Keibubapaan

Anak Terlalu Penat: Tanda Mengejutkan Yang Ramai Ibu Ayah Tak Sedar

Share

Pernah tak anak tiba-tiba mengamuk hanya sebab perkara kecil? Salah potong roti pun menangis, diminta mandi terus merajuk atau bila disuruh kemas mainan, terus menjerit dan berguling.

Ketika itu mungkin terlintas di fikiran mak ayah, “Kenapa anak aku susah sangat nak dengar cakap hari ini?”

Tetapi sebelum terus memarahi atau menganggap anak sengaja buat perangai, cuba fikir satu perkara. Mungkin anak terlalu penat.

Kanak-kanak, terutamanya yang masih kecil, belum mempunyai keupayaan seperti orang dewasa untuk mengenal pasti dan memberitahu apa yang mereka rasa. Bila badan terlalu letih, mereka mungkin tidak akan datang kepada kita dan berkata, “Mama, saya penat.”

Sebaliknya, kepenatan itu boleh muncul melalui tingkah laku.

Menurut American Academy of Pediatrics menerusi HealthyChildren.org, jumlah dan kualiti tidur seseorang kanak-kanak boleh mempengaruhi mood, tingkah laku, tumpuan, ingatan dan keupayaan untuk belajar.

Anak Terlalu Penat Tak Semestinya Nampak Mengantuk

Ramai mak ayah menyangka apabila anak penat, anak akan kelihatan mengantuk, menguap dan akhirnya tertidur sendiri.

Hakikatnya, tidak semua kanak-kanak menunjukkan kepenatan dengan cara begitu.

Ada yang menjadi semakin aktif. Ada yang berlari ke sana sini, susah duduk diam, mudah menangis atau cepat marah apabila kehendaknya tidak dipenuhi.

Malah, panduan kesihatan kanak-kanak turut menyatakan bahawa kekurangan tidur boleh dikaitkan dengan masalah perhatian, tingkah laku serta perubahan mood.

Jadi apabila anak tiba-tiba berubah perangai terutama pada penghujung hari, cuba perhatikan semula rutin hariannya.

Mungkin dia bangun terlalu awal. Mungkin tidur tengah harinya tidak cukup. Mungkin sepanjang hari terlalu banyak aktiviti, bermain, berjalan atau menerima pelbagai rangsangan sehingga badan dan emosinya sudah keletihan.

Artikel trending: “Saya Takut Bila Ada Anak Sendiri, Hati Saya Akan Berubah” Madammu Kongsi Dilema Besarkan 3 Anak Tiri

Artikel viral: Lebih 25 Manfaat Bila Ada Kad OKU Untuk Anak Disleksia, Autisme Dan ADHD, Ibu Ayah Jangan Malu Daftar!

Artikel: Pelajar 12 Tahun Meninggal Mengejut Selepas Latihan Silat, Mengadu Sakit Kepala Sebelum Rebah

Antara Tanda Anak Terlalu Penat

Mak ayah boleh mula memberi perhatian kepada beberapa perubahan tingkah laku berikut. Kadangkala tanda-tanda ini mudah disalah anggap sebagai anak sengaja membuat perangai sedangkan tubuhnya mungkin sedang meminta rehat.

1. Mudah menangis kerana perkara kecil

Mainan jatuh pun menangis lama. Gelas yang diberikan bukan warna kegemarannya pun boleh menjadi punca tantrum.

2. Tiba-tiba sangat aktif

Kadangkala anak yang terlalu penat bukan semakin perlahan, sebaliknya kelihatan semakin aktif atau sukar dikawal.

3. Cepat marah dan mudah meragam

Perkara yang biasanya boleh diterima tiba-tiba menjadi masalah besar bagi anak.

4. Sukar memberi perhatian

Anak mungkin tidak fokus apabila dipanggil atau kelihatan sukar mengikut arahan mudah. Tidur yang tidak mencukupi memang boleh menjejaskan perhatian dan tingkah laku kanak-kanak.

5. Susah tidur walaupun nampak sangat penat

Ini antara perkara yang boleh membuat mak ayah keliru. Sudah mengantuk tetapi masih melawan untuk tidur.

Jika beberapa perubahan ini kerap berlaku terutama selepas hari yang panjang atau waktu tidur yang tidak mencukupi, mak ayah boleh melihat semula sama ada anak terlalu penat

sebelum menganggap tingkah laku itu semata-mata sebagai kenakalan.

Anak Perlukan Tidur Yang Cukup

Tidur bukan sekadar masa anak “berehat daripada bermain”.

Ia merupakan bahagian penting dalam perkembangan fizikal, pembelajaran, memori serta kesihatan emosi mereka. American Academy of Pediatrics turut menekankan bahawa kanak-kanak yang mendapat tidur mencukupi cenderung mempunyai tingkah laku, memori, prestasi pembelajaran dan kesihatan mental yang lebih baik.

Sebab itu rutin tidur yang konsisten sangat membantu.

Cuba wujudkan suasana lebih tenang sebelum tidur. Kurangkan aktiviti yang terlalu merangsang, tetapkan waktu tidur yang hampir sama setiap malam dan beri anak sedikit masa untuk memperlahankan aktiviti sebelum masuk tidur.

NHS turut mencadangkan rutin waktu tidur yang konsisten untuk membantu kanak-kanak bersedia untuk tidur.

Mak ayah juga boleh mula memerhatikan corak harian anak. Contohnya, lihat sama ada perubahan emosi lebih kerap berlaku selepas anak terlepas tidur tengah hari, pulang daripada aktiviti yang panjang atau tidur lebih lewat daripada kebiasaannya. Pemerhatian seperti ini boleh membantu mak ayah memahami keperluan rehat anak dengan lebih baik.

Baca lagi: Ubat Cacing Kanak-Kanak: 7 Petanda Amaran Anak Dijangkiti Cacing Yang Ramai Ibu Bapa Terlepas Pandang

Artikel Trending: Kemas Kini Mykad Atau Berisiko Didenda RM20,000, Ini Ibu Ayah Kena Ambil Peduli Bila Pindah Rumah

Baca lagi: Ramai Salah Faham! Bantuan Kanak-Kanak JKM Bukan Terus Dapat RM1,000 Sebulan,Ini Cara Kiraannya

Sebelum Marah Apabila Anak Terlalu Penat, Tengok Keadaannya

Sudah tentu bukan setiap tantrum atau tingkah laku mencabar berpunca daripada kepenatan. Anak juga sedang belajar mengenal emosi, mengawal kehendak dan memahami batas.

Tetapi pada hari-hari tertentu, apa yang nampak seperti “buat perangai” sebenarnya mungkin isyarat bahawa tubuh kecilnya sudah tidak mampu menerima terlalu banyak rangsangan.

Jadi apabila anak mula merengek, menangis atau marah tanpa sebab yang jelas, jangan terus melihatnya sebagai anak yang sengaja mahu melawan. Dekati dia. Peluk jika dia mahu dipeluk. Kurangkan aktiviti dan bantu dia berehat.

Dalam keadaan begini, memahami bahawa anak terlalu penat boleh membantu mak ayah memilih tindak balas yang lebih sesuai. Ada masanya anak masih memerlukan batas dan bimbingan, tetapi ada juga masanya tubuh dan emosinya terlebih dahulu memerlukan ruang untuk kembali tenang.

Kadang-kadang anak bukan perlukan ceramah panjang atau suara yang lebih kuat. Dia cuma perlukan rehat. Semoga kita menjadi ibu ayah yang sentiasa membimbang anak-anak secara positif.

Sumber: HealthyChildren  NHS

Jom sertai Edutainment Fest 2026! 🎈 Festival kanak-kanak yang menggabungkan pembelajaran 📚 dan keseronokan 🎨 sambil memberi pendedahan tentang kepentingan simpanan pendidikan untuk masa depan anak-anak 🌟 📅 Tarikh: 5–6 September 2026 ⏰ Masa: 10.00 pagi – 10.00 malam 📍 Lokasi: Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur Lebih menarik, 500 peserta terawal yang mendaftar akan menerima: 💰 Akaun Simpan SSPN bernilai RM30 🎁 Goodies istimewa 📜 Sijil penyertaan Daftar sekarang dan bawa anak-anak menikmati pengalaman belajar yang menyeronokkan! 👇 https://www.majalahpama.my/edutainment-fest/

Published by
Nor Yusoff