya isteri menyediakan hidangan untuk keluarga. Begitulah specialnya hidangan yang dimasak oleh ibu kepada anak-anaknya. Setiap penat lelah ibu menyediakan yang terbaik kepada pasangan dan anak-anak kita, semuanya menjadi pahala yang mengalir tanpa henti kepada setiap wanita.
Pelakon Idzham Ismail, telah memuat naik sebuah posting di laman Instagramnya yang menghargai isterinya. Tidak menginginkan isteri yang sempurna, hanya mahukan isteri yang sentiasa menyokongnya.
Aku tak perlukan isteri yang pandai memasak sebelum kahwin kerana memasak boleh belajar sama sama.
Aku tak perlukan isteri untuk buat kerja rumah setiap masa kerana aku pon ada untuk melakukannya.
Aku tak perlukan isteri yang kaya raya sebab rezeki dan kemewahan boleh dicari bersama. Aku tak perlukan isteri yang buta hatinya kerana aku manusia melakukan kesilapan dan sedia untuk ditegur dan ubah untuk rumahtangga.
Aku PERLUKAN isteri yang menyokong dibelakanh ku kerana pabila ku hampir jatuh dia ada dibelakangku bisik kata semangat untuk aku naik semula.
Tak semua faham dunia dan cara bekerja macam kami, bila dapat yang memahami, bersyukur dan semangat dia lah yang buat aku tahu tiada gagal dalam kamus hidup hanya kejayaan menanti. Amin thank you Allah dan aku dah bersedia diatas tanggujawab kerja yang lebih besar ini. Amin amin ya rabbal alamin..
Sememangnya tiada pasangan yang sempurna dan akan ‘senang’ sepanjang masa, tetapi suami isteri yang saling melengkapi akan menyempurnakan sesebuah perkahwinan.
Terkini, pada tahun 2025, bakal jemaah haji Muassasah daripada kumpulan B40 dan M40 akan menerima bantuan kewangan khas bagi meringankan beban kos menunaikan haji. Lembaga Tabung Haji (TH) bersama Kerajaan terus komited membantu rakyat melaksanakan ibadah ini dengan menawarkan pelbagai insentif kewangan.
Berita baik ini memberi sinar harapan buat golongan B40 dan M40. Memetik laporan UtusanTV, bakal jemaah haji Muassasah kumpulan B40 yang mendapat bantuan Kerajaan bagi B40 akan menerima Bantuan Kewangan Haji daripada Lembaga Tabung Haji (TH) sebanyak RM17,300 seorang dan ditambah bantuan Kerajaan sebanyak RM1,000 seorang pada 2025.
TH dalam kenyataan hari ini memaklumkam, bantuan yang berjumlah RM18,300 itu adalah lebih separuh (55 peratus) daripada keseluruhan Kos Haji, menjadikan Bayaran Haji bagi seorang jemaah B40 berjumlah RM15,000.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, bakal haji Muassasah kumpulan M40 pula akan menerima Bantuan Kewangan Haji berjumlah RM9,800 seorang atau 29 peratus daripada keseluruhan Kos Haji, menjadikan Bayaran Haji bagi seorang jemaah M40 sebanyak RM23,500.
Manakala, Jemaah Muassasah kumpulan T20 yang berpendapatan individu sekurang-kurangnya RM15,000 sebulan perlu menjelaskan bayaran penuh kos haji iaitu RM33,300 seorang.
Katanya, ia adalah selari dengan prinsip penyasaran bantuan yang sedang dilakukan oleh Kerajaan.
Tambahnya lagi, Bakal Haji yang membuat rayuan luar giliran untuk menunaikan haji secara Muassasah, mereka yang terpilih melalui proses rayuan perlu membayar penuh Kos Haji selaras dengan syarat istito’ah.
“Terdapat hampir empat juta pendeposit yang telah mendaftar haji dan sedang menunggu giliran untuk menunaikan haji, namun kuota adalah terhad. Kos Haji Muassasah adalah jauh lebih rendah daripada pakej haji yang ditawarkan oleh syarikat swasta yang dilesenkan oleh TH dimana harga bermula sekitar RM55,000 seorang,” katanya.
Syed Hamadah menjelaskan bahawa Bantuan Kewangan Haji bagi musim haji kali ini dianggarkan mencecah RM261 juta, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan yang disalurkan sepanjang 25 tahun melebihi RM2.8 bilion.
Beliau turut menegaskan bahawa jumlah bantuan yang signifikan ini memberi impak besar kepada keupayaan kewangan TH serta pulangan yang diterima oleh para pendeposit.
Justeru, katanya, TH telah mengambil langkah menurunkan kadar Bantuan Kewangan Haji secara berperingkat sejak 2022 ke arah memenuhi konsep kemampuan dalam menunaikan ibadah haji (istito’ah) dan bagi membantu kelestarian kewangan TH demi memelihara kepentingan pendeposit.
“Keputusan ini adalah selari dengan resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan yang menetapkan bakal jemaah haji bertanggungjawab atas perbelanjaan sebenar menunaikan ibadah haji, selari dengan konsep istito’ah di mana ibadat haji diwajibkan bagi umat Islam yang berkemampuan,” katanya.
Dalam pada itu, Syed Hamadah berkata, TH telah dapat mengekang peningkatan kos bagi musim haji 2025 dimana Kos Haji masih kekal pada RM33,300 bagi seorang jemaah Muassasah.
Kata beliau, bagi mengawal Kos Haji, TH telah berusaha untuk mendapatkan kontrak jangka panjang penerbangan meskipun dalam keadaan harga minyak yang meningkat.
Katanya lagi, harga penginapan di Tanah Suci meningkat dengan mendadak susulan pembangunan pesat di Makkah dan Madinah, yang memberi kesan langsung kepada kos haji. Bagi mengatasi cabaran ini, TH telah mengambil langkah proaktif dengan memeterai perjanjian bersama pengusaha hotel untuk memastikan harga penginapan dapat dikawal pada masa hadapan.
“Kos penginapan, penerbangan dan caj perkhidmatan di Tanah Suci merangkumi 87 peratus dari kos keseluruhan dan adalah di luar kawalan TH.”
“Mengambil berat tentang konsep istito’ah, dari 2022 hingga 2024, lebih 700 orang jemaah Muassasah B40 dan M40 telah memilih untuk membayar samada Kos Haji secara penuh atau lebih dari bayaran minima yang ditetapkan TH. Pihak TH menyambut baik sikap positif ini,” katanya.
Tambah Syed Hamadah lagi, setiap tahun terdapat kira-kira 70,000 hingga 80,000 rayuan untuk menunaikan haji dan mereka bersedia membayar penuh kos haji.