Hobi & Minat

Apa Hukumnya Hantar Anak Ke Kelas Muzik? Ini Mak Ayah Kena Tahu!

Share

Memilih satu jenis permainan atau kemahiran khusus untuk dikuasai anak-anak kini dilihat sebagai satu kebiasaan dalam kalangan ibu bapa. Malah, tidak kurang juga yang sanggup berlumba-lumba memilih aktiviti terbaik demi memastikan perkembangan anak berada pada tahap optimum.

Antara yang sering menjadi pilihan ialah aktiviti bermain alat muzik seperti piano atau biola. Namun timbul persoalan, adakah wajar alat muzik diperkenalkan kepada anak-anak memandangkan ia bersifat hiburan dan dibimbangi boleh melalaikan?

Perbahasan Ulama Mengenai Alat Muzik

Menjawab persoalan ini, YB Dato’ Seri Dr. Haji Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri menjelaskan bahawa isu berkaitan alat muzik bukanlah perkara baharu. Bahkan, ia telah lama menjadi topik perbahasan dalam kalangan ulama, sama ada yang membenarkan mahupun yang berpandangan sebaliknya.

Sebahagian besar tokoh ulama terdahulu berpendapat bahawa hukum bermain alat muzik adalah haram. Pandangan ini antaranya bersandarkan kepada sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Malik al-Asy‘ariy R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Akan ada di antara umatku, satu kaum yang menghalalkan zina, sutera (untuk lelaki), arak dan alat musik.” Riwayat al-Bukhari (5590)

Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut:

Sabda Baginda ‘والمَعازِفَ’ adalah jamak daripada ma’zafah yang bermaksud alat-alat permainan untuk bersenang-senang. Al-Qurtubi menukilkan daripada al-Jauhari, bahawa al-Ma’azif adalah nyanyian. Namun yang terdapat dalam kitab al-Sihah karyanya, dikatakan bahawa ia adalah alat permainan untuk bersenang-senang.

Ada juga yang mengatakan bahawa maksudnya adalah bunyi alat-alat permainan itu. Sementara dalam kitab al-Hawasyi al-Dimyati disebutkan:”Al-Ma’azif adalah sejenis rebana dan selainnya yang dipukul. Nyanyian juga biasa disebut ‘uzf, dan semua permainan disebut ‘uzf.”

Dalam riwayat Malik bin Abu Maryam, disebut: ‘تَغْدُو عَلَيْهِمُ الْقِيَانُ وَتَرُوحُ عَلَيْهِمُ الْمَعَازِفُ’ (“Para penyanyi datang pada pagi hari kepada mereka, dan muzik datang di petang hari.”) (Lihat Fath al-Bari, 9/604)

Selain itu, terdapat juga hadith lain daripada Abu Malik al-Asy’ari bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Manusia daripada kalangan umatku akan meminum arak dan menamakannya dengan nama selain arak, alat muzik akan dimainkan untuk mereka dan penyanyi wanita menyanyi untuk mereka. Allah SWT akan menjadikan bumi menelan mereka dan menukar mereka menjadi monyet dan babi.”

Riwayat Abu Daud (3688), Ahmad (22900) dan Ibn Majah (4020). Dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih Ibn Majah.

Pandangan Berbeza Mengikut Ulama

Walaupun begitu, dijelaskan bahawa dunia muzik mempunyai cabang yang sangat luas dan melibatkan pelbagai instrumen seperti piano, gitar, violin, cello, flute, trumpet dan drum. Dalam hal ini, para ulama menyebut bahawa lelaki dan wanita dibenarkan bermain duf iaitu sejenis gendang.

Beberapa pandangan ulama kontemporari turut dikemukakan, antaranya:

Dr Ali Jum’ah, bekas Mufti Mesir, berpandangan bahawa alat muzik seperti piano dinilai berdasarkan suara dan kesannya; jika membawa kepada kebaikan maka harus, jika sebaliknya maka tidak harus.

Syeikh Ahmad Mamduh Amin al-Fatwa Dar Ifta’ Misriyyah pula berpendapat alat muzik bertali bukanlah haram.

Dr Majdi Asyur, Musytasyar Ilmi bagi Mufti Mesir, menyatakan bahawa muzik bergantung kepada kalam dan makna; jika baik diterima, jika buruk maka haram, apatah lagi jika disertai unsur keji atau minum arak.

Published by
SRM