Ibu ayah pernah tak alami situasi macam ni? Anak yang sebelum ni ceria, lasak, berdikari, tiba-tiba berubah jadi ‘clingy’, asyik nak melekat je, menangis tanpa sebab, tidur pun tak lena, mimpi buruk. Hati ibu ayah pasti rasa tak sedap, kan?

Menurut Dr Hadi Kamal, doktor perubatan yang sering berkongsi ilmu kesihatan kanak-kanak, perubahan tingkah laku anak seperti terlalu berkepit atau ‘clingy’ secara tiba-tiba bukan sekadar fasa biasa. Ini mungkin petanda emosi anak sedang terganggu, malah boleh jadi mereka sedang alami penderaan emosi!

Anak Tiba-Tiba Jadi Terlalu ‘Clingy’? Mungkin Tanda Emosi Didera, Ini Penjelasan Doktor!

Bahaya Penderaan, Bukan Sekadar Kesan Fizikal

Ramai fikir penderaan hanya melibatkan kecederaan fizikal. Hakikatnya, menurut Dr Hadi, penderaan juga boleh berlaku dalam bentuk mental, psikologi dan emosi yang meninggalkan kesan mendalam pada jiwa anak kecil.

Lebih membimbangkan, kes penderaan kanak-kanak semakin meningkat di negara kita, ada yang sampai meragut nyawa! Paling sedih bila penderaan dilakukan oleh individu yang sepatutnya melindungi mereka — termasuk guru, pengasuh atau ahli keluarga sendiri.

Cara Bezakan Kecederaan Akibat Dera & Kemalangan

Anak aktif memang biasa ada lebam atau calar. Tapi ibu ayah perlu tahu, kecederaan akibat dera biasanya muncul di bahagian badan tertentu yang agak ‘pelik’ atau sukar berlaku secara tidak sengaja.

@3hadi_ Semua orang wajib alert, banyak kes sangat dah ni #lebam #dera #ibu #tiktokmalaysia ♬ original sound – Dr Hadi Kamal | Kids Health – Dr Hadi Kamal Family Health

Dr Hadi kongsikan, antara bahagian tubuh yang sering jadi tanda penderaan fizikal termasuk:

Ads

🔴 Pipi
🔴 Leher
🔴 Lengan bahagian atas
🔴 Pergelangan tangan hingga ke hujung jari
🔴 Tapak tangan
🔴 Alat sulit
🔴 Punggung & celah peha
🔴 Peha
🔴 Pergelangan kaki hingga ke hujung jari, termasuk tapak kaki

Kalau kecederaan di kepala, bahu, lengan bawah atau betis, biasanya ia berlaku akibat kemalangan biasa.

Pesan Dr Hadi: Ibu ayah kena cakna, jangan abaikan walau ada satu pun tanda mencurigakan. Segera bertindak sebelum keadaan jadi lebih serius.

Tanda-Tanda Anak Alami Penderaan Emosi

Penderaan emosi lebih halus, sukar dikesan, tapi kesannya sangat dalam. Dr Hadi kongsi beberapa ‘alarm’ yang ibu ayah wajib peka:

✅ Anak kerap mengigau atau mimpi buruk setiap malam
✅ Terlalu takut atau resah bila nampak individu tertentu
✅ Jadi terlalu ‘clingy’, tak mahu berpisah walau sekejap
✅ Menangis berlebihan tanpa sebab jelas
✅ Tingkah laku impulsif, cepat marah atau tantrum
✅ Tiba-tiba buat perkara tak sesuai dengan umur – hisap jari, kencing tilam, main cara keanak-anakan

Ads

“Kadang-kadang bila dia nampak orang yang dia takut tu, dia tiba-tiba jadi patuh macam robot,” jelas Dr Hadi. Ini tanda anak dalam ketakutan yang terlampau.

@3hadi_ Replying to @ahmad.faizal211 betul, tanda emosi/psikologi boleh jadi dan yang ni susah nak tipu #abuseawareness #makayah ♬ original sound – Dr Hadi Kamal | Kids Health – Dr Hadi Kamal Family Health

Anak Nampak Terabai? Itu Juga Mungkin Penderaan

Selain penderaan fizikal dan emosi, pengabaian juga satu bentuk penderaan. Antara petanda anak terabai:

🔸 Ruam atau melecet di bahagian punggung akibat lampin tak ditukar lama
🔸 Badan tak terurus – kuku panjang kotor, kudis tak dirawat, pakaian lusuh
🔸 Bau badan tak menyenangkan, rambut kusut masai

Ads

Jangan Diam, Laporkan! Ini Saluran Bantuan

Sebagai ibu ayah, pengasuh, pendidik, malah jiran tetangga, kita ada tanggungjawab melindungi anak-anak kecil. Jangan biarkan mereka terus jadi mangsa penderaan.

Saluran yang boleh dihubungi:

📞 Talian Kasih 15999 atau WhatsApp ke 019-2615999
🚓 PDRM – Laporkan ke balai polis berhampiran
🏢 Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah
🌐 Media sosial rasmi JKM & KPWKM

Undang-undang sedia ada mewajibkan pengamal perubatan, ahli keluarga, pengasuh atau sesiapa saja yang ada maklumat penderaan untuk melaporkan kepada pihak berkuasa. Kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Sayangi Anak, Lindungi Mereka Dari Awal

Anak kecil tak pandai luah rasa takut mereka dengan kata-kata. Tapi melalui perubahan tingkah laku, mereka cuba minta tolong. Jadi, ibu ayah, dengarlah ‘jeritan halus’ anak. Jangan tunggu dah parah, cegah dari awal.

Kerana setiap anak adalah amanah, mereka berhak membesar dengan rasa selamat, dilindungi dan disayangi sepenuhnya.

BACA LAGI : Ibu Hamil 8 Bulan Pergi Dalam Senyuman, Belum Sempat Jumpa Suami… “Maafkan Saya Sayang…”

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads