
Bila anak dijangkiti influenza atau dipercayai mengalaminya, memang mudah membuatkan ibu ayah rasa risau. Lebih-lebih lagi apabila anak mula demam, batuk, selesema, sakit badan, kurang aktif atau hilang selera makan.
Influenza bukan sekadar selesema biasa. Jangkitan virus ini boleh menyebabkan simptom yang lebih kuat dan dalam sesetengah keadaan, boleh membawa kepada komplikasi terutama dalam kalangan kanak-kanak kecil.
Kanak-kanak di bawah usia lima tahun, khususnya yang berumur bawah dua tahun, mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami komplikasi influenza.
Jika anak dijangkiti influenza tetapi keadaan mereka masih stabil dan doktor membenarkan penjagaan dilakukan di rumah, ini antara perkara yang ibu ayah boleh lakukan.
Ketika demam, badan boleh kehilangan cecair dengan lebih cepat. Anak juga mungkin kurang mahu makan atau minum kerana tekak sakit, badan tidak selesa atau terlalu letih.
Sebab itu ibu ayah perlu memastikan anak mendapat cecair yang mencukupi sepanjang tempoh sakit.
Bergantung kepada usia anak, ibu ayah boleh menawarkan susu, air kosong atau larutan rehidrasi oral (ORS) jika diperlukan.
Tidak perlu memaksa anak minum dalam kuantiti yang banyak sekaligus. Cuba tawarkan sedikit tetapi lebih kerap.
Pantau juga tanda dehidrasi seperti mulut kering, tiada air mata ketika menangis atau anak semakin kurang membuang air kecil.
Apabila anak dijangkiti influenza, badan mereka sedang bekerja melawan jangkitan virus.
Sebab itu mereka mungkin kelihatan lebih letih, banyak tidur atau kurang berminat untuk bermain seperti biasa.
Biarkan anak mendapatkan rehat dan tidur yang mencukupi. Tidak perlu terlalu risau jika anak mahu tidur lebih banyak daripada kebiasaan, selagi mereka masih boleh dikejutkan, memberikan tindak balas yang normal dan masih mahu minum.
Namun, jika anak menjadi terlalu lemah, tidak responsif atau sangat sukar dikejutkan, dapatkan rawatan segera.
Jika demam menyebabkan anak tidak selesa, paracetamol boleh diberikan mengikut dos yang sesuai berdasarkan berat badan dan nasihat doktor atau ahli farmasi.
Elakkan memberi dos secara agak-agak dan pastikan jarak masa antara dos dipatuhi.
Ibu ayah juga perlu berhati-hati dengan ubat selesema atau ubat gabungan kerana sesetengahnya mungkin turut mengandungi paracetamol.
Kanak-kanak dan remaja yang menghidap atau disyaki menghidap influenza pula tidak sepatutnya diberikan aspirin kerana ia dikaitkan dengan komplikasi serius yang dikenali sebagai sindrom Reye.
Influenza mudah merebak antara ahli keluarga melalui titisan pernafasan ketika seseorang batuk, bersin atau bercakap.
Ajarkan anak supaya menutup mulut dan hidung menggunakan tisu ketika batuk atau bersin, kemudian membuang tisu tersebut dengan betul.
Basuh tangan dengan sabun dengan kerap terutama selepas menguruskan hingus, tisu atau berada dekat dengan anak yang sakit.
Ibu ayah juga boleh membersihkan permukaan yang kerap disentuh seperti tombol pintu, meja dan alat permainan.
Jika anak dijangkiti influenza, sebaiknya biarkan mereka berehat di rumah dan kurangkan kontak rapat dengan orang lain.
Elakkan membawa anak ke sekolah, taska atau tempat yang sesak ketika masih tidak sihat.
Secara umum, aktiviti biasa boleh disambung apabila keadaan keseluruhan semakin baik dan anak sudah tidak demam sekurang-kurangnya 24 jam tanpa menggunakan ubat penurun demam.
Langkah ini bukan sahaja membantu anak berehat, malah mengurangkan risiko influenza menjangkiti adik-beradik, datuk nenek atau ahli keluarga lain.
Sesetengah kanak-kanak mungkin memerlukan ubat antiviral yang dipreskripsikan doktor.
Rawatan antiviral sangat penting untuk dipertimbangkan bagi kanak-kanak yang mengalami influenza yang teruk atau mempunyai risiko tinggi mendapat komplikasi. Manfaatnya juga biasanya lebih baik apabila dimulakan seawal mungkin.
Jadi, jangan tunggu terlalu lama untuk mendapatkan nasihat doktor terutama jika anak masih kecil, mempunyai penyakit kronik atau keadaan mereka semakin teruk.
Ibu ayah perlu lebih berhati-hati jika keadaan anak berubah secara mendadak.
Dapatkan rawatan perubatan segera jika anak:
Apabila anak dijangkiti influenza, tanda seperti kesukaran bernafas, bibir kebiruan, dehidrasi dan anak yang tidak lagi memberikan respons seperti biasa merupakan antara tanda amaran komplikasi yang memerlukan perhatian segera.
Apabila anak dijangkiti influenza, jangan hanya fokus kepada angka pada termometer.
Perhatikan juga cara anak bernafas, tahap kesedarannya, berapa banyak mereka minum dan membuang air kecil serta sama ada keadaan mereka semakin pulih atau semakin merosot.
Kebanyakan kes influenza boleh pulih dengan penjagaan dan rehat yang mencukupi, tetapi ibu ayah tetap perlu peka kerana keadaan sesetengah kanak-kanak boleh berubah dengan cepat.
Jika naluri ibu ayah merasakan keadaan anak berbeza daripada kebiasaan atau semakin membimbangkan, dapatkan pemeriksaan doktor.
Baca lagi: Mykad Generasi Baharu Rasmi Hari Ini, Tak Perlu Tergesa-Gesa Tukar Mykad Lama!
Disipilin Anak Tanpa Perlu Jerit & Ugut Rotan, 6 Cara Berkesan Guna Time-Out!
Diabetes Jenis 1 Pada Anak, 8 Tanda Penting Yang Ibu Ayah Wajib Tahu!