Keibubapaan

Anak Lambat Bercakap, Ini Tanda Penting Ikut Umur Yang Ibu Ayah Wajib Tahu

Share

“Anak saya dah dua tahun, tapi masih kurang bercakap. Normal ke?”

Persoalan tentang anak lambat bercakap memang biasa bermain di fikiran ibu ayah, lebih-lebih lagi apabila melihat anak sebaya sudah mula petah bercakap, menyebut banyak perkataan dan boleh meminta apa yang mereka mahu.

Sebenarnya, setiap kanak-kanak mempunyai perkembangan yang berbeza. Ada yang cepat bercakap, ada juga yang mengambil masa sedikit lebih lama. Namun begitu, perkembangan pertuturan dan komunikasi tetap mempunyai beberapa tanda umum yang boleh dijadikan panduan.

Jika anak kelihatan jauh ketinggalan berbanding perkembangan yang biasanya berlaku mengikut usia, ibu ayah tidak perlu terus panik. Tetapi jangan juga terlalu lama mengambil pendekatan “tunggu dan lihat” tanpa mendapatkan pandangan daripada pakar.

Anak Lambat Bercakap: Usia 12 Bulan, Perhatikan Cara Anak Berkomunikasi

Pada usia sekitar setahun, jangan hanya melihat berapa banyak perkataan yang boleh disebut oleh anak.

Komunikasi sebenarnya bermula lebih awal melalui bunyi, gerak badan dan tindak balas terhadap orang di sekeliling.

Kebanyakan bayi pada usia ini sudah mula banyak membebel seperti “ba-ba”, “ma-ma” atau menghasilkan pelbagai bunyi. Mereka juga mula menggunakan gerak badan seperti menunjuk, melambai atau cuba mendapatkan perhatian ibu dan ayah.

Perlu beri perhatian jika bayi hampir tidak menghasilkan bunyi, jarang menggunakan gerak badan untuk berkomunikasi atau langsung tidak kelihatan cuba menarik perhatian orang di sekelilingnya.

Artikel Trending: “Furqan Mukmin Pergi Tanpa Signal, Post-Mortem Tak Detect Apa-Apa” Ibu Reda Pemergian Anak, Doktor Tak Jumpa Punca

Artikel trending:Tragedi FDS Rentap Bahagia Keluarga, Juruterbang Jelas 5 Persoalan, No. 4 Kenapa Mangsa Tak Guna Payung Terjun

Artikel viral: Lebih 25 Manfaat Bila Ada Kad OKU Untuk Anak Disleksia, Autisme Dan ADHD, Ibu Ayah Jangan Malu Daftar!

18 Hingga 24 Bulan, Perkataan Sepatutnya Semakin Bertambah

Apabila anak menghampiri usia dua tahun, perkembangan bahasa biasanya semakin ketara.

Anak mungkin sudah mempunyai beberapa perkataan yang selalu digunakan dan mula menggabungkan dua perkataan mudah seperti:

“Nak susu.”

“Mama sini.”

“Adik makan.”

“Bola besar.”

Jika anak sudah menghampiri atau mencapai usia dua tahun tetapi perkataan yang digunakan masih sangat sedikit atau langsung belum mula menggabungkan dua perkataan, ibu ayah boleh berbincang dengan doktor untuk mendapatkan penilaian lanjut.

Ini tidak bermaksud anak semestinya mempunyai masalah perkembangan, tetapi pemeriksaan awal boleh membantu mengenal pasti jika anak memerlukan sokongan tambahan.

Masuk Usia 3 Tahun, Anak Mula Gunakan Ayat Pendek

Menjelang usia tiga tahun, kebanyakan kanak-kanak sudah mula menggunakan ayat pendek dalam kehidupan seharian.

Mereka mungkin mula bertanya soalan mudah, meminta sesuatu dan bercerita tentang perkara yang berlaku.

Sebutan anak pada usia ini masih belum semestinya sempurna. Orang luar mungkin tidak memahami semua yang disebutnya.

Namun, ibu ayah atau ahli keluarga yang selalu bersama anak biasanya sudah boleh memahami sebahagian besar percakapannya.

Jika percakapan anak masih sangat sukar difahami walaupun oleh ahli keluarga terdekat, ia antara perkara yang boleh dibincangkan dengan doktor atau ahli terapi pertuturan.

Pernah Bercakap Tapi Tiba-Tiba Berhenti, Jangan Tunggu

Satu tanda yang perlu diberi perhatian dengan lebih serius ialah apabila anak kehilangan kemahiran yang pernah dimilikinya.

Contohnya, sebelum ini anak boleh menyebut beberapa perkataan seperti “mama”, “ayah” atau “nak”, tetapi kemudian semakin kurang menggunakan perkataan tersebut atau terus berhenti bercakap.

Begitu juga jika anak sebelum ini rajin menunjuk, melambai atau memberi respons tetapi kemahiran itu semakin hilang.

Jika berlaku kehilangan kemahiran seperti ini, sebaiknya ibu ayah mendapatkan penilaian profesional dengan segera dan tidak sekadar menunggu untuk melihat sama ada keadaan akan pulih sendiri.

Pendengaran Juga Boleh Mempengaruhi Anak Lambat Bercakap

Apabila anak lambat bercakap, jangan hanya melihat kepada kemampuan bercakap semata-mata. Pendengaran juga memainkan peranan penting dalam perkembangan bahasa. Anak perlu mendengar bunyi dan perkataan dengan jelas sebelum dapat belajar meniru dan menggunakannya.

Ibu ayah boleh perhatikan sekiranya anak kerap tidak memberi respons apabila namanya dipanggil, perlu dipanggil beberapa kali sebelum menoleh atau mempunyai sejarah masalah telinga yang kerap.

Dalam keadaan tertentu, doktor mungkin mencadangkan pemeriksaan pendengaran bagi memastikan tiada masalah yang mengganggu perkembangan bahasa anak.

Baca lagi: Ubat Cacing Kanak-Kanak: 7 Petanda Amaran Anak Dijangkiti Cacing Yang Ramai Ibu Bapa Terlepas Pandang

Artikel Trending: Kemas Kini Mykad Atau Berisiko Didenda RM20,000, Ini Ibu Ayah Kena Ambil Peduli Bila Pindah Rumah

Baca lagi: Ramai Salah Faham! Bantuan Kanak-Kanak JKM Bukan Terus Dapat RM1,000 Sebulan,Ini Cara Kiraannya

Apa Ibu Ayah Boleh Buat Di Rumah?

Sementara memantau perkembangan anak, teruskan memberi rangsangan bahasa dalam aktiviti harian.

Tak perlu sesi belajar yang formal.

Cukup banyakkan bercakap dengan anak ketika mandi, makan, bermain atau berjalan.

Contohnya:

“Adik makan nasi.”

“Ini bola merah.”

“Abang pakai kasut.”

Ayat pendek dan mudah membantu anak mengaitkan perkataan dengan objek serta aktiviti yang sedang dilakukan.

Jika anak menyebut satu perkataan seperti “kereta”, ibu ayah boleh tambah menjadi:

“Ya, kereta merah.”

Jika anak berkata, “kereta jalan”, balas dengan:

“Betul, kereta jalan laju.”

Cara ini membantu memperkenalkan ayat yang lebih lengkap tanpa memaksa anak mengulang perkataan.

Selain itu, rajinlah membaca buku bersama anak. Tunjukkan gambar, sebut nama objek dan beri peluang anak menunjuk atau menjawab.

Lagu, rima dan perkataan berulang juga boleh membantu perkembangan bahasa.

Anak Dwibahasa Tak Semestinya Lambat Bercakap

Ada ibu ayah bimbang penggunaan dua bahasa di rumah akan menyebabkan anak lambat bercakap

.

Sebenarnya, penggunaan lebih daripada satu bahasa bukan penyebab utama kelewatan pertuturan.

Anak mungkin menggunakan perkataan daripada dua bahasa secara bercampur dan itu boleh menjadi sebahagian daripada proses pembelajaran bahasa.

Ibu ayah boleh terus menggunakan bahasa yang paling selesa ketika berkomunikasi dengan anak.

Anak Lambat Bercakap, Bila Patut Jumpa Doktor?

Antara tanda yang boleh mendorong ibu ayah mendapatkan pemeriksaan ialah:

  • Anak sangat kurang menghasilkan bunyi atau berkomunikasi.
  • Menghampiri usia dua tahun tetapi masih mempunyai perkataan yang sangat terhad.
  • Belum mula menggabungkan dua perkataan apabila menghampiri usia dua tahun.
  • Sukar memahami percakapan anak walaupun sudah sekitar tiga tahun.
  • Sangat kurang menunjuk atau menggunakan gerak badan untuk berkomunikasi.
  • Kerap tidak memberi respons apabila dipanggil.
  • Kehilangan perkataan atau kemahiran yang pernah dimiliki.

Setiap anak berkembang pada kadar yang berbeza, jadi milestone bukanlah pertandingan antara anak.

Namun, jika ibu ayah rasa perkembangan komunikasi anak tidak seperti biasa, jangan takut untuk mendapatkan pandangan profesional.

Penilaian awal bukan bermaksud mencari kesalahan pada anak. Sebaliknya, ia membantu ibu ayah memahami keperluan anak dan memberi sokongan yang sesuai seawal mungkin.

Kadang-kadang, sedikit bantuan pada peringkat awal boleh memberi perubahan yang besar kepada perkembangan komunikasi anak pada masa hadapan.

Sumber: childcareed.com

Published by
Nor Yusoff