Atas Nasihat Doktor, Siti Bakal Lahirkan Anak Secara Pembedahan 2 Minggu Lagi

Share

Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza, memilih untuk melahirkan bayi sulungnya dalam tempoh dua minggu lagi menerusi pembedahan Caesarean.

Mengakui berdebar menantikan saat itu, Siti, 39, berkata pemilihan kaedah bersalin secara pembedahan juga dibuat atas nasihat pakar perbidanan yang merawatnya.

“Menurut doktor di tempat Siti menjalani rawatan kesuburan, selain faktor usia Siti sendiri, bayi yang dikandung menggunakan kaedah ‘In Vitro Fertilization (IVF)’ biasanya dilahirkan secara pembedahan.

“Bagaimanapun, ada juga kes sebegitu menyaksikan kelahiran secara normal. Siti ikut saja apa nasihat doktor, selain mempersiapkan diri dari segi fizikal dan mental. Apapun caranya, harapan Siti proses kelahiran dipermudahkan,” katanya.

Mengenai persiapan menyambut si kecil, penyanyi yang baru saja muncul dengan single Comel Pipi Merah ini berkata, segala-galanya sudah tersedia.

Ketika ini, jelasnya, beliau dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, hanya membilang hari menantikan kehadiran orang baharu dalam keluarga mereka.

“Suamilah insan paling teruja membuat persediaan. Bukan setakat hiasan bilik bayi sahaja tapi lif pun sudah siap untuk kegunaan Siti dalam pantang. Bagaimanapun, ia dibina bukanlah bagi kegunaan Siti saja, tetapi untuk orang lain juga seperti ibu serta ibu mentua,” katanya.

Diharapkan Siti dan bayi yang bakal dilahirkan nanti sihat. Dah tak sabar rasanya peminat nak tengok bayi penyanyi kesayangan ramai ini.

Sumber: Berita Harian & Instagram Ctdk

IKLAN