
Sebagai doktor kanak-kanak, antara ayat yang paling kerap didengar daripada ibu bapa ialah, “Anak saya cerewet makan, normal ke?”
Ramai menganggap anak cerewet makan hanyalah fasa biasa. Anak tak suka sayur, hanya makan makanan tertentu atau menolak makanan baharu sering dianggap perkara normal dalam proses membesar.
Namun, apa yang ramai tak sedar, anak yang terlalu cerewet makan dan hanya bergantung pada beberapa jenis makanan sahaja boleh berdepan risiko kekurangan nutrisi, gangguan tumbesaran serta masalah perkembangan jika dibiarkan berlarutan.
Ada anak yang langsung tidak mahu mencuba makanan baru. Ada yang hanya makan nasi kosong, nugget, roti atau makanan tertentu sahaja setiap hari.
Pada awalnya mungkin nampak seperti perangai memilih makan biasa, tetapi dalam sesetengah kes, ia sebenarnya boleh menjadi petanda masalah yang lebih besar.
Anak Cerewet Makan Biasanya Bermula Sejak Kecil
Hampir semua kanak-kanak melalui fasa memilih makanan pada satu tahap dalam zaman kanak-kanak mereka kerana sedang belajar berdikari dan mahu membuat pilihan sendiri.
Tetapi apabila anak terlalu restrictive, menolak hampir semua makanan lain dan waktu makan menjadi satu perjuangan harian, ibu ayah tidak boleh lagi menganggap ia sekadar fasa biasa.
Satu artikel yang diterbitkan dalam jurnal Pediatrics mendapati tabiat anak cerewet makan biasanya bermula awal dan cenderung berterusan jika tidak dibantu lebih awal.
Pengkaji melihat corak pemakanan kanak-kanak berusia 4 hingga 9 tahun dan mendapati anak yang cerewet makan selalunya akan kekal begitu jika tiada intervensi awal.
Ini bermaksud ibu ayah perlu mula mencegah masalah ini sejak kecil, sebaiknya sebelum anak berusia 2 tahun.
Cara bantu anak menerima pelbagai makanan:
- Perkenalkan pelbagai jenis makanan
- Beri buah dan sayur dengan warna, rasa dan tekstur berbeza
- Elakkan menyediakan menu khas berasingan untuk anak
- Biarkan anak makan apa yang keluarga makan selagi sesuai
Lebih mudah anak belajar menerima pelbagai makanan jika ibu ayah sendiri turut mengamalkan pemakanan yang pelbagai.
Bila Anak Cerewet Makan Jadi Sesuatu Yang Membimbangkan?

Anak cerewet makan mula dianggap serius apabila tabiat tersebut:
- Hanya makan beberapa jenis makanan tertentu sahaja
- Langsung menolak makanan baharu
- Terlalu sensitif dengan bau, rasa atau tekstur makanan
- Menangis, marah atau stres ketika waktu makan
- Berat badan atau tumbesaran mula terjejas
Lebih membimbangkan, anak yang terlalu cerewet makan boleh berdepan risiko kekurangan nutrisi penting seperti protein, iron, calcium dan vitamin yang diperlukan untuk tumbesaran.
Ada ibu ayah yang menyangka, “Tak apa, nanti besar pandailah makan.”
Tetapi jika dibiarkan terlalu lama, anak boleh semakin selesa dengan tabiat mengelak makanan dan menjadi lebih sukar menerima makanan baharu.
Semakin lama masalah anak cerewet makan berlaku, semakin mencabar untuk mengubah tabiat tersebut.
Faktor Emosi Juga Boleh Menyebabkan Anak Cerewet Makan
Kajian turut mendapati, anak yang sukar mengawal emosi lebih cenderung menjadi sangat cerewet makan.
Ini menunjukkan kadangkala masalah anak cerewet makan bukan isu makanan semata-mata, tetapi mungkin berkait dengan cabaran tingkah laku atau emosi.
Jika anak menunjukkan:
- Tantrum berlebihan
- Mudah marah
- Anxiety
- Cabaran tingkah laku lain bersama masalah makan
Ibu ayah digalakkan berbincang dengan doktor.
Kesihatan emosi dan tingkah laku sama penting seperti kesihatan fizikal. Lebih awal masalah dikenal pasti, lebih baik.
Anak Cerewet Makan Tak Semestinya Kurus
Ramai ibu ayah panik apabila melihat anak makan sedikit.
Namun, kajian mendapati anak cerewet makan biasanya tidak semestinya underweight.
Mereka mungkin sedikit lebih kurus berbanding rakan sebaya, tetapi tidak semestinya berada dalam keadaan tidak sihat.
Jadi jika doktor tidak bimbang dengan berat badan anak, ibu ayah juga tidak perlu terlalu panik.
Apa yang lebih penting ialah memastikan pemakanan anak tidak terlalu restrictive.
Cara Parenting Turut Mempengaruhi Anak Cerewet Makan

Kajian mendapati ibu bapa yang terlalu tegas atau terlalu mengawal makanan anak lebih cenderung mempunyai anak yang cerewet makan.
Contohnya:
- Terlalu memaksa anak makan
- Terlalu mengarah apa yang boleh dan tak boleh dimakan
- Memaksa habiskan makanan dalam pinggan
Walaupun niat baik, pendekatan ini kadangkala memburukkan keadaan.
Bila anak rasa waktu makan penuh tekanan, mereka boleh semakin resistant.
Tips Hadapi Anak Cerewet Makan Dengan Cara Positif
1. Elak paksa anak makan
Antara kesilapan biasa ibu ayah ialah:
- Paksa habiskan makanan
- Marah jika anak tak makan
- Jadikan waktu makan sesi memujuk atau bergaduh
Lagi dipaksa, lagi mereka menolak.
Akhirnya, waktu makan boleh menjadi punca stres kepada seluruh keluarga dan menjejaskan emosi anak serta ibu bapa.
2. Wujudkan suasana makan yang positif
Banyak masalah anak cerewet makan berkait dengan pengalaman negatif terhadap makanan.
Semakin positif suasana makan, semakin tinggi peluang anak membina hubungan yang sihat dengan makanan.
3. Makan bersama keluarga
Amalkan family meals dan nikmati masa bersama.
Makan bersama membantu anak melihat waktu makan sebagai aktiviti sosial yang menyeronokkan, bukan tekanan.
- Simpan gadget ketika makan
- Berbual santai bersama anak
- Kongsi cerita lucu atau aktiviti harian
4. Libatkan anak dalam penyediaan makanan
Boleh:
- Tengok resipi bersama
- Grocery shopping bersama
- Bantu sediakan bahan
- Tanam herba atau sayuran kecil jika berpeluang
Apabila anak rasa terlibat, mereka biasanya lebih terbuka mencuba makanan.
Bila Perlu Jumpa Pakar?
Jika anak cerewet makan sehingga:
- Terlalu kurus
- Kurang nutrisi
- Hanya makan sangat terhad
- Ganggu aktiviti sosial dan kehidupan harian
Dapatkan nasihat doktor, pakar pemakanan atau pakar psikologi kanak-kanak.
Kadangkala masalah anak cerewet makan memerlukan intervensi lebih khusus.
Lebih awal ibu ayah bertindak, lebih mudah untuk membantu anak membina hubungan yang sihat dengan makanan.
Sebagai ibu ayah, penting untuk faham bahawa anak cerewet makan bukan sentiasa bermaksud anak degil atau sengaja memilih.
Ada kalanya mereka benar-benar bergelut dengan tekstur, bau, ketakutan atau emosi yang sukar dijelaskan.
Dengan kesabaran, strategi yang sesuai dan bantuan profesional jika perlu, masalah anak cerewet makan boleh diperbaiki sedikit demi sedikit.
Sumber: health.harvard
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





