
Mendidik anak untuk menjaga solat lima waktu bukanlah sesuatu yang berlaku dalam sehari. Ia memerlukan kesabaran, pengulangan dan rutin yang dibina sedikit demi sedikit sejak mereka masih kecil.
Bagi kebanyakan ibu ayah, antara solat yang paling mencabar untuk dibiasakan kepada anak tentunya solat Subuh. Ada anak yang susah bangun, terlalu mengantuk, menangis apabila dikejutkan atau terlalu penat kerana tidur lewat pada malam sebelumnya.
Apabila keadaan ini berlaku, ibu ayah mungkin tertanya-tanya, jika anak berusia lapan tahun dan belum baligh tertinggal solat Subuh kerana tidur, adakah dia perlu disuruh qada?
Ustazah Asma Harun kongsikan beberapa fakta dan dalil mengenai hal ini.

Solat Perlu Dilatih Sejak Kecil
Solat ialah ibadah yang sangat besar kedudukannya dalam Islam. Allah SWT berfirman:
إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا
Maksudnya:
“Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”
Surah al-Nisa’, ayat 103.
Walaupun anak yang belum baligh belum diwajibkan solat seperti orang dewasa, ibu bapa tetap dituntut untuk melatih mereka sejak kecil.
Allah SWT berfirman: وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا
Maksudnya:
“Dan perintahkanlah keluargamu mengerjakan solat, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya.”
Surah Taha, ayat 132.
Ayat ini mengajar bahawa mendidik keluarga solat bukan kerja sehari dua. Ia perlukan sabar, ulang-ulang, bimbingan dan kasih sayang.

Anak Disuruh Solat Sejak Umur 7 Tahun
Rasulullah SAW bersabda:
مُرُوا أَوْلَادَكُمْ بِالصَّلَاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ، وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ، وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ
Maksudnya:
“Perintahkanlah anak-anak kamu mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun, dan pukullah mereka kerana meninggalkannya ketika mereka berumur sepuluh tahun, serta pisahkanlah tempat tidur antara mereka.”
Riwayat Abu Dawud, no. 490.
Hadis ini menunjukkan bahawa umur 7 tahun ialah umur latihan, bukan umur menghukum dengan keras. Ibu bapa mula membiasakan anak dengan solat, mengejutkan mereka, mengajak mereka solat bersama, mengajar bacaan, memberi pujian dan membentuk rutin.
Apabila anak mencapai umur 10 tahun dan masih sengaja meninggalkan solat, barulah datang unsur disiplin yang lebih tegas, tetapi tetap dengan syarat dan adab.
Anak 8 Tahun Tertinggal Subuh Kerana Tidur
Bagi anak 8 tahun yang belum baligh, solat belum menjadi kewajipan penuh ke atasnya seperti orang dewasa. Namun, ibu bapa tetap sangat dituntut untuk melatihnya.
Jika anak tertidur kerana terlalu penat, tidur lewat, sakit, cuaca terlalu sejuk atau ada kesukaran yang nyata, maka tidak wajar dipaksa dengan cara yang terlalu keras sehingga anak membenci solat.
Namun, apabila anak bangun, sangat digalakkan ibu bapa menyuruhnya qada solat Subuh sebagai latihan. Bukan kerana qada itu wajib ke atasnya seperti orang baligh, tetapi sebagai didikan bahawa solat tidak boleh dipandang ringan.
Dengan cara itu, anak belajar bahawa solat Subuh tetap penting walaupun dia tertinggal kerana tidur.

Apa Ibu Ayah Boleh Lakukan
Bagi memberi panduan kepada ibu ayah, periksa check list yang dikongsikan oleh Ustazah Asma sebagai panduan bersama.
Baca lagi: Mykad Generasi Baharu Rasmi Hari Ini, Tak Perlu Tergesa-Gesa Tukar Mykad Lama!
Disipilin Anak Tanpa Perlu Jerit & Ugut Rotan, 6 Cara Berkesan Guna Time-Out!
Diabetes Jenis 1 Pada Anak, 8 Tanda Penting Yang Ibu Ayah Wajib Tahu!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!

