Figure skating bukan sahaja mempesona dengan keanggunannya, malah ia adalah sukan yang menyeluruh dari aspek fizikal, mental, dan emosi. Dalam video yang memaparkan adik-adik dari Malaysia menunjukkan bakat mereka di atas ais, terserlah pelbagai manfaat yang ditawarkan sukan ini kepada kanak-kanak.
Meningkatkan Koordinasi Badan dan Pergerakan
Menurut jurulatih dalam video tersebut, figure skating membantu kanak-kanak memahami dan menyelaras pergerakan tubuh mereka dengan lebih baik. Mereka belajar untuk mengimbangi badan, memusing (spin), dan melompat di atas permukaan ais yang licin – satu pencapaian hebat dari segi kawalan motor halus dan kasar.
“Skating memang sangat bagus untuk koordinasi kanak-kanak dan juga pergerakan tubuh badan mereka…”
Latihan seperti ini amat penting dalam fasa perkembangan awal kanak-kanak kerana ia menyumbang kepada kemahiran motor yang lebih baik dalam kehidupan seharian.
Membina Keyakinan Diri dan Daya Tahan Mental
Salah satu kanak-kanak dalam video menyebut:
Ads
“Saya jatuh semasa latihan tapi tak sakit pun – saya cuma bangun semula dan cuba lagi.”
Figure skating mengajar anak-anak untuk tidak takut dengan kegagalan. Setiap kali mereka jatuh, mereka diajar untuk bangun dan mencuba semula. Ini membina daya tahan mental dan membentuk sikap positif dalam menghadapi cabaran. Ia bukan sekadar latihan fizikal tetapi latihan emosi yang memperkukuhkan jati diri mereka.
Menggalakkan Disiplin dan Pengurusan Masa
Ramai peserta muda dalam video tersebut berkongsi pengalaman mereka berlatih selepas waktu sekolah, kadang-kala hingga lewat malam demi persiapan pertandingan.
“Memang sangat-sangat meletihkan sebab saya kena berlatih lepas balik sekolah…”
Ini menunjukkan betapa mereka telah belajar mengurus masa dan menyeimbangkan antara pelajaran dan minat mereka. Disiplin seperti ini adalah asas penting dalam membentuk sikap bertanggungjawab sejak kecil.
Ads
Menanam Semangat Kompetitif yang Sihat
Ramai adik-adik dalam video ini telah menyertai pelbagai kejohanan di dalam dan luar negara – termasuk Skate Asia, National Singapore, dan National Malaysia. Walaupun ada yang menang emas dan perak, jurulatih menekankan bahawa matlamat utama adalah menikmati sukan ini tanpa tekanan.
Ini penting agar anak-anak tidak hanya tertumpu kepada kemenangan semata-mata, tetapi menghargai proses pembelajaran dan pencapaian peribadi mereka.
Memupuk Cinta Terhadap Seni dan Muzik
Figure skating juga melibatkan elemen seni dan muzik. Kanak-kanak belajar menari dan menyesuaikan pergerakan mereka mengikut irama lagu. Ini memupuk kreativiti serta memberi pendedahan kepada dunia seni yang halus.
Ads
“Belajar menari ikut alunan muzik…”
Ini menjadikan figure skating sebagai sukan yang menyeluruh – fizikal, mental, dan artistik.
Figure Skating Sebagai Satu Peluang Keemasan
Figure skating adalah satu sukan yang luar biasa untuk kanak-kanak. Ia bukan sahaja membina kekuatan fizikal, malah membentuk mentaliti tahan lasak, mengajar mereka jatuh dan bangun semula, serta memberikan saluran untuk mereka mengekspresikan diri secara kreatif.
Bagi ibu bapa yang mencari aktiviti kokurikulum yang seimbang untuk anak-anak mereka – figure skating adalah pilihan yang patut dipertimbangkan.
“Figure skating ni sama je macam berjalan biasa, cuma bezanya kita meluncur atas ais.”
Satu metafora yang indah – kehidupan juga tentang meluncur di atas cabaran dengan anggun dan semangat yang tinggi.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pembelajaran bahasa merupakan satu proses yang kompleks. Ia berlaku secara berperingkat dan memakan masa yang panjang. Kanak-kanak mula belajar bercakap selepas dilahirkan dan menjadi mahir apabila berumur 5-6 tahun.
Walaupun begitu terdapat variasi pada tempoh pemerolehan bahasa kanak-kanak. Ada kanak-kanak yang petah bercakap ketika berumur 3 tahun tetapi ada juga yang baru mula bercakap pada umur tersebut. Hal ini kerap merunsingkan ibu-bapa mahupun penjaga. Proses penguasaan bahasa sebenarnya banyak bergantung kepada faktor–faktor yang mempengaruhi pembelajaran bahasa.
Asas Pembelajaran Bahasa
Kemahiran mendengar, memahami dan bertutur adalah kemahiran asas yang diperlukan untuk mempelajari bahasa. Semua kemahiran ini saling berkaitan di mana kemahiran mendengar dan memahami adalah proses pemerolehan maklumat. Manakala kemahiran bertutur pula merupakan proses penghasilan maklumat.
Kemahiran mendengar
Kemahiran mendengar merupakan titik permulaan pembelajaran bahasa bagi kanak-kanak. Kemahiran ini merupakan kemahiran utama yang perlu dikuasai oleh kanak-kanak sebelum mereka mengeluarkan bunyi awal.
Di awal kelahiran, bayi mula mendengar dan memberi respon pada ritma pertuturan orang disekeliling mereka. Respon yang diberi biasanya dalam bentuk senyuman, ketawa dan juga tangisan. Bayi mula mengenalpasti suara individu yang kerap berinteraksi dengan mereka. Ketika berumur 6 bulan kemahiran mendengar meningkat dan ketika ini bayi sudah mula membezakan bunyi pertuturan dan bunyi persekitaran. Proses mendengar menjadi semakin kompleks dan ketika berumur satu tahun, mereka mula mendengar dengan lebih baik dan memahami maklumat yang diperolehi.
Kemahiran memahami maklumat
Kanak-kanak mula mengaitkan objek dan perkataan ketika berumur satu tahun. Pada ketika ini mereka mula mengenali objek yang selalu dilihat dan arahan mudah. Kanak-kanak memahami lebih banyak objek, arahan dan gambar apabila berumur 2 tahun. Ketika kanak-kanak berumur 2 hingga 3 tahun, mereka akan mula menggunakan memori dan belajar memahami arahan 2 langkah.
Kanak-kanak menjadi semakin mahir dalam memahami maklumat ketika berumur 3 hingga 4 tahun di mana mereka dapat memahami hampir 1500 perkataan. Mereka mula memahami arahan panjang (3 langkah) dan soalan mudah seperti, apa dan mana. Ketika ini, mereka telah memahami lebih banyak perkara berkaitan konsep seperti preposisi, warna dan jantina.
Kemahiran pemahaman ini akan meningkat sehingga kanak-kanak berumur 7 tahun di mana mereka dapat memahami petikan yang panjang dan lebih sukar. Kefahaman menjadi semakin kompleks di mana mereka juga mula memahami maklumat abstrak seperti sindiran dan gurauan.
Kemahiran bertutur
Semasa bertutur seseorang akan menggerakkan alat pertuturan untuk menghasilkan bunyi yang bermakna. Proses bertutur tidak hanya terhad kepada penghasilan bunyi sahaja tetapi juga melibatkan penggunaan nada dan intonasi yang bersesuaian.
Seawal umur 4 bulan bayi mula menghasilkan bunyi vokal atau juga dikenali sebagai vokalisasi. Kebiasaannya bayi akan menghasilkan bunyi vokal secara berulang seperti bunyi aaa, iii.
Ketika bayi berumur 6 bulan, mereka mula menghasilkan bunyi ‘bebelan’ (babling) dan bunyi cooing. Penghasilan bunyi bebelan berkait rapat dengan penghasilan suara (fonasi) serta pergerakan pembukaan dan penutupan rahang mulut. Pada tahap awal bebelan, bayi biasanya menghasilkan kombinasi bunyi konsonan dan vokal secara berulang seperti (baba atau mama).
Kombinasi bebelan menjadi semakin sukar apabila bayi berumur 8-9 bulan. Ketika ini mereka menghasilkan kombinasi bunyi yang melibatkan penghasilan lebih bunyi konsonan seperti (babadebo).
Seterusnya apabila berumur 9 -10 bulan, bayi mula meniru struktur percakapan orang dewasa. Pada tahap ini mereka mula menghasilkan bunyi ‘jargon’. Bunyi jargon adalah vokalisasi bunyi yang menghampiri pertuturan orang dewasa dari segi intonasi dan tekanan. Walaubagaimanapun bunyi yang dihasilkan tidak mempunyai sebarang maksud.
Kanak-kanak mula menghasilkan perkataan pertama apabila mereka berumur lebih kurang satu tahun. Ketika ini mereka mempelajari bahawa satu perkataan mempunyai makna yang tersendiri. Mereka akan cuba meniru perkataan yang di sebut oleh orang dewasa. Perbendaharaan kata kanak-kanak akan meningkat dengan pesat setelah melepasi umur satu tahun. Kebolehan kanak-kanak membina ayat akan meningkat dari masa ke semasa dan mereka boleh menggunakan struktur ayat orang dewasa ketika berumur 5-6 tahun.
Faktor-faktor yang mempengaruhi pembelajaran bahasa
Kesihatan: Tahap kesihatan memainkan peranan yang penting dalam pembelajaran bahasa. Sekiranya kanak-kanak mempunyai masalah kesihatan yang turut memberi kesan pada perkembangan kognitif seperti Sindrom Down, Autisma, Palsi Cerebral dan lain-lain, pemerolehan bahasa akan menjadi lebih perlahan berbanding kanak-kanak normal yang seusia mereka.
Kognitif: Kebolehan kognitif merujuk kepada kebolehan kanak-kanak untuk berfikir. Sekiranya kanak-kanak mempunyai kebolehan kognitif yang rendah, proses penerimaan dan pembelajaran akan menjadi lebih perlahan berbanding kanak-kanak yang sebaya dengannya.
Fizikal: Terdapat banyak organ yang membantu dalam menghasilkan bunyi pertuturan. Organ seperti telinga, peti suara, lidah, mulut, gigi dan lelangit membantu dalam penghasilan bunyi bahasa yang normal. Sekiranya kanak-kanak mempunyai ketidaknormalan pada organ pertuturan, kejelasan bunyi pertuturan akan terjejas. Contoh; Klef pada lelangit mulut boleh menyebabkan bunyi pertuturan menjadi sengau dan sukar untuk difahami oleh orang yang mendengarnya.
Persekitaran: Faktor persekitaran merujuk kepada individu yang berada di sekeliling kanak-kanak termasuklah keluarga, penjaga, guru serta rakan-rakan. Kepentingan individu ini adalah untuk memberikan rangsangan bahasa pada kanak-kanak. Mereka merupakan sumber rujukan awal pembelajaran bahasa kanak-kanak. Walaupun begitu, terdapat juga faktor-faktor lain yang mempengaruhi pembelajaran bahasa kanak-kanak seperti tahap pendidikan, sosioekonomi penjaga dan budaya keluarga.
Perkembangan neurologi: Perkembangan neurologi berlaku dengan pesat sehingga kanak-kanak mencapai umur 7 tahun. Perubahan yang berlaku pada saiz, berat dan pertumbuhan otak meningkatkan kebolehan berfikir kanak-kanak. Oleh itu rangsangan bahasa pada ketika ini amat penting. Kanak-kanak lebih mudah memahami dan mempelajari stimulasi yang diterima daripada persekitaran dalam tempoh kritikal ini.
Rujukan
Owen Robert E. (1995). Language Development: An Introduction. Allyn & Bacon
Carol Bainbridge (2011). How Do Children Learn Language?. Retreived January 13, 2014 from http://giftedkids.about.com/od/gifted101/a/language-learning.htm
Nicole mahony. Learning Language. Retreived January 13, 2014 from www.nsf.gov/news/special-reports/linguistucs/learn jsp
Jill Mc Cain (2000). Language Acquisition and Affective Variables. Retreived January 13, 2014 from serendip-brynmawr.edu/biology/b103/f00/web3/mccain3-html
Muhd Ruslee (2010). Modul BMM 3104 Kemahiran Mendengar Bertutur Membaca Menulis. Retreived February 2, 2014 from http://www.scribd.com/doc/28428335/MODUL-BMM-MENENGAR-BERTUTUR-MEMBACA-MENULIS
Ada banyak cara dan teknik mengajar anak-anak kita, nak tiru cara atok nenek kita pun boleh tak salah tapi pertimbangkan juga adakah betul jika kita tiru buta-buta, bulat-bulat tanpa ambil kira perbezaan zaman dan intelektual anak masa kini.
4 Kategori Ibu Bapa Asia
1️⃣Bengis
Dalam fikiran ibu bapa ini anak kena tahu takut barulah senang nak ajar. Caranya mengajar anak dengan muka garang, bengis dan tak senyum. Sekali jeling je anak terus kecut perut. Ini cara nenek moyang katanya. Kesannya anak jadi terlalu takut untuk bercakap jika ada kecemasan/masalah lepas tu ibu bapa adalah orang terakhir yang akan tahu.
2️⃣Serius
Selalu serius tak pernah main-main bila ajar anak. Anak pun tahu bila ayah nak mengajar tak boleh bergurau, tak boleh main-main mesti serius. Anak pun lama-kelamaan hilang sifat kebudak-budakan. Terpaksa mendewasakan diri walaupun belum sunat. Anak pandai berdikari tapi tak terganggu emosi nya. Sangat kurang empati dalam diri.
3️⃣Manja
Terlalu risau pasal keselamatan, keselesaan dan kesihatan anak sehingga termanjakan anak dalam semua perkara. Apa sahaja anak minta terus di beri, apa sahaja anak cakap terus percaya, anak jadi layu, kurang bersemangat dan tiada ‘self worth’. Tiada keyakinan dan keberanian untuk buat sesuatu jika ibu bapa tak bantu.
4️⃣ Sayang
Ada masa serius, ada masa bengis dan ada masa manja. Kerana sayang ibu bapa paksa diri kawal emosi sendiri supaya tidak keterlaluan semasa mengajar. Anak-anak dapat belajar dengan gembira dan emosi mereka terpelihara dari luka yang serius.
Garam sekarang tak sama masin dengan garam dulu, sekarang pun banyak masakan tak guna garam. Takut kena darah tinggi.
Yang berkesan dulu tak semestinya akan berkesan sekarang, tapi ilmu sentiasa evergreen walau pun dah beratus tahun. Rajinkan lah belajar cari ilmu mendidik supaya anak kita terdidik tanpa tercedera emosi.
Saya selalu jadi budak-budak masa mengajar annur rania supaya ada keserasian dan kesefahaman semasa mengajar.
Ramai tak sedar bau “fresh” pada pakaian sebenarnya datang daripada bahan kimia tekstil. Ketahui sebab pakar sarankan ibu bapa basuh baju baru anak sebelum dipakai.