
Usahawan dan personaliti media terkenal, Madammu bertudung sepenuhnya selepas memikirkan tentang keluarga terutama anak lelakinya.
Menerusi sesi temu bual podcast, Madammu atau nama penuhnya Eriyca Baiduri mendedahkan dia tidak melalui pengalaman luar biasa seperti mimpi pelik sehingga membuatkan dirinya berubah dan berhijrah.
Sebaliknya, keputusan besar itu hadir secara perlahan dan penuh keikhlasan selepas memikirkan tentang keluarga terutama anak lelakinya yang kini bersekolah di sekolah agama.

Madammu Bertudung Bukan Kerana Mimpi
Menurut Madammu, dia membesar dalam suasana yang tidak mewajibkan dirinya memakai tudung walaupun sejak kecil aktif mengikuti kelas mengaji.
“Saya tak pernah mimpi kena tarik rambut. Saya membesar memang tidak pernah bertudung.
“Walaupun dulu di kampung mengaji sehari empat kali. Sebenarnya ini adalah percubaan kedua saya pakai tudung. Dulu saya pakai tapi tak boleh nak uruskan rambut gugur.
“Saya pula jenis suka menjaga rambut,” ujarnya berkongsi.
Madammu turut mengakui sebelum ini dia pernah cuba memakai tudung namun tidak berjaya meneruskannya kerana terlalu mementingkan penjagaan rambut.
Bagaimanapun, pengalaman tersebut tidak mematahkan semangatnya untuk kembali mencuba apabila tiba waktu yang benar-benar membuka hatinya.

Anak Lelaki Jadi Punca Madammu Bertudung
Berkongsi lebih lanjut, Madammu mendedahkan keputusan untuk berhijab hadir selepas anak lelaki tirinya, Ahmadi mula bersekolah di sekolah agama.
Menurutnya, ketika itu dia mula memikirkan keadaan anaknya yang belajar mengenai kewajipan menutup aurat di sekolah tetapi ibunya sendiri tidak memakai tudung di rumah.
“Suatu hari, anak lelaki saya masuk sekolah agama. Ini salah satu punca juga saya bertudung untuk jaga air muka dia.
“Kalau nak ikutkan hati, saya tak pernah bersedia untuk bertudung. Tapi bila dia dah masuk sekolah agama, saya rasa kesian pada dia.
“Dekat sekolah, cikgu ajar tutup aurat tapi mak dekat rumah tak pakai tudung,” katanya.
Perkongsian tersebut menyentuh hati ramai netizen yang memuji keikhlasan Madammu dalam menjaga perasaan anak serta usahanya untuk berubah menjadi lebih baik.

Umrah Jadi Titik Permulaan Penghijrahan
Dalam masa sama, kata Madammu lagi perubahan itu semakin kuat ketika dirinya menunaikan umrah pada bulan Ramadan.
Menurutnya, sebaik pulang daripada tanah suci, dia nekad untuk terus istiqamah memakai tudung sehingga ke hari ini.
“Kebetulan masa kita pergi umrah bulan puasa, balik itu saya teruskan pakai.
“Dah setahun, berjaya sampai hari ini. Alhamdulillah,” kongsinya lagi.
Kisah Madammu bertudung turut mendapat perhatian ramai yang menjadikan dirinya sebagai inspirasi dalam usaha memperbaiki diri secara perlahan-lahan tanpa paksaan.
Rata-rata netizen turut mendoakan agar Madammu terus istiqamah dan diberikan kekuatan untuk mengekalkan penghijrahan tersebut.
Baca lagi: Tyra Kamaruzzaman Timang Anak Kedua, Pilih Nama Elaira Emran
Shila Amzah Dedah Warisi Talasemia, Doktor Nasihat Tak Mengandung & Czer Lagi!
Sumber: TikTok @DrHanzalah & @madammmu
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!


