
Masih segar dalam ingatan tragedi menyayat hati yang berlaku pada Mac lalu apabila seorang bapa maut dalam kemalangan ketika keluar membeli keperluan sekolah anaknya.
Walaupun hampir tiga bulan telah berlalu, luka yang ditinggalkan ternyata masih mendalam, terutama buat anak sulung arwah yang sehingga kini dihantui rasa bersalah dan menyalahkan dirinya atas pemergian insan tersayang itu.
Kematian penghantar barang, Amirul Hafiz Omar dalam kemalangan di Jalan Raya Barat di sini, Mac lalu memberi impak yang besar dalam keluarga kecil ini.
Menurut laporan Harian Metro, isteri Allahyarham Amirul, Nor Nadia Abdul Majid, 32, berkata anak sulung mereka, Muhammad Aqif Amsyar, 9, percaya bapanya terkorban ketika dalam perjalanan membeli buku Matematik untuknya.
Lebih meruntun hati, dia pernah berkata lebih rela mati kerana merasakan dirinya punca bapanya terlibat dalam kemalangan ketika melakukan sesuatu untuknya.
“Saya sentiasa menenangkan dan mengingatkannya bahawa semua yang berlaku bukan salahnya, sebaliknya berpunca daripada tindakan pemandu kereta terbabit,” katanya.
Nadia mengakui sehingga kini mereka sekeluarga masih bergelut untuk menerima kehilangan mengejut Amirul yang meninggalkan kekosongan besar dalam kehidupan mereka.
“Kami bukan lagi keluarga yang bahagia seperti dahulu,” katanya dalam nada sebak.
Tambah Nadia, anak keduanya, Muhammad Afif Izz Rayqal, 7, turut sering terkenangkan bapanya melalui barang-barang peninggalan arwah.
“Pernah suatu hari dia bertanya kepada saya, ‘Perlukah saya bayar apa-apa untuk berjumpa Papa?’,” katanya.
Selepas pemergian Amirul, Nadia bersama tiga anak mereka termasuk si bongsu, Nur Humaira, 2, mengambil keputusan berpindah ke Perak bagi mendapatkan sokongan dan berada lebih dekat dengan keluarga.
Hari ini, Nadia hadir di Kompleks Mahkamah Klang bagi mengikuti prosiding sebutan kes melibatkan juruteknik, R Saktygaanapathy, 28, yang didakwa membunuh Amirul serta mengambil dadah.
Tertuduh didakwa menyebabkan kematian Amirul pada jam 11.47 pagi, 29 Mac lalu di Jalan Raya Barat. Tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun jika sabit kesalahan. Jika hukuman mati tidak dikenakan, pesalah turut berdepan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.
Tertuduh kini ditahan di Penjara Sungai Buloh.
Dalam prosiding sama, dia turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pindaan memasukkan dadah jenis tetrahydrocannabinol ke dalam badan pada jam 3.30 petang, 29 Mac lalu di Jabatan Siasatan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun serta pengawasan polis tidak melebihi tiga tahun.
Kedua-dua kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 22 Julai.
Berdasarkan siasatan polis, tertuduh dipercayai memandu laju menghala ke bandar Klang dari Jalan Raya Barat sebelum melanggar motosikal yang ditunggang Amirul. Ketika kejadian, Amirul sedang dalam perjalanan membeli buku Matematik untuk anak-anaknya.
Tertuduh dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki lorong bertentangan dan bertembung secara berhadapan dengan motosikal mangsa.
Impak pelanggaran itu menyebabkan Amirul tercampak lalu terhempas di atas sebuah Perodua Myvi. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Jenazah Allahyarham kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Repoh, Larut, Perak.
Sumber: Harian Metro