Anak kecil memang selalu bermasalah untuk mengambil sayur-sayuran dalam hidangan makanan harian. Ketika masih bayi, lazimnya semuanya dimakan tanpa banyak karenah.
Kebiasaannya masalah timbul apabila si kecil ini mula diberi makan makanan seperti orang dewasa. Jika dibiarkan, dibimbangi dia akan mengalami masalah kekurangan zat dalam pemakanan harian yang diambilnya pula.
Menurut Pakar Pemakanan di Hospital Pakar KPJ Kajang, Baidurah Bazid, situasi kanak-kanak enggan makan sayur boleh memberi kesan yang besar. Salah satunya ialah kekurangan mikronutrien.
Kanak-kanak yang terlalu selektif atau menolak lebih daripada satu kumpulan jenis makanan boleh dikategorikan sebagai cerewet makan. Jadi, bagaimana cara untuk menghadapinya?
Ads
Pertama, amat penting untuk anda sentiasa memberikannya galakan yang berterusan. Anda jangan berhenti memberikan galakan dan jangan putus asa! Teruskan menghidangkan sayur-sayuran setiap kali waktu makan. Sama ada si kecil makan atau tidak, tolak ke tepi dahulu. Hal ini kerana galakan yang berterusan ini akan meningkatkan penerimaan si kecil terhadap sayur-sayuran walaupun usaha ini mungkin memakan masa yang panjang.
Kedua ialah persembahan makanan (food presentation) yang menarik. Umumnya, persembahan makanan yang menarik mampu meningkatkan selera makan seseorang. Lebih-lebih lagi buat diri kanak-kanak.
Ads
Ketiga, main masak-masak! Libatkan anak bersama semasa proses menyediakan masakan sayuran tersebut. Namun begitu, pastikan langkah-langkah keselamatan semasa memasak yang melibatkan anak kecil ini diambil kira.
Ads
Contohnya, gunakan pisau plastik untuk memotong sayur berkenaan. Penglibatan si kecil semasa proses penyediaan boleh membuatnya lebih bersemangat untuk merasa atau memakan hidangan tersebut. Lebih daripada itu, dia akan lebih menghargai sajian yang telah disediakan oleh diri sendiri.
Keempat, mulakan dengan sayur-sayuran yang kurang pahit. Contohnya, lobak merah, sayur kacang, tomato dan lain-lain.
Kelimanya, jangan memburuk-burukkan, perli, mengejeknya, atau marah jika si manja masih lagi tidak mahu makan sayur. Jadikan waktu makan adalah waktu gembira buatnya. Anda hanya perlu teruskan sahaja usaha dan berikannya galakan. Semoga berjaya!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Anak sulung selebriti terkenal Indonesia, Nikita Willy iaitu Issa Xander Djokosoetono yang baru berusia 6 bulan sudah pun diajar makan sendiri atau dikenali sebagai baby led weaning (BLW) yang mana memerlukan bayi tersebut menyuap makanan sendiri tanpa bantuan penjaga.
Difahamkan, cara didikan dikenali sebagai baby led weaning (BLW) ini bertujuan supaya si bayi boleh makan makanan padat dan tidak hanya bubur semata-mata.
Nikita turut berkongsi perjalanan tumbesaran dan pemakanan bayinya itu bersama pengikutnya di Instagram.
Tambahnya lagi, atas nasihat doktor anaknya mula makan seawal usia hampir 6 bulan dan disebabkan mereka banyak ‘travel’ mereka terpaksa mengajar anak cara BLW ini
Selain ayam, Nikita turut menyediakan ikan salmon, serta sayur-sayuran lain yang di telah dipotong kecil untuk memudahkan bayinya menyuap sendiri makanan ke dalam mulut.
Namun anda digalakkan memberi makanan jejari (Finger Food) apabila bayi mencecah usia 7-8 bulan dan dibawah pengawasan orang dewasa untuk mengelakkan daripada bayi tercekik. Pastikan makanan jejari tersebut lembut supaya mudah dikunyah.
“Mama nak susu coklat!” Memang perkara yang biasa, ibu-ibu mendengar rengekan anak yang mahukan minuman bercoklat ini. Tambahan lagi, kini banyak kios minuman di pusat-pusat membeli belah yang menjual minuman susu coklat bersama bubble atau jeli.
Mendengar susu coklat saja, sudah pasti si ibu merasakan minuman sedemikian baik dan berkhasiat si manja mereka. Namun, benar kah susu coklat ini baik untuk kesihatan anak-anak? Seperti minuman manis yang lain, susu coklat sudah pasti menjadi kesukaan anak-anak dan tidak membahayakan. Namun, ia seharusnya dikawal dan tidak menjadi rutin dalam diet seharian anak-anak anda.
Anak-anak yang sedang dalam proses membesar, sudah tentu sangat memerlukan banyak nutrisi untuk perkembangan mereka . Susu coklat mempunyai nutrisi yang sama dengan susu biasa dan susu non flavoured. Sama ada ditambah rasa atau tidak, susu merupakan sumber protein , vitamin D, kalsium dan potasium yang sangat penting pada kesihatan dan pertumbuhan mereka.
Kelemahan susu coklat manis adalah kerana ia mengandungi tambahan gula, dan kalori lebih banyak jika dibandingkan dengan susu biasa. Bagi anak-anak yang banyak meminum susu, jika turut sama meminum susu coklat, maka gula dan kalori yang masuk ke dalam tubuh badan mereka akan bertambah. Seterusnya akan boleh menyebabkan peningkatan berat badan dan obesiti.
Makanan dan minuman manis memang menarik dan disukai oleh anak-anak. Mungkin kerana rasanya yang lemak manis, namun di sebalik rasanya yang enak, ia membuatkan si manja anda kurang berselera kepada makanan lain. Begitu juga terhadap sayur-sayuran hijau dan air putih biasa. Padahal anak-anak juga sangat memerlukan nutrisi daripada sumber lain yang sihat.
Kesimpulannya, susu coklat memberikan nutrisi yang sama seperti susu biasa, namun ia mempunyai tambahan gula yang kalori yang banyak. Oleh itu, demi kesihatan anak-anak anda, jalan terbaik adalah mengehadkan atau menghindarinya.
Berikan susu biasa pada anak anda (rendah lemak atau bebas lemak) dan sumber non-dairy kalsium untuk membantu membina tulang yang kuat dan tabiat makan yang sihat seumur hidupnya.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sejak dalam rahim lagi kanak-kanak telah mula belajar kemahiran makan dengan menghisap jari mereka sendiri. Proses perkembangan ini terus berlaku sehingga mereka boleh menikmati makanan orang dewasa.
Sehingga kini, dianggarkan kira-kira 25% dari kanak-kanak normal menghadapi masalah kemahiran makan (Chatoor, I, 2009). Selain itu, dianggarkan juga 80% dari kanak-kanak berkecelaruan perkembangan menghadapi masalah ini (Chatoor, I, 2009).
Masalah Makan
Kemahiran makan yang bermasalah selalunya dikaitkan dengan masalah komponen perkembangan yang lain seperti masalah motor halus, masalah tingkah laku serta masalah emosi.
Sebahagian dari gejala yang menunjukkan masalah makan di kalangan kanak-kanak adalah;
-Tercekik,
-Pemilihan makanan yang cerewet
-Muntah
-Kegagalan menaikkan berat badan.
-Enggan makan sama sekali.
Keengganan kanak-kanak ini makan dapat dilihat dari pelbagai jenis makanan termasuklah;
-Enggan makan makanan lecek seperti bubur
-Enggan makanan lembut seperti kuih talam/puri
-Enggan makan makanan yang keras seperti biskut
Selain dari enggan makan makanan tertentu, ada juga yang hanya memilih jenis/keadaan makanan yang tertentu seperti;
-Hanya makan makanan berkuah.
-Hanya memilih makanan berasa manis
-Hanya makan nasi tanpa apa-apa lauk pauk.
Walaupun mereka berhadapan dengan semua masalah di atas, kanak-kanak tidak pandai menyatakan apa yang mereka mahu dan apa yang mereka tidak mahu/ tidak lalu makan sepertimana orang dewasa yang lain.
Kecelaruan Tingkahlaku Ketika Makan (Behavioral Feeding Problems)
Behavioral Feeding Problems adalah temasuk semua tingkah laku bermasalah yang berlaku semasa waktu makan. Kanak-kanak ini biasanya menunjukkan gejala berikut;
-Enggan duduk di meja makan/tempat makan
-Enggan menyuap sendiri walaupun dia mampu untuk melakukannya.
-Membaling makanan ketika masa makan
-Merampas makanan dari orang lain
-Sengaja menangis, menjerit atau muntah untuk mengelak dari kena makan.
Dan lain-lain
Kanak-kanak yang menghadapi sensory feeding problems ini biasanya tidak selesa dan mudah terganggu dengan makanan/minuman melalui;
-Rupa makanan yang dihidang
-Rasa
-Bau
-Tekstur
Manakala, masalah yang biasanya dihadapi oleh sebahagian besar dari mereka ditunjukkan sebagai, sukar menerima makanan yang mempunyai tekstur berbeza. Contohnya,
-Mereka menghadapi masalah untuk meninggalkan makanan dalam bentuk cecair (susu) atau puri. Terdapat kanak-kanak berusia lima tahun minum dua botol susu sebelum pergi ke sekolah, enggan bersama dengan kelas semasa makan dan apabila pulang, terus mendapatkan dua botol susu.
-Mereka enggan sama sekali mencuba makanan yang lebih pejal.
-Kebanyakan masa, apabila mereka dipaksa makan juga, mereka akan muntah atau gag secara tidak sengaja
Kecelaruan Pemakanan yang Lain
Selain dari kecelaruan pemakanan berasaskan tingkahlaku dan deria, kelewatan perkembangan dan masalah perubatan juga boleh menyebabkan masalah kemahiran pemakanan. Walaupun gejala yang dipamerkan hampir sama, untuk menangani dengan baik, seorang Terapi Pertuturan-Bahasa perlu mengenalpasti punca dan asas sesuatu masalah itu.
Kanak-kanak Berisiko Tinggi Untuk Behavior Feeding Problem
Kanak-kanak yang mempunyai risiko yang tinggi menghadapi masalah kecelaruan kelakuan pemakanan termasuklah;
-Kanak-kanak Autisma
-Kanak-kanak yang mengalami kelewatan perkembangan
-kanak-kanak yang kurang sokongan / tiada model pemakanan yang baik
-Lain-lain lagi
Pengendalian Kanak-kanak Behavior Feeding Problem
*Strategi yang dinyatakan di sini boleh berbeza sedikit untuk disesuaikan dengan keperluan individu. Tidak semua strategi di sini sesuai untuk semua kanak-kanak bermasalah kelakuan pemakanan.
Ibu bapa merupakan model yang terbaik untuk mempamerkan sikap pemakanan yang baik.
Semasa waktu makan, adalah baik semua anggota keluarga duduk bersama di meja makan. Tiada siapa dibenarkan untuk makan di depan televisyen. Apabila ibubapa menggariskan satu peraturan yang sama untuk semua ahli keluarga, kanak-kanak bermasalah pemakanan ini berpeluang untuk memerhatikan dan seterusnya memahami serta mengikuti peraturan tersebut.
Pecahkan objektif kepada langkah-langkah yang mudah dicapai
Kanak-kanak dapat menunjukkan prestasi yang lebih baik apabila matlamatnya mudah dicapai. Perhalusi langkah yang besar dan pecahkan objektif yang besar menjadi lebih kecil agar mudah dicapai oleh si kecil.
Berikan penghargaan kepada setiap langkah yang dicapai
Apabila kanak-kanak berjaya mencapai setiap satu langkah kecil, berikan pujian dan penghargaan. Berikan penghargaan berupa objek yang beliau sukai dan hargai, ini akan merangsang kanak-kanak agar kerap mengulangi langkah tersebut. Setiap kali kanak-kanak berjaya mencapai satu langkah seterusnya, ibubapa/penjaga mestilah memberikan pujian.
Sebahagian kanak-kanak memerlukan ulangan untuk setiap langkah kecil ini semasa waktu makan. Kerapkali mereka perlu mengulang berhari-hari atau berminggu-minggu sebelum mereka dapat menyempurnakan langkah kecil tersebut dengan baik. Oleh itu, ibabapa perlulah memberikan mereka masa dan tidak jemu membantu mereka melalui fasa ini.
Mulakan dari sifar
Teknik ini sesuai diaplikasikan ke atas kanak-kanak pra-sekolah dan yang lebih besar. Kanak-kanak akan memulakan setiap harinya tanpa objek/ aktiviti yang digemari. Kanak-kanak perlu menyempurnakan langkah kecil tersebut dahulu sebelum dia mendapat objek/aktiviti kegemarannya.
Contohnya, kanak-kanak boleh menonton satu rancangan televisyen sekiranya beliau berjaya memakan separuh roti planta semasa sarapan.
Kanak-kanak yang mudah mengamuk dan sukar bertoleransi
Terdapat kanak-kanak yang sukar bertoleransi dengan langkah sangat kecil yang hendak dicapai atau perubahan paling minima yang telah dirancang. Ada ketikanya keadaan menjadi lebih teruk apabila objektif itu telah meningkatkan kekerapan dan keterukan tingkah laku yang tidak diingini. Terdapat sebahagian kecil dari mereka boleh bekerjasama pada peringkat awal tetapi kemudiannya mundur ke belakang atau kemudiannya enggan maju ke hadapan (static).
Pelan pemakanan untuk kanak-kanak yang mudah mengamuk dan sukar bertoleransi mestilah dirancang dengan teliti dan perlu dipantau agar kanak-kanak serta keluarganya berada dalam keadaan yang selamat. Semua kes seperti ini perlu mendapat perhatian dan panduan dari ahli profesional pelbagai disiplin (interdisciplinary team).
Memilih Teknik Yang Sesuai
Ibubapa mestilah berjumpa dan berbincang dengan ahli professional terlibat untuk menentukan teknik manakah yang sesuai dengan masalah anak mereka. Kanak-kanak bermasalah pemakanan ini seperti ini mestilah dinilai oleh Terapis Pertuturan-Bahasa yang pakar dalam pemakanan kanak-kanak atau ahli interdisciplinary feeding team.
Sebarang permasalahan berkaitan dengan pemakanan perlulah dibincang dengan ahli professional yang terlibat sejak awal lagi agar masalah ini tidak berlarutan. Gejala masalah pemakanan yang berpanjangan boleh menyebabkan masalah kesihatan yang lain terutama apabila usia semakin bertambah.
Rujukan
Chatoor, I. (2009) Diagnosis and Treatment of Feeding Disorders in Infants, Toddlers and Young Children. Washington DC
Behavioral and Sensory Feeding Problems http://nutrition.cedwvu.org/feeding-and-swallowing-clinic/behavioral-and-sensory-feeding-problems.php
Morris, S.E. & Klein, M.D (2000) Pre-Feeding Skills 2nd Edition. United States of America
Penyebab utama anemia di kalangan wanita mengandung adalah kekurangan zat besi. Semasa mengandung, badan manusia akan menghasilkan banyak darah untuk menampung tumbesaran janin.