
Menjelang tarikh bersalin, antara perkara yang sering membuatkan ibu berdebar ialah memikirkan apa yang perlu dilakukan jika air ketuban pecah secara tiba-tiba, lebih-lebih lagi jika ia berlaku ketika bersendirian, berada di luar rumah atau sedang dalam perjalanan.
Dalam situasi begini, memang mudah untuk ibu dan pasangan menjadi cemas. Ada yang terus membayangkan bayi akan lahir pada bila-bila masa, sedangkan hakikatnya ketuban pecah tidak semestinya bermaksud bayi akan terus dilahirkan ketika itu juga.
Namun, ia juga bukan keadaan yang boleh dipandang ringan atau sekadar ditunggu di rumah sehingga kontraksi menjadi semakin kuat.
Menurut Manual Penjagaan Perinatal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ibu yang mengalami ketuban pecah atau kebocoran cecair dari faraj perlu diminta untuk segera ke hospital bagi mendapatkan pemeriksaan.
Sebab itu, lebih baik ibu dan ayah tahu lebih awal apa yang perlu dilakukan supaya tidak panik jika keadaan ini benar-benar berlaku.
Air ketuban tidak semestinya keluar dengan banyak seperti yang sering digambarkan dalam filem. Ada ibu yang mengalami limpahan cecair secara tiba-tiba, tetapi ada juga yang hanya menyedari cecair meleleh sedikit demi sedikit
sehingga sukar membezakannya dengan air kencing.Walaupun kontraksi masih belum bermula, ibu tetap perlu menghubungi dewan bersalin, PAC atau unit penilaian ibu mengandung hospital tempat ibu mendapatkan rawatan dan mengikuti arahan yang diberikan.
Pemeriksaan diperlukan untuk memastikan:
Jadi, jangan hanya duduk di rumah dan menunggu sehingga kontraksi menjadi semakin kuat selepas ketuban pecah.
Perkara pertama, cuba bertenang. Panik boleh menyebabkan ibu dan pasangan sukar membuat keputusan, terutama jika perlu bergerak segera ke hospital.
Catat waktu pertama kali cecair mula keluar kerana maklumat ini mungkin ditanya oleh doktor atau jururawat apabila tiba di hospital.
Gunakan tuala wanita atau pad bersih untuk membantu melihat jumlah, warna dan keadaan cecair yang keluar. Elakkan menggunakan tampon atau memasukkan apa-apa ke dalam faraj.
Perhatikan juga pergerakan bayi. Selepas itu, hubungi dewan bersalin atau hospital tempat ibu menjalani pemeriksaan antenatal dan maklumkan keadaan yang berlaku. Pihak hospital boleh memberikan arahan sama ada ibu perlu terus datang ke hospital atau tindakan lain yang sesuai mengikut keadaan kehamilan.
Sebelum keluar rumah, pastikan buku pink, dokumen pengenalan diri dan beg ke hospital dibawa bersama. Jika sedang dalam perjalanan dan keadaan ibu berubah menjadi kecemasan atau kelahiran kelihatan sangat hampir, hubungi 999
dan berikan lokasi tepat, arah perjalanan, susur keluar terdekat serta keadaan ibu kepada petugas kecemasan.Kebiasaannya, air ketuban pecah perlu dinilai oleh petugas kesihatan walaupun ibu masih berasa sihat.
Namun, perhatian lebih segera diperlukan jika cecair yang keluar berwarna hijau atau coklat, berbau tidak menyenangkan, disertai pendarahan atau pergerakan bayi berkurangan. Ibu turut dinasihatkan supaya segera menghubungi unit bersalin jika ketuban pecah, berlaku pendarahan atau bayi bergerak kurang daripada biasa.
Jika kandungan masih belum mencapai 37 minggu dan ibu mengalami limpahan atau lelehan cecair yang dipercayai air ketuban, jangan tunggu di rumah. Dapatkan penilaian di hospital dengan segera kerana ia mungkin melibatkan pecah ketuban sebelum cukup bulan.
Tidak semua keadaan ketuban pecah memerlukan ambulans, tetapi bantuan kecemasan perlu dipanggil jika keadaan menunjukkan bayi mungkin akan lahir segera atau terdapat komplikasi serius.
Hubungi 999 dengan segera jika:
Persediaan sebaiknya dibuat sebelum tarikh jangkaan bersalin, bukannya hanya apabila kontraksi atau tanda bersalin sudah bermula.
Simpan nombor telefon dewan bersalin atau hospital dalam telefon ibu dan pasangan. Nombor kecemasan 999 juga perlu mudah dicapai.
Kenal pasti sekurang-kurangnya dua laluan untuk ke hospital sekiranya berlaku kesesakan jalan raya. Tidak salah juga mengenal pasti sebuah hospital alternatif yang lebih dekat sekiranya berlaku keadaan kecemasan.
Pastikan kenderaan mempunyai bahan api mencukupi, telefon mempunyai bateri, pengecas atau power bank tersedia dan buku pink diletakkan di tempat yang mudah dicapai.
Beg ke hospital juga sebaiknya sudah disediakan lebih awal apabila kandungan semakin menghampiri tarikh bersalin.
Persediaan kecil seperti ini mungkin kelihatan remeh, tetapi ketika ibu sedang sakit, cemas atau ketuban sudah pecah, ia boleh membantu perjalanan ke hospital menjadi lebih teratur.
Baca lagi: MamaKerja2026: Ibu Bekerja Selangor Layak Mohon Insentif RM1,000 Mulai Ogos!
Sekat Video Indonesia Di Youtube, 7 Cara Berkesan Elak Anak Terpengaruh Bahasa Indonesia
MamaKerja2026 Dibuka 17 Ogos Ini, Ibu Bekerja Selangor Dapat RM1,000!
Sumber: Hello Doktor