Pantang nampak air. Sudah menjadi kelaziman anak kecil kita yang terlalu gemarkan aktiviti kolam. Asal sahaja nampak air, sebolehnya mahu terjun dan lambat pula hendak naik. Macam-macam alasan. Inilah dunia kesukaan mereka yang terlalu sukakan air. Itu lumrah.
Namun gelagat anak kecil ini dipuji ramai kerana cukup berani. Mana tidaknya, perkongsian video menerusi akaun Tik Tok @noratikajamal buat ramai mak-mak rasa cuak namun memuji anak kecil itu.
Aksi berani anak kecil ini yang baru berusia dua tahun satu bulan ini bukan biasa-biasa. Malah cukup lincah dan berani. Siapa sangka umurnya baru berusia dua tahun.
Menurut perkongsian ibunya, Noratika Jamal, anaknya itu terlalu berani dan cukup teruja bila nampak air.
“Hati kental sangat ni.
“Bila kau dapat anak terlalu berani. Tak kira dalam ke tak, asal boleh terjun dia terjun,” tulisnya menerusi video yang dikongsikan di Tik Tok.
Ads
Malah menurutnya lagi menerusi entri berbeza, anak kecilnya itu tidak mahu mandi di kolam air cetek kanak-kanak. Sebaliknya memilih kolam yang dikhususkan untuk orang dewasa.
“Tak nak mandi dekat paras lutut. Tak berhenti terus terjun. Tak takut langsung.
“Memang tak boleh lepas pandang walaupun seminit,” tulisnya lagi.
Ads
Bukan itu sahaja bahkan kata ibunya, keberanian anaknya itu tambah terbukti bila mana dia turut membuat aksi terjun, kepala ke bawah seperti yang dilakukan ayahnya. Memang lain macam.
Keberanian anak kecil ini sudah semestinya di puji namun ramai pula yang turut mencadangkan agar dimasukkan ke kelas berenang seawal mungkin. Semuanya bagi mengimbangkan keberaniannya dan kemahirannya diaplikasikan sebaiknya.
Golongan ibu ni kadang-kadang cakap je penat bawa anak keluar berjalan lebih-lebih lagi anak yang sedang membesar, tapi ‘next time’ dah lupa kepenatan tu mesti tak serik nak bawa anak keluar. Sebab memori bersama anak tu sangat berharga.
Begitulah yang turut dirasai oleh usahawan berjaya yang juga ibu kepada empat orang cahaya mata, Datin Vivy Sofinas Yusof apabila membawa anak-anak beriadah. Baginya, dia juga seperti ibu-ibu kebanyakan yang turut mengalami situasi sama ketika berhadapan dengan perangai anak-anak.
Namun bagi pemilik FashionValet dan The dUCk Group ini, ianya satu moment yang sangat berharga buat dirinya sebagai ibu. Ikuti perkongsian beliau.
Terdapat banyak perkara yang kita takuti sebagai seorang ibu. Masa anak-anak nak pergi tandas awam, bila anak-anak mengamuk kat tengah-tengah kedai cenderahati (Hai Mariam, mommy tak lupa), bila anak-anak bawa pulang ikan dari sekolah.
Lagi satu yang paling takut… bila anak-anak nak pergi waterpark.
Dah boleh nampak masa hadapan. Mommy akan menjadi towel lady selama setengah hari di bawah terik matahari, menjerit kepada anak lelaki kerana menolak anak perempuan ke dalam air, dan mengejar anak perempuan yang lain kerana dia enggan memakai sunblock.
Anak-anak akan menjerit dari dalam air, “mommy, lihat!!” Dan anda perlu melihat mereka menuruni gelongsor dan berkata “Oh wowwww!” buat kali ke-14 kerana pada pandangan mereka, mereka melakukan sesuatu yang sangat hebat dan anda perlu menunjukkan sokongan.
Cuba mengabaikan “Mommy, Lihat” kali ke-15 kerana ia akan membosankan. Tapi tak boleh sebab mereka akan menjerit lebih kuat, dan orang ramai akan mula merenung.
Bahagian yang menyeronokkan bila bagitahu mereka “kita akan pulang” Mereka akan merayu “Awwww tapi kami baru sampai di sini!” walaupun sampai tadi pada pukul 10 pagi dan sekarang pukul 5 petang. Mereka akan melompat semula ke dalam air dan mommy perlu menarik mereka keluar dan mengugut untuk ambil semua yang mereka miliki.
Mommy jugalah akan menjadi orang yang mengumpul pakaian basah semua orang dan sandal basah yang telah bercampur dengan pasir dan tanah dan mungkin juga beberapa semut. Hadiah dari anak-anak tersayang.
Di dalam kereta, mereka akan keletihan sehingga tidur. Mommy akan mendapat ketenangan selama beberapa minit, tetapi mommy perlu melenturkan otot tersebut untuk membawa badan mereka yang mengantuk masuk ke dalam rumah. Semua 20kg berat badan mereka. setiap satu.
Di rumah, mommy perlu mandi setiap satu daripada mereka sekali lagi dengan bersih untuk memastikan semua klorin dan nasties lain telah hilang.
Apabila mereka tidur malam itu, mommy akan melihat foto dan video dan mommy akan tersenyum. Senyuman yang letih tetapi puas kerana tiada yang lebih indah daripada melihat anak-anak bergembira. Dan kita tahu bahawa kita akan ke waterpark sekali lagi.
Ketika itulah kita akan sedar bahawa keibuan tidak masuk akal sama sekali.
Adakah anda masih makan ulam? Apakah khasiat ulam-ulaman yang anda tahu? Urbanisasi, pilihan gaya hidup tidak sihat, selain genetik, semuanya memainkan peranan dalam pertambahan kadar obesiti di Malaysia.
Dengan faktor risiko yang diteruskan generasi demi generasi, golongan muda dan kanak-kanaklah yang paling terkesan.
Apatah lagi, menurut laporan Euromonitor, kadar pengambilan makanan proses di Malaysia meningkat sebanyak 105% dalam masa 5 tahun.
Malaysia bukan sahaja antara negara dengan kadar obesiti kanak-kanak paling tinggi di dunia, bahkan, menurut kajian, pengambilan serat dalam kalangan remaja Malaysia tidak sampai 10% daripada saranan WHO.
Melihatkan senarai pilihan makanan harian di Malaysia yang kaya karbohidrat dan lemak, mungkin kita akan mudah mengecop budaya makan Malaysia sebagai menggemukkan.
Tetapi jika cara pemakanan tradisional dikaji, pasti kita akan mendapati bahawa budaya makan masyarakat terdahulu sebenarnya sangat seimbang. Rahsianya? Dengan makan ulam sebagai pelengkap hidangan.
Apa itu ulam-ulaman?
Ulam merupakan bahagian tumbuh-tumbuhan yang dimakan secara mentah, dicelur, distim atau direbus dan dihidangkan bersama hidangan nasi dan lauk-pauk yang lain. Ini termasuklah bahagian pucuk, daun, batang, umbut, biji, buah, ubi atau bunga tanaman.
Di Malaysia, lebih daripada 120 jenis tumbuhan boleh dimakan sebagai ulam-ulaman, daripada tumbuhan herba kecil dan melata, jenis semusim seperti pegaga, sehinggalah kepada pokok-pokok renek dan pokok-pokok besar jenis saka seperti petai, jering, genuak dan kerdas, yang biasanya tumbuh liar di kawasan pedalaman, di dusun atau di hutan belantara.
Sayur-sayuran biasa seperti timun, kubis dan terung juga boleh dianggap ulam apabila dimakan sebegitu sahaja. Dalam erti kata lain, ulam-ulaman ini sama sahaja seperti salad dalam diet barat.
Berikut merupakan beberapa jenis ulam-ulaman yang popular:
1. Ulam Raja
Ulam raja, atau nama saintifiknya Cosmos Caudatus didapati mempunyai kesan antioksidan, antidiabetes, antihipertensi, antikeradangan, antimikrob dan antikulat.
Menariknya dibandingkan dengan buah-buahan seperti strawberi, plum, oren, epal dan tomato, ulam raja mempunyai kadar antioksidan yang paling tinggi. Maka layaklah tumbuhan ini dikenali dengan nama ulam raja.
Ulam raja juga mempunyai kesan melindungi tulang yang dapat mengurangkan risiko osteoporosis, terutamanya bagi wanita menopaus.
2. Sambung Nyawa
Sambung nyawa atau dalam bahasa saintifiknya Gynura Procumbens didapati berpotensi mengawal tekanan darah, kandungan gula dalam darah, menggalakkan kesuburan, selain mempunyai kesan antikanser, antimikrob, antioksidan dan antikeradangan.
Menariknya, kajian dalam haiwan menunjukkan ulam-ulaman ini mempunyai khasiat untuk menurunkan gula dalam darah pada haiwan yang diabetes, dan tidak pada haiwan yang normal.
3. Daun Selom
Daun selom atau nama saintifiknya Oenanthe javanica mempunyai kesan antidiabetik, antioksidan, antiradang, selain kesan melindungi hati dan memori.
Sayuran ini dihidangkan bersama nasi panas, sambal belacan, lauk ikan sungai dan ikan kering. Ulam ini juga sesuai dibuat ‘urap’ iaitu campuran kelapa parut, cili api, gara, belacan yang ditumbuk halus dan digaul dengan daun selom.
4. Cekur
Cekur atau nama saintifiknya Kaempferia Galanga Linn mempunyai kesan antiradang, tahan sakit, anticacing, antioksidan, antimikrob dan antihipertensi.
Selain di makan sebagai ulam, daun cekur turut digunakan untuk merawat bengkak, pening kepala, sakit perut, sakit gigi dan reumatisme (radang dan sakit pada otot dan sendi).
5. Pegaga
Pegaga atau nama saintifiknya Cantella Asiatica merupakan tumbuhan yang sering dikaitkan dengan rahsia keremajaan dan awet muda.
Bukti saintifik juga telah menunjukkan bahawa ulam-ulaman ini mempunyai khasiat yang memudahkan pertumbuhan tisu penghubung seperti elastin dan kolagen, yang penting untuk penyembuhan luka.
Maka tidak hairanlah kini ekstrak pegaga digunakan dalam produk krim muka, dikenali sebagai cica cream yang boleh didapati daripada jenama-jenama produk terkenal.
6. Daun Kaduk
Daun kaduk atau nama saintifiknya Piper Sarmentosum, agak menyerupai daun sireh tetapi tumbuhan ini tidak tumbuh memanjat sebaliknya tumbuh di atas tanah.
Makan ulam kaduk yang mempunyai rasa agak payau dan sedikit pahit ini dikatakan mempunyai manfaat untuk masalah sembelit, sakit gigi, demam malaria, lemah dan sakit-sakit dalam tulang.
7. Petai
Petai merupakan ulam yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Petai didapati mempunyai kesan antidiabetes, antimikrob, antioksidan, antihipertensi dan berpotensi menurunkan kandungan gula dalam darah.
Kandungan antioksidan yang tinggi dalam petai didapati pada bahagian biji dan pod tumbuhan ini.
Dalam perubatan tradisional Melayu, buah petai dipercayai berkesan dalam merawat penyakit jantung dan kencing manis selain membersihkan buah pinggang.
Digabungkan dengan serat, petai memberikan rangsangan tenaga yang cepat, berterusan dan mencukupi. Penyelidikan telah membuktikan bahawa dengan hanya dua hidangan petai menyediakan tenaga yang mencukupi untuk latihan berintensiti tinggi selama 90 minit.
Salah satu kesan sampingan utama ketika makan ulam petai adalah ia memberikan nafas yang agak berbau dan gas perut yang berbau. Ia mengandungi asid amino tertentu yang memberikan bau yang kuat kepada air kencing seseorang, kesan yang dapat dilihat sehingga dua hari selepas pengambilan dalam pemakanan.
8. Makan ulam jering
Selain petai, ulam lain dengan bau yang kuat ialah jering. Jering mempunyai kandungan asid amino yang unik, asid djenkolic yang mempunyai kesan antidiabetes.
Kajian dalam haiwan mendapati kesan positif pada kandungan gula dalam darah, selera makan dan berat badan haiwan yang diabetes dan normal.
Tetapi, dalam masa yang sama, pengambilan jering boleh menyebabkan masalah jantung, buah pinggang, hati, paru-paru dan pankreas pada haiwan normal. Oleh itu, pengambilan jering hendaklah secara terkawal.
Terdapat banyak lagi ulam-ulaman yang popular seperti rebung buluh, pucuk betik, kacang botol dan peria katak. Semuanya mempunyai pelbagai rasa yang berbeza untuk anda terokai.
Mengapa anda patut makan ulam?
Tahukah anda, sehingga kini, kebanyakan ulam-ulaman tidak ditanam secara komersial?
Ini bererti pelengkap hidangan ini kebanyakannya merupakan tumbuhan liar yang dipetik sendiri oleh penjual atau ditanam sendiri oleh pengguna tempatan.
Jadi, bayangkan sahaja khasiat makan ulam yang tumbuh dalam persekitaran semula jadinya, tanpa menggunakan racun serangga.
Ini juga bermakna kebanyakan tumbuh ini dapat bertahan daripada serangga perosak. Tanaman selom, contohnya, didapati tidak mempunyai sebarang penyakit dan serangga perosak yang direkodkan.
Selain itu, mengamalkan pengambilan ulam juga mencipta permintaan pasaran kepada hidangan yang kian ditelan zaman ini.
Apatah lagi, sesetengahnya merupakan spesis tumbuhan yang kian berkurang sepertimana dalam rekod International Union for Conservation of Nature.
Permintaan pasaran akan menggalakkan usaha penanam semula oleh petani tempatan walaupun sekadar kecil-kecilan.
Makan ulam juga selalu digandingkan dengan pencicah juga meningkatkan manfaat amalan pemakanan ini.
Pencicah seperti cincalok, budu, sambal belacan dan tempoyak semuanya dihasilkan melalui proses fermentasi, menghasilkan produk kaya dengan probiotik atau bakteria baik yang membantu sistem penghadaman badan.
Mungkin, bagi sesetengah ahli masyarakat, makan ulam dan pencicahnya dilihat sebagai kolot dan ketinggalan zaman. Sementara pemakanan salad yang dipopularkan kulinari barat kelihatan lebih hipster dan moden.
Hidangan salad walaupun sihat, kadangkala ditambah sos dressing komersial siap yang penuh pengawet. Kebanyakan dressing salad dalam botol siap adalah tinggi dengan lemak tepu, garam dan gula tambahan.
Sedangkan ulam-ulaman bukan sahaja lebih segar kerana hasil tempatan, bahkan kebanyakan pencicahnya kaya dengan probiotik.
Oleh itu, mengapa anda perlu mencari sayuran yang diimport daripada luar dengan harga yang mahal, kandungan nutrien yang tidak setanding khasiat ulam-ulaman tempatan?
Jadi, mulakan inisiatif makan ulam ini daripada dapur rumah anda sendiri. Rajin-rajinlah mendapatkan bekalan ulam-ulaman yang penuh khasiat ini daripada pasar tani setempat.
Walaupun anda tidak biasa makan ulam, cubalah dahulu. Kerana dari mulut, pasti turun ke hati!
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Hati ibu mana yang mampu tenang saat bayi kecil yang baru berusia tiga bulan diuji dengan jangkitan Covid-19. Pelakon, Mira Filzah mengakui dia hilang punca apabila anaknya, Wan Khair Amir, tiga bulan disahkan positif Covid-19 dua minggu lalu.
Akui Mira menerusi satu laporan akhbar, dia menangis malah hilang punca sebaik mengetahui bayinya dijangkiti virus berbahaya itu.
Naluri keibuannya rasa tidak sedap hati lantas kata Mira, dia membuat ujian saringan kepada anaknya.
“Saya tergerak hati untuk membuat ujian saringan ke atas Amir selepas melihat kesukarannya untuk bernafas dan matanya berair.
“Selalunya bayi yang masih kecil jarang berdepan dengan situasi sebegitu.
“Kebetulan sebelum ini keluarga saya turut disahkan positif Covid-19. Enggan mengambil risiko saya terus membuat pemeriksaan dan ternyata Amir juga positif Covid-19,” luahnya menceritakan detik duka itu.
Menurut kata Mira lagi, dia tidak sanggup melihat keadaan Amir ketika membuat ujian saringan itu namun reda dan amat bersyukur dapat melalui ujian dan pengalaman yang mendebarkan dengan sebaiknya.
“Sebagai ibu saya tak sanggup melihat keadaan Amir ketika menjalani ujian saringan. Kita yang dewasa pun rasa sakit bila hidung kita dijolok, inikan pula bayi berusia tiga bulan,” katanya lagi.
“Saya percaya kalau bukan sekarang mungkin pada masa akan datang Amir akan terkena juga jangkitan virus ini,” kongsi Mira.
Malah kata ibu cantik manis ini lagi, dia amat bersyukur kerana anak kecilnya itu tidak mengalami sebarang simptom yang teruk dan hanya perlu menjalani kuarantin di rumah sahaja.
“Alhamdulillah Amir tidak mengalami simptom yang teruk dan hanya perlu menjalani kuarantin di rumah saja,” kata Mira yang turut dijangkiti Covid-19 selepas anaknya kembali pulih.
Terdahulu, Mira dan suaminya Wan Emir Astar menyambut kelahiran cahaya mata pertama mereka pada 10 Mei lalu selepas mendirikan rumah tangga pada 3 September 2020.
Ekzema anak berkait dengan asma dan resdung ibu bapa melalui fenomena Atopic March, satu perjalanan alahan yang boleh bermula sejak bayi jika tidak dikawal awal.