
Kejayaan anak-anak sememangnya menjadi kebanggaan setiap ibu bapa. Baru-baru ini, anak kembar kepada angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie Sheikh Mustapha sekali lagi mencuri perhatian ramai apabila berjaya mengharumkan nama keluarga dalam bidang akademik.
Dua anak kembarnya, Sheikh Adam dan Sheikh Noah yang kini berusia sembilan tahun berjaya menerima pengiktirafan antarabangsa menerusi pertandingan SASMO 2026 atau Singapore And Asian Schools Maths Olympiads. Pencapaian membanggakan itu dikongsikan sendiri oleh Dr Sheikh Muszaphar di media sosial miliknya.
Lebih mengagumkan, kedua-dua mereka bukan sahaja cemerlang dalam pertandingan Matematik, malah menunjukkan tahap pembelajaran jauh lebih ke hadapan berbanding usia sebenar.
Menurut Dr Sheikh Muszaphar, anaknya Adam berjaya menerima Kumon Award selepas menunjukkan prestasi luar biasa apabila menguasai Matematik pada tahap lima tahun lebih tinggi daripada usia pembelajarannya sekarang.
Pencapaian itu pastinya bukan sesuatu yang mudah untuk dicapai bagi kanak-kanak seusianya. Dalam masa sama, Noah juga tidak kurang hebat apabila berada empat tahun ke hadapan dalam subjek Matematik.
“Kedua-duanya memulakan Kumon pada usia empat tahun sama seperti semua anak yang lain.
Kini Adam menguasai sukatan lima tahun ke hadapan dan Noah pula empat tahun ke hadapan. Kedua-duanya sangat menyukai Matematik,” kongsi beliau.
Perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi positif daripada warga maya yang kagum dengan usaha dan disiplin yang diterapkan dalam keluarga mereka.
Dalam perkongsian sama, Dr Sheikh Muszaphar turut mendedahkan Adam mempunyai minat mendalam terhadap dunia Matematik, khususnya topik algebra.
Malah, anak ketiganya itu dikatakan sanggup menggeledah bilik kakak sulung mereka, Bella semata-mata mahu mencari buku algebra untuk dibaca.
Sikap ingin tahu dan minat mendalam terhadap ilmu itulah yang dilihat menjadi antara faktor utama kecemerlangan mereka hari ini.
Ramai netizen turut memuji cara Dr Sheikh Muszaphar dan isterinya, Dr Halina membesarkan anak-anak dengan pendekatan seimbang antara akademik, disiplin dan kasih sayang.
Tidak hairanlah keluarga besar ini sering menjadi inspirasi ramai ibu bapa di Malaysia.
Bagi Dr Sheikh Muszaphar, kejayaan anak-anak bukanlah berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya hasil konsistensi dan sokongan ibu bapa sejak kecil lagi.
Menurut beliau, ibu bapa boleh mula memupuk minat anak terhadap Matematik dengan latihan yang ringkas tetapi dilakukan secara konsisten setiap hari.
“Galakkan anak anda membuat Matematik setiap hari. 20 minit sehari sudah cukup memberi kesan besar,” ujarnya.
Nasihat ringkas itu nyata memberi inspirasi kepada ramai ibu bapa bahawa pembelajaran tidak semestinya terlalu lama, tetapi perlu dilakukan secara berterusan.
Kejayaan Sheikh Adam dan Sheikh Noah dalam SASMO 2026 membuktikan bahawa pendedahan awal terhadap pendidikan mampu memberikan impak besar kepada perkembangan anak-anak.
Perkongsian Dr Sheikh Muszaphar juga membuka mata ramai bahawa pembelajaran Matematik boleh dipupuk secara santai dan menyeronokkan sejak kecil lagi.
Baca lagi: Madammu Bertudung Penuh Demi Anak Lelaki, “Saya Ikhlas Kerana Kesian Dia Sekolah Agama”
Shila Amzah Dedah Warisi Talasemia, Doktor Nasihat Tak Mengandung & Czer Lagi!
Sumber: @drsheikhmuszaphar