Ads

Pernah Bergelar Juara Dunia Pidato, Amatullah Hamidah Tambah Koleksi Kejayaan!

Pernah Bergelar Juara Dunia Pidato, Amatullah Hamidah Tambah Koleksi Kejayaan!

Siapa sangka, di sebalik tubuh kecil seorang kanak-kanak berusia lapan tahun, tersimpan bakat luar biasa yang mampu mencuri perhatian ramai setiap kali melangkah ke pentas.

Bukan sekadar petah berbicara, malah keberanian, keyakinan dan gaya penyampaiannya membuatkan Amatullah Hamidah binti Muhammad Luqman Al Hakim berjaya mengukir nama dalam dunia pidato dan deklamasi sajak sejak usia muda.

Lebih membanggakan, anak kelahiran Terengganu ini pernah dinobatkan sebagai juara dunia dalam pertandingan deklamasi bahasa Inggeris peringkat antarabangsa, sekali gus membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk anak kecil menyerlahkan potensi diri.

Terbaharu, Hamidah sekali lagi mencuri perhatian menerusi penyertaannya dalam pertandingan ‘Pentas Little Star’ malah berjaya mara ke kelompok 20 peserta terbaik (Top 20) dan membawa pulang hadiah saguhati.

Walaupun masih kecil, perjalanan Hamidah cukup memberikan inspirasi, khususnya buat ibu ayah yang mahu membantu anak membina keyakinan diri serta mengembangkan bakat mereka sejak awal usia.

Pernah Bergelar Juara Dunia Pidato, Amatullah Hamidah Tambah Koleksi Kejayaan!

Bakat Amatullah Hamidah Dikesan Guru Sejak Usia Enam Tahun

Bakat Hamidah sebenarnya mula menyerlah ketika dia berusia enam tahun sewaktu mengikuti pembelajaran di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI).

Melihat keberanian dan kecenderungannya untuk bercakap di hadapan orang ramai, guru-gurunya mula memberikan bimbingan serta peluang untuk Hamidah mengasah bakat dalam bidang pidato.

Bermula dengan latihan dan pertandingan kecil, minat kanak-kanak ini semakin berkembang sehingga berjaya melangkah ke pertandingan di peringkat lebih tinggi.

Kini, murid Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) Bandar, Kuala Terengganu itu bukan sahaja aktif menyertai pertandingan pidato dan sajak, malah turut menerima pelbagai undangan untuk membuat persembahan dalam program serta majlis rasmi.

Ads

Pernah Bergelar Juara Dunia Pidato, Amatullah Hamidah Tambah Koleksi Kejayaan!

Pernah Bergelar Juara Dunia Pada Usia Tujuh Tahun

Antara pencapaian paling membanggakan dalam perjalanan Hamidah ialah apabila dia berjaya meraih gelaran World Champion bagi kategori Early Childhood Group (7 Years Old) dalam The 63rd International Children And Youth English Recitation Competition 2024, dengan keputusan diumumkan pada Januari 2025.

Kejayaan tersebut menjadi salah satu pencapaian penting dalam perjalanan seni pengucapan awam kanak-kanak ini.

Selain kejayaan di peringkat antarabangsa, Hamidah turut memiliki beberapa pencapaian dan pengalaman persembahan yang membanggakan, antaranya:

  • Johan Pertandingan Pidato Alam Ria PASTI Malaysia 2024.
  • World Champion kategori Early Childhood Group (7 Years Old) dalam The 63rd International Children And Youth English Recitation Competition 2024.
  • Johan Kids Got Talent Competition Negeri Terengganu 2025.
  • Persembahan pidato jemputan di Malam Munajat Terengganu, Stadium Tertutup Negeri Terengganu pada 2025.
  • Persembahan pidato jemputan di Program Kuala Terengganu Berselawat Untukmu Rasulullah S.A.W. pada 2025.
  • Persembahan pidato jemputan sempena Sambutan Majlis Bersama Ustaz Azhar Idrus pada 2026.
  • Persembahan sajak patriotik di Program Wacana Kemerdekaan Memperingati Dr. Burhanuddin Al-Hilmy anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Terengganu (PPAT) pada 2026.
  • Persembahan sajak jemputan di Program Haraki Fest, Karnival Usahawan Berjaya pada 2026.

Meskipun sudah mengumpul pelbagai pencapaian, Hamidah terus diberi ruang untuk belajar, memperbaiki kemahiran dan menimba pengalaman melalui setiap persembahan yang disertainya.

Rahsia Di Sebalik Keberanian, Ibu Ayah Jadi Tulang Belakang

Di sebalik keyakinan Hamidah berdiri di hadapan khalayak, sokongan dan bimbingan ibu bapanya turut memainkan peranan penting dalam perkembangan bakat kanak-kanak ini.

Ads

Ibunya, Hasmah binti Darwis, 33, dan bapanya, Muhammad Luqman Al-Hakim bin Mohd Radzi, 34, sentiasa berusaha memberikan dorongan agar anak mereka dapat mengembangkan minatnya tanpa berasa tertekan.

Menurut keluarga, latihan Hamidah banyak dilakukan di rumah dengan pendekatan yang santai dan bersesuaian dengan usianya.

Antara kaedah yang diamalkan ialah membimbing Hamidah membaca dan menghafal teks sedikit demi sedikit sebelum membantunya memahami maksud serta mesej yang ingin disampaikan.

Hamidah juga dibiasakan berlatih di hadapan ibu bapanya bagi memperbaiki intonasi suara, sebutan, ekspresi wajah dan bahasa badan.

Pernah Bergelar Juara Dunia Pidato, Amatullah Hamidah Tambah Koleksi Kejayaan!

Ads

Tidak Mahu Anak Rasa Tertekan, Sesekali Beri Ganjaran Kecil

Menariknya, ibu bapa Hamidah tidak menjadikan latihan sebagai sesuatu yang terlalu serius sehingga membebankan anak mereka.

Sebaliknya, latihan dilakukan dalam suasana menyeronokkan agar Hamidah terus berminat untuk belajar dan berani mencuba perkara baharu.

Malah, di sebalik kesibukan harian, kedua-dua ibu bapanya tetap berusaha meluangkan masa untuk menemani Hamidah menghadiri pertandingan dan program yang disertainya.

Ada kalanya, mereka turut menyediakan ganjaran kecil sebagai tanda penghargaan terhadap usaha dan keberanian anak mereka.

“Kadang-kadang kami sediakan reward kecil selepas sesuatu program supaya dia lebih bersemangat. Maklumlah, budak-budak ini kadang-kadang kena ada ‘umpan’ sikit untuk tarik minat dia.

“Bagi kami, bukan soal berapa banyak yang kami keluarkan, tetapi sejauh mana kami boleh hadir dan menemani perjalanan dia. Kami mahu dia tahu bahawa ibu ayah sentiasa ada untuk menyokong minat dan bakatnya.”

Jelas keluarga, antara tema yang menjadi pilihan Hamidah ketika berpidato ialah kisah berkaitan Rasulullah S.A.W. dan kepentingan membaca buku.

Bagi persembahan sajak pula, Hamidah lebih gemar membawakan karya bertemakan patriotisme yang memerlukan penghayatan emosi dan gaya penyampaian tersendiri.

Sumber: TikTok @hasmahdarwish

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads

Untuk Papa Mama

Tiga Beradik Maut Nahas Motosikal, Niat Pulang Ke Rumah Selepas Sekolah...

Pemergian tiga beradik dalam sekelip mata cukup meruntun hati, apatah lagi dua daripadanya masih kecil dan berada pada usia persekolahan. Siapa sangka, perjalanan yang sepatutnya...