Makan macam-macam tapi berat anak susah naik? Sebenarnya anak kurang berat badan berpunca daripada banyak sebab. Ada yang makan banyak pun tapi berat tetap tak naik.
Secara asasnya, adalah lebih baik jika kita dapat menumpukan kepada perubahan tingkah laku pemakanan kanak-kanak secara beransur-ansur dan menambah lebih kalori dalam diet harian mereka.
Di sini ada beberapa petua untuk ibu bapa yang berasa risau tentang anak mereka yang kurang berat badan.
Fahami punca-puncanya
Berikut adalah antara sebab-sebab biasa yang menyukarkan kanak-kanak untuk mendapatkan berat badan ideal:
Isu hormon atau metabolisma
Penggunaan ubat- ubatan
Terlebih aktif yang boleh membakar kalori lebih daripada biasa
Alergi terhadap makanan
Tekanan psikologi daripada rakan-rakan sekeliling
Ibu bapa disarankan untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar kanak-kanak. Jangan ragu-ragu untuk bertanyakan sebarang soalan atau kebimbangan untuk pemahaman yang terbaik tentang keadaan anak-anak anda. Memandangkan punca-punca boleh berlaku daripada ubat atau alergik kepada makanan, pakar kanak-kanak adalah orang yang boleh memberi diagnosis dan rawatan yang betul.
Ubah gaya pemakanan
Ads
Ibu bapa seharusnya memberi makanan dengan lebih kerap kepada anak mereka yang kurang berat badan. Sesetengah kanak-kanak mempunyai saiz perut yang kecil, jadi mereka perlu mengambil masa untuk menghabiskan sesuatu makanan sebelum boleh makan makanan yang lain. Oleh itu, anda boleh cuba berikan 5 atau 6 hidangan makanan sehari dan tambah sedikit snek di antara setiap hidangan makanan.
Ibu bapa juga seharusnya perlu menekankan kepada kepentingan jadual waktu makan. Kekalkan ia pada suatu tujuan khusus dalam sehari dan beritahu anak anda kepentingan pengambilan makanan yang sihat supaya mereka seronok mengambil makanan tersebut.
Berbanding memaksa kanak-kanak untuk meninggalkan gaya pemakanan yang tidak sihat, ibu bapa seharusnya cuba untuk menjadi contoh teladan yang baik buat anak mereka. Kanak-kanak selalunya akan meniru perbuatan ibu bapa mereka.
Jadi, amalkan pengambilan makanan yang sihat dengan memasukkan makanan-makanan seperti buah-buahan dan makanan yang kaya dengan nutrisi dalam diet harian keluarga. Elakkan juga makan makanan segera.
Ads
Pilih makanan yang kaya dengan kalori dan nutrisi
Biskut, snek dan makanan ringan hanya kaya dengan kalori. Ianya tidak membekalkan sebarang vitamin yang sihat dan nutrisi kepada tubuh badan anak anda. Justeru itu, amalkan pengambilan makanan yang kaya dengan kedua-dua kalori serta nutrisi, seperti berikut:
Mentega yang bersusu
Susu dan krim
Telur
Pisang
Avokado
Daging
Kentang
Buah-buahan tropika
Pilih snek dengan bijak kerana kanak-kanak kurang berat selalunya cepat berasa lapar. Mereka memerlukan jumlah kebiasaan untuk snek yang sihat seperti kekacang dan buah-buahan kering, fit bar atau bijirin penuh gandum.
Ads
Tambah lebih kalori dalam makanan
Keju dan susu sering menjadi pilihan yang terbaik untuk meningkatkan tahap kalori dan nutrisi anak. Ibu bapa seharusnya cuba untuk membuat pelbagai jenis makanan dan minuman untuk menukar cita rasa anak-anak mereka.
Taburkan keju pada sebarang makanan, tambah susu ke dalam sup atau buatkan semangkuk sup berkrim untuk anak-anak anda. Langkah ini sepatutnya dilakukan secara perlahan-lahan atau kanak-kanak akan berasa tidak selesa dengan perubahan yang boleh membawa kepada kesan yang sebaliknya.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Setiap jenis warna pada buah, ada kandungan kimia semulajadi yang bermanfaat untuk tubuh badan mereka. Allah dah ciptakan begitu, rugi betul kalau kita tak ambil khasiat yang ada.
Pastikan anak-anak kita dapat makan 5 jenis warna buah dalam seminggu.
Buah pun ada kumpulan warna macam kumpulan sukan kita waktu kecil dulu.
1. Merah
– Ada antocyanins dan carotenoids.
– Bagus untuk mata, jantung, penghadaman dan sel.
2. Oren
– Ada carotenoids.
– Bagus untuk mata, sistem imun, jantung dan sel.
3. Kuning
– Ada beta-carotene.
– Bagus untuk kulit, mata, peredaran darah dan sistem imun.
4. Hijau
– Ada chlorophyll.
– Bantu kurangkan kolesterol, bagus untuk organ, sel dan penyembuhan.
5. Purple dan biru
– Ada antocyanins.
– Bagus untuk memori, tulang, peredaran darah dan jantung.
Anak akan dapat cukup keperluan vitamin dan mineral jika kita pelbagaikan buah yang anak ambil setiap hari.
Kadang, anak bukan tak suka. Tapi bila kita tak kenalkan, mereka belum suka dengan buah itu.
Cuba sediakan selalu, buah yang anak kita tak suka sangat. Biar je sentiasa ada di rumah buah tu.
Mesti satu hari, dia akan tanya kita, dan rasa nak cuba buah tu.
Sama-sama kita cuba perbanyakkan jenis pilihan warna buah yang ada di rumah ya. Moga anak kita dapat khasiat terbaik dari setiap jenis buah yang diambil.
Raja segala buah, Durian memang menjadi buah kegemaran rakyat Malaysia. Tak sah rasanya kalau tak merasa seulas durian jika musimnya tiba. Namun bila ada anak kecil, pasti ada yang curi-curi beri anak rasa durian. Makan durian barulah anak Melayu tak gitu?
Namun adakah bayi dibolehkan makan buah durian ini? Apakah kebaikan disebalik raja segala buah ini? Ada yang cakap tak elok bagi baby makan durian! Dalam artikel kali ini, Dr Amalina Mohd Daud berkongsi khasiat buah durian dan bagaimana cara untuk kenalkan durian kepada bayi.
Sebelum ini saya percaya bahawa durian sepatutnya diperkenalkan lewat kerana ia sangat manis.
Tetapi sebenarnya kerana kita ingin memperkenalkan pelbagai jenis makanan, kita harus memberi peluang durian untuk berada dalam mulut bayi kita.
Yess durian boleh diperkenalkan kepada bayi kita seawal ‘weaning’ asalkan kita beri pada jumlah yang sederhana. Durian sangat kaya dengan karbohidrat, vit B, protein, lemak, mineral dan antioksidan. Itulah raja buah yang sebenar!
Walaupun durian berisiko tercekik akibat bijinya, anda sebenarnya boleh memasaknya cukup lama sehingga ia empuk. Anda boleh sama ada kisar sehingga menjadi serbuk atau melenyek sehingga halus.
Pada gambar di atas, saya telah memasukkan cara intro durian pada usia tertentu. Jadi boleh rujuk.
Saya tahu ia agak bertentangan dengan intuisi untuk memberikan durian kepada bayi. Tetapi… adakah anda akan memberi?
Apabila anak pulang ke sekolah mereka letih. Begitu juga otak mereka. Lebih-lebih apabila tiada nutrisi untuk otak diambil mereka.
Petang ada kelas PAFA. Malam pula ada tuisyen. Sampai lembik budak-budak ini.
Soalnya dengan begitu banyak aktiviti gunakan otak sepanjang hari, dapatkah mereka bertahan? Dapatkah otak mereka mencerap semua maklumat? Atau ia hanya jadi kelas sosial?
Kita pastinya tidak mahu duit yang dilaburkan hanyut begitu sahaja. Keputusan anak masih tidak seberapa. Hasil masih jauh dari yang kita suka.
Cara mudah ialah sediakan secawan air pegaga:
1. Ambil seikat pegaga. Basuh. Bersihkan.
2. Masukkan ke dalam blender.
3. Masukkan air. Ikut kepekatan mana yang kita mahu.
4. Blend.
5. Campurkan dengan madu atau gula apong (di Sarawak sahaja) atau gula kabong.
Hidangkan. MUDAH dan CEPAT.
Pegaga tingkat imun sistem. Buka pembuluh darah di dalam OTAK. Nutrisi mudah masuk. Maklumat segera dihadam. Memori semakin baik. Ini adalah tips mudah power up otak anak-anak.
Kelebihan Daun Pegaga;
Mempunyai sifat perlindungan kepada sistem saraf (neuroprotective)
Ekstrak pegaga dikatakan mempunyai sifat perlindungan yang baik untuk sistem saraf akibat daripada kandungan kompaun antioksidan yang terdapat di dalamnya. Memandangkan kesan stres oksidatif dan juga gangguan dalam mekanisma antioksidan semula jadi badan memainkan peranan penting dalam pembentukan penyakit kognitif seperti penyakit Alzheimer (AD) jenis sporadik, ekstrak Centella asiatica (CAE) melalui tindakan antioksidannya dikatakan berpotensi untuk mencegah defisit kognitif hasil daripada pendedahan kronik kepada radikal bebas. Sebagai contoh, satu kajian yang melihat tindakan terbitan bahan asiaticoside menentang kesan toksik beta-amyloid pada kultur sel dan juga hirisan bahagian hippocampus mendapati ia berupaya untuk menghalang kematian sel yang dicetuskan oleh radikal bebas dan juga daripada pendedahan kepada beta-amyloid. Pendedahan kepada beta-amyloid merupakan salah satu mekanisma yang membawa kepada terjadinya penyakit Alzheimer. Terbitan kompaun asid asiatik yang terdapat dalam ekstrak pegaga juga menunjukkan kesan perlindungan saraf yang signifikan pada sel kortikal otak dengan cara menguatkan mekanisma perlindungan oksidatif sel.
Dalam satu kajian lain yang membabitkan tikus yang telah diberikan streptozotocin untuk mencetuskan gangguan kognitif dan stres oksidatif, CAE telah diberikan (100, 200 dan 300 mg/kg selama 21 hari) sebagai rawatan untuk melihat keupayaan CAE untuk menambah baik fungsi kognitif tikus tersebut di samping menzahirkan keupayaan antioksidan yang terdapat di dalamnya. Dalam kaitan yang bergantung kepada dos (dose-dependent relationship), tikus-tikus yang telah dirawat tersebut didapati berupaya untuk menunjukkan peningkatan fungsi kognitif mereka. Penurunan paras malondialdehyde (MDA) yang signifikan dan juga peningkatan paras antioksidan glutathione dan enzim catalase diperhatikan dalam tikus-tikus yang dirawat dengan 200 dan 300 mg/kg CAE. Kompaun-kompaun yang terdapat dalam CAE ini terbukti berkesan dalam memberi perlindungan kepada sel-sel saraf daripada kecederaan oksidatif.
Pencegahan strok sekunder dan peningkatan keupayaan kognitif pasca-strok
Strok, atau dikenali sebagai angin ahmar dalam warga tempatan, boleh mengakibatkan penurunan keupayaan kognitif. Kekerapan gangguan kognitif selepas strok iskemia ini berada pada julat 20 hingga 30%, dengan risiko yang meningkat dalam dua tahun pertama selepas diserang strok. Sekitar 25% pesakit yang telah diserang strok akan menghidap dementia dan risiko kumpulan pesakit pasca-strok untuk menghidap dementia dalam masa 5 tahun akan datang adalah sebanyak 9 kali ganda berbanding populasi sihat, khususnya pada domain memori dan keupayaan untuk memfokus. Mengurus dan merawat gangguan kognitif selepas diserang strok bermatlamat untuk mencegah strok sekunder (diserang strok lagi sekali) dan untuk menambah baik keupayaan kognitif.
Kandungan homocysteine yang tinggi dikenali sebagai faktor risiko untuk strok. Untuk tujuan itu, rawatan pencegahan untuk serangan strok sekunder ditumpukan pada mengurangkan paras homocysteine dalam darah. Pengambilan asid folik sekitar 0.5-5mg sehari didapati berjaya untuk mengurangkan paras homocysteine dalam darah sebanyak 15-40% dalam masa 6 minggu. Memandangkan penggunaan gabungan ubat-ubat seperti sedatif, antikegelisahan, antimurung dan ubat-ubat saraf yang lain adalah mahal dan berupaya untuk menyebabkan pelbagai kesan sampingan yang tidak diingini, fokus kajian semasa adalah untuk melihat kepada alternatif yang lebih semula jadi. Untuk tujuan itu, CAE digunakan sebagai bahan kajian.
Walaupun selepas menghidap serangan strok, penggunaan CAE juga dikenal pasti mampu untuk memberikan peningkatan fungsi kognitif pesakit yang efektif. Dalam kajian tersebut, dos 750 mg dan dos 1000 mg CAE telah digunakan manakala dos sebanyak 3 mg digunakan untuk asid folik. Berbeza dengan kajian lain yang bersifat praklinikal, kajian ini melibatkan 48 pesakit-pesakit yang telah diserang strok yang mempunyai masalah kognitif dan telah dirawat di dua hospital di Yogyakarta, Indonesia. 17 pesakit diberikan CAE pada dos 1000mg/hari, 17 lagi pesakit diberikan CAE pada dos 75mg/hari dan 14 subjek terakhir dirawat menggunakan asid folik 3mg/hari, selama 6 minggu. Selepas tempoh 6 minggu kajian, para pengkaji mendapati berdasarkan sistem permarkahan MoCA-Ina, kesemua kumpulan menunjukkan penambahbaikan dari segi keupayaan kognitif berbanding keupayaan masing-masing sebelum menjalani rawatan. Apa yang menarik adalah walaupun tiada perbezaan signifikan antara keberkesanan CAE dan juga asid folik dalam meningkatkan keupayaan kognitif pesakit pasca-strok, CAE didapati dapat menghasilkan peningkatan domain kognitif memori yang lebih baik berbanding asid folik.
Mempunyai sifat antiradang dan tahan sakit
Penggunaan pegaga untuk merawat sakit sendi dan juga rasa sakit secara am pada tubuh badan telah lama dipraktikan. Walaupun amalan rawatan tradisional tidak ditambah dengan sebarang pembuktian saintifik dan penjelasan yang terperinci, kini keupayaan untuk CAE menghasilkan kesan tahan sakit dan juga sifat antiradang ini telah banyak dilaporkan oleh kajian-kajian praklinikal. Kesan tahan sakit ini diuji dengan memberikan CAE dalam bentuk akueus pada dos 10, 30, 100 dan 300 mg/kg pada tikus kajian manakala kesan antiradang diuji dengan sampel keradangan kaki tikus akibat suntikan prostaglandin E2. Dari sudut kesan tahan sakit, kajian tersebut mendapati bahawa CAE berkesan dalam menghasilkan tindakan antikeradangan dan juga berupaya untuk menghasilkan kesan tahan sakit yang sama kuat dengan ubat aspirin, namun tidak sekuat kesan ubat tahan sakit yang lain seperti morfin.
Terdapat satu kajian yang melihat kesan madecassoside, salah satu komponen yang terdapat dalam CAE, ke atas penyakit arthritis cetusan kolagen jenis II (CIA) dalam tikus. Kajian yang bertujuan untuk melihat kesan terapeutik dan juga mekanisma tindakan madecassoside terhadap CIA itu melibatkan formulasi oral pada dos 10, 20 dan 40 mg/kg yang diberikan selama 20 hari. Berdasarkan ujian histopatologi, para pengkaji mendapati bahawa penggunaan bahan aktif tersebut berjaya untuk mengurangkan pencerobohan sel-sel keradangan ke dalam rawan dan juga darjah hiperpalasia lapisan synovium. Tindakan ini menunjukkan kesan perlindungan daripada kerosakan sendi yang biasa dilihat dalam penyakit arthritis. Tambahan lagi, madecassoside juga menurunkan paras antiCII IgG, menghalang tindak balas hipersensitif lengah terhadap CII dan pada kadar sederhana, menekan pembahagian limfosit cetusan CII daripada nodus limfa di bahagian popliteal.
Rumusan daripada kajian yang telah dilakukan adalah madecassoside cukup berkesan dan berjaya dalam menghalang pembentukan penyakit CIA dalam tikus, dan mungkin juga mewakili komponen aktif utama yang terdapat dalam pegaga bagi menjelaskan penggunaan tradisionalnya dalam merawat sakit sendi. Keputusan kajian-kajian ini mencadangkan bahawa penggunaan tradisional CAE dalam merawat rasa sakit dan sakit sendi secara khususnya adalah tindakan yang mempunyai justifikasi dari sudut pandang sains.
Membantu masalah ketidakcekapan vena (venous insufficiency)
Salah satu daripada kesan utama CAE ke atas tisu penghubung (connective tissue) yang diketengahkan oleh dapatan kajian adalah ia dapat membantu menguatkan saluran vena yang lemah. Dalam rawatan untuk penyakit scleroderma, ia mungkin membantu untuk menstabilkan kadar pembesaran tisu penghubung, mengurangkan pembentukannya dengan cara merangsang pembentukan hyaluronidase dan chondroitin sulfate, di samping menghasilkan kesan imbangan ke atas tisu penghubung. CAE dilaporkan bertindak ke atas dinding salur darah, menghasilkan kesan perlindungan daripada kecederaan mikroangipati akibat daripada tekanan darah tinggi dan ketidakcekapan vena. CAE juga membantu untuk mengurangkan kadar penapisan salur darah kapilari dengan meningkatkan paramater mikro-peredaran.
Mempunyai sifat antikeresahan
Dalam pelbagai budaya timur, ekstrak pegaga telah lama digunakan untuk menghasilkan kesan penenangan dan antikeresahan. Dalam karya tamadun India, ekstrak daripada tumbuhan pegaga dikatakan mempunyai kesan seperti penenang, pelega dan juga sifat yang menyokong kepintaran dan kecerdasan otak. Kesan penenang ini dikenal pasti berpunca daripada bahan aktif brahmoside dan juga komponen brahminoside, manakala aktiviti antikeresahan dikatakan disumbang oleh aktiviti ikatan kepada reseptor cholecystokinin (CCKB), sejenis reseptor protein G yang mengikat hormon peptida cholecystokinin (CCK) atau hormon gastrin. Reseptor CCKB ini dikatakan memainkan peranan dalam mengawal keresahan, rasa sakit, ingatan dan juga rasa lapar dalam manusia dan juga binatang.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!