Anak memang banyak memerhati. Seperti Datin Dr Halina ini yang meluahkan rasa bersalah. Ini adalah puncanya.
Mom guilt, ia adalah perasaan yang hadir kemudian setelah anak menunjukkan terkesan kepada apa yang telah dilakukan. Ia normal, semua ibu merasakannya.
Berikut ialah luahan doktor perubatan ini di laman Instagram beliau;
Ini lukisan gambar saya yang Tasha lukis untuk Hari Ibu. Kami hanya dapat melihat ini semalam apabila suami saya pergi ke sekolahnya untuk mengambil report card.
LUKIS MUKA MOMMY SEDANG MARAH
Ads
Dia berkata .. “Saya lukis muka mommy ketika dia marah” Tengok mulut besar dan aksi mengangkat kening tu!! Dan lukisan itu telah ditampal pada dinding kelas. Saya mesti benar-benar menenangkannya.
Tasha sangat berbeza dengan Bella. Ia sangat mudah untuk mengendalikan Bella tetapi saya memerlukan banyak kesabaran untuk menangani Tasha yang kadang-kadang … saya rasa tidak ada kesabaran.
TEGAS DAN STRICT DI RUMAH
Saya sebenarnya sangat sedih kerana saya takut dia akan mengaitkan masa kecilnya dengan mama yang marah. Itulah perkara yang paling buruk yang saya bayangkan. Sejujurnya, saya cukup sangat tegas dan strict di rumah. Saya contoh anak sulung yang tipikal dan saya fikir Bella hampir seperti saya. Tasha sebaliknya sangat tidak peduli.
Ads
PERLU TACKLE DENGAN CARA YANG BERBEZA
Saya perlu perlu tackle Tasha melalui cara yang berbeza dengan Bella. Saya perasan perkara ini sejak dahulu lagi tetapi untuk sentiasa bersabar tidak mudah apabila anda hidup dalam dunia yang pantas dan anda mempunyai 1001 perkara yang perlu dilakukan setiap hari…
Saya akan berubah. Saya akan pastikan tahun depan dia akan melukiskan gambar mama yang gembira untuk Hari Ibu.
ANAK-ANAK MEMERHATIKAN KITA
Ini amat memberikan kesan kepada saya. Saya ingin berkongsi dengan semua ibu di sana, anak-anak kita memerhatikan kita. Jangan buat kesilapan yang sama seperti yang saya lakukan ini. Ini adalah satu-satunya masa kanak-kanak mereka dan saya pasti tidak mahu dikenang sebagai bad cop di rumah. #momguilt
Biasa tak jadi macam ni – Sambil masak, sambil basuh kain, sambil bagi anak makan, sambil dengar audio, sambil jawab soalan anak, sambil macam-macam. Haa….ada yang kata para wanita ni memang itulah kelebihannya, MULTI-TASKING.
Tapi, perasan tak, bila dah multi banyak sangat, akhirnya apa jadi pada mak ni adalah kepenatan yang teramat sangat. Penat mental, fizikal dan emosi. Habis drain tenaga.
Apa yang lebih mengharukan adalah, hasil kelelahan itu semua tiada sempurna. Banyak kekurangannya, banyak yang tidak selesai. Paling utama, sang ibu menjadi sangat tidak produktif dihujung hati. Hati rasa tak happy dan mudah meledak dek kerana kepenatan itu.
“Tapi Ibu, saya tak ada pilihan. Anak saya ramai. Saya bekerja. Bila balik, semua nak kena hadap. Nak tak nak tetap kena uruskan. Kalau nak harapkan suami..emm..lagi saya sakit hati.”
Sayang..tau tak apa silap mu. KESEMPURNAAN.
Baju, perlu disidai begini, kain perlu dilipat begini, rumah mesti berkeadaan begini, anak-anak mesti selesaikan tugasan begini-begini, aktiviti mesti dilakukan begini-begini, nak hasil jadi begini-begini.
Bila tak tercapai ‘expectations’ itu, apa yang terhasil adalah STRESS, TERTEKAN, BENGANG. Akhirnya, menyalahkan diri sendiri atas ‘kegagalan’ yang tidak diingini.
Sayang, sedarilah sesungguhnya anda bukanlah ROBOT. Anda adalah manusia yang perlu waktu rehat, yang perlu belaian kasih, yang perlu masa ketenangan.
“Ibu..tak boleh. Anak saya kecik-kecik. Tak boleh ‘deligate’ kerja. Bila suami dah tolong tengokkan anak-anak, saya dah syukur sangat. Tapi, betullah kata Ibu, saya masih ada satu perasaan ‘kekosongan’ dalam jiwa. Terkadang penat ini semua buat saya hampir menghamburkan air mata. Nak tak nak, tetap kena buat, tetap kena hadap.”
Sebenarnya kan sayang, yang buat kita penat bukan MULTI-TASKING tu, tapi sebab MULTI-FOKUS. Memang penat, bila dalam pemikiran tu banyak perkara yang diFOKUSkan dalam satu masa. Tengah masak, dalam fikiran ingat anak belum dimandikan. Sambil lipat kain, teringat wasap boss yang belum di ‘reply’. Sedang makan bersama suami teringat kain yang belum disidai. Hakikatnya, MULTI-FOKUS itu sangat tidak produktif, sangat tidak bagus. Jadi apa nak buat?
Kembali FOKUS. Lakukan satu persatu dengan hati yang tenang.
Suka Ibu kongsikan tips yang mudah buat sayang semua yang perlu MULTI-TASKING ni.
Mungkin sayang boleh cuba amalkan apa yang Ibu nak kongsikan ini.
1. Mulakan hari dengan TAHAJJUD.
Pada permulaan hari, SERAHKAN MASA,URUSAN dan TENAGA kepada MAHA PENCIPTA SEGALA. Peruntukan masa khas berkhalwat bersama Allah Taala. Luahkan segala apa yang terpendam. Mohon kekuatan kepadaNya. Zikir, selawat, baca Al-Quran dan berdoalah sebelum subuh. Ketika itu, Allah sedang turun ke langit dunia. Allah mahu mengampunkan sesiapa yang minta ampun dan mahu mengabulkan apa saja yang dimohon oleh hambaNya. Dengan menyediakan masa untuk Allah pada permulaan hari, InsyaAllah hari itu akan menjadi lebih efektif. Bahasa mudahnya hari menjadi lebih berkat. Banyak urusan selesai, dipermudahkan, hati rasa lapang dan sebagainya.
2. JADUAL
Adakan jadual yang realistik untuk aktiviti sepanjang hari. Pentingnya jadual ini, adalah supaya seluruh ahli keluarga tahu apakah aktiviti seharian. Maka rutin yang positif boleh dicipta. Apabila anak tahu apa yang harus dilakukan sepanjang hari, maka ini akan bina rasa selamat pada diri anak itu sendiri. Para ibu bapa juga boleh kurang ‘membebel’ kerana anak sedar apa yang patut dilakukan.
3. Bahagikan tempoh 24jam atau sistem MENGKHUSUSKAN -Definition of Space.
Cuba lihat dapur kita, semua ada lokasi khusus. Di mana pisau disimpan, kuali disangkutkan, rempah ratus disusun, tidak caca-marba. Maka, bila kita mahu masak dan masuk ke dapur, semua jadi mudah dan terurus. Begitulah dengan masa. Khususkan masa untuk ALLAH, SUAMI, ANAK-ANAK, URUSAN RUMAH, ME-TIME dan lain-lain.
Begitulah 3 tips mudah yang mungkin sayang boleh amalkan dalam kehidupan harian. Tak kisahlah sama anda perlu bekerja di luar atau WFH. Sungguh, bila mulakan hari dengan Allah, InsyaAllah, banyak perkara akan selesai dan dipermudahkan. Usahlah jadi wanita yang MULTI-FOKUS yang akhirnya akan memenatkan dan melelahkan. Malahan hasil yang tercita sangat minimum.
Doa Ibu, semoga perkongsian Ibu pada pagi ini memberi semangat atau setidak-tidaknya memberi motivasi pada anda dalam memulakan hari.
Apa yang anda dapat pelajari dari sharing Ibu ni?. Boleh kongsikan sikit?
Salam kasih,
Ibu Rose dan Yasmin Sari (Apprentice Ibu Rose)
Sejak dari kecil sehingga dewasa, dakapan ibu sentiasa memberi ketenangan. Ini sebenarnya telah terbukti dengan sains.
Pelukan ibu akan meningkatkan hormon oxytocin, iaitu hormon kasih sayang yang membuat anda atau anak kecil akan rasa tenang dan tenteram. Apabila hormon ini meningkat, ia akan mengurangkan hormon stress seperti cortisol.
Ibu anda tinggal jauh?
Kajian juga menunjukkan, mendengar suara ibu juga mampu memberi kesan yang sama seperti pelukan ibu.
Didik Anak Melalui Pelukan
Ramai di antara ibu bapa kini cenderung bersikap ambil mudah terhadap emosi dan keinginan anak berikutan sikap penting diri selain terlalu sibuk dengan tugas, kerja rumah serta rutin harian lain.
Lebih mengecewakan anak-anak apabila mereka dimarahi sebaik menyambut pulang ibu atau bapa di muka pintu berikutan kesilapan kecil. Lazimnya, kesilapan dibuat adalah disengajakan untuk menarik perhatian.
Boleh jadi, berlaku juga insiden di luar jangkaan anak berikutan teruja dengan kehadiran ibu bapa selepas seharian di sekolah atau berada dalam jagaan taska mahupun pengasuh.
Menurut Perunding Motivasi Keluarga, Zaid Mohamad, sudah sampai waktunya ibu bapa menilai kembali bentuk layanan yang diberikan terhadap anak supaya mereka tidak terus menjauh pada masa depan.
“Dalam masyarakat kita hari ini, ibu bapa cenderung membezakan perilaku dan sikap anak. Mereka mendidik anak sama rata, namun kemudian mempersoalkan; mengapa anak kedua tidak patuh sebagaimana anak sulung; mengapa anak ketiga tidak mendengar kata seperti kakak abang dan sebagainya.
“Sepatutnya, ibu bapa kena yakin dan menerima kenyataan bahawa setiap anak berbeza. Usah melenting jika anak kedua tidak mendengar kata sebagaimana yang sulung atau anak ketiga terlalu perlahan berbanding yang lain.
“Anak tidak perlukan reaksi ‘Hulk’ dari ibu bapa apabila mereka melakukan kesilapan, tetapi menginginkan pelukan kasih sayang terutama bagi anak yang degil, aktif dan suka meraih perhatian. Jika kita sebagai ibu bapa terlalu kerap marah, tidak mustahil mereka akan memberi reaksi sama. Kalau kita lebihkan pelukan, anak akan menjadi lebih mudah dibentuk dan mendengar nasihat,” katanya.
SYARAT PELUKAN
Kata Zaid, terdapat banyak rahsia yang sukar dijelaskan di sebalik pelukan kasih daripada ibu dan bapa. Pelukan ikhlas, penuh kasih dan perhatian lazimnya memberi impak lebih positif berbanding pelukan sekejap.
Berikut antara syarat yang perlu ibu bapa perhatikan ketika memeluk anak-anak:
1. Paras mata
Pelukan terbaik haruslah pada paras mata yang sama. Memandangkan fizikal ibu bapa yang tinggi, mereka perlu melutut atau duduk sehingga bertentangan mata. Dalam keadaan ini, bukan mata lagi yang menjadi ukuran sebaliknya adalah hati.
Apabila ibu atau bapa mendekati anak dalam paras penglihatan yang sama, secara tidak langsung hati mereka juga akan turut bersentuhan ketika berpelukan.
2. Beri masa
Ramai di antara kita tidak tahu bahawa satu pelukan perlu diberi masa antara lapan hingga 22 saat. Ia dianggap tempoh minimum apabila seseorang berpelukan. Lebih lama pelukan dieratkan, lebih bagus untuk minda dan psikologi anak-anak.
Lebih menarik jika perbuatan ini diubah menjadi suatu konsep ‘wajib buat’ dalam keluarga. ‘Konsep pelukan 10 saat’ umpamanya, ia harus dilakukan dalam tempoh yang ditetapkan.
Sebagai permulaan, lakukan sesama pasangan suami atau isteri. Mungkin terbit perasaan kekok bagi mereka yang lama mengetepikan kepentingan pelukan dalam perhubungan. Namun itu adalah biasa bagi setiap yang baru hendak bermula.
Memeluk anak selama 10 saat mungkin agak sukar, terutama bagi yang aktif bergerak ke sana sini. Cara mudah, ucapkan salam di telinga kanannya, diikuti kata-kata motivasi, pujian dan semangat di telinga kiri.
Jelas Zaid, selain memeluk anak, terdapat beberapa tip lagi yang boleh dicuba ibu bapa dalam memahami emosi dan keinginan sebenar anak-anak. Ketepikan perasaan penat, kurang sabar dan cepat marah.
Beri anak ruang dan peluang untuk dihargai. Iktiraf bakat dan kelebihan mereka berdasarkan siapa diri anak sebenarnya. Paling penting berhentilah daripada terus membandingkan mereka. Antara tip berkenaan ialah:
1. Panggil anak dengan nama positif
Jika sebelum ini kita melihat luaran anak-anak, ada baiknya jika meneliti minat dan kecenderungan mereka setiap kali berada di rumah, bermain atau keluar berjalan-jalan.
Umpamanya, kalau anak sulung dilihat suka berniaga, kita mungkin boleh memanggilnya dengan gelaran ‘CEO In The Making’, Usahawan Berjaya, Pakar Bisnes dan sebagainya.
Jika anak kedua suka melukis, menconteng dinding, mewarnakan tubuh, menggunting dan menconteng perabot, panggil saja sebagai ‘Future Superstar’ atau Seniman Agung.
Sekiranya anak ketiga seorang yang aktif dan lincah, beri panggilan ‘Cili Padi’. Semua ini bertujuan memberi semangat dan motivasi kepada anak-anak, selain menyatakan pengiktirafan kita terhadap bakat yang mereka ada.
2. Kenal pasti keistimewaan
Usah kecewa jika salah seorang anak dikategorikan sebagai individu yang lambat belajar. Itu adalah biasa kerana statistik menunjukkan, satu daripada empat kanak-kanak akan mempunyai masalah tertentu.
Mereka ini mungkin lebih sesuai dipanggil OKB atau orang kelainan belajar. Sebagai ibu bapa, kita harus menerima hakikat dengan tangan yang terbuka. Tambahan realiti sudah menjelaskan bahawa setiap manusia memiliki lima deria. Jadi, sudah pasti ada anak yang akan memiliki kecenderungan terhadap salah satu daripada lima deria berkenaan.
3. Setiap anak adalah genius
Menurut pakar psikologi Amerika, Prof Howard Gardner, kanak-kanak boleh dikategorikan mengikut teori lapan cabang genius. Beliau mengkaji ribuan kanak-kanak dan mendapati setiap anak memiliki kebijaksanaan dalam lapan cabang berbeza.
Jadi, dekatilah anak dan kenal pasti mana satu dalam lapan cabang kebijaksanaan yang disenaraikan menepati minat anak. Buang tanggapan anak genius hanyalah mereka yang bijak matematik dan cemerlang dalam pelajaran.
Ada tujuh lagi cabang genius yang mungkin sepadan dengan kecenderungan anak. Mereka mungkin bijak dalam hal membabitkan alam semula jadi, berbakat menjadi cef, hebat berkomunikasi, bijak visual, pandai muzik, petah bercakap, aktif sukan dan sebagainya.
4. Jadilah hero anak
Jika kita sudah dapat mengenal pasti kelebihan anak-anak, jadilah hero buat mereka. Rangsang bakat anak dengan menghantar mereka mengikuti kelas atau menyertai aktiviti disukai.
Usah cuba menentang kerana tindakan itu hanya membunuh bakat anak. Usahakan supaya bakat yang anak ada menjadi kekuatan buat mereka pada masa depan.
Tip rangsang anak umur 1 hingga 2 tahun bercakap. Perkembangan bahasa dan komunikasi anak berumur 1 hingga 2 tahun adalah salah satu fasa penting dalam kehidupan mereka.
Pada usia ini, anak-anak sedang belajar memahami bunyi, perkataan, dan cara menyampaikan keperluan mereka. Namun, setiap anak berkembang pada kadar yang berbeza, dan terdapat beberapa cara yang boleh ibu bapa lakukan untuk merangsang kemahiran bercakap mereka.
Berikut perkongsian Maryam Jamadi yang merupakan seorang Occupational Therapist dan Founder Beyond Home Therapy
MERANGSANG PERCAKAPAN ANAK 1-2 TAHUN
“Puan, macam mana nak bagi anak pandai cakap cepat ya?”
Saya selalu menerima soalan dia atas, yang pertama rujuk post sebelum ini “CARA MERANGSANG PERCAKAPAN ANAK LEPAS LAHIR”. Kalau dah buat semua tips, seterusnya baru sambung di post ini sebab skill bahasa anak mengikut tahap, kalau anak umur 1 tahun tapi belum mengikut bunyi maksudnya tahap percakapan anak masih di tahap bawah 12 bulan.
TAHAP UMUR 1 TAHUN
-Boleh menyebut 1 patah perkataan. Contohnya “Makan”, “Susu”, “Nak”, “Cat”.
-1-50 perkataan yang bermakna sebelum mencapai umur 2 tahun.
1 tahun 1 bulan: 1 perkataan
1 tahun 2 bulan: 2 perkataan
1 tahun 5 bulan: 10 perkataan
2 tahun: 50 perkataan
*Tahap ini selalunya mak ayah keliru, 1-50 perkataan tidak termasuk perkataan ilmiah ya seperti bentuk, warna, ABC, 123. 1-50 perkataan adalah perkataan bermakna yang digunakan seharian.
TAHAP UMUR 2 TAHUN
– Boleh menggabungkan 2 perkataan.
– Contohnya perkataan “nak” : nak mandi, nak makan, nak susu dll
– Menyebut perkataan berdasarkan gambar.
– Tahu sekurang-kurangnya nama 6 anggota badan.
– 50% bahasa yang difahami.
*Untuk menggabungkan 2 perkataan, anak memerlukan sekurang-kurangnya 50 patah perkataan. Maka, penguasaan perkataan baru sangat penting dalam perkembangan bahasa anak.
TIP NAK BAGI ANAK CEPAT CAKAP
1. Kerapkan berborak dengan anak.
Anak umur 1 tahun selalunya sudah mula dapat bezakan setiap bunyi walaupun belum pandai respon dan membalas perbualan. Dan fasa selepas lahir hingga 3 tahun adalah fasa “rapid growth” jadi perlu kerja keras untuk pastikan anak tidak terlewat percakapan. Sebab itu mak ayah kena selalu berborak dengan anak sejak lahir.
Macam mana nak borak? Tak kan nak borak politik atau sukan dengan anak kan? Cadangan saya, borak tentang perbuatan yang sedang dan akan dilakukan pun dah banyak membantu perkembangan bahasa anak.
Contohnya,
Masa mandi: “Jom mandi”, “Sabun badan”, “Shampoo kepala”, “Berus gigi”.
Masa pakai baju: “Pakai baju”, “Pakai seluar”, “Pakai pampers”.
Masa makan: “Makan”, “Makan nasi”, “Makan ikan”, “Ayam”.
2. Pace yang perlahan.
Ada mak ayah yang mengadu selalu berborak dengan anak tetapi anak tetap taknak bercakap, kerap berborak penting tetapi perlu berborak dengan pace yang perlahan ya. Jangan cakap terlalu laju boleh menyebabkan anak 1- 2 tahun tak dapat tangkap.
3. Fokus terhadap perkataan baru.
Berborak penting, tetapi perlu juga fokus untuk meningkatkan perkataan baru dengan menyebut banyak kali dan pergerakan mulut yang jelas untuk anak ikut serta panjangkan setiap “harakat” setiap suku kata. Seperti:
Makan: “Maaaaaaa kaaaannnnnnnn” × 10. Pastikan anak tenang dan fokus semasa proses mengajar perkataan baru.
3. Menyanyi bersama anak.
Anak lebih mudah belajar menyanyi dengan mak ayah berbanding belajar berseorangan dengan tv dan gadget. Jangan mengharap gadget dan tv untuk mengajar anak menyanyi, sebab kartun tak mengajar pergerakan mulut dan lidah pada anak. Paling berkesan bila buka lagu di radio atau handphone tanpa anak melihat gadget untuk memberi fokus anak melihat pergerakan mulut kita.
4. Bahasa badan.
Jadi mak ayah ini, kita kena “over” sedikit. Banyakkan bahasa badan semasa bercakap atau menceritakan sesuatu dengan anak secara tak langsung ia akan memupuk minat dan fokus anak terhadap bunyi yang didengari.
5. Beri pujian.
Puji anak setiap kali berjaya menyebut perkataan baru.
Ada mak ayah yang mula memberi gadget dan tv dengan harapan anak lagi cepat bercakap di tahap ini sebab “ingatkan dah sesuai nak beri”. Sebenarnya perkembangan bahasa anak lebih berkembang jika banyak berkomunikasi dengan mak ayah. Jangan “mengharapkan” gadget dan tv untuk mengajar anak bercakap cepat sebab ia akan menyebabkan:
1. “Pitch” suara yang didengari oleh anak berubah, anak menjadi hyposensitif(terkurang sensitif) terhadap bunyi menyebabkan fokus dan “eye contact” anak semakin kurang.
2. Anak tidak berminat untuk berkomunikasi 2 hala sebab bahagia “dilayan” oleh kartun di tv berbanding mak ayah.
3. Anak lebih minat menyanyi dan belajar perkataan berilmiah (shapes, colours, abc, 123) dan mengabaikan perkataan bermakna yang digunakan setiap hari.
4. Risiko masalah echolalia (parrot talk) disebabkan keliru terhadap komunikasi 1 hala atau 2 hala sebab dah terbiasa “bercakap” dengan kartun.
Terlalu banyak keburukan daripada kebaikan gadget pada anak, jangan terlampau mengikut orang lain. “Anak kawan saya fasih berbahasa inggeris sebab dari kecil berkepit dengan gadget”. Setiap perkembangan anak berbeza, gadget untuk anak bawah 18 bulan sudah terbukti boleh meningkatkan risiko kelewatan bercakap.
Lebih baik elak dari merawat. Jika mak ayah dapati perkembangan anak terlewat dalam perkembangan bahasa, sila dapatkan rawatan awal. Tak perlu tunggu-tunggu, sementara sedang dalam fasa “rapid growth” dan anak semakin membesar. Membantu anak sekarang lebih mudah berbanding bila dah besar.
Jika “takut” anak dikategorikan “speech delay”, Beyond Home Therapy sentiasa terbuka untuk membantu anda untuk penilaian awal perkembangan untuk kenalpasti tahap dan masalah anak.
Sumber: Maryam Jamadi Occupational Therapist dan Founder Beyond Home Therapy