Apa yang anda makan semasa tempoh berpantang akan mencerminkan kesihatan anda kemudian hari. Oleh itu, anda perlu mengetahui amalan pemakanan yang betul semasa menjalani tempoh berpantang.
Melalui perkongsian dari Kak Engku Bidan Bersalin, pemakanan antara aspek yang amat penting dalam rawatan semasa pantang bersalin. Keperluan ini perlu diutamakan kerana proses kehamilan telah mengganggu keseimbangan hormon dalam badan anda. Jika tidak dikawal dan dijaga pemakanan dalam tempoh berpantang, anda akan mengalami pelbagai masalah kesihatan yang akan mengganggu penyembuhan dalaman dan luaran anda.
Lazimnya pada awal minggu pertama, digalakkan makan makanan yang kering untuk tujuan mengecutkan rahim. Pastikan waktu makan anda tepat untuk mengelak perut masuk angin. Jika anda mengambil nasi, makan semasa nasi masih panas dan ambil dalam kadar yang sederhana.
Jangan mengambil makanan dalam jumlah yang banyak dalam satu masa. Jika masih lapar, anda boleh makan secara kerap. Untuk minum petang pula, anda boleh makan biskut tinggi serat (elakkan mengambil roti kerana kandungan yis yang tidak elok untuk proses pengecutan rahim).
Apabila memasuki minggu kedua dan seterusnya, anda sudah boleh mulai makan makanan yang berkuah seperti sup ikan, sup sayur dan buah-buahan supaya anda mendapat khasiat yang seimbang dalam pemakanan anda.
Semasa dalam pantang juga makanan yang dilarang makanan adalah bersifat sejuk, berangin, gatal dan berbisa. Minuman berais tidak dibenarkan. Ini adalah antara amalan pantang larang yang mesti dilakukan semasa berpantang untuk menyembuhkan dan menyegarkan kembali badan selepas menjalani proses bersalin.
Elakkan Makanan Berlemak
Semasa berpantang kuantiti dan kualiti makanan yang diambil akan memberi impak besar terhadap berat badan dan kesihatan anda. Jadi, anda dilarang untuk mengambil makanan yang boleh menggemukkan sewaktu berpantang. Anda disyorkan mengambil lebih banyak sayur-sayuran dan ulam-ulaman di samping masakan yang menggunakan pelbagai jenis rempah ratus yang terbukti dapat memulihkan kesihatan dan mengurangkan masalah berat badan yang anda alami ketika ini.
Melancarkan Proses Penghadaman
Halia dipercayai memiliki sifat panas dan kering. Sekiranya anda kerap mengambil makanan yang mengandungi banyak halia sepanjang berpantang, anda sebenarnya telah membantu diri untuk memecahkan angin, menghilangkan sejuk badan dan melancarkan proses penghadaman.
Atasi Masalah Kemurungan
Salah satu jenis ulam-ulaman yang terkenal di kalangan ibu berpantang ialah daun pegaga. Daun ini disifatkan sebagai tonik saraf kerana fungsinya yang membantu merehatkan dan menambahkan ingatan. Antara kelabihan lain yang ada pada daun pegaga ialah ia dapat mengatasi kemurungan yang mungkin timbul disebabkan oleh masalah fizikal selepas bersalin.
Pembuang Angin
Bagi masyarakat india, sayur sawi menjadi keutamaan bagi wanita india yang berpantang. Ini kerana pengambilan sayur sawi bertujuan untuk membuang angin. Sebaik-baiknya sayur ini dicelur terlebih dahulu dan dimakan bersama nasi panas.
Penambah Pengeluaran Susu
Pengambilan peria, pegaga, lobak putih dan cekur manis oleh ibu berpantang dapat mengatasi masalah kesukaran membuang air besar dan menambah penghasilan susu ibu. Sekiranya kerap diamalkan ia dapat membersihkan dan melancarkan peredaran darah dalam tubuh.
Kecantikan Wajah
Dalam usaha mengekalkan kesegaran tubuh, makanlah ikan haruan dan tenggiri sebagai makanan tambahan (boleh dibuat sup). Selain dapat melicinkan dan menegangkan kulit tubuh, ia membantu menyembuhkan luka dalaman dan luaran tubuh. Ia terjadi hasil daripada kandungan asid amino dan lemak yang ada pada kedua-dua jenis ikan ini. Apa yang lebih menarik ialah daging ikan-ikan ini yang bebas kolesterol akan membuatkan wajah kelihatan lebih berseri.
Lawas Buang Air Besar
Dengan mencampurkan perahan air asam jawa ke dalam sebarang jenis hidangan ibu berpantang, ia dapat memudahkan anda untuk membuang air besar selain daripada menyegarkan tubuh anda.
Hindari Kembung
Seelok-eloknya setiap hidangan dimakan bersama nasi putih yang baru sahaja dimasak. Tujuannya ialah untuk memastikan khasiat dan kesegarannya berkekalan. Oleh itu, elakkan daripada memakan nasi sejuk kerana dikhuatiri boleh menyebabkan kembung perut.
Minuman Penambah Tenaga
Bagi mengembalikan semula tenaga tubuh, anda digalakkan untuk minum air rebusan serai (dititik), halia, kulit kayu manis dan lada hitam. Dengan meminum air rebusan ini setiap pagi dan malam, badan anda akan kembali menjadi ringan dan tambah bertenaga.
Caesarean : Kurangkan Lada Hitam
Tujuan utama penggunaan lada hitam dalam penyediaan masakan ibu berpantang ialah untuk memanaskan badan. Namun yang demikian, bagi ibu berpantang yang melahirkan anak secara ceaserean, anda kurang digalakkan untuk mengambil lada hitam dalam kuantiti yang banyak.
Anti Oksidan
Terdapat pelbagai jenis ulaman berkhasiat yang sesuai dimakan semasa berpantang antaranya daun pegaga, cekur, pucuk mengkudu, ulam raja, kunyit hidup, daum kesum seta halia. Ulam-ulaman ini mengandungi fiber, zat galian (mineral) dan pelbagai vitamin, termasuklah A, C dan E, bersifat anti oksidan untuk menyegarkan dan membuang toksin dalam badan.
Pengambilan Cecair
Wanita selepas bersalin tidak dibenarkan mengambil air dalam jumlah yang banyak bagi mengelakkan perut menjadi buncit, peranakan kembang, melambatkan pengecutan rahim, faraj mudah longgar serta berair terutama jika minum air sejuk atau air batu. Pengambilan air dibenarkan secara kerap tetapi dalam jumlah yang sedikit dalam satu masa. Air penting untuk proses penyembuhan dan mengalakkan pengeluaran susu ibu.
Pemakanan Ikan
Makan ikan segar dan tidak gatal seperti haruan dan ikan sardin yang segar (bukan dalam tin). Ikan haruan juga dipercayai dapat memulihkan luka luaran dan dalaman (bersalin caesarean). Elakkan juga ikan berbisa dan gatal seperti ikan kembung, cencaru, tongkol, bawal hitam, terubuk dan parang. Kesannya menyebabkan kegatalan, timbulnya reaksi alahan dan boleh menyebabkan bisa atau bentan pada pintu rahim.
Pengambilan Sayuran Dan Buahan
Setiap buah-buahan pula, ia mempunyai khasiat tersendiri antaranya buah oren yang mengandungi banyak vitamin C yang membantu pemyembuhan luka disamping fiber untuk melawaskan air besar. Manakala elakkan makan sayuran menjalar, sejuk dan berangin. Antaranya ialah kangkung, timun, sayur keladi, pucuk ubi, bayam, kacang panjang, petola, petai, jering dan terung.
Minuman seperti tebu, cincau, kelapa muda serta buah-buahan seperti nenas, jambu, belimbing, nangka, cempedak dan pisang nangka, antara minuman jenis yang sejuk dan tajam. Makanan tersebut dilarang kerana dapat mengakibatkan sakit tulang dan sejuk otot serta lemah sendi.
Kecutkan Rahim
Kunyit yang sering diminum sebagai jamu terutamanya oleh ibu yang berpantang berupaya mengecutkan rahim dan mencuci darah. Selain itu, jika kunyit dimakan bersama nasi selama 40 hari, anda mampu mengembalikan kecergasan tubuh dan menyembuhkan luka dalaman.
Ketika anda memegang bayi, pasti anda akan mencium bau wangi bayi baru lahir. Bayi bau wangi yang selalu orang katakan sebagai ‘bau syurga ini’ sebenarnya datang dari mana?
Pasti anda ingin tahu bukan apakah fungsi bau ini dari segi sains? Jom, ikuti kupasan kami dalam artikel di bawah.
Bayi bau wangi eratkan hubungan ibu dan anak
Ibu dan bayi mempunyai satu hubungan istimewa yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
Bermula daripada saat ibu tahu tentang kehamilan, sehinggalah tibanya saat kelahiran, ibu telah melalui pelbagai kesusahan dan rintangan demi seorang insan yang bernama anak.
Menurut kajian, bayi yang baru lahir amat tertarik dengan bau ibunya. Perkara yang sama juga berlaku kepada si ibu.
Mengapa bayi bau wangi?
Penjagaan bayi merupakan sesuatu yang sukar untuk dilakukan. Amatlah memenatkan untuk menjaga bayi yang sering muntah, buang air, menangis dan juga perlu dipantau 24 jam sehari.
Bayi yang baru lahir tidak dapat menjaga dirinya sendiri. Oleh itu, bayi perlukan ibunya di sisi.
Sebab itulah, bayi mempunyai ‘bau’ wangi pada badannya. Menurut pakar, bau ini merupakan satu ciri evolusi yang memainkan peranan penting untuk memastikan bayi selamat dan terus hidup.
Selain itu, mekanisma bau ini sebenarnya berfungsi secara dua hala. Bukan sahaja bayi, malah ibu juga dapat rasa lebih tenang dan kurang tertekan ketika mencium bayi.
Ketika ibu menghidu bau wangi daripada badan bayi, otak ibu akan menerima hormon dopamine, sejenis hormon yang sering dikaitkan dengan rasa gembira.
Hormon yang sama jugalah yang membuatkan kita rasa gembira ketika makan makanan yang diingini ataupun rasa puas ketika menerima sesuatu ganjaran.
Hidu bayi bau wangi secara tidak langsung dapat memberikan ibu satu rasa istimewa yang dapat membantu mengukuhkan hubungan antara ibu dan bayi.
Malah, hormon ini jugalah yang menyebabkan ibu tidak senang meninggalkan bayi seorang diri!
Ibu juga seperti mengendahkan rasa penat yang dialami ketika menjaga bayi disebabkan keinginan mereka untuk menjaga dan juga melindungi bayi tersebut.
Bayi boleh kenal pasti ibu yang baru melahirkan anak
Menurut kajian, bayi baru lahir juga dapat mengenal pasti bau ibu yang baru melahirkan anak!
Usai kajian dijalankan, mereka mendapati bahawa bayi akan lebih tenang dan kurang menangis jika berada dekat dengan ibu mereka ataupun mana-mana ibu yang baru melahirkan anak.
Kajian ini dilakukan untuk mengenal pasti betapa pentingnya kehadiran ibu di sisi bayi lebih-lebih lagi jika bayi terpaksa tinggal di hospital.
Seramai 44 bayi yang baru lahir telah turut serta dalam kajian ini. Semasa bayi menangis, bayi telah diletakkan berdekatan dengan gaun hospital yang mempunyai bau ibu yang baru bersalin.
Bayi yang sedang menangis berhenti menangis hampir serta-merta selepas diberikan gaun hospital yang mempunyai bau ibu.
Apa yang menarik, bayi tetap akan berhenti menangis tidak kiralah jika bau tersebut bukan milik ibunya. Samalah juga ketika bayi ingin tidur, bayi tidur lebih mudah di samping bau ibu.
Namun, jika bayi diberikan gaun hospital yang terdapat bau ibunya, bayi akan menggerak-gerakkan mulut tanda ingin minum susu.
Ini membuktikan bahawa bayi dapat mengenali bau spesifik milik ibunya walaupun baru berusia beberapa bulan! Menarik bukan!
Ibu juga lebih tenang
Sebuah kajian telah dijalankan di Clinical Neuroscience, Karolinska Institutet di Stockholm untuk mengenal pasti sama ada bau bayi boleh digunakan untuk merawat depresi dalam kalangan wanita.
30 orang wanita telah diberikan topi kecil yang telah dipakai oleh bayi yang baru lahir.
Semasa mereka mencium bau topi tersebut, saintis pada masa yang sama bertindak mengkaji gelombang otak mereka menggunakan sejenis kamera magnetik.
Mereka mendapati bahawa bau daripada bayi merangsang kawasan yang sama seperti ubat yang digunakan untuk merawat penyakit mental.
Walaupun bayi bau wangi seperti dapat kurangkan stres dalam diri ibu, kompaun yang bertanggungjawab untuk melegakan depresi itu masih belum dapat dikenal pasti.
Tapi dari mana datangnya bau yang menyenangkan ini?
Selain bau bedak bayi, losyen dan juga tisu basah yang anda gunakan ke atas bayi, si manja mempunyai bau wangi yang membuatkan kita rasa ‘macam nak gigit’!
Sebuah lagi teori mengaitkan bau ini dengan bau vernix caseosa – sejenis cairan berwarna putih yang melitupi badan bayi ketika lahir.
Walaupun bahan tersebut dibasuh selepas kelahiran, baunya masih lagi ‘melekat’ pada badan bayi.
Walau bagaimanapun, ini kekal teori semata-mata kerana tidak ada kajian yang dapat membuktikan bahawa vernix caseosa membuatkan bayi berbau wangi.
Namun, lama-kelamaan bayi bau wangi akan hilang seiiring dengan peredaran masa.
Tetapi, ibu akan tetap mengingati bayi bau wangi dan tetap menganggapnya sebagai salah satu bau paling wangi dan indah yang pernah mereka hidu sepanjang hayat mereka.
Episiotomi ialah guntingan yang dilakukan oleh doktor pada kulit dan otot antara vagina dan anus. Tujuannya untuk melebarkan lalu kelahiran bayi. Biasanya doktor akan memberikan bius lokal sebelum episiotomi. Namun dalam keadaan kecemasan, episiotomi boleh dilakukan tanpa bius.
Sebelum meninggalkan wad bersalin, kebanyakan ibu yang bersalin secara normal tetapi menggunakan kaedah episiotomi bagi memudahkan kelahiran, pasti diberi penerangan tentang penjagaan luka tersebut.
Tip penjagaan luka episiotomi yang diberikan oleh doktor atau jururawat berkenaan seharusnya diikuti agar ia mudah sembuh tanpa sebarang risiko jangkitan. Dalam menjaga luka episiotomi, anda disarankan untuk mengamalkan beberapa langkah penting untuk menggalakkan penyembuhan segera.
Tukar tuala wanita setiap dua hingga empat jam atau apabila ia sudah basah sepenuhnya oleh darah nifas.
Cuci hingga bersih kawasan perineum setiap kali selepas membuang air kecil atau besar.
Sentiasa memastikan kawasan tersebut kering dan bersih.
Menyapu larutan antiseptik yang dibekalkan pada tempat jahitan dua hingga tiga kali sehari.
Pemakanan yang seimbang dan berkhasiat dapat menggalakkan proses penyembuhan luka. Antaranya ialah mengambil sebiji buah oren sekali sehari.
Ia memerlukan anda meredam bahagian intim di dalam larutan air suam yang dicampurkan dengan garam. Ia membantu proses penyembuhan luka dengan mengurangkan kesakitan dan ketidakselesaan pada tempat jahitan. Ia juga membantu membersihkan kawasan perineum dan menggalakkan proses penyembuhan.
Kebanyakan ibu lepas bersalin mengakui luka episiotomi pulih tanpa masalah berbangkit. Kesan bengkak dan lebam biasanya pulih selepas beberapa hari dan jahitan selalunya akan pulih dalam tiga hingga empat minggu selepas kelahiran. Perlu diingatkan agar anda mendapatkan rawatan segera sekiranya luka berbau, menyakitkan dan tidak sembuh. Berkemungkinan berlaku jangkitan pada bahagian berkenaan.
Dalam pada itu, diakui anda mungkin mengalami kesakitan di bahagian berkenaan di samping berasa tidak selesa. Ada kalanya, ia boleh membataskan pergerakan. Berikut adalah apa yang boleh anda lakukan untuk melegakan kesakitan itu
1. Memakai pakaian longgar seperti kain batik atau skirt.
2. Meletakkan atau menuam pek ais pada tempat jahitan untuk meredakan bengkak dan kesakitan terutamanya semasa 24 jam pertama.
3. Ubat analgesia seperti Ponstan atau Ibuprofen boleh mengurangkan kesakitan.
4. Mengambil makanan serat tinggi seperti sayur-sayuran dan minum air secukupnya bagi mengelakkanmasalah sembelit yang akan memburukkan lagi keadaan.
5. Jika mengalami sembelit, anda digalakkan untuk mengambil pelembut najis.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Jaslinda ditemui selamat selepas 15 hari hilang di Gunung Batu Putih. Penemuan mangsa membawa kelegaan kepada keluarga dan rakyat Malaysia yang mengikuti operasi pencarian sejak hari pertama.