Anak Tertelan Bateri Butang? Jangan Tunggu Simptom, Terus Ke Jabatan Kecemasan!

Share

Anak tertelan bateri butang mungkin kedengaran seperti kejadian kecil kerana saiz bateri itu sendiri sangat kecil, bulat dan kadang-kadang nampak tidak berbahaya. Namun bagi anak kecil, bateri butang boleh menjadi antara benda paling berbahaya di dalam rumah jika tertelan.

Bateri jenis ini boleh ditemui dalam pelbagai barangan harian seperti alat kawalan jauh televisyen, jam tangan, mainan berbunyi, penimbang dapur, lampu LED, kad muzik dan alat bantuan pendengaran.

Lebih membimbangkan, seorang kanak-kanak yang tertelan bateri butang mungkin belum menunjukkan sebarang simptom pada peringkat awal. Sebab itu mama papa tidak boleh mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

Menerusi perkongsian pakar pediatrik, Dr Nisa Khalil, beliau mengingatkan bahawa kecederaan serius pada saluran makanan boleh berlaku dalam tempoh yang singkat.

“Sekecil duit syiling, tapi kalau anak telan, boleh burn saluran makanan dia dalam 2 jam.

“Satu je you kena ingat: telan bateri butang = terus ke ED. Jangan tunggu simptom, jangan tunggu esok.”

Panduan National Capital Poison Center turut menyatakan bahawa bateri yang tersangkut pada esofagus perlu dikeluarkan dengan segera kerana kecederaan serius boleh berlaku dalam masa sekitar dua jam.

Anak Tertelan Bateri Butang, Terus Ke Jabatan Kecemasan

Perkara paling penting untuk mama papa ingat ialah jangan tunggu anak menunjukkan simptom. Jika nampak anak tertelan bateri butang

atau ada kemungkinan besar ia telah tertelan, terus bawa anak ke Jabatan Kecemasan atau Emergency Department (ED) untuk pemeriksaan.

Kebiasaannya, doktor perlu melakukan X-ray bagi menentukan kedudukan bateri. Jika bateri tersangkut pada saluran makanan, ia perlu dikeluarkan dengan segera.

Sekiranya ada bateri lain yang sama jenis atau pembungkusannya, bawa bersama ke hospital. Ini boleh membantu pasukan perubatan mengenal pasti saiz dan jenis bateri yang mungkin telah ditelan.

Kenapa Bateri Butang Sangat Bahaya?

Masalahnya bukan semata-mata kerana bateri boleh menyebabkan anak tercekik. Apabila bateri butang tersangkut pada saluran makanan, tindak balas elektrik boleh menghasilkan bahan beralkali pada kawasan berkenaan dan menyebabkan kecederaan pada tisu.

Sebab itulah anak tertelan bateri butang boleh mengalami kecederaan serius walaupun pada awalnya masih kelihatan seperti biasa. National Capital Poison Center menegaskan bahawa tindakan pantas sangat penting dan ibu bapa tidak sepatutnya menunggu simptom muncul.

Bila Boleh Berikan Madu?

Dalam situasi tertentu, madu boleh diberikan sementara dalam perjalanan ke hospital, tetapi ia bukan rawatan dan bukan alasan untuk melambatkan perjalanan ke Jabatan Kecemasan.

Menurut panduan National Capital Poison Center, madu boleh dipertimbangkan sekiranya:

  • anak berusia 12 bulan ke atas
  • bateri dipercayai tertelan dalam tempoh 12 jam terakhir
  • anak masih boleh menelan dengan baik
  • madu memang tersedia dengan segera

Jika memenuhi keadaan tersebut, berikan 10 ml atau kira-kira dua sudu teh madu setiap 10 minit, maksimum enam kali, sambil terus menuju ke Jabatan Kecemasan.

Madu dipercayai boleh membantu melambatkan kerosakan pada tisu, tetapi ia tidak menghentikan kecederaan dan tidak menggantikan rawatan di hospital. Jangan singgah membeli madu atau melambatkan perjalanan semata-mata untuk memberikannya.

Jangan Beri Madu Kalau Anak Bawah Setahun

Bagi bayi berusia bawah 12 bulan, jangan berikan madu kerana terdapat risiko infant botulism.

Madu juga tidak sepatutnya diberikan jika sudah lebih 12 jam sejak bateri dipercayai tertelan atau mama papa sendiri tidak pasti bila kejadian berlaku.

Jika anak tercekik, meleleh air liur dengan banyak, sukar bernafas, sakit dada, sukar menelan atau muntah, terutama jika terdapat darah, jangan cuba memberikan madu. Terus dapatkan rawatan kecemasan.

Anak Tertelan Bateri Butang, Jangan Paksa Anak Muntah

Satu lagi perkara penting apabila anak tertelan bateri butang, jangan cuba membuatkan anak muntah selepas tertelan bateri.

Selain madu dalam keadaan yang sesuai tadi, elakkan memberikan makanan, susu atau air sementara menunggu penilaian hospital. National Capital Poison Center menyarankan pesakit tidak diberikan makanan atau minuman sehingga kedudukan bateri pada esofagus dapat dipastikan.

Bateri Masuk Hidung Atau Telinga Pun Kecemasan

Bateri butang bukan sahaja berbahaya apabila tertelan. Jika anak memasukkan bateri ke dalam hidung atau telinga, ia juga perlu dianggap sebagai kecemasan dan anak perlu dibawa untuk mendapatkan rawatan segera.

Dalam keadaan ini, jangan berikan madu kerana madu hanya dipertimbangkan bagi kes bateri yang tertelan dalam keadaan tertentu. Bateri yang tersangkut pada hidung atau telinga juga boleh menyebabkan kerosakan tisu jika tidak dikeluarkan dengan cepat.

Magnet Kecil Pun Jangan Dipandang Ringan

Dr Nisa turut mengingatkan mengenai risiko magnet kecil. Jika lebih daripada satu magnet tertelan, magnet tersebut boleh saling menarik antara satu sama lain walaupun berada pada bahagian usus yang berlainan. Keadaan itu boleh menyebabkan usus tersepit dan mengalami kecederaan serius.

Jadi jika disyaki anak tertelan beberapa magnet kecil, jangan tunggu simptom. Bawa anak ke Jabatan Kecemasan untuk pemeriksaan.

Bateri Butang Ada Di Mana-Mana Dalam Rumah

Antara langkah pencegahan paling penting ialah mengenal pasti barang yang menggunakan bateri butang di rumah, terutama jika ada anak kecil.

Periksa alat kawalan jauh, jam tangan, penimbang, mainan elektronik, lampu kecil dan peralatan lain. Pastikan ruang bateri mempunyai skru atau mekanisme keselamatan yang tidak mudah dibuka oleh anak.

Bateri baharu atau bateri yang sudah digunakan juga perlu disimpan di tempat tinggi, tertutup dan berkunci. Jangan anggap bateri yang sudah habis tidak berbahaya kerana bateri terpakai masih boleh menyebabkan kecederaan jika tertelan.

Satu Perkara Mama Papa Perlu Ingat Jika Anak Tertelan Bateri Butang

Dalam kes anak tertelan bateri butang, masa sangat penting. Jika tertelan bateri butang = terus ke Jabatan Kecemasan.

Jangan tunggu anak mengadu sakit. Jangan tunggu anak muntah. Jangan fikir mahu lihat keadaannya dahulu sehingga esok.

Jika memerlukan nasihat berkaitan keracunan di Malaysia, Pusat Racun Negara USM boleh dihubungi di 04-653 6999. Waktu perkhidmatan yang dinyatakan ialah Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 10 malam, manakala Sabtu, Ahad dan cuti umum, 8 pagi hingga 5 petang.

Baca lagi: MamaKerja2026: Ibu Bekerja Selangor Layak Mohon Insentif RM1,000 Mulai Ogos!

Sekat Video Indonesia Di Youtube, 7 Cara Berkesan Elak Anak Terpengaruh Bahasa Indonesia

MamaKerja2026 Dibuka 17 Ogos Ini, Ibu Bekerja Selangor Dapat RM1,000!

Sumber: Dr Nisa Khalil 

Published by
SRM