Amira & Fattah Belum Sedia Tunjuk Wajah Anak, Amira Akui Seronok Jadi Ibu!

Share

Selepas melahirkan anak pada 22 Jun lalu, ramai peminat yang mula ternanti-nantikan Amira & Fattah untuk berkongsi wajah buah hati mereka, Muhammad Jarir Umar yang kini hampir mencecah usia tiga bulan.

Pun begitu kata Amira, dia dan suaminya, Fattah Amin masih belum bersedia untuk berkongsi wajah Jarir kepada umum.

Amira menjelaskan keputusan itu bukan bermaksud mereka mahu menyembunyikan anak, sebaliknya lebih kepada menjaga privasi dan keselamatan si kecil pada usia sekarang.

“Insya-ALLAH, saya ikut Fattah. Kalau Fattah rasa sudah boleh dedahkan wajah Jarir, kita akan dedahkan.

“Sebenarnya, kami tidak mahu sembunyikan anak. Kami bawa dia ke mana-mana, cuma buat masa sekarang, kami rasa belum sesuai berkongsi lebih banyak mengenai dia,” katanya.

Amira & Fattah utamakan privasi Muhammad Jarir Umar

Bagi Amira & Fattah, keputusan untuk tidak berkongsi wajah anak mereka buat masa ini bukanlah kerana mahu merahsiakan kewujudan Jarir daripada peminat.

Sebaliknya, pasangan itu memilih untuk memberi ruang kepada anak sulung mereka membesar dalam suasana yang lebih terjaga sebelum membuat keputusan mengenai perkongsian wajahnya kepada umum.

Seperti yang dijelaskan Amira, Jarir tetap dibawa bersama mereka ketika keluar dan menjalani kehidupan seharian. Cuma, mereka belum bersedia untuk berkongsi terlalu banyak mengenai si kecil di ruang umum.

Amira juga menyerahkan kepada Fattah untuk menentukan waktu yang dirasakan sesuai sebelum mereka mendedahkan wajah Jarir kepada peminat.

Bahagia nikmati perjalanan bergelar ibu

Berkongsi kehidupannya bergelar ibu kata Amira, dia sama seperti ibu yang lain namun mengakui hidupnya kini banyak berubah dan paling disukainya adalah mempelajari ilmu baru bila bergelar ibu.

“Saya rasa sama seperti ibu yang lain. Bergegas sana sini setiap hari, jaga anak lagi. Tapi saya sangat enjoy. Saya rasa ini perjalanan yang saya enjoy.

“Dalam masa yang sama banyak benda yang saya belajar,” katanya.

Tambahnya lagi, antara perkara yang paling dirasainya kini ialah bagaimana kehadiran si kecil mengubah rutin harian, termasuk ketika mahu keluar dari rumah.

“Dulu tak tahu nak keluar. Sekarang kena sediakan anak, kena prepare susu. Nak keluar sekarang banyak barang kena bawa.

“Itu benda-benda yang saya rasa menarik untuk saya belajar. Saya melalui macam ibu-ibu yang lain juga. Sebab itu saya rasa saya enjoy,” ujarnya.

Amira semakin faham pengorbanan seorang ibu

Baginya, pengalaman bergelar ibu juga membuatkan dia lebih memahami betapa besar pengorbanan seorang wanita dalam melalui fasa kehamilan, kelahiran dan membesarkan anak.

“Perasaan yang sampai sekarang saya teringat-ingat. Betullah, syurga di bawah telapak kaki ibu itu pun benar sekali.

“Sebab memang bukan mudah. Saya rasa Alhamdulillah. Saya percaya setiap ibu berbeza, dia punya perjalanan,” katanya.

Terdahulu Amira & Fattah mendirikan rumah tangga pada 14 September tahun lalu di Sepang, Selangor.

Pasangan tersebut kemudiannya menimang cahaya mata sulung selepas Amira selamat melahirkan anak pertama mereka, Muhammad Jarir Umar pada 22 Jun lalu.

Kehadiran Jarir melengkapkan lagi kehidupan rumah tangga pasangan itu, malah membuka satu perjalanan baharu buat Amira yang kini sedang menikmati pengalaman serta tanggungjawab sebagai seorang ibu.

 

Sumber: Sinar Plus

Published by
SRM