
Meruntun jiwa seorang ayah apabila melihat jasad anak didepan mata. Bagaikan gelap dunia seketika melihat zuriat terlibat dalam kemalangan.
Hanya mampu berkata itu adalah anaknya, lelaki ini redha dengan pemergian anak bongsunya.
Sebagaimana laporan media Harian Metro pada hari sabtu ini, dua kanak-kanak lelaki maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika menunggang basikal di Kampung Sedaka Tengah, Yan Kedah.
Kejadian yang berlaku sekitar jam 9.15 pagi itu menyebabkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia.
Menurut Adnan adalah bapa Muhammad Izhar Adnan, 10, yang maut bersama rakan baiknya, Muhammad Zaid Haris Abdullah, 11,
arwah berdua sangat rapat dan sering melakukan aktiviti bersama.

“Arwah berdua rapat dan pagi tadi mereka bersarapan roti canai bersama sehinggalah mereka akhirnya ‘pergi’ bersama,” kata Adnan Saad, 49.
Adnan berkata, anak bongsu daripada enam beradik itu terlebih dahulu meminta izin daripada ibu, Fatimah Senawi, 49, untuk keluar bersarapan di gerai roti canai milik bapa Muhammad Zaid Haris yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah mereka di Kampung Simpang Empat Sedaka, dekat sini, kira-kira 8.30 pagi.

Katanya, tidak lama kemudian, penduduk kampung datang ke rumah dan memberitahu anaknya itu terbabit dalam kemalangan.

“Kawan saya ajak pergi ke lokasi untuk melihat keadaan anak dan saya mulanya anggap mungkin kemalangan biasa saja.
“Tapi apabila sampai di tempat kejadian, saya nampak anak saya dan rakannya masing-masing di tepi jalan berlumuran darah dalam keadaan kaku.
“Masa tu saya hanya mampu cakap “Allah, anak aku,” saya tak mampu nak cakap apa dah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.
Adnan berkata, anaknya yang dipanggil Izhar dan rakannya, Zaid masing-masing bersekolah di tahun empat dan lima di Sekolah Kebangsaan (SK) Dulang, dekat sini.
Katanya, mereka berkawan rapat sejak Zaid dan keluarganya berpindah ke kampung itu.

“Setiap hari mereka kerap bersama dan banyak menghabiskan waktu di Masjid Sedaka yang terletak berhampiran rumah untuk menunaikan solat lima waktu selain sering membantu pihak pengurusan masjid.
“Semalam, anak saya kelihatan seronok melihat aktiviti menyembelih kambing di masjid dan mereka berdua juga turut membantu pihak masjid.
“Apabila dapat tahu anak saya dan rakannya meninggal, ramai yang datang terkejut terutama orang masjid kerana anak saya memang sentiasa di situ,” katanya.
Adnan berkata, arwah juga memberitahu hari ini sepatutnya di pergi ke Gurun bersama salah seorang ahli jawatankuasa masjid itu pergi makan-makan tetapi apa yang dirancang semuanya tidak jadi apabila kejadian ini berlaku.
Katanya, arwah sangat rapat dengan keluarga kerana dia anak bongsu dan sangat manja.
“Saya reda dengan apa yang berlaku, semoga roh mereka tenang di sana,” katanya.
Jenazah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat.
Jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Simpang Empat Sedaka, selepas urusan di HSB.
Media sebelum ini melaporkan, dua kanak-kanak lelaki masing-masing berusia 10 dan 11 tahun terbabit dalam kemalangan selepas basikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta di Jalan Sedaka Tengah, di sini hari ini.
Sumber: Harian Metro
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!















