Kadang-kadang rezeki datang dengan cara yang tidak disangka. Itulah yang berlaku kepada seorang usahawan kek dari Semenyih, Nurul Izzah Abdul Halim, 31, apabila kisah lucu melibatkan anaknya tular di media sosial sehingga mengundang perhatian ramai.

Menurut Nurul Izzah, insiden tersebut berlaku Sabtu lalu ketika beliau baru sahaja menyiapkan tempahan kek untuk dihantar kepada vendor. Namun, disebabkan cuaca buruk, urusan itu terpaksa ditangguhkan.

Anak Tersilap, Habis Kek Jualan Mak Diberi Percuma

“Lepas siap semua kek, saya terus letak dalam kereta. Cuma masa tu kunci tak jumpa, hampir 30 minit baru dapat. Bila tengok langit gelap dan angin kuat, saya yakin ribut nak datang, jadi saya tak jadi hantar,” jelasnya.

Selain kek, beliau juga sempat menyediakan manisan Dalgona Candy untuk dijual pada harga RM2 sebiji. Namun, katanya lagi, beliau berpesan kepada anak supaya menjual dengan harga RM1 sahaja kerana hasilnya kurang menjadi.

Ads

Anak Tersilap, Habis Kek Jualan Mak Diberi Percuma

Tanpa diduga, anaknya tersalah faham lalu menjual kek tapak kuda yang sepatutnya berharga RM5 sebiji  secara percuma.

“Esoknya, ada pelanggan datang bertanya, ‘Acik sini ada jual kek tapak kuda ke? Ingatkan seringgit je.’ Masa tu baru saya sedar rupanya anak tersalah jual. Kek yang harga RM5 tu habis diberi percuma,” katanya sambil ketawa kecil.

Ads

Disebabkan kisah itu, ramai menyangka ia hanyalah strategi pemasaran untuk menarik perhatian. Namun, Nurul Izzah menjelaskan perkara itu berlaku secara spontan.

“Ya, memang orang bisnes kena pandai bercerita. Kalau tidak, orang tak pandang posting kita. Tapi untuk minta simpati, itu memang tak ada,” tegasnya.

Ads

Kek tapak kuda hasil tangan Nurul Izzah dijual RM5 sebiji, dibuat segar setiap hari dan sudah beberapa kali menarik minat pelanggan setia di kawasan Semenyih. Kini, beliau berniaga dari rumah sahaja kerana perlu menjaga dua anaknya.

Lebih manis, selepas kisah itu tular, seorang individu telah tampil untuk membayar semula semua kek yang telah diberikan percuma oleh anaknya.

“Alhamdulillah, rezeki datang dalam pelbagai cara. Anak-anak dapat makan kek, saya tetap dapat duit, dan individu itu pula dapat pahala. Ada lebihan duit, insya-ALLAH saya akan infaqkan kek untuk anak-anak yatim atau maahad tahfiz,” katanya yang telah mengusahakan jenama Izady Cake sejak hampir lima tahun lalu.

Sumber: Sinar Harian

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads