Biasanya kucing, arnab, harmster, burung antara haiwan peliharaan yang selalu anak-anak suka. Jarang sekali haiwan seperti cicak atau katak yang disukai anak. Ini kerana haiwan tersebut dianggap geli kerana badannya yang lembik.
Namun gelagat anak kecil ini cukup membuatkan ibunya terkejut apabila berani dan menyukai haiwan seperti cicak dan katak. Kisah adik Nur Nabiella, 6 tahun yang dikongsikan oleh ibunya adalah tak disangka sama sekali.
Menurut ibu adik Nur Nabiella, cara Nabiella menjinakkan haiwan tersebut tak disangka sama sekali. Memang sebelum ini tak nampak pun kecenderungannya minat pada haiwan tersebut.
Semuanya bermula apabila ada seekor katak melompat masuk ke dalam bilik. Waktu itu, saya minta Nabiella ambil penyapu dan suruh dia tolakkan katak itu keluar dari bilik. Tapi langsung tak disangka sama sekali, apabila dia keluar bilik sambil gelak dengan abangnya.
Rupanya dia sangat seronok dapat menangkap katak tersebut. Terkejut juga kerana sebelum itu tak pernah pun nampak dia menjinakkan haiwan. Lagi buatkan saya geli, dengan badan katak yang lembik itu dia boleh pegang tanpa rasa takut.
Ads
Kalau budak-budak lain nampak je katak memang masing-masing dah lari, tapi anak saya dia suka. Begitu juga kalau jumpa cicak dalam rumah atau di sebalik kain langsir, memang dia akan ajak abangnya berusia 9 tahun untuk tangkap sama-sama.
Apa yang buatkan saya kagum, haiwan yang dia tangkap itu, semua ‘reda’ je tanpa beri apa-apa tindak balas. Seolah-olah rasa macam tak terancam pun.
Ads
Takut dengan labah-labah dan kumbang
Cuma satu je kelemahan Nabiella ini adalah dia pantang dengan kumbang atau labah-labah. Tak tahulah kenapa tapi nampak je haiwan ini, dia tak akan cakap banyak, terus pecut lari menyorokkan dirinya.
Dia memang pantang dengan dua haiwan ini yang pada orang lain macam tak ada apa kerana saiznya kecil. Nak kata dia fobia dengan haiwan ini tak pasti cuma inilah kelemahannya.
Ads
Lagi-lagi kalau kumbang tanduk, memang dia tak cakap banyaklah. Kadang nak tergelak pun ada lihat gelagatnya. Sebab itu, kalau orang tanya saya macam mana Nabiella boleh suka pada haiwan yang lembik itu, saya tiada jawapan. Ia berlaku secara kebetulan.
Saya sebagai ibu pun geli tengok dia jinak dengan katak dan cicak. Kalau boleh minta cepat-cepat dia lepaskan di luar rumah.
Itulah orang kata, setiap anak sikapnya lain-lain. Memang ada sesetengah binatang dia geli sampailah besar. Kita tak boleh paksa melainkan memang dia suka.
Kementerian Kesihatan Malaysia melalui kenyataan rasminya mengumumkan dua lagi kes polio yang dilaporkan di Sabah yang melibatkan dua kanak-kanak yang tidak di vaksin menjadikan keseluruhan 3 kes dan kesemuanya masih dirawat di hospital.
Ikuti kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia ini;
Gambar Hiasan, Sumber: CIDRAP
KENYATAAN AKHBAR KETUA PENGARAH KESHITAN MALAYSIA TENTANG POLIO
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia bertarikh 8 Disember 2019 yang telah memaklumkan kejadian satu kes disahkan dijangkiti virus polio di Sabah yang melibatkan seorang bayi lelaki warganegara Malaysia berumur tiga (3) bulan dari Tuaran, Sabah. Pesakit masih dirawat di Bilik Isolasi hospital dengan bantuan pernafasan dan berada dalam keadaan stabil. Berikutan daripada itu, KKM telah meningkatkan liputan imunisasi kepada kanak-kanak, memperkukuhkan survelan acute flaccid paralysis (AFP) dan survelan virus polio dalam persekitaran khususnya air kumbahan serta pendidikan kesihatan bagi mempertingkatkan pengetahuan mengenai penyakit polio, kepentingan imunisasi dan kebersihan diri serta persekitaran.
Hasil daripada tindakan KKM mempergiatkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan, terdapat dua kes AFP baharu yang disyaki polio telah dikesan. Sampel najis bagi kedua-dua pesakit ini selanjutnya telah dihantar ke World Health Organization Polio Regional Reference Laboratory (WHO Polio RRL) di Melbourne, Australia untuk ujian pengesahan dan genetic sequencing. Pada 9 Januari 2020, isolat virus bagi kedua-dua kes ini telah disahkan positif virus polio oleh WHO Polio RRL. Kedua-dua pesakit polio ini adalah seperti berikut:
i. Seorang kanak-kanak lelaki bukan warganegara berumur 11 tahun yang menetap di Kinabatangan, Sabah. Kanak-kanak ini tidak pernah mendapat sebarang imunisasi. Beliau telah mengalami demam pada 17 November 2019 dan telah mendapatkan rawatan di klinik. Pada 1
Disember 2019, beliau dimasukkan ke hospital setelah mengadu sakit di bahagian belakang dan tidak boleh berjalan. Pesakit kini boleh berjalan dengan bertongkat. ii. Seorang kanak-kanak lelaki bukan warganegara berumur 8 tahun yang menetap di Sandakan, Sabah. Kanak-kanak ini tidak pernah menerima sebarang imunisasi. Pada 9 Disember 2019, beliau telah mengalami demam dan tiga (3) hari kemudian tidak boleh berjalan. Beliau masih dirawat dengan bantuan pernafasan di hospital.
Dengan pengesahan dua kes polio baharu ini, jumlah kes polio yang disahkan adalah sebanyak tiga (3) kes. Kesemua pesakit masih dirawat di hospital dan berada dalam keadaan stabil. Ujian makmal WHO Polio RRL di Australia juga mendapati bahawa virus polio yang menjangkiti ketiga-tiga kes ini mempunyai perkaitan genetik dengan kes polio di Filipina.
Siasatan rapi telah dijalankan bagi mengenalpasti punca jangkitan kedua-dua kes baharu ini sebaik sahaja dikenalpasti sebagai AFP. Sehingga kini, seramai 705 orang penduduk di kawasan tempat tinggal kedua-dua kanak-kanak tersebut telah diperiksa dan tiada kes AFP lain yang dikesan. Seramai 65 orang kanak-kanak didapati cicir imunisasi polio dalam kawasan tempat tinggal kes-kes terbabit dan telah diberi suntikan vaksin polio menggunakan vaksin kombinasi lima serangkai (DTaP-IPV//HiB).
Aktiviti kawalan wabak polio di seluruh negeri Sabah juga sedang giat dilaksanakan. Kempen Imunisasi Polio Sabah (KIPS 2019/2020) yang menyasarkan semua kanak-kanak berumur bawah lima (5) tahun di seluruh Sabah telah dimulakan pada 27 Disember 2019. Mereka diberikan dua (2) dos vaksin polio secara titis (oral polio vaccine – OPV). Vaksin ini akan membina imuniti dalam usus untuk membunuh virus polio sekiranya kanak-kanak tersebut dijangkiti, sekaligus memastikan virus ini tidak terus menular dalam komuniti.
Hasil Mesyuarat Penyelarasan Wabak Polio di Sabah yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat pada 31 Disember 2019, adalah diputuskan agar Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM membentuk sebuah Jawatankuasa Kerja Peringkat Pusat dan Jawatankuasa Kerja Peringkat Negeri bagi menangani wabak polio ini. Mesyuarat juga bersetuju agar kerjasama rentas sempadan seperti dengan Kementerian Kesihatan negara
Filipina dan kolaborasi dengan pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (United Nations Children’s Fund, UNICEF) terus diperkukuhkan bagi memastikan liputan imunisasi kepada kanak-kanak Filipina yang berada di Sabah dapat dipertingkatkan. Selain daripada itu, advokasi kepada masyarakat termasuk kepada ibu bapa, perlu dipertingkatkan agar lebih peka terhadap kepentingan imunisasi. Mesyuarat juga bersetuju agar pemantauan pengambilan imunisasi seawal di peringkat taska lagi perlu dijalankan bagi memastikan kanak-kanak dilindungi dengan pengambilan vaksin yang lengkap seperti yang disarankan oleh KKM.
KKM ingin menyeru kepada semua masyarakat di Sabah terutama ibu bapa agar memastikan seperti berikut:
i. Anak-anak berumur bawah lima (5) tahun menerima dua dos vaksin OPV semasa kempen ini dijalankan di daerah masing-masing;
ii. Imunisasi rutin di bawah Program Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan perlu diteruskan dan diambil mengikut jadual yang ditetapkan;
iii. Menjaga kebersihan diri termasuk mandi menggunakan air terawat, cuci tangan selepas ke tandas dan sebelum makan serta sebelum menyediakan makanan untuk kanak-kanak;
iv. Menggunakan tandas yang bersih dan sempurna dengan tidak membuang air besar terus ke dalam air/sungai/laut. Lampin pakai buang perlu dibuang di tempat yang sanitari;
v. Jangan mandi dalam sungai atau air yang disyaki terdapat najis manusia di dalamnya dan tidak menggunakan airnya untuk membersihkan peralatan memasak;
vi. Sentiasa menjaga kebersihan persekitaran agar makanan dan minuman tidak tercemar dengan najis. Masak makanan dan air ke tahap suhu yang selamat sebelum dimakan. Peralatan makanan dan minuman bayi perlu sentiasa bersih dan dinyahkuman sebelum digunakan;
vii. Menggalakkan semua kanak-kanak berumur
6 bulan ke bawah diberi susu badan sepenuhnya bagi mengurangkan kemungkinan pencemaran silang ketika penyediaan botol susu; dan viii. Segera dapatkan rawatan awal di klinik atau hospital berdekatan sekiranya terdapat tanda-tanda dan gejala penyakit polio.
Orang ramai adalah diminta agar sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan yang disarankan oleh KKM dan hendaklah sentiasa memberikan kerjasama dalam semua aktiviti yang dilaksanakan. KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Kerajaan Negeri Sabah, Majlis Keselamatan Negara, Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (NADMA), Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia dan semua Kementerian dan Agensi yang terlibat akan terus meningkatkan kerjasama dalam membendung wabak polio ini daripada terus menular.
Sekian, terima kasih.
DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA 10 JANUARI 2020
Baru-baru ini tular kisah seorang ibu yang membawa anaknya masuk ke hutan bagi mengajar si kecil tentang alam semulajadi. Dia turut berkongsi pengalaman menyusukan anaknya yang berusia lebih kurang satu tahun ketika berjalan di dalam hutan.
Walau bagaimanapun, ada sesetengah pihak yang kurang senang dengan perkongsian tersebut kerana menurut mereka adalah berbahaya untuk membawa anak sekecil itu masuk ke hutan. Kata Adilah Suhailin yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Bidang Zoologi, dia mahu anaknya mengenali alam sejak kecil dan tidak mahu berharap pada skrin telefon sahaja.
Adilah mahu anaknya belajar tentang alam semula jadi sejak usianya masih kecil
“Tiada masalah untuk mendaki bukit. Di aplikasi Tiktok, saya jelaskan untuk ibu ayah yang nak buat aktiviti luar kena pastikan ia sesuai untuk anak dan tempat itu mestilah tiada binatang buas.”
Tambah Adilah lagi, tempat yang dia dan suami bawa anak mereka adalah lokasi yang mana orang bawa anak-anak beriadah dan merupakan trek joging. Dia juga ada mengamalkan doa tertentu bagi melindungi diri ketika masuk ke hutan.
Melalui perkongsian ibu ini dengan Kosmo!, tujuan utama dia membawa Arjuna ke dalam hutan adalah untuk membiasakan anaknya itu agar boleh berkomunikasi dengan alam ketika dia sudah besar nanti.
Adilah juga berkongsi pernah mendaki Bukit Pelindung di Kuantan dan Bukit Keluarga di Besut, dia melahirkan rasa syukur kerana anaknya tidak merengek sepanjang perjalanan naik dan turun.
Pasangan ini membawa anak mendaki bukit yang tidak berbahaya dan menjadi pilihan ramai orang untuk beriadah
Kata Adilah lagi dia menyambung Ijazah Sarjana dalam Konservasi Sains dan Biologi dan sangat suka anaknya ‘faham’ dengan alam. Tambahnya lagi, dia juga aktif dengan organisasi bukan kerajaan dalam bidang konservasi.
Menyebut tentang isu menyusukan anak di tempat terbuka, ibu ini bersetuju yang ia tidak sopan dan kurang manis untuk dikongsikan. Dia juga memohon maaf krana tidak sensitif tentang hal ini.
“Saya minta maaf kerana tak sensitif, tak sangka hal ini menjadi isu. Ia tak sesuai dirakam dan saya terima baik teguran semua orang. Saya anggap ia sebagai titik tolak untuk saya buat content video yang lebih baik selepas ini.”
Seorang pengasuh Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan menganiaya seorang bayi perempuan berusia 11 bulan dengan cara mencakar pipi dan memukul tubuh mangsa, minggu lalu.
Didakwa cakar & pukul bayi 11 bulan
Menurut laporan Harian Metro, tertuduh yang dikenali sebagai Nabilah Md Johan, 27, dari Kampung Tedong, Merlimau, mengangguk faham sejurus dibacakan pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nariman Badruddin, namun tidak mengaku bersalah serta meminta dibicarakan.
Berdasarkan pertuduhan, dia sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan iaitu guru atau pengasuh didapati menganiaya bayi terbabit berusia 11 bulan ketika kejadian dengan cara mencakar pipi sebelah kiri dan memukul badan mangsa dengan tangan.
Kesalahan itu didakwa dilakukannya di Taska Ummi Ana, No 43, Jalan Sri Emas 25, Taman Seri Telok Emas, Melaka pada 18 Mei lalu, kira-kira 5.30 petang hingga jam 5.45 petang.
Hukuman penjara 10 tahun dan denda
Bagi kesalahan itu dia dituduh mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari yang menjalankan pendakwaan mencadangkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa.
Peguam bela, Ab Kadir Ismail yang mewakili tertuduh bagaimanapun membantah jumlah jaminan ditawarkan.
“Jumlah jaminan yang ditawarkan terlalu tinggi, mohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan yang munasabah. Penjamin adalah ibu tertuduh sendiri,” katanya.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Nariman menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan dalam apa juga keadaan sehingga perbicaraan selesai.
Mahkamah kemudian menetapkan 23 Jun depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan perubatan mangsa dengan serahan dokumen.
Kisah benar seorang ibu tentang bagaimana karies botol menyebabkan semua gigi anaknya terpaksa dicabut melalui pembedahan. Ketahui punca, perjalanan emosi dan tips elak masalah sama.