Anak 10 Tahun Pandai Memasak, Sikap Rajin Muhammad Adam Buat Ramai Kagum!

Share

Bakat memasak anak 10 tahun pandai memasak ini bukan calang-calang. Baru berusia 10 tahun, Muhammad Adam Mohamad Azizan sudah menunjukkan kebolehan menyediakan pelbagai hidangan di dapur tanpa perlu sentiasa dibantu oleh ibunya. Sikap rajin, berdikari dan ringan tulangnya turut mencuri perhatian ramai selepas kisahnya tular di media sosial.

Kecekapan Muhammad Adam atau mesra dipanggil Abang mula menjadi perhatian apabila rakaman gelagatnya memasak di rumah dikongsikan di media sosial sehingga mendapat pelbagai reaksi positif daripada warga maya.

Anak 10 Tahun Pandai Memasak Jadi Perhatian Ramai

Menerusi video berkenaan, kanak-kanak itu dilihat begitu rajin dan tidak kekok melakukan pelbagai kerja di dapur. Bukan sahaja cekap menyediakan makanan, malah Muhammad Adam turut mengemas serta membersihkan ruang dapur selepas selesai memasak.

Rakaman daripada kamera litar tertutup (CCTV) itu dikongsikan oleh ibunya, Siti Nur Mazni menerusi akaun TikTok miliknya. Video tersebut mengundang ribuan tontonan serta pujian daripada netizen yang kagum melihat kemahiran dimiliki pada usia yang masih muda.

Membesar Bersama Ibu Tunggal

Menurut Siti Nur Mazni, dia berpisah dengan bekas suaminya pada tahun 2018. Sejak itu, dia membesarkan Muhammad Adam yang merupakan anak tunggalnya.

Sebagai seorang ibu tunggal, beliau percaya anaknya sudah terbiasa melihat kesukarannya menguruskan kehidupan seharian sejak kecil. Pengalaman itu mungkin menjadi antara faktor Muhammad Adam membesar sebagai seorang anak yang bertanggungjawab, berdikari dan suka membantu.

“Anak saya bukan pandai masak 100 peratus cuma dia minat dan sudah mula menolong saya di dapur sejak umurnya lapan tahun lagi.

Mulanya bantu masak mi segera kemudian tolong saya buat puding karamel sambil dia belajar dan kebanyakan masa, anak yang tawarkan diri nak tolong di dapur.

Cuma sejak kebelakangan ini, dia sudah mula masuk dapur sendiri dan terbaru bantu sediakan hidangan ketam masak lemak iaitu lauk kesukaannya. Waktu itu saya ada kerja di ruang tamu jadi bantu dengan memantaunya menerusi CCTV,” katanya.

Minat Memasak Bermula Sejak Berusia Lapan Tahun

Tambahnya lagi dia tidak pernah memaksa Adam melakukan kerja rumah atau membantunya di dapur. Sebaliknya, Adam sendiri yang menunjukkan minat untuk belajar memasak dan menguruskan rumah.

Baginya, tidak salah mendidik anak lelaki supaya tahu memasak, membersihkan rumah dan menguruskan diri. Kemahiran seperti ini penting sebagai bekalan kehidupan, selain menghapuskan tanggapan bahawa kerja dapur hanya menjadi tanggungjawab wanita.

Pada peringkat awal, beliau mengakui berasa risau kerana bimbang anaknya cedera ketika menggunakan pisau atau berhadapan dengan api.

“Waktu awal dia beritahu nak buat kerja di dapur saya takut juga kerana risau jadi apa-apa jika misalnya cedera terkena pisau atau disambar api.

Tapi melihat minatnya, saya ajar juga benda asas seperti menggoreng telur dan memotong bahan selain ingatkan rutin cuci pinggan selepas makan.

Ada waktunya, saya sengaja usik beritahunya yang saya mahu rehat kerana masa kecil sudah melayannya macam raja… bila besar nak rasa pula dia layan saya macam raja. Sejak itu, nampak kesungguhannya di dapur,” katanya.

Kongsi Video Sebagai Kenangan, Tidak Sangka Jadi Tular

Menurut Siti Nur Mazni lagi, rakaman tersebut pada asalnya hanya dikongsikan sebagai kenangan peribadi. Namun, beliau tidak menyangka video itu menjadi tular dan menerima perhatian meluas daripada pengguna media sosial.

Kebanyakan warga maya meninggalkan komen yang positif serta mendoakan agar Muhammad Adam terus membesar menjadi anak yang soleh, bertanggungjawab dan berjaya dalam kehidupan.

“Sebagai ibu, tentunya saya bangga melihat anak jadi insan yang boleh diharap dan sejuk perut mengandungkannya.

Andai kata anak cenderung dalam bidang masakan nanti, saya sokong saja kerana yakin dengan kebolehannya.

Terima kasih juga kepada semua yang mendoakan anak saya dan saya berharap dia membesar dengan sihat selain berjaya di dunia juga akhirat,” katanya.

 

@snmazni #CapCut ♬ BIGBOOM – Cc

 

Didikan Awal Bentuk Anak Bertanggungjawab

Kisah anak 10 tahun pandai memasak ini membuktikan bahawa didikan sejak kecil mampu membentuk sikap bertanggungjawab serta berdikari. Muhammad Adam bukan sahaja belajar menyediakan makanan, malah memahami kepentingan menjaga kebersihan dapur selepas memasak.

Sikap ringan tulangnya wajar dijadikan inspirasi kepada ibu bapa dalam mendidik anak-anak tanpa mengira jantina.

Baca lagi: Extra Joss Tak Sesuai Untuk Anak, Ganggu Degupan Jantung!

Bayi Baru Lahir Boleh Dijangkiti Denggi Dari Ibu, Jangan Ambil Mudah Jika Demam Ketika Hamil 

Buku Pink Ibu Hamil Jangan Tunjuk Sesuka Hati, Banyak Maklumat Peribadi!

Sumber: Harian Metro & Tik Tok @snmazni

Published by
SRM